Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, December 6, 2012

Cerpen - Muzakarah, Ceritera Bahasa dan Aku








Cerpen:
Muzakarah, Ceritera Bahasa dan Aku
oleh Chai Loon Guan, Tg. Malim.

I
Muzakarah

Dingin hari menyambut ketibaan kami. Biarpun, pertama kali, kami dapat berhimpun di Institut Aminuddin Baki (IAB), Tanah Tinggi Genting namun kemesraan cukup terserlah. Kesantunan cukup terpelihara. Tangan dihulur, salam disambut.

“Apa khabar, Dr. Tan?”
“Khabar baik, Chai!”
“Sampai, bila?”
“Tengah hari, Dr. Dari Tg. Malim bersama dengan Munsyi Tewa,” ujarku penuh sopan.
“Bilik?”
“Tingkat Bawah, Asrama Induk, Dr.” jawabku ringkas.

Angguk beliau ringkas. Cermin mata tebal jelas memancarkan ketokohannya. Uban di kepala memperlihatkan kematangan. Aura badan cukup terserlah. Ucap bahasanya tertib. Sopan. Segak dan tinggi orangnya. Kot pada tubuhnya menyerlahkan keterampilan dirinya. Syukur, dapat bersua dengan beliau. Antara sarjana bahasa mutakhir yang hebat di tanah air. Uniknya, beliau sarjana bahasa Melayu!

“Permisi. Kita jumpa nanti di bilik taklimat…”
“Baik, Dr. Selamat beristirahat,” ujarku sopan.

Petang itu, beradu aku di bilik. Komputer riba ASUS, kuletakkan di atas meja tulis. Zip beg pakaian kubuka. Beberapa helai kemeja berlengan panjang kugantungkan pada ampaian almari. Kot hitam kusandarkan pada kerusi.

Fail kertas kerja kubuka. Skrip kertas kerja kukeluarkan. Baris demi baris kutatapi. Bahasa Melayu Asas Sistem Pendidikan Sebuah Negara. Demikianlah, bunyi tajuk yang diberikan oleh DBP, selaku penganjur utama.

Getar suaraku membarisi perenggan demi perenggan. Peluh dingin turut membasahi tubuhku. Gementar. Maklumlah, pertama kali, perlu aku bentangkan kertas kerja di hadapan khalayak. Khalayak pula, para sarjana, ilmuwan, munsyi bahasa, munsyi sastera dan munsyi jawi dari seluruh negara. Khalayak, termasuk munsyi bersekutu dari Pusat Bahasa Melayu, Pura Singa!

Ah, pengalaman sebagai guru melewati tiga dekad di buana ilmu belum cukup untuk mengikis bibit-bibit gementar tersebut. Sungguh, khalayak murid lain. Sungguh, khalayak guru lain. Sungguh, khalayak PPD, JPN, dan KPM hatta Jemaah Nazir pun lain. Sungguh, khalayak kali ini berbeza. 

Khalayak kali ini bahasawan. Khalayak kali ini, sasterawan. Khalayak kali ini, cendekiawan! Bijak pandai dan cendekia bahasa dan susastera Melayu dari seluruh pelosok tanah air.

“Yakin boleh! Sembahkan yang terbaik, Munsyi Chai! Audiens mahu mendengar bual bicara kita bukan mahu mencari kekhilafan! Percayalah…” ujar Munsyi Mahaya. Cendekia bahasa dan susastera wanita yang kukagumi sekian lama.

Petang di Tanah Tinggi Genting kian dingin dan hening. Tiada hiruk-pikuk kenderaan yang bertali arus. Tiada jerit pekik manusia kota yang sibuk. Tiada debu asap polusi kota yang noda. Selepas minum petang, kami bergegas ke Auditorium IAB untuk mendengar taklimat ringkas. Taklimat berkisar pada perjalanan majlis mulai malam hari sehingga tamatnya muzakarah. Empat hari tiga malam, kami menjadi tetamu yang diundang di Tanah Tinggi Genting. Tanah yang pernah diusahakan oleh Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, bilionwan tanah air pada suatu ketika dahulu. Kononnya, syurga dunia di puncak Banjaran Titiwangsa kian mendapat perhatian warga. Warga tempatan. Warga nusantara. Warga antarabangsa.

Selepas taklimat, dapat kami bergebang panjang. Maklumlah, sesudah empat tahun, baru peluang ini berkunjung tiba. Berkumpullah munsyi dari segenap pelosok tanah air. Munsyi dari Wilayah Utara, Wilayah Selatan, Wilayah Timur, Wilayah Tengah, Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak. Hadir juga munsyi bersekutu dari Pura Singa! Selamat datang, tuan-tuan dan puan-puan. Selamat datang ke Tanah Tinggi Genting. Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan di perbukitan dingin, bening dan hening ini dapat menghasilkan perbincangan yang berkesan demi kelangsungan dan kelestarian bahasa dan susastera Melayu di buana nusa bangsa yang tercinta.

Tingkap papan kayu bersegi,
          Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
          Tinggi bangsa kerana bahasa.

Ingat tuan-tuan dan puan-puan, bahasa jiwa bangsa. Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu sejak kemerdekaan 1957. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi telah diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1967  dan Akta Pendidikan 1996. Sebenarnya, bahasa Melayu berkaitan erat dengan proses pembinaan negara Malaysia. Bahasa Melayu merupakan asas kepada sistem pendidikan negara sejajar dengan Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan.

Nah, pernyataan-pernyataan yang bersejarah mula berputar kembali di kotak mindaku! Sejarah? Iya, sejarah. Sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat, sejarah perlu kita telusuri dan hayati. Bangsa yang lupa akan sejarah akan disumpah oleh sejarah. Bukankah bijak pandai pernah berkata-kata bahawa sejarah tidak pernah membohongi manusia. Yang jelas, sekiranya kita memperlekeh sejarah, maka sejarah akan berulang. Sejarah akan kembali!

“Tuan-tuan dan puan-puan, majlis perasmian dijadualkan selepas makan malam di Auditorium IAB. Ingat, jam 8.30 malam!” Suara merdu manis Pn. Hajah Siti, selaku Ketua Penyelaras Muzakarah Munsyi Dewan 2012 kian jelas kedengaran. Beliaulah, antara peneraju yang gigih, tabah dan berbudi bahasa.
         
“Dah siap siaga sajak untuk dideklamasikan, Munsyi Chai?” usik Munsyi Mohammad dalam perjalanan ke Asrama Induk IAB. 
“Beres, tuan!”
“Terima kasih atas kerjasama yang dihulurkan!”

8.30 malam. Auditorium Institut Aminuddin Baki, Tanah Tinggi Genting. Mula berlangsung majlis perasmian. Seperti lazimnya, ucapan alu-aluan, doa dan ucapan perasmian oleh Yang Berbahagia Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majlis perasmian disempurnakan dengan tertib dan teratur. Antara lain, amanat Ketua Pengarah DBP bahawa perjuangan dalam mendaulatkan Bahasa Melayu perlu diteruskan. Perjuangan dalam memartabatkan Bahasa Melayu perlu diperkasakan. Perjuangan dalam menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa sarana budaya tinggi perlu digiatkan. Perjuangan masih belum selesai biarpun dipenuhi onak dan duri cabaran. Perjuangan masih belum tamat biarpun dipagari tantangan dan dugaan dari segenap penjuru. Di pundak kitalah, terpikulnya amanah dan tanggungjawab untuk mencemerlangwangikan bahasa kebangsaan di persada tanah air, nusantara dan antarabangsa. Bukankah bahasa Melayu, bahasa kebangsaan milik setiap rakyat Malaysia?

Syabas, wira cendekia bahasaku! Bingkas aku menuju ke pentas utama. Aku menghampiri rostrum. Mikrofon mula bergetar.  Kata demi kata kuujarkan. Frasa demi frasa kuluahkan. Klausa demi klausa diadun kemas buat seorang pejuang bahasa yang kental, seorang wira bahasa yang cekal. Setiap ruang auditorium senyap. Barangkali, audiens mahu menghayati baris demi baris sajak yang kulafazkan khas untuk beliau – Wira Cendekia Bahasaku.

                                      WIRA CENDEKIA BAHASA

                                      Dikau bagaikan sang tukang ukir
                                      yang mahir
                                      Antara pahat metafora
                                      dan tukul personifikasi
                                      Tabah cekal mengukir
                                      Seni wasilah bahasa
                                      Untuk telaahan bangsa
                                      Untuk khazanah nusa
                                      zaman-berzaman.

                                      Dikau bagaikan sang petani
                                      Dari daerah pedalaman yang bening
                                      Antara cangkul diksi dan kudrat harapan
                                      Penuh kasih kausemai akrab
                                      benih-benih bahasa
                                      Di kebun ilmu
                                      Di kebun bangsa.

                                      Dikau bagaikan sang tukang jahit zaman
                                      Antara jejarum frasa dan bebenang klausa
                                      Kaucipta busana susila bahasa
                                      manifestasi peradaban
                                      nilai kesantunan
                                      citra ketamadunan
                                      bangsa
                                      di persada nusa
                                      di persada nusantara
                                      di persada antarabangsa

                                      Dikau bagaikan wira sepanjang zaman
                                      Antara merah darah perjuangan
                                      dan keris peradaban
                                      Kaulangkah gagah di persada wacana
                                      Melahirkan anak-anak merdeka
                                      Yang cekal akal budi
                                      Yang tekal jati diri

                                      Wira cendekia bahasaku
                                      Dikau persis kandil ilmu
                                      Obor menerangi buana zulmat
                                      Terampil wibawa menongkah arus cabaran
                                      Pena ilmu di buana manusiawi
                                      Wacana ilmu di buana rabbani

                                      Dirgahayu
                                      Wira cendekia bahasaku
                                      Bahasawan yang cemerlang
                                      Bahasawan yang terbilang
                                      Bahasawan sepanjang zaman!

         Seusai deklamasi, tepukan bergema mengisi setiap ruang Auditorium IAB. Barangkali, itulah antara tepukan yang paling gemuruh pernah kudengar dalam sejarah hidupku. Dan, tepukan itulah, saya pasti, turut akan mendorong  setiap munsyi pada malam itu untuk terus bangkit berjuang mendaulatkan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu di persada tanah air.

                                      Hidup Bahasa!
                                      Hidup Susastera!
                                      Bahasa Jiwa Bangsa!

II
Ceritera Bahasa

Pagi muzakarah, dimulakan dengan pembentangan kertas kerja utama oleh ilmuwan dan bahasawan yang terbilang. Idea dan wawasan daripada Yang Berbahagia Profesor Emeritus semacam suntikan ilham dan iltizam kepada setiap munsyi untuk terus-menerus berjuang demi kelangsungan bahasa dan susastera Melayu di tanah air yang tercinta. Isu-isu bahasa semasa dikupas satu persatu.

Jelas, jitu dan tepat. Antara lain, Bahasa Melayu dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (3PM) dan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Kautahu, Munsyi Chai…Profesor Dr. AS telah membahagikan pendidikan Bahasa Melayu kepada empat tahap. Kronologis sifatnya!” ujar sahabatku, Munsyi Ali ketika kami berkudapan di Kafetaria IAB seusai slot ucaptama.

“Teruskan, sahabat!” balasku spontan. Timbul rasa ingin tahu di sudut kalbuku.

“Bahasa Melayu pada zaman awal merangkum bahasa Melayu purba, yakni 2,500 tahun sebelum Masihi. Hadir Bahasa Melayu pada abad ke-7 Masihi apabila ditemukan batu-batu bersurat atau inskripsi seperti di Kedukan Bukit, Palembang (683 M) dan di Talang Tuwo, Palembang (684 M), di Kota Kapur, Pulau Bangka (686 M) dan di Karang Brahi, Meringin, Hulu Jambi (686 M).”

Ruang Kafetaria IAB, Tanah Tinggi Genting kian rancak dimeriahkan dek bual bicara santai para munsyi muzakarah. Munsyi Dewan Bahasa. Munsyi Dewan Sastera. Munsyi Dewan Jawi. Munsyi Bersekutu dari Pura Singa. Munsyi dari seluruh pelosok tanah air. Hadir mereka bertanyakan khabar dan bergebang bahasa sambil menikmati juadah bihun dan secawan dua kopi O. Kertas ucaptama turut disentuh tanpa gagal.

“Bahasa Melayu klasik bermula pada sekitar abad ke-12 Masihi serentak dengan kedatangan Islam yang disebut oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai tahap pembentukan sifat bahasa Melayu yang baharu, yang seterusnya diwarisi dalam zaman-zaman selanjutnya.”

“Bukankah Bahasa Melayu peralihan menunjukkan peralihan daripada gaya bahasa Melayu klasik kepada gaya bahasa Melayu kini, yakni pada zaman Abdullah Munsyi dan Raja Ali Haji pada abad ke-19, Munsyi Ali?” soalku spontan penuh sopan sebagai munsyi dari Wilayah Utara – Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

“Benar, Munsyi Chai. Bahasa Melayu baharu, yakni tahap selepas abad ke-19. Walau bagaimanapun periodisasi seumpama itu tidaklah mutlak, dengan pengertian bahawa berlaku kesinambungan yang jelas antara tahap-tahap tertentu, terutama antara bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu baharu daripada sistem dan rumus-rumus bahasanya!”

“Bagaimana pula dengan usul penting Laporan Razak, Munsyi Ali?” soal Munsyi Tewa menambahkan kerancakan bual bicara di Kafetari IAB.

“Munsyi Tewa, Laporan Razak (1956) telah merencanakan suatu sistem pendidikan kebangsaan yang dapat memupuk perpaduan rakyat pelbagai keturunan dengan bahasa Melayu menjadi salah satu asasnya!” jelas Munsyi Ali sungguh-sungguh.  Barangkali, persepsi Munsyi Tewa tentang Laporan Razak kian jelas.

Sayang, masa tidak mengizinkan. Maka, terpaksalah kami tangguhkan perbincangan untuk seketika. Kini, tiba giliran aku pula. Naik aku ke podium bagaikan sang perwira, gah, mantap dan bersiap siaga. Selepas diperkenalkan oleh pengerusi bengkel, maka bermulalah baris-baris bicaraku sebagai seorang pembentang kertas kerja.

     Aku uar-uarkan tentang sejarah pendidikan Bahasa Melayu. Aku ingatkan betapa mustahaknya asas sejarah bahasa nusa ditelusuri dan dihayati tanpa curiga. Aku perihalkan Laporan Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960), Dasar Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidkan Negara, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, MBMMBI, dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Malah, pernah saya tegaskan bahawa Bahasa Melayu sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan gagasan bahasa merentas kurikulum dan meningkatkan aktiviti budaya ilmu melalui budaya membaca, budaya belajar, budaya berkarya dan budaya bermusyawarah.

        Pada petang itu, dapat kukongsi bersama dengan audiens tentang strategi pengajaran pemelajaran Bahasa Melayu, yakni melalui teknik pedagogi penggabungjalinan, penyerapan dan kemahiran berfikir. Maka, teringat akan diri aku tentang Model Swartz dan Parks (1993), Model KWHL (Knowledge, What, How, Learnt), Model de Bono, Model PILTS (Programmed Instruction in the Learning of Thinking Skills) di samping pemikiran kreatif, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kewibawaan membuat keputusan.

          “Jadi, kenapa perkembangan Bahasa Melayu akhir-akhir ini dilihat seperti terbantut?” soalan provokasi daripada audiens.

          “Mutakhir, perkembangan Bahasa Melayu terganggu  dek lima masalah utama, yakni masalah Dasar Bahasa, masalah pelaksanaan, masalah linguistik, masalah penggunaan Bahasa Melayu dan cabaran-cabaran yang membelenggunya!”

          “Sila jelaskan, Tuan Munsyi!”

        “Masalah Dasar Bahasa dapat dilihat daripada dua sudut. Pertama, tafsiran yang salah dan cauvinistik terhadap Dasar Bahasa. Kedua, kesan daripada peruntukan tertentu tentang Bahasa Melayu dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Akibatnya, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi itu dianggap oleh golongan yang berkepentingan sebagai mengancam pertumbuhan bahasa-bahasa lain!”

          Audiens di dalam Auditorium IAB masih setia mahu mendengar biarpun, kelihatan, seorang dua terlalu asyik dengan iPad atau iPhone terkini mereka. Barangkali Smart Phone Samsung Galaxy S III.

        “Dari segi, pelaksanaannya pula, Bahasa Melayu kehilangan tempat dan peranan dalam upacara dan majlis rasmi selain beberapa aspek sistem ejaan yang kurang selaras. Masalah linguistik yang lebih besar ialah dalam hal peristilahan dan tatabahasa. Selain itu, penggunaan Bahasa Melayu lisan masih tercemar. Bahasa Melayu sering diungkapkan berselang seli dengan kata-kata Inggeris dalam media elektronik melalui drama, rancangan hiburan, dan kenyataan pemimpin tertentu bak kata peribahasa sekerat ular, sekerat belut.”

Aku menghela nafas panjang. Barangkali suhu di Tanah Tinggi Genting belum cukup serasi dengan tahap kesihatanku. Ringkasnya, usiaku pada pertengahan lima puluhan sudah mula menampakkan ciri-ciri ketidakupayaan. Barangkali, ketuaan dan keuzuran kian membelengguiku. Orang tua berdarah muda. Muda oleh sebab mahu dan bercita-cita besar untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Sesungguhnya, mahu aku melihat Bahasa Melayu dipertuturkan oleh segenap lapisan rakyat. Rakyat di kota, rakyat di desa. Rakyat bergelar marhaen, rakyat bergelar bangsawan! Bukankah Bahasa Melayu, milik kita bersama?

Demikianlah cita-cita dan impian aku selagi hayat dikandung badan. Aku amat pasti, yang hadir muzakarah kali ini adalah kelompok insan yang istimewa dan berhati waja. Di pundak merekalah terpikul akan tugas dan tanggungjawab untuk mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan bahasa Melayu di sarwajagat ini!

“Tuntasnya, perjuangan Dong Jiao Zong dan kurangnya penghayatan penjawat awam dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi yang masih tidak mengutamakan bahasa Melayu merupakan antara kekangan yang menghantui kita pada hari ini!”

Benar kata-kata bijak pandai tentang Bahasa Melayu. Mengapa pada saat bahasa Melayu telah berjaya, maka kita mula berasa sangsi dan bersikap biadab terhadap bahasa kebangsaan?

Lupakah kita akan roh atau semangat Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan? Biarkan. Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya? Yang jelas, bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Biarkan. Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya? Yang pasti, bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan, semestinya mempunyai nilai kesamaan dalam mewujudkan rasa kepunyaan, bahasa pemersatu dan penyuluh jati diri modal insan dan negara bangsa yang harmoni, muhibah dan bersatu padu. Biarkan. Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya!

Sudah terang lagi bersuluh, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu di IPTA (1983) berkeupayaan bukan sahaja sebagai lingua franca, wadah penyampai maklumat, komunikasi, mewujudkan perhubungan dan persefahaman, bahasa perantara, mampu membina pemikiran, emosi dan kerohanian dalam semua bidang, sama ada bidang ilmu yang kita ikuti daripada sumber luar ataupun ilmu yang tercetus asli melalui kepakaran bangsa kita sendiri bahkan juga merupakan sarana budaya tinggi, ilmu sains dan teknologi pada alaf globalisasi dan dunia tanpa sempadan mutakhir.

          “Jadi, Munsyi Chai?”
          “Jadi, apa saudara munsyiku?”
     “Tugas dan tanggungjawab siapa sebenarnya apabila kita membicarakan usaha pemartabatan dan pemerkasaan Bahasa Melayu di negara yang tercinta ini?”

        “Tanggungjawab semua pihak, termasuklah ibu bapa, sekolah, IPTA atau IPTS, media massa arus perdana, DBP, ITBM, Kementerian Penerangan, Kementerian Pelajaran, badan-badan bukan kerajaan, PBT, pihak swasta, dan persatuan penulis di seluruh negara. Yang pentng, di pundak setiap munsyilah terletak amanah, tugas dan tanggungjawab untuk menyebarluaskan bahasa Melayu di seluruh pelosok tanah air, sama ada di kota atau di desa terpencil tanpa mengira latar belakang, stratifikasi sosial, ras dan agama! Sesungguhnya, bahasa Melayu milik bersama masyarakat Malaysia!”

Kertas-kertas kerja seterusnya dibentangkan oleh para pemakalah yang terpilih. Ada kertas kerja Profesor Emeritus. Ada kertas kerja Prof. Madya. Ada kertas kerja ilmuwan cemerlang. Ada kertas kerja budayawan yang terbilang. Ada kertas kerja bahasawan yang gemilang. Ada kertas kerja munsyi yang arif budiman.

Selain pembentangan kertas-kertas kerja, diadakan juga forum dan dialog sepanjang empat hari tiga malam di Tanah Tinggi Genting. Maklumat forum dan dialog dikumpulkan untuk dibincangkan dan diperhalus sebelum dijadikan resolusi Muzakarah Munsyi Dewan Malaysia. Yang pasti, beberapa perkara dalam resolusi muzakarah akan dimurnikan sebelum diwartakan untuk diserahkan kepada pihak yang berwajib demi kelangsungan dan kelestarian martabat dan daulat bahasa dan susastera tanah air.

Pagi kian melewati tengah hari. Petang mula datang menjelajahi daerah malam. Malam bertukar siang. Demikianlah lumrah alam. Masa tetap akan meninggalkan sang pengungsi di alam yang fana ini. Namun, selagi nadi masih berdenyut, selagi itulah perjuangan para munsyi masih belum selesai. Tugas setiap munsyi tidak terhenti atau bernoktah di IAB, Tanah Tinggi Genting. Sebenarnya, tugas setiap munsyi akan bermula sekembalinya mereka ke pangkuan daerah dan wilayah masing-masing.

III
Aku

“Hidup Bahasa!”
“Hidup Susastera!”
“Bahasa Jiwa Bangsa”
“Pupus Bahasa, Pupuslah Bangsa!”

Kata-kata hikmat bagaikan terngiang-ngiang dan bermain-main di kotak mindaku. Aku teringat akan kata-kata hikmat Allahyarham Za’ba, Pendeta Bahasa tersohor tanah air. Terbayang-bayang juga aku akan slogan Pak Asraf, pejuang bahasa dan pelopor ASAS 50 yang kental dan cekal.

Sesungguhnya, misi perjuangan bahasa ialah soal identiti, maruah dan usaha yang masih belum selesai.  Bahasa kebangsaan bercitra  Malaysia untuk kelestarian bangsa Malaysia. Perlu kita lakar peta jalan Bahasa Melayu bersama-sama ibarat gunung sama didaki, lurah sama dituruni, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, hati gajah sama dilapah, hati kuman (tungau) sama dicecah.

Sikap sambalewa atau acuh tak acuh akan Bahasa Melayu perlu dikikis sejujurnya bak kata peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Dasar Pelajaran Kebangsaan dan pelbagai proses transformasi merupakan kesinambungan daripada rentetan perjuangan besar membina negara yang berdaulat dan membentuk bangsa yang berdarjat.

“Amanah, tugas dan tanggungjawab siapa sebenarnya?” suara-suara nakal monolog di alam fatamorgana kian menggugah iltizam minda dan azamku.

“Aku?”
“Kau?”
“Kita?”
“Kalau bukan kita, siapa?”

Monolog itu diam seketika.

          “Mahu kita perjuangkan, bermula dari mana, Tuan Munsyi?”
          “Desa?”
          “Kota?”

          “Mahu kita martabatkan, bermula daripada siapa, Tuan Munsyi?”
          “Golongan marhaen?”
          “Golongan elit?”
          “Golongan umarak?”

          “Mahu kita perkasakan, bermula daripada apa, Tuan Munsyi?”
          “Usaha?”
          “Azam?”
          “Impian?”

          “Mari kita mulakan dengan sejarahnya. Akarnya, akar bahasa! Ayuh!”

Akar Bahasa

Akar warga bangsa, bahasa
Akar budaya bangsa, bahasa
Akar jati diri bangsa, bahasa
Akar modal insan, bahasa
Akar pendidikan, bahasa
Akar kemajuan, bahasa
Akar kecemerlangan wawasan, bahasa
Akar kegemilangan gagasan, bahasa
Akar nusa bangsa, bahasa
Bahasa jiwa bangsa!
         
Marilah kita sama-sama bermuhasabah, membulatkan tekad dan membetulkan iktikad untuk memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai lingua franca pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran dalam kehidupan. Jadikan Bahasa Melayu bahasa lokal, bahasa glokal dan bahasa global.

Selepas makan tengah hari, para munsyi mula berangkat pulang. Barangkali pulang mereka kali ini memikul amanat, semangat dan azam nan jitu. Semangat dan azam nan jitu, iaitu memartabatkan dan mendaulatkan Bahasa Melayu di buana tanah air yang tercinta.

Mobil Kelisa AEU 5164 beransur-ansur menuruni setiap lurah, ranah dan bukit di Tanah Tinggi Genting. Sayonara Institut Aminuddin Baki, Tanah Tinggi Genting. Salam 1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara.

No comments: