Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, November 17, 2012

Kaedah Penilaian PBS - Modul Pengajaran Morfologi BM



Kaedah Penilaian dalam Transformasi Pendidikan menurut Tahap Band dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

Pendahuluan

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)  bermula di Tingkatan Satu Sekolah Menengah di seluruh negara pada tahun 2012. PBS akan menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014. Dalam mata pelajaran bahasa Melayu, PBS menjadi wahana penting kepada guru untuk melahirkan murid yang dapat menguasai kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Guru juga berperanan sebagai pendidik, pembimbing, pemudah cara dan penilai dalam konteks Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Oleh itu, makalah ini bertujuan untuk memberikan sedikit banyak pandangan dan ilham kepada para guru bahasa Melayu dalam melaksanakan dan menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan PBS di dalam bilik darjah.

Modul

Modul pengajaran dan pembelajaran morfologi bahasa Melayu - Kata Nama Am dan Kata Nama Khas kepada murid-murid Tingkatan 1 Meekness, SMK Methodist, Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

Band 1

Guru memperkenalkan Kata Nama, iaitu Kata Nama Am dan Kata Nama Khas. Tahap ini merupakan tahap pencapaian tahu, iaitu tahap paling rendah dalam standard prestasi PBS.

Contoh Kata Nama Am:
Meja, beg, buku, pensel dan kasut.

Contoh Kata Nama Khas:
Ali, Tanjong Malim, Pak cik Chong, Kedai Runcit Mutu, dan Restoran KFC.

Evidens:
Murid dapat mengenal pasti Kata Nama Am dan Kata Nama Khas.

Band 2

Guru mengarahkan murid-murid melengkapkan 10 ayat menggunakan Kata Nama Am dan Kata Nama Khas. Kemudian, murid-murid diminta membaca ayat-ayat tersebut dengan sebutan dan intonasi yang betul. Latihan ini menunjukkan murid-murid tahu dan faham melengkapkan ayat dengan Kata Nama Am dan Kata Nama Khas.
Contoh Latihan dan Evidens:

Meja, Pak cik Chong, Restoran KFC, sahabat, Jalan Chong Ah Peng, kakak, Hang Tuah, telefon, sekolah, Malaysia

1.           Pak cik Chong membeli beberapa cucuk sate ayam di pasar malam.
2.           Meja tulis saya besar.
3.           Saya dan Mutu sedang berbual-bual di Restoran KFC .
4.           Ahmad, sahabat karib Rama.
5.           Suatu kemalangan telah berlaku di Jalan Chong Ah Peng.
6.           Telefon itu telefon canggih.
7.           Hang Tuah, pahlawan agung Melaka.
8.           Malaysia memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
9.           Sekolah itu alma mater saya.
10.        Gadis gemuk itu kakak Ranjit Singh.

Band 3

Guru memberikan suatu petikan, sama ada petikan akhbar, petikan makalah atau seperenggan cerpen/novel.

Band 3 merupakan tahap pencapaian yang menunjukkan murid tahu, faham dan boleh buat. Murid diberi masa untuk membaca keseluruhan sampel petikan yang diberikan.

Guru memberikan latihan kepada murid-murid untuk mengenal pasti dan menyenaraikan Kata Nama Am dan Kata Nama Khas dalam petikan yang diberikan.

Contoh Petikan Akhbar:

Dalam program santai di sebuah kopitiam di Bangsar, Perdana Menteri berbual dan mendengar dengan tekun pandangan serta soalan yang dikemukakan oleh sekumpulan pemimpin belia.

                                                (Berita Harian, 15 November 2012)

Senaraikan:
KN Am – program, kopitiam, pandangan, soalan, pemimpin, belia.
KN Khas – Bangsar, Perdana Menteri.
Contoh Petikan Makalah:

Republik Rakyat China, misalnya, bakal menjadi kuasa ekonomi Asia ibarat telah bersedia mencapai taraf negara maju, seperti negara Barat apabila bahasa rasmi, iaitu penggunaan bahasa Mandarin benar-benar dibudayakan dalam semua lapangan kehidupan.
                                 (Pelita Bahasa, September 2012, Halaman 45)

Senaraikan:
KN Am – ekonomi, negara, bahasa, lapangan, kehidupan
KN Khas – Republik Rakyat China, Asia, Mandarin

Contoh Seperenggan Cerpen/Novel:

Safura menginsafi dirinya. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa Amri tersepit antara kasih seorang ibu dan kekejaman seorang bapa.                                        
                                   (Novel Tingkatan 1, HIKMAH, Halaman 50)

Senaraikan:
KN Am – diri, dia, kasih, ibu, kekejaman, bapa
KN Khas – Safura, Amri

Band 4

Murid diberi tugasan untuk menunjukkan mereka boleh menguasai tahap tahu, faham dan boleh buat dengan beradab.

“Beradab” bermaksud boleh bertutur dan menulis berita, rencana atau seperenggan cerpen dengan menggunakan bahasa yang sopan dan bertatasusila.

Murid diminta menghasilkan karangan pendek (seperenggan berita, rencana atau cerpen) menggunakan Kata Nama Am dan Kata Nama Khas. Hasil karya disampaikan oleh murid di dalam kelas.

Contoh Berita:

Teluk Intan, 14 November 2012 – Dua jiran bergaduh sehingga seorang daripadanya cedera di depan stesen minyak di Simpang Empat, dekat sini, malam kelmarin, hanya kerana buah rambutan. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata pergaduhan tercetus apabila mangsa meminta kebenaran jirannya yang juga suspek untuk mengambil buah rambutan milik suspek berusia 22 tahun.
                                             (Berita Harian, 15 November 2012)

KN Am – jiran, stesen, minyak, malam, kebenaran, suspek
KN Khas – Simpang Empat, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang

Contoh Rencana:

Selama 55 tahun kita hidup bernegara di bawah satu bumbung bernama Malaysia, memang tidak dapat dinafikan sumbangan penulis bukan Melayu berserta karya mereka khususnya golongan muda kepada perkembangan sastera tanah air. Manifestasi program Bulan Bahasa Kebangsaan dan kempen Cintailah Bahasa Kita yang bermula pada awal 1960-an telah melahirkan banyak pengkarya bukan Melayu pada dekad 1980-an dan 1990-an. Penganjuran program pemupukan sastera pada peringkat sekolah khususnya bagi golongan remaja seperti Minggu Penulis Remaja dan Perkampungan Bahasa dan Sastera di seluruh negara berjaya menarik penyertaan penulis muda bukan Melayu.
                                                   (Tunas Cipta, Oktober 2012)

KN Am – tahun, bumbung, karya, sastera, pengkarya, dekad, program, sekolah, remaja, negara
KN Khas – Malaysia, Melayu, Bulan Bahasa Kebangsaan, Cintailah Bahasa Kita, Minggu Penulis Remaja, Perkampungan Bahasa dan Sastera

Contoh Cerpen:

“Ke mana perginya kawan-kawan kita yang lain, Montel?” sayu sekali suara anak itu. Matanya meliar memerhati sekeliling. Dia terasa sesuatu yang semakin sirna daripada kehidupan rimba ini. Hanya sesekali bunyi lolongan memecah sepi. Tetapi dia yakin, itu bukan suara Manja. Bukan juga suara Kasih. Bukan juga suara Cinta. Bukan. Barang kali bunyi ungka mencari teman-temannya berkeliaran entah ke mana.

(Cerpen “Biarkan Mergastua Terus Berbicara, Mohd. Hashim Osman – Pelita Bahasa, Oktober 2012)

KN Am – kawan-kawan, anak, mata, rimba, bunyi, suara, ungka
KN Khas – Montel, Manja, Kasih, Cinta

Band 5

Band 5 merupakan tahap tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji. Hal ini bermaksud murid dapat menyampaikan hujah dengan menggunakan format atau langkah-langkah yang betul. Murid diminta memberikan pendapat tentang karya yang telah dihasilkan dan mampu menjawab soalan pendapat berdasarkan bahan wacana yang telah dihasilkan.

Berita:

Teluk Intan, 14 November 2012 – Dua jiran bergaduh sehingga seorang daripadanya cedera di depan stesen minyak di Simpang Empat, dekat sini, malam kelmarin, hanya kerana buah rambutan. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata pergaduhan tercetus apabila mangsa meminta kebenaran jirannya yang juga suspek untuk mengambil buah rambutan milik suspek berusia 22 tahun.

                                             (Berita Harian, 15 November 2012)

Ulasan Berita:

Berita mengenai pergaduhan antara dua orang jiran disebabkan buah rambutan. Pergaduhan tersebut telah menyebabkan seorang daripadanya cedera. Kes dalam siasatan pihak polis.
Rencana:

Selama 55 tahun kita hidup bernegara di bawah satu bumbung bernama Malaysia, memang tidak dapat dinafikan sumbangan penulis bukan Melayu berserta karya mereka khususnya golongan muda kepada perkembangan sastera tanah air. Manifestasi program Bulan Bahasa Kebangsaan dan kempen Cintailah Bahasa Kita yang bermula pada awal 1960-an telah melahirkan banyak pengkarya bukan Melayu pada dekad 1980-an dan 1990-an. Penganjuran program pemupukan sastera pada peringkat sekolah khususnya bagi golongan remaja seperti Minggu Penulis Remaja dan Perkampungan Bahasa dan Sastera di seluruh negara berjaya menarik penyertaan penulis muda bukan Melayu.

                                                  (Tunas Cipta, Oktober 2012)

Ulasan Rencana:

Dunia bahasa dan kesusasteraan bahasa Melayu amat memerlukan penglibatan penulis-penulis muda bukan Melayu. Pelbagai usaha dan program telah dianjurkan oleh pihak yang berwajib untuk memperbanyak bilangan penulis muda bukan Melayu di negara kita.


Contoh Cerpen:

“Ke mana perginya kawan-kawan kita yang lain, Montel?” sayu sekali suara anak itu. Matanya meliar memerhati sekeliling. Dia terasa sesuatu yang semakin sirna daripada kehidupan rimba ini. Hanya sesekali bunyi lolongan memecah sepi. Tetapi dia yakin, itu bukan suara Manja. Bukan juga suara Kasih. Bukan juga suara Cinta. Bukan. Barang kali bunyi ungka mencari teman-temannya berkeliaran entah ke mana.

(Cerpen “Biarkan Mergastua Terus Berbicara, Mohd. Hashim Osman – Pelita Bahasa, Oktober 2012)
Ulasan Cerpen:

Montel ditanya tentang kawan-kawannya yang lain. Kedengaran lolongan. Dia amat yakin bahawa suara itu bukan suara Manja, Kasih atau Cinta. Pada tanggapannya, suara itu bunyi ungka mencari teman-temannya.

Band 6

Band 6 merupakan tahap tertinggi dalam standard prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu. Murid menguasai tahap pencapaian tahu, faham, dan boleh buat dengan beradab mithali.

Secara ringkas, murid dapat menghayati, mengulas dan membuat apresiasi karya yang dihasilkan atau dibaca. Murid dapat membentangkan ulasan dan pendapatnya dalam bentuk lisan atau penulisan seperti ceramah atau pembentangan.

Dengan menggunakan Kata Nama Am dan Kata Nama Khas yang telah disenaraikan oleh guru atau kumpulan masing-masing, murid diminta berbincang, mengarang, menghasilkan  dan mendeklamasikan sebuah sajak dengan bimbingan dan tunjuk ajar guru di dalam bilik darjah.

KN Am
– warkah, langit, bumi, etnik, peluru, bom, ceritera, tanah, sandiwara, bumi, nisan, penjara
KN Khas – Rohingya, Arakan, Myanmar, Rakhine
Hasil dan deklamasikan sajak:

Warkah buat Rohingya
Rohingya
masih hitam, langitmu
Arakan
masih merah, bumimu
Myanmar
ditindas, etnikmu
dibelenggu, merdekamu
dek konflik Rakhine

antara desingan peluru
dan ledakan bom
ada ceritera
pembunuhan
penganiayaan
berkampung di tanahmu
ada sandiwara
kebuluran
kematian
berkhemah di bumimu

Rohingya
kemanusiaan
kian berkubur tanpa nisan
kebebasan
kian berkurung tanpa penjara!

Chai Loon Guan
(Pertama kali dideklamasikan bersempena dengan Program Malam Gema Puisi Rohingya di Dewan Kolej Ungku Omar, UPSI, Tg. Malim)

Evidens:
Skrip sajak Warkah buat Rohingya.

Kesimpulan

PBS memberikan ruang untuk guru mendidik dan menyampaikan ilmu mengikut tahap kemampuan kognitif dan keupayaan literasi murid-murid. Murid-murid pula diberi peluang yang selesa untuk menimba ilmu dan kemahiran mengikut tahap kebolehan dan kemampuan masing-masing tanpa dibelenggu sukatan pelajaran yang terlalu jumud. 

Yang penting, prestasi murid dinilai sama ada band rendah, band sederhana ataupun band tertinggi (Band 1 – Band 6) berdasarkan rekod, pemerhatian, evidens dan instrumen atau alat yang telus.

Encik Chai Loon Guan, GC BM dan Munsyi Dewan (Bahasa), SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

No comments: