Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, November 9, 2012

Majlis Persaraan - Pn. Rusni bt. Ismail



DIRGAHAYU GURUKU PN. RUSNI BT. ISMAIL

          Pn. Rusni bt. Ismail diputerikan di Lenggong, Perak Darul Ridzuan pada 20 November 1954. Beliau, anak sulung daripada empat orang adik-beradik kepada sebuah keluarga perajurit yang banyak berjasa kepada bangsa dan negara.

          Setelah menerima pendidikan sekolah rendah, Pn. Rusni bt. Ismail meneruskan pengajian menengah di SM Kampung Baru, Kuala Lumpur pada tahun 1971 sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur pada 1976 – 1977. Beliau meneruskan pelajaran perguruan di Maktab Perguruan Kinta, Ipoh (1989 – Sijil KDP Bimbingan dan Kaunseling), Sijil Perguruan Khas, Bimbingan dan Kaunseling di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur (1990) sebelum menjejaki ilmu Diploma Keguruan Bimbingan dan Kaunseling di Institut Perguruan Sultan Idris, Tg. Malim (1993) dan Sarjana Muda Kepujian Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling di Institut Keguruan Ilmu Pendidikan Bandung, Indonesia (1996).

          Karier perguruan Pn. Rusni bt. Ismail bermula apabila beliau dihantar bertugas di SMJK Katholik, Tanjong Malim (1978 – 1994), SMK Khir Johari, Tg. Malim (September 1996 – Mac 1997) dan SMK Methodist, Tg. Malim (April 1997 hingga 20 November 2012). Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Encik Zainuddin bin Jamil dan dikurniai tiga orang cahayamata, iaitu seorang putera dan dua orang puteri.

          Sepanjang 35 tahun kerjaya dalam bidang perguruan dan keguruan, Pn. Rusni bt. Ismail telah berjaya mengungguli beberapa banyak anugerah. Antara lain, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2002, 2004 dan 2010 di samping Penghargaan Khas Hari Guru 2008, Anugerah Alumni Sahabat Petronas 2009, Anugerah Khas Pembinaan Modul Program Bersepadu Pembangunan Pelajar Asrama (2001), Ahli Panel Penggubal Buku Panduan Pengurusan dan Pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling SM Negeri Perak serta Pembinaan Modul Wajanita Pendidikan Pencegahan Dadah Negeri Perak 2010.

Di sekolah, beliau seorang guru kaunseling sepenuh masa mulai 1996, Ex-officio Majlis Pengurusan Sekolah, dan Bendahari PIBG, SMK Methodist, Tg. Malim sejak 1997. Di peringkat daerah dan negeri pula, beliau seorang Jurulatih Utama Pendidikan Pencegahan Dadah Daerah dan Negeri Perak, Jurulatih Utama Program Bimbingan dan Kaunseling Daerah dan Negeri Perak serta Fasilitator, Moderator, dan Penceramah Program Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Daerah dan Negeri Perak. Dari segi kebajikan dan komuniti luar pula, Pn. Rusni bt. Ismail turut dilantik sebagai AJK Pusat Perlindungan Kanak-kanak (PPKK) Tanjong Malim.

          Sesungguhnya, beliau amat berpuas hati dalam kerjaya sebagai guru dan guru kaunseling. Yang jelas, beliau telah mencurah jasa bakti dan menabur budi selama 35 tahun di buana ilmu pendidikan, perguruan dan keguruan. Kini, tibalah detik dan saatnya, pada hari ini, maka bersaralah seorang guru yang cukup dedikasi, berhemah tinggi, dan bertanggungjawab kepada anak-anak bangsa dan tanah pusaka. Dirgahayu, Pn. Rusni bt. Ismail! – Terima kasih, selamat bersara dan selamat maju jaya dalam buana persaraan yang membahagiakan diri dan keluarga yang tercinta!

Teks - En.Chai Loon Guan 
(Pertama kali disampaikan di atas pentas Goodwill MES pada 9 November 2012) 




No comments: