Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, November 19, 2012

Cerpen - Pawang Ana, Munsyi dan Mimpi YB



Cerpen “Pawang Ana, Munsyi dan Mimpi YB”
oleh Chai Loon Guan, GC dan Munsyi Dewan (Bahasa).

I
Pawang Ana
Telefon Nokia 3120 Klasikku berbunyi. Ada pesanan ringkas daripada seorang sahabat. Penulis dan penggiat persatuan karyawan. Ajak keluar minum sambil berbicara tentang bahasa dan susastera BM mutakhir.

Easycafe mengalu-alukan kedatangan kami. Kami duduk di suatu penjuru. Tempatnya selesa dan kondusif.

“Makan?”

“Minum sahaja,” ujarku ringkas.

Chicken Chop, black pepper, satu. Ice lemon tea, dua!” gadis pelayan, hitam manis mengulangi pesanan kami.

“Iya, terima kasih!” jawab Din.

“Ada karya terbaharu? Sajak? Cerpen?”

Diam seketika. Pelanggan keluar masuk restoran tersebut. Rata-rata generasi muda. Yang pasti, turut dibawa bersama mereka, gajet telekomunikasi canggih terkini, IPhone atau IPad.

Barangkali sambil bertemu janji, mereka bisa melayari Facebook, Blogspot, Google Plus, Twitter atau menge-melkan sesuatu. Kemudahan jalur lebar di restoran itu digunakan semaksimum mungkin. Adat dunia, lebih-lebih lagi percuma disediakan oleh tauke restoran.

“Kau, projek terbaharu?” tanyaku kembali.

“Penyelaras Seminar Rao. Penyelenggara antologi Puisi dan Cerpen Pawang Ana!” balas Din.

“Hebat! Seminar, bila?

“Hujung bulan ini. Seminar anjuran bersama UPSI, DBP dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Lapang? Jika lapang, jemput hadir sekali, Adi!” ajak Din.

“Mana?”

“Kampung Gali, Raub, Pahang Darul Makmur!”

Aku geleng-gelengkan kepala. Tidak. Kesibukan asyik membelenggui aku akhir-akhir ini.  Kerja musim cuti persekolahan akhir tahun yang perlu ditangani. Hal keluarga. Hal saudara. Kenduri perkahwinan. Ada deklamasi sajak bersempena dengan Malam Gema Puisi Rohingya. Ada muzakarah. Muzakarah Munsyi di Tanah Tinggi Genting. Aku, pembentang kertas kerja.

“Kalau kurang sibuk nanti, buatkan satu dua sajak atau cerpen tentang Pawang Ana!” pintanya lagi.

“Pawang Ana?”

“Iya, tokoh penglipur lara Rao!”

“Kena buat telaahan dulu, Din!”

“Ada kertas kerjanya. Boleh juga merujuk kepada Wikipedia.”

“E-melkan, kertas kerja! Boleh aku garap puisinya nanti. Barangkali, siap cerpennya sekali. Baik, jumpa lagi. Terima kasih. Salam puisi, sahabat!”

Kami bersalaman. Aku terpaksa beransur. Urusan diri yang masih belum selesai. Urusan kehidupan.

Biarpun, kerja tetapku, munsyi di alma materku, MES Tg. Jambu, namun banyak waktu senggang, telah kulangsaikan dengan kerja-kerja penulisan. Sajak, makalah bahasa dan sesekali cerpen. Sebagai GC, pernah juga dilantik pemudah cara bahasa dan susastera BM di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Biasanya, makalah bahasa untuk Pelita Bahasa atau Tunas Cipta. Sesekali, baris-baris sajakku menghiasi dada akhbar perdana, BH, MM atau majalah Dewan Sastera. Syukur, bakat sekelumit kurniaan-Nya dapat kugunakan untuk kelangsungan bahasa dan susastera BM di tanah air yang tercinta.

Hujan semalaman menghadirkan udara dingin. Hening semalaman. Dingin udara menggigit sum-sum tulangku. Aku kesejukan. Lantas, ke dapur aku, untuk dibancuh segelas kopi OldTown White Coffee 3 in 1 Classic. Isteri dan anak bongsuku, WXing sudah lama dibuai mimpi-mimpi indah, barangkali.

Isteriku, suri rumah. Suri rumah sepenuh masa. Dialah orang rumahku. Dialah tukang masakku. Dialah pemudah caraku. Dialah sumber ilhamku ketika melayari bahtera di lautan kehidupan.

Anak sulung, WZhuang di IPTS. Masih menuntut dalam bidang pengurusan dan perhotelan. Yang kedua, WShen, pelajar IPGM. Seni lukis bidang kegemarannya. Di situlah, bakat dan minat seninya diolah saban hari. Syukur, bakal guru seni lukis lulusan ijazah. WXing, anak bongsu. Masih bersekolah menengah. Tahun depan, calon PMR.

Selepas ini, barangkali tiada PMR. PMR diganti dengan PBS. PBS? Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Sebagai bapa, PMR menjadi pilihan. Kemenjadian murid boleh dipupuk. Modal insan boleh dilahirkan melalui pelbagai usaha.

Pokok pangkalnya, peranan ibu bapa. Kemudian, peranan guru. Guru dedikasi dan beriltizam. Guru adil, berilmu dan penyayang.  Masyarakat dan umarak yang sihat, prihatin, berakhlak dan berwawasan saling membantu. Prasyarat, negara aman, makmur dan bebas daripada bala bencana.

Syukur. Tuhan telah mengurniaiku, tiga orang putera, penyambung waris dan keturunanku di alam fana yang serba mencabar dan menduga ini. Syukur kepada-Nya kerana menghadiahiku kesihatan. Kesihatan yang membolehkan aku, musafir dalam pengembaraan yang panjang. Kata orang, kesihatan itu kekayaan. Kesihatan itu kebahagiaan. Harus berwaspada kita. Harus berjaga-jaga kita. Yang jelas, penyakit umpama datang tiada dijemput, dihalau dia berpaut, salah hemat kita diangkut.

Bertemankan lampu di meja baca dan hujan yang kian menggila, tiba-tiba ilham datang bertandang di buana karyaku. Dapat kucoretkan aksara demi aksara. Aksara menjadi kata. Kata menjadi frasa dan klausa. Maka, lahirlah sebuah sajak. Sajak yang bakal diantologikan sebagai khazanah untuk rujukan anak-anak bangsa. Bersyukur aku kepada-Nya.

PAWANG ANA

Dialah, dukun
Dialah, pendekar
Dialah, penglipur lara
Dialah, kata R.O. Winstedt
Pawang Ana
Dari Perang Paderi, Rao
Sumatera Barat
Berhijrah ke Kampung Pulai, Gopeng
Sebelum menetap di Temoh
Lewat 1850-an

Dialah, dukun
Dialah, pendekar
Dialah, penglipur lara
Dialah, kata A.J. Sturrock
Penyair syair
Dialah, kata Raja Haji Yahya bin Muhammad Ali
Penyair gurindam Rao
Maka, berceritalah Pawang Ana
Menyebarluaskan ceritera rakyat

·        Hikayat Raja Muda
·        Hikayat Malim Deman
·        Hikayat Malim Dewa
·        Hikayat Anggun Cik Tunggal
·        Hikayat Awang Sulung Merah Muda

Weltanschauung bahasa susastera
Di alam Melayu nusantara

Dialah, dukun
Dialah, pendekar
Dialah, penglipur lara
Dialah, kata Mir Hassan
Kampung Batu Masjid, Temoh dinamakan
Selepas pembukaan Lebai Tenggam
Dialah, kata R.O. Winstedt
Sungai Perak menjadi saksi
Mayat JWW Birch, Residen Inggeris
Ditemukan

Dialah, dukun
Dialah, pendekar
Dialah, penglipur lara
Dialah, tokoh
Pawang Ana
Dialah, seniman bangsa
Pawang Ana
Dialah, penyair tanah air!

Dinihari.
Sepasang mata kian berat. Terlena aku, di kamar tidur sebuah rumah usang peninggalan nenek moyang di sebuah pekan yang bernama Tanjong Jambu.

II
Munsyi

 “Kau, biar betul, Ah Ti!” tegur kakak sulungku pada suatu malam selepas makan malam bersama-sama keluarga terdekat. Ah Ti, nama timbanganku.

“Kenapa dengan Ah Ti?” soal Abang Ngahku, seorang peniaga di Bandar AS, Negeri Jelapang Padi, Utara Semenanjung.

“Ah Ti, ingin bersara!”

“Bersara? Biar benar?”

“Pembetulan. Bersara pilihan!”

“Bukankah telah kaumohon untuk melanjutkan usia persaraan? Tak jadi, 60 tahun?” tanya Abang Ngah lagi.

“Benar, Abang Ngah. Mutakhir, timbul ilham baharu!” jawab isteriku ringkas tetapi padat.

“Ilham baharu? Tak faham saya!”

Aku masih membisu seribu bahasa. Sesekali, seronok juga mendengar bual bicara adik-beradik berhubung dengan hasrat asalku. Bersara pilihan. Bayangkan, baru ura-ura bersara pilihan. Belum lagi, kalau dihasratkan untuk melepaskan jawatan atau meletakkan jawatan!

Dalam keluarga, kami sering diajak berbincang. Sesekali berdarmawisata kami ke tempat-tempat yang menarik, sama ada di dalam negara atau di luar negara. Bukannya apa, bermuzakarah dan bermuhasabah diri dapat mengeratkan silaturahim keluarga.

Mendiang ibu dan bapaku sering berpesan, hubungan silaturahim dan kekeluargaan perlu dijalin bak kata air dicincang tiada putus. Yang jauh didekatkan, yang dekat diakrabkan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sesungguhnya, benar kata orang tua-tua, muafakat membawa berkat. Hanya jauhari yang mengenal manikam.

“Dah lama mengajar. Tiga dekad lebih. Penat, cukup penat…nak berehat, Kak Kiew, Abang Ngah…” Jawaban aku memecah seribu persoalan.

“Dah fikir masak-masak? Harus kauingat, anak-anak masih belajar. Belum ada yang bekerja. Nanti, keluarga nak makan apa? Cukup belanja?” soal Kak Kiew bertubi-tubi. Sejak kematian ibu bapaku, Kak Kiewlah yang telah banyak menghulurkan bantuan.

“Pencen dan gratuiti!”

“Cukupkah untuk menampung ongkos bulanan keluarga?” usik Abang Ngah pula.

“Pertama sekali, pencen cuma 60 peratus gaji pokok. Gratuiti, barangkali tidak banyak. Jangan lupa, pinjaman perumahan, kereta, insurans, barangan dapur selain ongkos bulanan anak-anak!” hujah Kak Kiew semacam mahu menggugah pendirian asalku.

Barangkali, Kak Kiew mahu aku berfikir semula. Bermuhasabah diri agaknya. Lihat aspek baik dan buruknya sebelum bertindak. Elok juga buah fikiran mereka. Kesimpulannya, perlu aku fikir semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan muktamad. Jangan biarkan nasi menjadi bubur!

“Baru peringkat cadangan, Kak Kiew!”

Ruang tamu, diam seketika. Yang kedengaran, sayup-sayup suara laporan Karam Singh, tentang penerokaan haram hutan simpan di Tanah Tinggi Cameron.

“Lupakan dulu. Akan aku fikirkan semasak-masaknya nanti. Usah kalian risau. Yang penting, kebahagiaan dan kesejahteraan keluarga!” jawabku seolah-olah mahu mententeramkan keadaan.

“Jika jadi bersara pilihan, nak kerja apa pulak?” usik kakak iparku, Kak Yong.

“Nak jadi calon!”

“Calon?”

“Calon pilihan raya. Parlimen Tg. Jambu!” suara isteri kesayanganku memecah keheningan malam.

Nada macam protes halus. Sinis. Barangkali, dia tidak bersetuju. Barangkali, kalau diberi pilihan, orang rumah mahu aku bersara pilihan dan berehat. Jika boleh, jadi penulis sepenuh masa. Jadi penyair sepenuh masa. Jadi cerpenis sepenuh masa. Jadi novelis sepenuh masa. Bukan dunia politik, sebenarnya. Riak protes jelas tergambar pada wajahnya yang sudah menjangkau usia separuh abad.

Masih tersenyum aku tanpa meluahkan kata-kata.

Kak Kiew, Abang Ngah, kakak ipar dan anak bongsuku, WXing terpinga-pinga. Mereka terperanjat bagaikan dirasuk.

“Calon YB?”

“Calon YB Tg. Jambu!”

“Wakil parti? Parti Kelisa? Parti Inspira? Parti Wira? Parti Satria? Parti Exora? Parti Alza? Parti Perdana?” usik Kak Kiew.

“Wakil Bebas!” jawabku spontan.

“Kena rasuk adikku ini!” sindir Kak Kiew.

“Bukan kena rasuk, Kak. Nyanyuk, agaknya!” sambut Abang Ngah.

“Angan-angan Mat Jenin! Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya!” usik nakal, isteri kesayanganku.

Nampak gaya, riak protes sudah diterjemahkan dalam kata-kata. Yang jelas, sejuta persoalan bersarang di kalbu sukmanya.

III
Mimpi YB

Semalaman. Seharian. Hari berganti minggu. Minggu silih berganti bulan. Jadikah aku mengemukakan permohonan untuk bersara pilihan?

Aku perlu membuat keputusan segera. Bersara pilihan diperlukan untuk membolehkan aku menyusun langkah seterusnya. Bersara atau tidak? Jika tidak, hasrat mahu bertukar bidang kerjaya akan berkecai. Kenapa aku memilih bidang politik? Kenapa tidak aku memilih bidang yang diminati? Bidang yang sudah menjadi darah daging. Misalnya, bidang penulisan. Jadi karyawan. Jadi penulis. Jadi sasterawan.

Aku mahu bertanding dalam pilihan raya. Aku menawarkan diri sebagai calon. Calon YB Tg. Jambu! Peduli apa, aku! Kata madah pujangga Cina, seribu langkah masa depan, bermula dengan langkah pertama! Aduh, kata-kata itu semacam mahu menyindir aku! Layakkah, aku? Layakkah seorang munsyi di buana siasah tanah air?

Yang penting, aku perlu segera mengisi borang persaraan awal mengikut prosedur. Sebaik permohonan diluluskan, maka layaklah aku untuk bertanding. Mahu aku bertanding! Mahu aku jadi YB! YB Tanjong Jambu! Kenapa?

Pertama-tama,
Mahu aku jadi YB yang berakhlak.
Mahu aku jadi YB yang bersih, cekap, dan amanah.
Mahu aku jadi YB yang menepati janji.

Seterusnya,
Mahu aku berkhidmat kepada rakyat Tg.Jambu.
Mahu aku berbakti kepada rakyat Tg.Jambu.
Mahu aku memuhibahkan rakyat Tg.Jambu.
Mahu aku membangunkan modal insan Tg.Jambu.
Mahu aku menaiktarafkan prasarana Tg.Jambu.
Mahu aku memajukan Tg.Jambu.

Selain itu,
Mahu aku lihat Tg.Jambu sifar kemiskinan.
Mahu aku lihat Tg.Jambu sifar jenayah.
Mahu aku lihat Tg.Jambu sifar pengangguran.
Mahu aku lihat Tg.Jambu sifar rasuah.
Mahu aku lihat Tg.Jambu bersih dan ceria.
Mahu aku lihat Tg.Jambu jadi tumpuan wisatawan dunia.
Mahu aku lihat Tg.Jambu jadi kota buku.
Mahu aku lihat Tg.Jambu jadi kota ilmu.
Mahu aku lihat Tg.Jambu jadi kota perpaduan.
Mahu aku lihat Tg.Jambu jadi kota budaya 1Malaysia.
Mahu aku lihat Tg.Jambu jadi kota ICT dunia.
Mahu aku lihat Tg.Jambu jadi kota tamadun bangsa.
Mahu aku lihat Tg.Jambu jadi kota bahasa jiwa bangsa.

Intihanya,
Mahu aku, mahu aku, mahu aku…
Mahu aku jadi YB! YB Tg. Jambu!

“Bang!”
“Abah!”
Aku, YB Tg.Jambu!

“Bang oi Bang!!”
“Abah!!”
Aku, YB Tg.Jambu!!

“Bang oi Bang!!!”
“Abah!!!”
Aku, YB Tg.Jambu!!!

“Abang, dah pukul 6 pagi! Sekolah!”

“Abah, dah lewat ni! Periksa akhir tahun!”

“Apa? Sekolah? Periksa?”

Terbangun aku daripada mimpi yang cukup panjang semalaman. Terjaga aku daripada impian yang luar biasa semalaman. Terliur aku daripada angan-angan yang mahahebat semalaman.

Bermimpikah, aku? Mengigaukah, aku? Meracaukah, aku? Berasian burukkah, aku?

Bingkas. Bergegas aku ke bilik air. Gosok gigi. Tandas. Mandi. Sarapan, seperti biasa, secawan OldTown White Coffee 3 in 1 Classic dan sekeping dua roti berintikan seri kaya. Anak bongsuku, WXing sudah bersiap siaga untuk ke sekolah. Beg sekolah sudah siap digalas. Abah, jom ke sekolah!

6.45 pagi, selepas usai menghantar anakku ke sekolah – SMJK Katholik, Tg. Jambu, kereta Kelisa BMWku meluncur laju membelah dingin pagi ke halaman alma materku! Kembali aku, mahu menabur budi mencurah bakti ilmu kepada anak-anak didikku selagi hayat dikandung badan. Yang pasti, sekali bergelar guru, maka selama-lamanya menjadi cikgu!

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.
-      Usman Awang

Guru adalah batin suci hati nurani,
Penjunjung budi, manusia yang takwa,
Obor hemah kehidupan bangsa. 
-      A. Samad Said

(Sumber: Mingguan Malaysia - 25 November 2012)


 

No comments: