Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, November 13, 2012

Ceritera Bahasa - FRASA BM




Frasa “Klinik Kasut” dan “Doktor Cermin” menghiasi papan tanda kedai di Tg. Malim

Musim cuti persekolahan akhir tahun kembali lagi. Cuti kali ini memberikan ruang dan peluang kepada saya untuk memerhati papan tanda gerai, kedai dan pusat beli-belah di sekitar pekan Tanjong Malim. Sebagai makluman, nama Tanjong Malim berasal daripada Tanjong Mua’alim dan Tanjong Jambu.

Sambil menghirup secawan kopi dan mengunyah sekeping dua roti berintikan seri kaya di Kedai Kopi Abdullah, mata penulis tertarik akan dua frasa bahasa Melayu untuk dibicarakan dalam ruangan ini. Kedua-dua frasa bahasa Melayu tersebut telah dijadikan jenama papan tanda gerai atau kedai, iaitu “Klinik Kasut” dan “Doktor Cermin”.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), kosa kata “klinik” bermaksud tempat untuk memberikan diagnosis dan merawat pesakit luar manakala kosa kata “doktor” pula bererti orang yang berkelayakan (bertauliah) mengamalkan perubatan. Yang jelas, kedua-dua kosa kata tersebut merupakan kosa kata pinjaman bahasa Inggeris yang memperlihatkan makna yang saling berkaitan dalam wacana kehidupan kita sehari-hari.

Bagi seseorang pesakit, sama ada pesakit ringan atau kronik, ia perlu membuat temu janji dengan doktor untuk mengenal pasti punca penyakit yang dialami bersertakan preskripsi ubat-ubatan di klinik, sama ada klinik kerajaan atau klinik swasta. Di kliniklah, doktor akan mengenal pasti penyakit, menyediakan preskripsi ubat-ubatan atau mencadangkan rawatan susulan kepada pesakit.

Dalam konteks bicara, frasa “Klinik Kasut” dan “Doktor Cermin” turut membawa konotasi yang menarik di mata masyarakat, khususnya para pengkaji dan pencinta bahasa yang peka akan keindahan dan kepersisan penggunaan frasa bahasa Melayu pada papan-papan iklan gerai, kedai, pasar raya atau pusat beli-belah di negara kita.

Yang menarik, kedua-dua frasa tersebut menepati peraturan D – M (Hukum D – M), yakni bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua (Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Halaman 376).

Frasa “Klinik Kasut” mewajarkan pengertian bahawa premis tersebut menawarkan perkhidmatan untuk membaiki pelbagai jenama kasut. Dalam erti kata yang lain, pelbagai jenama kasut yang mengalami kerosakan masih boleh dibaiki dan diselamatkan di klinik tersebut.

Frasa “Doktor Cermin” pula merujuk kepada perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengusaha bengkel kereta yang sememangnya pakar dan mampu membaiki sebarang kerosakan pada cermin kereta, sama ada cermin depan, cermin belakang atau cermin sisi sesebuah kereta.

Kesimpulannya, seperti doktor di sesebuah klinik, saban hari tanpa mengira waktu siang atau malam, ia akan berusaha untuk merawat dan menyelamatkan nyawa para pesakitnya. Begitu jugalah, si tukang kasut atau sepatu di “klinik kasut” akan berusaha sedaya upaya untuk membaiki kasut atau sepatu para pelanggannya manakala pengusaha bengkel yang bergelar “doktor cermin” pula akan setia menunggu para pemilik kenderaan yang dilanda musibah cermin retak dan pecah berderai dek perbuatan kacang hantu atau kemalangan di klinik (bengkel) mereka pada setiap hari tanpa putus asa.

Chai Loon Guan, Tg. Malim.

No comments: