Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, November 12, 2012

Antara "Dia" dengan "Ia" dalam Pelita Bahasa November 2012



Penggunaan Kata Ganti Nama Diri Orang Ketiga antara “Dia” dengan “Ia” dalam Konteks Bahasa Melayu

Pendahuluan

Saban hari, timbul kekeliruan penggunaan kata ganti nama Bahasa Melayu, terutamanya yang menyentuh aspek penggunaan kata ganti nama diri orang ketiga antara “dia” dengan “ia”  dalam kalangan pengguna bahasa Melayu, khususnya murid-murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah dan pengguna bahasa Melayu umumnya.

Kata Ganti Nama Bahasa Melayu

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), kata ganti nama ialah perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas dan kata nama am. Kata ganti nama boleh dibahagikan lagi kepada dua golongan kecil, iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata ganti nama tunjuk boleh dibahagikan kepada kata ganti nama tunjuk umum dan kata ganti nama tunjuk tempat.

Kata ganti nama diri pula dibahagikan lagi kepada kata ganti nama diri orang dan kata ganti nama diri tanya. Kata ganti nama diri orang pula terdiri daripada kata ganti nama diri orang pertama, kata ganti nama diri orang kedua dan kata ganti nama diri orang ketiga.

Kata
Contoh
Kata Ganti Nama Tunjuk
Ini, itu, sini, situ, sana
Kata Ganti Nama Diri

a.           Kata Ganti Nama Diri Tanya
Apa, siapa, mana, apa-apa, siapa-siapa (sesiapa), mana-mana
b.           Kata Ganti Nama Diri Orang (KGNDO)
KGNDO Pertama – saya, aku, beta, patik, kami, kita

KGNDO Kedua – anda, saudara, engkau, awak, kamu

KGNDO Ketiga – ia, dia, beliau, mereka, -nya
(Sila rujuk halaman 101 – 104, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, 2008)
 
Kamus Dewan

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), kosa kata “dia” bermaksud kata ganti diri ketiga (untuk menegaskan atau merendahkan), ia.

Contoh ayat:
a.           Dia yang mengambil bola itu, bukan saya.
b.           Ia yang mengambil bola itu, bukan saya.

Contoh frasa:
a.           “dia orang” (bagi pihak) “mereka semua”
b.           “itu dia”  bermaksud “itu orangnya” atau “itulah bendanya” / “itu perkaranya” / “itulah keadaan yang sebenarnya”.

(Sila rujuk halaman 347 – Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007)

Ulasan:

Maksud “dia” dan “ia” dalam contoh ayat dan “dia” dalam contoh frasa jelas menepati definisi Kata Ganti Nama Diri Orang Ketiga dalam Tatabahasa Dewan. Namun, frasa “itulah bendanya”, “itu perkaranya” dan “itulah keadaan yang sebenarnya”  tidak menepati definisi seperti yang tertera dalam Tatabahasa Dewan.

Contoh ayat dalam Tatabahasa Dewan:

a.           Ia berkata-kata sambil merenung wajah temannya.
(Halaman 252)
b.           Ia bersorak terlalu kuat hingga serak suaranya.
(Halaman 253)
c.            Wah, cantiknya baju dia!
(Halaman 255)
d.           Betul, tanyalah dia.
(Halaman 257)
e.           Dia patut datang bulan lalu.
(Halaman 259)
f.            Dia betul-betul gembira dengan kepulangan anaknya yang telah lama berpisah.
(Halaman 292)
g.           Kebelakangan ini dia jarang-jarang ke rumah saya.
(Halaman 293)
h.           Kerana ia lapar anak itu menangis.
(Halaman 515)
i.             Ketika saya bekerja dahulu, dia bukan ketua saya.
(Halaman 515)
j.            Saya belum berkunjung ke rumah Ali semenjak ia berpindah ke sana.
(Halaman 517)
k.           Cuba bertanya pada orang tua itu kalau-kalau dia mengetahuinya.
(Halaman 518)

l.             Dia membunuh ular itu dengan menggunakan buluh.
(Halaman 518)
m.         Dia kebingungan bagai rusa masuk kampung.
(Halaman 518)

Ulasan:
         
Jika diteliti dan ditelusuri contoh ayat (a – m) seperti yang tertera dalam Tatabahasa Dewan, kata ganti nama diri orang ketiga “dia” dan “ia” jelas merujuk kepada orang, insan atau manusia.
 
Asraf

Asraf dalam buku, Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu (Sasbadi Sdn. Bhd., 2007) menjelaskan bahawa “dia” digunakan untuk diri orang ketiga yang umum seperti rakan sebaya dan orang-orang biasa manakala “ia” pula digunakan dalam tulisan untuk diri orang ketiga seperti kata ganti dia juga.

Contoh ayat:

a.           Umar datang lewat. Dia didenda oleh guru disiplin.
(Halaman 12)
b.           Tong Seng dihukum gantung kerana ia pengedar dadah. (Halaman 12)

Menurut Asraf lagi, kata “dia”, “ia” dan “mereka” tidak boleh digunakan untuk benda atau binatang. Lihatlah contoh-contoh yang berikut:

1a.    Alat perkakas itu mahal. *Ia diimport dari Itali. (tidak baku)
1b.    Alat perkakas itu mahal. Alat perkakas itu diimport dari Itali. (baku)

2a.    Kucing itu sakit. *Dia (Ia) dibawa ke klinik haiwan. (tidak baku)
2b.    Kucing itu sakit, maka dibawa ke klinik haiwan. (baku)

3a.    Barang-barang ini berat. *Mereka tidak terangkat oleh saya.
(tidak baku)
3b.    Barang-barang ini berat, tidak terangkat oleh saya. (baku)


Kata “ia” boleh bertugas sebagai subjek tetapi tidak boleh digunakan sebagai objek kepada kata sendi atau kata kerja transitif.
Misalnya:

1a.    *Saya tidak bersetuju dengan ia. (tidak baku)
1b.    Saya tidak bersetuju dengan dia. (baku)

2a.    *Mereka mencurigai ia. (tidak baku)
2b.    Mereka mencurigainya. (baku)

Kata “ia” tidak boleh bertugas sebagai penerang kata nama. Misalnya:

1a.    *Ayah ia sudah meninggal. (tidak baku)
1b.    Ayahnya sudah meninggal. (baku)

Kata “ia” tidak boleh bertugas sebagi pelaku dalam ayat pasif diri ketiga. Misalnya:

1a.    *Buku itu belum dibaca ia. (tidak baku)
1b.    Buku itu belum dibacanya. (baku)

(Sila rujuk halaman 13 – Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu, 2007)

Kesimpulan:

Sebagai pengguna bahasa Melayu yang berkesan, kita haruslah senantiasa peka dan prihatin akan beberapa kekeliruan yang berbangkit,  khususnya dalam penggunaan kata, iaitu kata ganti nama diri orang ketiga antara “dia” dengan “ia” sama ada dalam konteks  kata, frasa, klausa atau sintaksis bahasa Melayu mutakhir.

Bibiliografi:
Nik Safiah Karim at el, 2008. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga: DBP, Kuala Lumpur.
Asraf, 2007.Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu: Sasbadi Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007: DBP, Kuala Lumpur.

Encik Chai Loon Guan, Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan.
    (Pelita Bahasa, November 2012)

No comments: