Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, July 9, 2012

Laporan MMM Amal Alumni MES 2012



LAPORAN MAJLIS MAKAN MALAM AMAL ALUMNI MES 2012

Pada 16 Jun 2012, bersamaan Sabtu, 7.30 malam bertempat di Kompleks Sukan Proton Tanjong Malim, Persatuan Alumni SMK Methodist Tanjong Malim atau ringkasnya, MESA dengan kerjasama Lembaga Pengelola Sekolah dan PIBG, SMK Methodist, Tg. Malim telah menganjurkan Makan Malam Amal Alumni MES 2012.

Objektif utama penganjuran makan malam tersebut adalah untuk mengutip dan meningkatkan dana kutipan Tabung Pembangunan Sekolah, khususnya dalam usaha untuk merealisasikan pembinaan sebuah dewan terbuka yang berbumbung di Dataran Perhimpunan Goodwill. Dewan tersebut nanti akan berfungsi sebagai dewan serbaguna, dewan peperiksaan dan dataran perhimpunan yang selesa untuk murid-murid dan guru.

Sebanyak 900 tiket, yakni untuk 90 meja makan  telah berjaya dijual kepada bekas murid (1950-an hingga 2000-an), ahli profesional, ahli korporat tempatan, badan-badan bukan kerajaan, guru-guru, ibu bapa, masyarakat tempatan dan orang perseorangan dari seluruh pelosok tanah air.

En. Suresh Kumar (Alumni MES) dan Pn. Arne Suzila bertindak sebagai juruacara Majlis Makan Malam Amal Alumni MES 2012. Majlis ini  dimulakan dengan ucapan Pengerusi MESA, Yang Berbahagia Profesor Dr. Yang Farina binti Abdul Aziz. Seterusnya, ucapan Pn. Hajah Zaharah bt Rani, Penolong Kanan Pentadbiran mewakili Pengetua, SMK Methodist, Tg. Malim.

Majlis Makan Malam Amal Alumni MES 2012 ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Ong Ka Chuan, Ahli Parlimen Kawasan Tanjong Malim (Sumbangan YB Dato’ pada malam tersebut – RM 50,000.00) dan diikuti persembahan video korporat MES oleh Cik Aimi Syazwani. Pelbagai gambar lama bekas murid MES, pencapaian murid MES, latar belakang sekolah mutakhir dan pelan cadangan pembinaan Dewan Terbuka Goodwill turut ditayangkan untuk tontonan para audiens.

Jamuan makan disediakan oleh pihak pengusaha restoran Garden Seafood Tanjong Malim. Sebagai halwa telinga,  pasukan koir MES telah mempersembahkan tiga buah lagu, iaitu lagu sekolah, Lux Et Veritas, Budi Bahasa Budaya Kita dan Lightly Row di sampong persembahan Tai Chi oleh Sifu Kenny Yau (Alumni 1978) yang juga merupakan bekas murid MES bersama – sama dengan tiga orang muridnya. Persembahan ini telah mendapat sambutan hangat daripada para hadirin, khasnya dendangan muzik tradisional masyarakat Tionghoa dan disusuli pula paluan dan alunan muzik pasukan Caklempong MES, iaitu Bunyi Gitar dan Burung Nuri.

Seterusnya, majlis telah diserikan oleh persembahan deklamasi sajak, “Terima kasih, Cikgu” dan bidaan antologi cerpen dan sajak hasil nukilan Encik Chai Loon Guan (Alumni MES 1977). Para hadirin turut terhibur oleh persembahan artis tanah air, iaitu YBhg. Datuk DJ Dave (bekas murid MES – 1966). Beliau telah mempersembahkan beberapa buah lagu khas untuk para bekas murid dan guru MES. Beberapa orang bekas murid MES turut menyertai beliau dalam nyanyian tersebut, khususnya lagu “Maafkanlah”. Makan Malam Amal Alumni MES 2012 berakhir dengan persembahan tarian Satu Malaysia MES sebagai penutup tirai sambutan. Terima kasih daun keladi, jika berpeluang dapatlah kita bertemu kembali. Salam Goodwill MES – Lux Et Veritas!

Catatan:
Sivagamy a/p Chandran,
Tingkatan 5 Sains 1,
SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.




No comments: