Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, July 9, 2012

Karangan BM PMR - Kursus Motivasi


Anda telah mengikuti suatu kursus motivasi tentang teknik mengulang kaji yang berkesan di sekolah anda. Jelaskan teknik-teknik ulang kaji yang telah anda peroleh melalui kursus motivasi tersebut.

Pada hari Sabtu yang lalu, saya telah mengikuti suatu kursus motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Kursus motivasi merangkum teknik mengulang kaji pelajaran yang berkesan sama ada di rumah atau di sekolah ini dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling. Murid-murid yang akan menghadapi peperiksaan awam, iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut diwajibkan menyertai kursus ini.
          
Pemudah cara kursus motivasi ini telah menggariskan beberapa teknik mengulang kaji yang efektif. Salah satu teknik ialah mencari kata atau frasa kunci sesuatu bab yang dipelajari. Mata pelajaran seperti Sejarah, Geografi dan Kemahiran Hidup boleh dipelajari secara mudah melalui teknik ini. Usaha ini juga dapat memudahkan proses mengulang kaji pelajaran sebelum pelajar atau calon menduduki peperiksaan.
          
Selain itu, kita boleh membuat nota atau catatan ringkas sendiri. Sebagai contoh, kita haruslah mencari isi-isi penting dalam sesuatu bab dan menyalin bahan tersebut dalam buku nota kecil yang mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Sementara menunggu bas di perhentian bas, kita boleh membaca nota-nota tersebut sebagai langkah pengukuhan dan pengayaan. Nota-nota ringkas atau peta minda juga boleh dibuat dalam bentuk lakaran awan yang berkonsepkan ringkasan dan rumusan.
          
Di samping itu, pelajar juga dinasihati menggunakan kemudahan Internet untuk mengulang kaji pelajaran. Dengan adanya Internet, proses pembelajaran kita akan menjadi lebih mudah selain lebih banyak ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dapat ditimba dari semasa ke semasa. Janganlah kita meniru maklumat yang terdapat dalam Internet bulat-bulat, sebaliknya perlu kita ambil daya usaha untuk menghalusinya sebelum dijadikan bahan rujukan tambahan.
          
Sebenarnya, belajar secara kumpulan atau lebih dikenali sebagai ‘study group’ juga merupakan salah satu teknik mengulang kaji pelajaran yang berkesan. Kita dapat berkongsi maklumat dan ilmu dengan kawan-kawan yang berbagai-bagai latar belakang dan kebolehan. Nota-nota ringkas atau catatan peta minda bolehlah kita guna pakai semasa sesi perbincangan dan perkongsian ilmu. Daya usaha tersebut dapat menjimatkan masa, lebih-lebih lagi ‘masa itu emas’.
          
Akhirulkalam, saya dapat mempelajari beberapa banyak teknik mengulang kaji pelajaran yang berkesan dan menarik melalui kursus motivasi ini. Oleh itu, pada hemat saya, kursus seumpama ini perlu diadakan dari semasa ke semasa pada masa-masa yang akan datang untuk membantu pelajar-pelajar mencipta kejayaan da kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah diri.

Hasil Kerja:
Tan Jia Meng, Tingkatan 3 Meekness, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: