Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, June 30, 2012

Memorandum GAPENA


MEMORANDUM PENDIDIKAN NASIONAL GAPENA
(Disampaikan oleh YBhg. Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Bakar, Ketua 1 Gapena kepada YAB Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Malaysia)

1. Mukadimah

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dalam mesyuarat Jawatankuasa Penuh pada 27 Jun 2012, dengan kehadiran 23 orang Ketua-Ketua Satu para kerabat GAPENA, telah membuat ketetapan-ketetapan berikut untuk disampaikan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia bagi pertimbangan Dialog Nasional Pendidikan Negara sebagai badan penilaian semula sistem pendidikan kebangsaan.

Bahawa persidangan:

i. memahami pendidikan ilmu sebagai penentu utama arah tujuan negara dan penyelamat bangsa;
ii. menegaskan akan perlunya sistem pendidikan kebangsaan menjadi wahana dan instrumen pembinaan bangsa yang bersatu padu, demokratik dan dinamik;
iii. mendukung keperluan pendidikan ilmu sebagai asas untuk berdaya saing tinggi dalam dunia global sebagai kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat;
iv. mendukung cita-cita membina sistem pendidikan yang bertaraf dunia demi kelangsungan bangsa dan negara;

Maka disarankan ketetapan-ketetapan berikut menjadi pelbagai unsur untuk menambah baik sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada:

2. Memoranda

I. Falsafah Pendidikan:

i. Mencadangkan perubahan penegasan kepada falsafah pendidikan dengan mengutamakan pembinaan warganegara yang bersatu padu dan mempunyai sifat-sifat yang seimbang dalam pelbagai bidang keperibadian. Falsafah itu patut berbunyi:

ii. “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, bangsa dan negara dengan memperkembangkan potensi individu warganegara secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang unggul serta harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.”

(Ulasan: Dalam bentuk yang sedia ada, falsafah itu terlampau membina ‘manusia’ yang ‘kurang’ berakar umbi kepada negaranya, manusia seimbang tetapi tidak unggul dengan pelbagai kecekapan serta keilmuan dan manusia yang mementingkan ‘diri’ dan ‘keluarga’ tetapi tidak bangsanya meskipun negara disasarkan juga. Kehadiran pelbagai lulusan dari luar negara amat jelas memaparkan peribadi yang kurang berakar umbi kepada bangsa dan negaranya)

iii. Fungsi sistem pendidikan kebangsaan mesti berlandaskan falsafah untuk membina perpaduan warganegara, meneguhkan kewujudan Negara Malaysia sebagai sebuah Negara-bangsa yang berdaulat, utuh dan berwibawa dan menyediakan warganya dengan semua bidang ilmu untuk maju, bersaing dan membina peradaban Malaysia.

II. Sistem Pendidikan

i. Jawatankuasa menegaskan kembali keperluan untuk melangsungkan sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada seperti termaktub di dalam Akta Pendidikan 1996 dengan semua perenggan yang menjadi mukadimahnya sebagai asas. Dituntut supaya dasar berikut ditegaskan semula:

“Suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, Kurikulum Kebangsaan dan peperiksaan yang sama; pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif skopnya dan yang akan memenuhi keperluan negara, serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukunegara.”

(Ulasan: dasar yang telah termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 adalah selaras dengan Peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Maka segala usaha untuk melaksanakan sistem yang tidak berasaskan semua perundangan ini adalah ‘ultra vires’, melanggar undang-undang, anti-nasional dan bagi pihak kerajaan hal itu merupakan pelanggaran ikrar jawatan mereka dan mereka wajib meletakkan jawatan. Sistem pendidikan kebangsaan tidak boleh mendidik warganegara yang melanggar Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara).

ii. Gapena menolak sekerasnya cadangan oleh sesetengah pihak bagi mengadakan sistem pendidikan pelbagai aliran bahasa ataupun mengembalikan sistem pendidikan PPSMI yang dengan jelas melanggar semua peruntukan undang-undang di atas dan menyebabkan ribuan anak Malaysia menjadi ‘gagal’ dalam persekolahan mereka.

iii. Mencadangkan supaya sistem ‘jurusan’ (streaming) ke dalam sains dan sastera dihapuskan setelah sekolah dibertanggungjawabkan untuk melakukan penilaian para pelajar dalam Sekolah Menengah Rendah dan mendidik pelajar untuk memilih pilihan jurusan masing-masing melalui Guru Kaunseling dalam bidang ‘pembangunan kerjaya’ para pelajar.

III. Bahasa peng(h)antar

i. Bahasa peng(h)antar sistem pendidikan kebangsaan mestilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Undang-undang ini mesti terus dilaksanakan pada tahap tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi awam. Peruntukan-peruntukan mesti dibuat untuk institusi pengajian swasta (IPTS) mendidikan warganegara Malaysia dalam bahasa kebangsaannya dengan tahap kefasihan yang tinggi dan cekap.

ii. Sistem pendidikan kebangsaan tidak boleh memasukkan asas bahasa selain bahasa kebangsaan untuk masuk ke institusi perguruan walaupun untuk pendidikan guru-guru dalam bahasa ibunda seperti yang diminta oleh sesetengah pihak supaya mengiktiraf kelulusan UCE – United Chinese Examination.

iii. Persidangan menolak cadangan membuka kuota ‘sekolah antarabangsa’ tanpa had kerana tindakan itu akan melahirkan warganegara Malaysia yang terasing serta tersisih (alienated) daripada nilai-nilai dan cita-cita kebangsaan dan tidak mempunyai kesedaran kebangsaan yang patriotik serta bertanggungjawab kepada perundangan negara. Semua anak Malaysia yang belajar di ‘sekolah antarabangsa’ mesti mengikuti mata pelajaran ‘pangajian Malaysia’ yang memperuntukkan kelulusan bahasa Melayu sehingga tahap SPM.

iv. Pengantar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti berlaku di semua tahap pendidikan termasuk tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi untuk menjadi bahasa jalinan perhubungan dan interaksi antara warganegara yang mantap dan berkesan dan menghapuskan masalah perhubungan dalam pelbagai tindakan rasmi dan tidak rasmi.

IV. Kurikulum

i. Pendidikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mestilah dilaksanakan dengan sempurna kepada semua murid dan pelajar di dalam semua tahap persekolahan dalam sistem kebangsaan sehingga tahap fasih dan cekap dan kurikulum ‘bahasa lisan’ mesti diadakan semula untuk memastikan pencapaian kecekapan yang patut dalam kalangan pelajar yang menjadi warganegara.

ii. Gapena mendesak KPM memperluas konsep TVET (Teknikal Vokasional Education and Training) supaya mengandungi latihan teknikal dan vokasional sahaja bahkan mempertingkatkan tahap pendidikan itu kepada taraf ‘kejuruan’ (kemahiran tahap tinggi) yang berasaskan ukuran antarabangsa, dalam semua bidang terutama industri kreatif, kesenian, hospitaliti, kulinari, industri sukan, ICT dan sebagainya.

iii. Kementerian Pelajaran Malaysia dituntut menubuhkan mata pelajaran baru bernama “Rukunegara’ secara pengajaran ‘modular’ bagi menggantikan mata pelajaran ‘tatanegara’, dan kursus baru ini mesti mengandungi mata pelajaran ‘sejarah’, ‘perlembagaan persekutuan’, ‘kesusasteraan’, ‘nilai-nilai nasional’ dan ‘kebudayaan pelbagai kaum’. Mata pelajaran ini mesti diikuti dari sekolah rendah sehingga tahap pengajian tinggi untuk memupuk patriotisme, kesatuan bangsa dan jalinan mesra serta membangun kesalingfahaman atau ‘intercultural understanding’ antara pelbagai kelompok kaum di Malaysia.

V. Sistem penilaian

i. Persidangan menyokong usaha kerajaan yang mengurangkan keperluan mengikuti sistem peperiksaan pada tahap menengah rendah dan memerlukan sekolah melaksanakan sendiri penilaian para pelajar, dengan syarat para Pengetua sekolah bertanggungjawab sepenuhnya bersama dengan para guru mereka untuk memastikan pelajar-pelajar memenuhi keperluan kurikulum, kandungan ilmu dalam mata pelajaran dan kemahiran mencapai tahap penguasaan ilmu yang tinggi dalam mata pelajaran yang tertentu.

ii. Sistem penilaian pada tahap menengah atas dan pra-universiti mestilah mengikuti aras dan tahap gred pencapaian yang wajar dan tetap dan tidak menggunakan kaedah ‘turun-naik’ dalam menentukan paras kecekapan pencapaian para pelajar.

VI. Pendidikan guru

i. Persidangan mencadangkan bahawa pendidikan guru mestilah secara professional dengan menggunakan segala teori dan kaedah pedagogi dan amalan menggunakan teknologi terkini dalam menyampaikan mata pelajaran mereka. Sistem ‘Teach for Malaysia” tidak dapat digunakan untuk memenuhi keperluan pendidikan secara formal. Program seperti ini hanya digunakan untuk melengkapi dan tambahan sahaja kepada sistem pendidikan guru.

ii. Persidangan menyokong tindakan KPM untuk meningkatkan tahap kelulusan para guru. Guru mestilah mencapai tahap tertinggi di dalam bidang ilmunya, melebihi dari sekadar SPM atau Diploma. Guru mesti mendapat peluang terbuka untuk meningkatkan keilmuan ke tahap yang tertinggi sehingga PhD bagi membolehkan mereka menyampaikan ilmu yang terbaik dan terkini dalam kalangan pelajar.

iii. Selaras dengan peningkatan profesionalisme dan ilmu itu maka wajar gred-gred penggajian ditingkatkan supaya dapat menarik lebih ramai lulusan yang terbaik untuk menceburkan diri dalam profesion keguruan.

iv. Guru mestilah dididik dan dilatih sebagai pengajar yang ‘penuh tanggungjawab’ terhadap profesion dan murid-muridnya. Sistem ‘keguruan’, yakni guru menjadi pengajar dan pembimbing melalui ‘tuisyen’ terbaik kepada semua murid di dalam bilik darjah tanpa mengira tahap kebolehan.

v. Murid-murid yang lemban, kurang cekap dan lambat mesti jangan dipisahkan dari murid yang lebih baik, atau dikhususkan di dalam satu bilik darjah yang terdiri dari kalangan mereka sahaja. Guru-guru mesti dapat bersama membimbing murid-murid dalam satu bilik darjah yang sama secara berkumpulan kecil supaya dapat meningkatkan pencapaian yang lemban kepada yang lebih cergas dan cekap.

VII. Kemudahan pendidikan

i. Semua sekolah mesti mendapat kemudahan yang sama tara baik di bandar mahpun di luar bandar. Adalah tidak patut sekolah-sekolah di luar bandar hanya mendapat ‘kemudahan asas’ sahaja walhal sekolah bandar mendapat kemudahan terkini dan tercanggih terutama di sekolah yang ‘terpilih’. Maka persidangan mendesak supaya semua sekolah dilayan sama rata dari segi bekala kemudahan dan juga bangunan. Oleh sebab banyak sekolah luar bandar masih lagi ‘daif’ maka tindakan segera mestilah dilakukan dalam jangka terdekat untuk meningkatkan taraf kemudahan, bangunan dan perbekalan lain setara dengan yang terbaik di bandar.

ii. Penegasan mesti diberikan kepada kemudahan ICT di luar bandar supaya para murid dan pelajar mendapat layanan sama rata dengan murid di bandar. Kekurangan kemudahan terutama kemudahan pembelajaran menyebabkan para pelajar sentiasa ‘terjebak’ di dalam lingkaran kejam (vicious circle) yang membawa kepada kejatuhan keputusan peperiksaan, pencapaian dan sekali gus mereka menjadi mangsa kepada dasar ‘meritokrasi’ yang terlampau mementingkan pencapaian peperiksaan tanpa ‘pemberatan’ terhadap konteks dan suasana pembelajaran dan pengajaran para pelajar di luar bandar dan di hulu itu.

iii. Menghapuskan perkiraan ‘meritokrasi’ bagi murid luar bandar yang terkurung dengan segala kekurangan dalam pembelajaran dan pengajaran mereka.

iv. Memperuntukkan sebilangan besar tempat di SBP untuk murid-murid luar bandar yang kurang berada, tidak mampu dan kekurangan kemudahan pembelajaran dan pengajaran.

v. Gapena mendesak supaya KPM segera melaksanakan sistem sekolah ‘satu sesi’ sebagai tindakan utama dalam peruntukan bajet 2013-2014 untuk membenarkan kesamaan bekalan kemudahan kepada semua sekolah di seluruh negara dan mengasingkan pendidikan agama kepada sesi petang sahaja.

VIII. Pengurusan pendidikan

i. Pengurusan pendidikan mesti terdiri dari golongan pendidik profesional yang faham akan prinsip urus tadbir, kaedah, masalah dan keperluan sistem pendidikan. Pentadbir umum tidak harus mentadbir sistem pendidikan secara profesional kerana akan gagal memahami keperluan pendidikan itu.

ii. Para pengajar dan guru mesti dibebaskan daripada urusan pentadbiran di sekolah. Pegawai pentadbiran khusus mesti diadakan untuk membebaskan para guru daripada tugas pengajaran dan penyelesaian masalah pengajaran serta pembelajaran bagi setiap murid atau pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran.

iii. Secara keseluruhan, sistem pendidikan mesti melibatkan dengan lebih erat anggota masyarakat, kesatuan guru, ibu bapa dan golongan profesional untuk membantu meningkatkan pencapaian dan prestasi sekolah. Dicadangkan supaya PIBG diganti dengan Majlis Penasihat Sekolah yang terdiri daripada pelbagai golongan dalam masyarakat setempat (komuniti).

iv. KPM didesak supaya menggunakan sumber dan pangkalan data peperiksaan pada tahap UPSR, PMR, SPM dan UPU untuk memastikan semua murid yang keluar selepas suatu peperiksaan nasional tadi dapat disalurkan semula kepada saluran pendidikan yang tertentu secara teratur, tersusun dan sistematis. Murid-murid yang tidak dapat masuk ke dalam sistem akademik mesti dapat disalurkan kepada saluran TVET dan Kemahiran (Skill) dengan segera sebaik selesai urusan pengambilan ke dalam pelbagai IPTA, IPGM, Kolej Komuniti dan sebagainya. Urusan ini akan membantu melahirkan tenaga mahir bagi keperluan industri dan pembangunan mega seperti ‘Iskandar’, ‘NCER’, ‘Pengerang’, koridor pembangunan, industri runcit (retail), automotif dan sebagainya.

IX. Penerbitan buku teks dan bacaan

i. Peruntukan kewangan mesti diadakan untuk menerbitkan buku bacaan yang banyak dalam semua bidang ilmu untuk membolehkan para pelajar dan masyarakat seluruh menimba ilmu dalam bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan mesti dijadikan bahasa ilmu melalui penerbitan dan penulisan buku dalam pelbagai bidang. Hal ini dapat dilakukan dengan mengembling semua pakar dalam masyarakat, sekolah dan IPT untuk menulis manuskrip ilmiah yang boleh diterbitkan dengan murah dan banyak pada setiap tahun.

ii. KPM mesti mengembleng semua badan penerbitan dalam rangkaian kerjasama yang boleh mengeluarkan bahan bacaan dan buku ilmu dengan murah dan banyak sebagai sumber ilmu untuk semua warganegara. Peruntukan kewangan itu mestilah dianggap sebagai ‘tanam modal’ bagi membina manusia berilmu untuk menghadapi cabaran keperluan pasaran dann industri.

Mesyuarat Jawatankuasa Penuh GAPENA untuk memorandum ini telah dihadiri oleh pertubuhan-pertubuhan berikut seperti dalam lampiran.

Termaktub di Kuala Lumpur pada 14 Julai 2012.

Profesor Datuk Wira Abdul Latif bin Abu Bakar,
Ketua Satu GAPENA.

No comments: