Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, June 30, 2012

Esei - Kepentingan Hutan


Tajuk:
Negara kita merupakan sebuah negara yang kaya akan khazanah hutan semula jadi. Huraikan kepentingan-kepentingan hutan kepada kehidupan kita.

Negara kita, Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan hutan semula jadi. Malangnya, akhir-akhir ini, kita sering dikejutkan oleh aktiviti penerokaan hutan secara berleluasa di dada akhbar tempatan. Sebenarnya, negara kita memiliki beberapa jenis hutan semula jadi, iaitu hutan hujan tropika, hutan pantai, hutan paya dan hutan gunung. Perbuatan segelintir manusia pada zaman ini yang giat melakukan aktiviti pembalakan haram telah menyebabkan kepupusan hutan di negara kita. Persoalannya, tahukah anda akan kepentingan-kepentingan hutan kepada kehidupan manusia?

Hutan merupakan kawasan tadahan hujan dan diibaratkan span yang menyerap air ke bawah tanah. Hutan juga dapat mengelakkan tragedi bah dan tanah runtuh  yang meragut nyawa manusia. Hal ini disebabkan pokok-pokok di hutan berfungsi untuk mencengkam tanah-tanih dan memperlahan larian air permukaan yang akan menyebabkan tanah runtuh. Jikalau tiada akar yang mencengkam tanah-tanih, maka tanah-tanih tersebut akan mengalir ke dalam sungai semasa hujan dan dimendapkan di dasar sungai. Natijahnya, dasar sungai akan menjadi cetek dan lambat-laun akan berlakulah banjir jika hujan turun dengan lebatnya.

Selain itu, hutan juga membekalkan kayu-kayan seperti meranti, cengal, dan keruing yang sesuai untuk pembinaan rumah, industri pembuatan perabot dan sebagainya. Sumber-sumber tersebut juga menyumbang kepada pendapatan negara di samping memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat jelata. Oleh itu, manusia haruslah mengurangkan kegiatan  pembalakan dan penebangan hutan  bagi menjamin sumber kayu-kayan kekal diwarisi oleh anak cucu generasi yang akan datang bak kata ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

Hutan juga berperanan menyimbangkan ekosistem  kerana hutan merupakan habitat kepada flora dan fauna. Penebangan hutan menyebabkan banyak spesies flora dan fauna diancam kepupusan seperti seladang, orang utan, periuk kera, harimau malaya dan sebagainya. Sekiranya habitat flora dan fauna kepupusan, maka generasi muda tidak dapat mewarisinya zaman-berzaman.

Hutan paya di pinggir pantai berpotensi untuk menghalang hakisan ombak kerana terdapat banyak pokok bakau dan api-api. Jikalau pokok-pokok yang mampu menghalang hakisan ombak kemusnahan, tragedi Tsunami yang melanda selatan Thailand pada tahun 2004 barangkali akan berulang bak kata malang tidak berbau. Oleh itu, langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan perlu diambil oleh pihak yang berwajib demi kesinambungan spesies hutan paya di negara kita.

Seterusnya, hutan di gunung boleh dijadikan tanah empangan yang berkeupayaan untuk menyimpan bekalan air dan mengairi tanaman padi di samping menjana kuasa hidroelektrik. Contohnya, Empangan Muda berperanan mengairi tanaman padi di dataran Kedah-Perlis, Empangan Cenderoh dan Temenggor di Perak pula berpotensi untuk menjana kuasa hidroelektrik.

Konklusinya, kita sewajarnya menjaga hutan rimba kita supaya generasi pada hari ini dan yang akan datang tidak menyesal ibarat kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya kerana hutan banyak memberikan kepentingan dan manfaat kepada kita. Marilah kita berganding bahu mempertahankan khazanah hutan belantara kita selagi hayat dikandung badan.

Hasil karya:
Vinnie Kuang We Nee, Tingkatan 3 Endurance, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: