Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, June 25, 2012

Cerpen - Malang Tidak Berbau


CERPEN:
MALANG TIDAK BERBAU

“Bangun! Terima kasih cikgu!” Kedengaran suara ketua tingkatan yang lantang memberikan ucapan terima kasih kepada guru Geografi kami setelah mendengar loceng berbunyi menandakan waktu untuk pulang ke rumah. Aku dan rakan-rakan yang lain cepat-cepat berkemas untuk segera pulang ke rumah. Tidak sabar rasanya untuk berehat dan menjamah makanan yang disediakan oleh ibu di rumah. Aku segera memasukkan buku ke dalam beg lalu bergegas keluar kelas.

Sudah menjadi rutin harianku, berjalan kaki pulang ke rumah kerana jarak di antara rumahku dengan sekolah berhampiran. Hal ini dapat meringankan beban ibu bapaku untuk membayar tambang bas. Aku sudah biasa dengan keadaan begini. Ketika sedang asyik membaca buku rujukan Sains, tiba-tiba aku terdenagr akan satu hentaman yang kuat. Aku terkejut lalu bergegas ke tempat kejadian untuk mengetahui hal yang berlaku.

Setibanya di suatu simpang, aku ternampak akan sebuah kereta dan sebuah basikal yang ditunggang oleh seorang murid remuk berlanggaran antara satu sama lain. Aku lihat buku-buku bertaburan di atas jalan dengan tompokan darah. Sungguh ngeri melihat kejadian itu.

Tanpa membuang masa, aku segera bergegas ke pondok telefon awam yang berhampiran. Aku dengan pantas mendail nombor perkhidmatan ambulans untuk menyelamatkan mangsa. Aku memaklumkan bahawa terdapat suatu kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan sebuah basikal di hadapan UPSI.

Orang ramai mula berkerumun dan mengelilingi mangsa. Ada yang cuba untuk menyelamatkan pelajar yang terpelanting jauh di tepi jalan. Ada juga yang sekadar melihat dan berbisik-bisik antara satu sama lain.  Kelihatan mereka seolah-oleh tidak prihatin dan bertanggungjawab. Mereka hanya tahu menuding jari sesama sendiri. Perbuatan mereka tidak ubah seperti ‘’enau alam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’’.

Selepas beberapa minit, sebuah van ambulans dan sebuah kereta polis sampai ke tempat kejadian. Pihak ambulans memulakan tugas mereka untuk menyelamatkan mangsa kemalangan yang semakin parah. Pihak polis berjumpa denganku untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang kemalangan tersebut kerana aku adalah saksi utama kemalangan tersebut. Aku menceritakan kejadian ngeri tersebut dari mula hingga akhir. Saksi-saksi yang lain juga turut disoal siasat.

Mangsa kemalangan, seorang pemandu lelaki dan seorang pelajar telah dikejarkan ke hospital yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Mereka berdua ditempatkan di satu wad di hospital berkenaan.

Keesokan harinya, aku mendapat khabar bahawa mereka berdua telah sedar. Aku mengajak keluargaku untuk menziarahi mereka. Kami menyediakan sedikit buah tangan untuk dihadiahkan kepada mereka. Mereka berdua mengucapkan jutaan penghargaan kepadaku kerana telah bertindak pantas menyelamatkan nyawa mereka. Pihak polis mengucapkan tahniah dan syabas atas tindakan pantasku yang telah berjaya menyelamatkan mangsa. Aku berbangga kerana dapat menunaikan tanggungjawab kepada mangsa kemalangan. Yang jelas, aku perlu berhati-hati ketika di jalan raya kerana malang tidak berbau.

Ditulis oleh,
Noor Azwar bin Mohd Nazari,
Tingkatan 3 Endurance,
SMK Methodist, 35900 Tanjong Maim,
Perak Darul Ridzuan.

No comments: