Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, May 2, 2012

Sajak - WASIAT KEHIDUPAN

Wasiat Kehidupan

Siang yang muda, usia
kauburu hidup
tanpa mentaksir mentari
tanpa mentafsir bulan
barangkali benar katamu
rezeki melimpah-ruah
di buana perlumbaan
atau di medan percaturan
wang kebendaan
darjat kekuasaan
kononnya pelengkap kehidupan

Maka alpalah, kita
akan sakit ketika sihat
akan papa ketika kaya
Maka lupalah, kita
akan lara ketika bahagia
akan mati ketika hidup

Malam yang tua, usia
sepi kalbu menemanimu
sempat kauhalusi
makna puisi diri
pada sandiwara hayat
tiada pingat tiada darjat
tiada nama tiada kuasa
barangkali yang ada, cuma
penjara ubat-ubatan
jarum suntikan
kerusi roda keuzuran
pasrah sebelum kita
berangkat pulang ke rumah-Nya!

Chai Loon Guan,
Poliklinik Kuala Kubu Bharu.
2 Mei 2012.



1 comment:

La Reine said...

Salam 1Malaysia,
Salam hormat saya kepada tuan empunya blog, 'Guru' Chai Loon Guan. penghargaan tuan kepada ilmu bahasa seperti yang dinukilankan di dalam blog ini amat saya kagumi. Mohon izin tuan untuk saya menggunakan nama tuan serta bahan penulisan tuan sebagai rujukan kertas kerja saya. Harap tuan tidak keberatan. Terima kasih.