Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, May 9, 2012

Sajak - TERIMA KASIH, CIKGU!


Terima Kasih, Cikgu!
(Tema Hari Guru Kebangsaan 2012 - Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara)

Biarpun
Serba papa dikekang prasarana
Tetap kautabah
Mengajar anak-anak bangsa
Tulis baca
Nanti, dewasa
Kenal budi kenal bahasa
Kenal hidup kenal dunia

Biarpun
Serba lemas dihimpit kerjaya
Tetap kaucekal
Mendidik anak-anak bangsa
Ilmu dan akhlak
Nanti, dewasa
Bestari kasih bestari sahsiah
Bestari ilmu bestari maruah

Biarpun
Serba cemas dibelenggu kerenah
-       Kata nista
-       Cerca bicara
-       Sindir duka
-       Ugut bahasa
Birokrasi, masyarakat atau ibu bapa
Tetap kausabar
Membuka jendela masa depan
Anak-anak watan
Nanti, dewasa
Lahirlah modal insan
Di buana kehidupan

Kaulah, guruku yang berilmu
Mendidik aku
Kenal joran kenal umpan
Di lautan cabaran
Di lautan godaan
Di lautan saingan

Dirgahayu, guruku
Aroma jasa baktimu
Mewangi di taman kehidupan
Anak-anak watan zaman-berzaman

Terima kasih, cikgu!

Chai Loon Guan,
SMK Methodist, Tg. Malim.




No comments: