Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, May 31, 2012

Sajak - CERITERA SEBUAH TANJUNG


CERITERA SEBUAH TANJUNG
(dedikasi buat warga Rawa sarwajagat)

I
Melewati deras alir sungaimu, Bernam
Dapat kubaca susur galur sejarah Tanjung Jambu
Hadirmu, 1790-an
Wira enam Bugis
Mudik menghulu-hulu
Sampailah Kuala Ingkeh
Sepohon jambu menjadi saksi
Ketamadunan bangsa zaman-berzaman

Menyusuri dataran pinggir di kalimu, Bernam
Dapat kutafsir salasilah kisah silam Tanjung Jambu
Pertalian darah Melayu Melaka
Pertautan kisah kekuala sungai
Tumpuan anak dagang saudagar berwawasan
Berurus niaga mengasah bakat siasah
Di alam Melayu senusantara

Mengimbau lakaran sejarah di muara kalimu, Bernam
Ada ceritera duka 1511
Ada ceritera lara 1641
Gugusan alam Melayu
bertukar milik
Empayar Dagang Hindia Timor Belanda
Dan bersahabatlah penjajah
“Kerasnya tak dapat ditakek, lembutnya boleh disudu”

Maka melampan, melanda (mendulang)
Berdagang berkampung halaman
Kompeni Belanda di alam Melayu
Bermandikan mewah dagang
rempah ratus Melaka, Bengkulin dan Betawi

II

Biarpun sudah berabad lamanya
Sejarahmu Sungai Pahlawan Berenam, Sg. Bernam
Ceriteramu masih menakjubkan
untuk kutafsir
Rahsiamu masih mengagumkan
untuk kubongkar
Kuala Ingkeh, hujung tanjung lidah tanah
di kiri air di kanan air
tebingnya tinggi mencuram ke sungai
tumbuh pepohon Jambu
subur merendang condong ke sungai
dan tersebutlah namamu, Tanjung Jambu!


Di sinilah, kemudiannya sebuah kampung diwartakan
Kampung Jambu
Zuriat keturunan Pahlawan Berenam
Bermastautin bermenteri lima tinggang (keturunan)
Dan berkesinambunganlah kisah
pembukaan dan penerokaan orang Kampar, Minangkabau dan Rawa
Di sebelah kanan menghilir Sungai Bernam
Kampung Kubu Kampong Masjed Lama
Dari Kuala Sungai Geta, di baruh Keramat Cabang
Dipugar warga Rawa Seberang Selangor, Sungai Kubang Nyiur
Sebelum berpindah kekal
di Simpang Empat, Lubok Salak, Gumut Kalumpang
Berurus niagalah warga Rawa
Ke Bidor
Ke Kuala Bernam
Ke Kuala Perak
Ke Kuala Lumpur
Ke Pahang
Ke Pulau Pinang
Seantero benua
berbulan-bulan bertahun-tahun
sebelum kembali ke Kampung Jambu

Hadirmu, madrasah di tanjungmu
Manifestasi ilmu agama dan akhirat
Tempat berjemaah bersembahyang
Membaca kitab suci al-Quran
Hadirmu, Raja Itam Ketua Sabak Bernam
Mudik bersama-sama Tuan List, wakil Inggeris Teluk Kawali, Sepong
Kealiman warga Rawa dikagumi
Maka Tanjung Jambu mendapat ingatan
Tanjung Malim mendapat gelaran!

Chai Loon Guan,
JBM, SMK Methodist, Tg. Malim.

Bibliografi:
Zainal Abidin Daud (murid tua SITC 1929). Meninjau Kisah Purba – Riwayat Tanjung Malim: Siri Sastera “Lanang Budiman” Edisi Pertama, Percetakan Buyong Yunos, Teluk Anson, 1979.



No comments: