Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, May 8, 2012

BICARA KARYA - DI PADANG KEHIDUPAN



NOTELUN HIDUP SEORANG PENULIS DI BUANA BAHASA DAN KESUSASTERAAN MELAYU
oleh
Chai Loon Guan, GC BM dan Munsyi Dewan, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.
(Pertama kali dibentangkan dalam Majlis Bicara Karya Penulis Pelbagai Kaum Wilayah Utara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang di IPG Kampus Pulau Pinang pada 8 Mei 2012)

YBhg. Encik Abdul Nasir b, Mohd Razali, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, YBrs. Tuan Hj. Sawfi bin Lawi, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang mewakili Pengarah, Institut Perguruan Guru Kampus Pulau Pinang, Yang Dihormati Profesor Madya Dr. Siti Hajar bt. Che Man dan Dr. Shakinah bt. Abu Bakar, Dif-dif Kehormat, Barisan Pensyarah IPGM, pegawai DBP, Munsyi Dewan, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

YBhg., Dr., tuan-tuan dan puan-puan sekalian.


Dunia bahasa Melayu sudahpun saya gauli sejak zaman kanak-kanak. Kawasan persekitaran desa dan masyarakat yang berbilang ras, agama dan latar belakang di Kampung Berop, Tg. Malim ketika itu mendekatkan diri saya dengan alam dan budaya Melayu tanpa sebarang kesukaran. Malah, saya lebih yakin dan selesa untuk bertutur, berbincang atau menulis dalam bahasa Melayu dengan rakan-rakan yang berbilang bangsa sama ada di kampung ataupun di sekolah dalam rutin kehidupan kami sehari-hari.

Peluang terbuka lebih luas lagi apabila saya bergiat aktif bersama dengan kawan-kawan sesekolah dalam kegiatan bahasa dan sastera melalui Persatuan Bahasa Malaysia, SMJK Methodist, Tg.Malim. Saya semakin yakin dan berani untuk berjinak-jinak dalam genre penulisan. Utusan Pelajar yang pada ketika itu begitu sinonim dengan dunia pendidikan, saya langgani saban minggu. Forum Utusan Pelajar saya sertai sungguh-sungguh. Tajuk demi tajuk forum saya kaji dan tulis. Memang benar kata orang rajin berusaha tangga kejayaan. Usaha yang bersungguh-sungguh akhirnya membuahkan beberapa banyak hasil. Kali pertama dalam hidup saya sebagai seorang murid, dapat saya nikmati hasil titik peluh sendiri apabila tajuk forum yang saya tulis memenangi tempat kedua. Wang hadiah sebanyak RM 20.00 ketika itu, iaitu  sekitar tahun 1975 (Tingkatan Tiga) jelas memberikan suntikan galakan yang cukup memberangsangkan dalam hidup saya.

Ucapan tahniah daripada kawan-kawan dan guru, terutamanya guru Bahasa Melayu cukup memberikan nafas dan dorongan untuk saya terus bergiat aktif dalam dunia kebahasaan dan kesusasteraan Melayu. Selain memberikan pendapat dalam ruangan forum, saya sudah mula menyumbangkan cerpen sains ke ruangan kelolaan Pak Matlob selain bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan Melayu di sekolah. Antara lain, saya melibatkan diri dalam pertandingan bahas, tarian, deklamasi sajak dan menjayakan beberapa banyak aktiviti seni budaya di peringkat sekolah.

Bayangkan  ketika itu, sebagai murid bukan Melayu dalam jurusan sains tulen pula, saya menaruh minat dalam dunia kebahasaan dan kesusasteraan Melayu walaupun permohonan saya bertukar aliran ditolak bulat-bulat oleh pihak pentadbir sekolah atas alasan kekurangan murid dalam jurusan tersebut. Akhirnya, saya terpanggil untuk mengambil kertas Kesusasteraan Melayu secara persendirian (tanpa bimbingan guru) dan berjaya memperoleh kepujian yang sedikit banyak dapat dijadikan modal perangsang untuk saya terus menceburkan diri dalam dunia kesusasteraan tanah air yang masih baharu dan amat terasing kepada diri saya ketika itu.

Dalam kesibukan mengisi pelbagai borang untuk mengisi dunia kerjaya selepas tamatnya pendidikan Tingkatan 5 dan kegagalan melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 (faktor kuota dan tempat yang terhad), peluang terbuka kepada saya untuk menjadi seorang guru sementara di SMJK Katholik (Persendirian), Tg.Malim sebelum berjaya mengikuti kursus perguruan asas di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), Cheras, Kuala Lumpur pada tahun 1980-81.

Pengalaman setahun setengah sebagai guru sementara memberikan pendedahan awal tentang kerjaya seorang guru dan sedikit banyak turut membantu memantapkan modal insan dalam diri saya, khususnya dalam genre kesusasteraan. Di MPIK, dapatlah saya berkongsi pengalaman dengan Pak Kassim Ismail (Kritikan Sastera), Pak Alias (Teater), Pak Kadir Ahmad (Novel) dan beberapa orang pensyarah bahasa dan sastera yang berwibawa. Di benua ilmu MPIKlah, skrip drama teater saya yang berjudul - MOGOK dapat direalisasikan dan pernah dipentaskan oleh Kelab Teater MPIK di Universti Sains Malaysia sempena Pestarama Teater antara maktab-maktab perguruan se-Malaysia.

Sebenarnya dunia bahasa dan susastera Melayu cukup sukar, beronak dan mencabar lebih-lebih lagi kepada penulis bukan Melayu seperti saya. Hanya yang sabar, tabah dan cekal dengan usaha yang sungguh-sungguh barulah dapat bertahan untuk mengecapi hasil dan nikmat kejayaan yang barangkali akan membahagialukakan atau menderitariakan sang penulis lebih-lebih lagi penulis ikan bilis seperti saya. Namun terpahat jua di sudut kalbu nurani kecil, dunia ini akan saya gauli biarpun terpaksa berhadapan dengan ombak cabaran yang menduga. Kerana apa? Sungguh, atas minat dan kecintaan yang tidak berbelah bahagi terhadap bahasa dan susastera Melayu tanah air bak kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!

Berbekalkan ilmu, pengalaman dan kematangan yang dicari dan diasah dengan tekun dan sabar serta pembacaan demi pembacaan, dapatlah saya loloskan diri selangkah demi selangkah daripada ”perangkap maut” genre kesusasteraan Melayu. Bolehkah kita cari makan dengan dunia kesusasteraan atau dunia penulisan? Suara-suara nakal dalam sintaksis yang sinis daripada handai-taulan dan saudara-mara tidak saya biarkan untuk menggagalkan niat murni saya berkelana dan bergiat dalam genre kesusasteraan Melayu, khususnya dunia penulisan sajak yang amat saya senangi. Semasa bertugas di SM Dato Bendahara CM Yusuf, Tg.Tualang, sajak saya yang berjudul ‘Sampan’  tersiar dalam majalah Dewan Sastera.

Keyakinan diri kian menyerlah untuk saya menulis dan terus menulis sehinggalah saya berpeluang untuk memenangi beberapa banyak hadiah sastera sama ada di peringkat negeri atau di peringkat kebangsaan. Antara lain Hadiah Sajak MAYC Perak, Hadiah Sajak Hari Guru Perak, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank dan Hadiah Cerpen DBP – Maybank dalam kategori penulis bukan Melayu.

Sesungguhnya kemenangan bukan untuk diegokan atau diperagakan takbur dan angkuh sebaliknya merupakan tanggungjawab dan wadah yang terbaik untuk saya terus bernafas dan gigih berkarya di buana kebahasaan dan kesusasteraan tanah air. Slogan atau moto – Bahasa Jiwa Bangsa tetap membenih subur di kalbu nubari saya selagi hayat dikandung badan.

SAMPAN

Bukan aku yang meminta atau memaksa
Tetapi atas penghidupan atau sebuah permainan
Kaulukiskan sebuah sampan dengan warna-warna seorang kekasih


Lantas, kauajakku
Belayar bersamamu
Mengharung suara-suara damai
Dan indahnya puisi-puisi laut
Lalu:
Di hati jantung pelayaran
Sampanmu pecah
Dayungmu patah
Dan kau pun berenang
Macam ikan-ikan
Meninggalkan aku seorang
Terkapai-kapai melawan samudera
Tercari-cari hati yang luka.

Chai Loon Guan
(Dewan Sastera – MAC 1985)

Saya amat sedar bahawa untuk menjadi seorang penulis yang lebih mantap dan serba boleh, disiplin ilmu perlu ditingkatkan. Pengalaman dan kemahiran pertu ditimba dan diasah sungguh-sungguh melalui disiplin pembacaan dan pengembaraan dunia luas ilmu. Biarpun permohonan saya untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris dalam bidang bacaan dan penulisan gagal pada ketika itu, namun berkat daripada sokongan kuat Tuan Haji Radzuan (Ketua Jabatan BM, IPSI), dapat juga saya mengejar impian di Institut Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur (1991) dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke Rancangan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dua tahun kemudian, iaitu sekitar 1994.

Di Universiti Malaya, dapatlah saya menimba disiplin ilmu bahasa dan sastera secara tuntas dan wibawa daripada Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim (Tatabahasa), Prof. Dr. Hashim Awang (Sastera), Prof. Dr. A.Wahab Ali (Sastera),  Prof. Madya Dr. Sanat Nasir (Tatabahasa Wacana), Prof. Madya Dr. Hashim Ismail (Sastera), Prof. Dr. Hashim Awang AR (Etnografi Melayu), En. Nuwairi Khaza’ai (Laras), En. Wong Khek Seng (Wacana & Perkaedahan BM) dan beberapa banyak sarjana bahasa dan sastera yang tinggi dunia kesarjanaan mereka. Semasa di Universiti Malaya juga peluang lebih terbuka untuk saya berkarya dan melibatkan diri dalam kegiatan bahasa dan sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka secara dekat melalui bengkel, penataran, seminar, konvensyen, dan sebagainya.

Selepas tamat berguru di UM, kembalilah saya mencurahkan ilmu kepada anak-anak didik di SMK Slim, Slim River (1998). Dunia pengkaryaan saya masih berterusan biarpun sekadar sebuah dua sajak dan beberapa buah makalah tentang tatabahasa dan sintaksis bahasa Melayu tersiar dalam Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa.

Bagaikan sirih pulang ke gagang, ikan pulang ke lubuk, permohonan tukar saya telah diluluskan. Mulai 2000, kembalilah saya ke pangkuan alma mater saya, SMK Methodist, Tg.Malim dan berpeluang untuk menjalani kursus Munsyi Dewan anjuran DBP di Kuala Lumpur. Gabung jalin minat, kesungguhan berkarya dan ilmu ketatabahasaan, dapatlah saya mantapkan karya-karya saya sebelum dihantar atau die-melkan ke meja editor majalah dan akhbar tempatan.

Pernah Allahyarham Dr. Othman Puteh dan Allahyarham T.Alias Taib menasihati saya agar rajin menyertai kegiatan sastera di peringkat negeri dan nasional. Pengalaman yang ditimba dapat memperkaya dan mematangkan dunia kepengarangan kita. Sesungguhnya, Festival Sastera Perpaduan dan Kemerdekaan di Kota Kinabalu (2003) dan festival yang sama di Ipoh (2004) cukup banyak memberikan pendedahan dan pengalaman yang berguna. Melalui kegiatan-kegiatan seumpama itu, saya berpeluang untuk berdiskusi dengan Allahyarham Pak Dharmawijaya, Allahyarham T. Alias Taib, SN Datuk Abdullah Hussain, SN Datuk Dr. A. Samad Said, dan Prof. Emeritus Tan Sri Dr.Ismail Hussein secara akrab dan intim di samping mengeratkan silaturahim dengan rakan-rakan penulis muda dan mapan tanah air. Sekiranya diberikan peluang lagi, festival-festival bahasa dan sastera seumpama itu pasti tidak akan saya lepaskan!

Penglibatan saya dalam kegiatan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) pada awal tahun 1990-an dan 2000-an turut banyak membantu mempersubur daya kreativiti saya dalam genre kesusasteraan Melayu. Persatuan Karyawan Perak menyediakan ruang dan peluang untuk ahli-ahlinya beraktiviti, berkarya dan seterusnya mengantologikan karya sama ada sajak, cerpen, drama, esei dan sebagainya.

Sebaik sahaja sah menjadi ahli Karyawan Pk sekitar tahun 1990-an dengan nombor pendaftaran ahli 010, saya telah mula mengambil daya usaha untuk menulis, mengikuti dan menelusuri setiap denai kegiatan Karyawan Pk yang beribu pejabat di Teluk Intan, Perak Darul Ridzuan. Pada ketika itulah saya mula mengenali Haji Abu Bakar Al-Sidek, Haji Zabidin Ismail, Allahyarham M. Saleh Mahyat, Allahyarham Zahari Hasib, Pak Ramli Daud (Sasterawan Felda) dan Jamaludin Ahmad (sekadar menyebut beberapa nama) secara dekat dan akrab. Antara aktiviti anjuran Karyawan Pk yang sempat saya sertai secara aktif dan serius ialah Majlis Malam Puisi Menara Condong yang diadakan pada hari Sabtu, 10 Disember 1994 di Teluk Intan yang turut disertai oleh Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), Angkatan Sasterawan Kedah (ASASI), Persatuan Penulis Muda Selangor (KEMUDI), dan Pinggiran, Gebang Puisi di Kompleks Sejarah Pasir Salak pada 11 Disember 1994 sebagai pengerusi forum bersama-sama ahli panel, iaitu Ahmad Sarju (Sajak), Hj.Abu Bakar Al Sidek (Kewartawanan) dan Sabar Bohari (Sajak), Seminar Motivasi Sastera Darul Ridzuan anjuran Karyawan Pk dengan kerjasama Utusan Malaysia dan Yayasan Perak di Dewan SMK Seri Perak, Teluk Intan pada 26 Ogos 1995 yang telah disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Seri Ramli bin Ngah Talib, mantan Menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Pemakalah utama dalam seminar ulung itu, YBhg. Datuk Jaafar Rahim, telah banyak membicarakan peranan dan kewibawaan penulis bahasa dan susastera bahasa Melayu di negeri Perak Darul Ridzuan.

Selain kegiatan yang bertaraf kebangsaan, Karyawan Pk turut menganjurkan beberapa banyak aktiviti sama ada di peringkat daerah mahupun negeri. Antara lain, siri Gebang Sastera di seluruh negeri Perak Darul Ridzuan. Pengalaman menganjurkan Gebang Sastera III Karyawan Pk di Institut Pendidikan Sultan Idris, Tg. Malim (kini bergelar UPSI) telah banyak memberikan peluang dan kesempatan kepada saya untuk menimba pengalaman, berinteraksi dan mengenali rakan penulis dari seluruh negeri Perak Darul Ridzuan lebih-lebih lagi dengan kehadiran dua orang pembentang kertas kerja utama merangkap editor sastera Mingguan Malaysia (mantan), yakni Dr. Hj. Wahid Kasran dan Encik Wan Hanafi Su (Dramatis) serta barisan pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI). Kehadiran tokoh-tokoh penulis dan sastera tanah air telah memeriahkan dan menceriakan majlis Gebang Sastera III yang saya anggap amat berjaya sekali pada ketika Tanjong Malim amat ketandusan aktiviti bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Akulah, Pelaut Hidup


akulah, pelaut hidup
yang baru pulang
dari pelayaran panjang
pernah belayar bahtera hidup
di lautan duga
pernah menimba
pahit manis pengalaman
dari pelabuhan ke pelabuhan
dari lautan ke lautan
antara siput duka
dan kerang bahagia


akulah, pelaut hidup
yang baru pulang
dari pengembaraan panjang
pernah dilamar bahasa ombak
yang liar yang jinak
sebelum berumah, aku
di pantai sejarah
meratapi senja merah
berlabuh suram di horizon hayat


akulah, pelaut tua
di lautan hidup!


Chai Loon Guan,
Taman Berop Idaman, Tg.Malim.
(Dewan Sastera – Julai 2011)


Karyawan Pk Sudut Tg. Malim dengan kerjasama intim Pejabat Belia dan Sukan Slim River  turut dapat menganjurkan Bengkel Penulisan (Sajak, cerpen dan berita) di SMK Dato Zulkifli Muhammad, Slim River. Bengkel Penulisan tersebut terbuka kepada murid-murid sekolah menengah sekitar Slim River yang turut disertai oleh Allahyarham Drs. Abdul Manap Abdul Malik (Arma Armi), Haji Zabidin Ismail (Penceramah Sajak), Encik Jamaludin Ahmad (Penceramah Cerpen) dan Haji Abu Bakar Al-Sidek (Penceramah Berita). Pada majlis yang sama juga, AJK Karyawan Pk Sudut Tg. Malim turut melancarkan kutipan derma bagi mengisi Tabung Kemanusiaan Anak-anak Pelarian Palestin.

Karyawan Pk Sudut Sungkai turut menganjurkan Majlis Bicara Sastera dan mesyuarat Jawatankuasa Karyawan Pk di Pejabat Penghulu Sungkai yang turut disertai oleh penyair ternama Perak, Allahyarham Zahari Hasib dan penulis peneroka Felda yang gigih dan komited, Pak Ramli Daud (Beliau terpilih sebagai Karyawan Bulan Februari – Dewan Sastera 2010) selain menganjurkan Majlis Gebang Puisi Lata Bongsu. Karyawan Pk juga berkesempatan membuat kunjungan ilmiah dan penyelidikan ke Kampung Behrang Ulu, yakni desa kelahiran penulis dan aktivis politik tanah air, yakni Allahyarham Ahmad Boestaman. Di rumah pusaka Ahmad Boestaman, kami dapat berkongsi pengalaman dengan penduduk setempat dan menemukan sedikit banyak maklumat awal tentang riwayat Ahmad Boestaman dan putera Allahyarham, iaitu Allahyarham Rustam A. Sani.

Kegigihan, iltizam dan keterampilan barisan kepemimpinan Karyawan Pk sepanjang dua dekad yang lalu cukup memberangsangkan dan membanggakan khalayak bahasa dan susastera Bahasa Melayu tanah air, khususnya negeri Perak Darul Ridzuan.  Buktinya, maka lahirlah antologi sastera terbitan Karyawan Pk seperti Pasir Salak – Bumi Pahlawan Melayu (1993), Ridzuan I (1994), Menara Condong (1994), Suratan (2000), Danau Hati (2000), Khazanah Sastera Karyawan Perak (2002), Istana Kasih I dan II (2007), Puisi Rao Nusantara (2009), Temoh Tasik Kenangan (2011) dan sebagainya selain aktiviti yang sudah menjadi jenama unggul persatuan, yakni Gebang Sastera Karyawan Perak ke seluruh pelosok negeri Perak Darul Ridzuan.

Dalam usia yang kian meniti dewasa, Karyawan Pk masih gigih dan gagah  meneruskan iltizam dan kesungguhan untuk menyebarluaskan ilmu bahasa dan susastera bahasa Melayu kepada khalayak masyarakat sama ada di negeri Perak Darul Ridzuan mahupun di seluruh pelosok tanah air, serantau dan antarabangsa. Usaha-usaha murni Karyawan Pk ini telah dapat diterjemahkan melalui daya usaha penganjuran Seminar Melayu Rao Malaysia (25 Julai 2009), Seminar Antarabangsa Pemikiran Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali PK di Univerisiti Pendidikan Sultan Idris, Tg. Malim (5 – 6 Mac 2010) dan Pertemuan Karyawan Pk, Forum Penulis (Karyawan Pk, KALAM, PENA dan KEMUDI), dan Pelancaran Buku di Rawang pada 19 – 21 Mac 2010, Seminar Pemikiran Pawang Ana (2011) selain berdarmawisata ke Pesta Buku Kebangsaan PWTC sejajar dengan slogan dan moto keramat Karyawan Pk, iaitu ”Selagi Menulis Terus Menulis”. Dirgahayu Persatuan Karyawan Perak – Karyawan Pk!

Kini, biarpun keaktifan saya dalam menggarap karya-karya sastera tidak serancak atau seprolifik awal tahun 1980-an dan 1990-an, namun sesekali juga saya tidak ketinggalan untuk menyumbangkan karya tulisan ke media cetak perdana. Yang penting, apabila kita sudah mula menulis maka harus kita terus menulis. Slogan keramat Persatuan Karyawan Perak masih terngiang-ngiang dalam ingatan saya selagi hayat dikandung badan.

Sebagai penulis, saya perlu meneruskan pencarian dan pembacaan. Ilmu perlu saya timba. Pengalaman perlu saya cari. Diskusi, seminar, konvensyen, dan sebagainya perlu saya hadiri jika berkesempatan untuk terus memberikan input dan suntikan galakan yang bermanfaat kepada dunia pengkaryaan dan penulisan kreatif saya.  Kelahiran antologi sajak perseorangan Di Padang Kehidupan (DBP, 2008) dan antologi cerpen perseorangan Di Perantauan Impian (DBP, 2009) dan kemenangan dalam Hadiah Sastera Perdana 2008/2009 bagaikan impetus atau pemangkin yang cukup membanggakan. Dalam insaf dan syukur, yang jelas, kembara di buana kesusasteraan yang maha luas ini perlu saya teruskan selagi hayat dikandung badan.

Cerpen – Di Perantauan Impian
Bingkas Ah Hai daripada lena mimpi pelayaran. Biarpun kegembiraan tidak diluahkan namun riak wajahnya jelas menggambarkan segala-galanya. Langkah pertama telah mula disempurnakan. Dan, tidak lama lagi, Ah Hai akan menjejakkan kakinya pula buat pertama kali di pura Singa. Singapura! Singapore kata orang putih. Bukankah seribu langkah kejayaan bermula dengan langkah pertama kehidupan? Aku akan menghargainya. Aku akan berusaha. Aku akan berjaya. Bisik hati kecil Ah Hai. Dan, mulai saat itu, akan bermulalah hidup baru Ah Hai di perantauan impian – Semenanjung Tanah Melayu!
(Mingguan Malaysia – 20 JULAI 2008)
Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 – Kategori Cerpen.

Pertama sekali terima kasih saya kepada Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk). Terima kasih saya juga kepada akhbar-akhbar tabloid – Bacaria, Watan, Mingguan Perdana dan Buletin Utama. Terima kasih Utusan Melayu. Terima kasih Berita Harian. Terima kasih Dewan Bahasa dan Pustaka. Tanpa akhbar-akhbar tabloid dan akhbar-akhbar perdana serta institusi gah bahasa dan susastera seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), barangkali saya tidak menjadi penulis ikan bilis di buana kesusasteraan Melayu tanah air pada hari ini.

Marilah kita sama-sama beriltizam dan sungguh-sungguh mencintai dunia kebahasaan dan kesusasteraan kita. Sesungguhnya, hanya kita sahaja (anak cucu bangsa) yang dapat menghargai dan meninggikan martabat bahasa kita sama ada di buana tanah air atau di persada nusantara dan antarabangsa.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Salam Bahasa Jiwa Bangsa!
Terima kasih.

No comments: