Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, May 5, 2012

FILEM


Filem-filem Tayangan Televisyen Tempatan Banyak Mendatangkan Keburukan daripada Kebaikan kepada Khalayak Penonton. Bincangkan.

Televisyen dan masyarakat berpisah tiada. Saban hari, para penonton dipertontonkan pelbagai siaran sama ada siaran dari dalam atau dari luar negara. Sebenarnya, terdapat banyak filem tayangan televisyen tempatan yang mendatangkan keburukan daripada kebaikan kepada khalayak penonton, terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja. Yang jelas, banyak aksi yang melampau seperti aksi ganas, aksi lucah dan tahyul disiarkan untuk tontonan umum.

Gejala negatif dalam filem-filem tayangan televisyen mudah mempengaruhi minda dan tingkah laku penonton, khususnya golongan kanak-kanak dan remaja. Contohnya, aksi ganas yang ditonton akan diterjemahkan dalam perbuatan mereka sehari-hari sama ada di rumah, di sekolah ataupun di luar rumah.

Seterusnya, filem-filem yang ditayangkan dalam televisyen tempatan turut akan melekakan kanak-kanak dan golongan remaja sehingga mereka sanggup mengabaikan pelajaran. Oleh sebab terlalu asyik dan leka menonton filem-filem televisyen, remaja pelajar yang terbabit mula bertindak mengabaikan kerja rumah dan pelajaran masing-masing. Hal ini akan menjejaskan masa depan mereka lebih-lebih lagi sesetengah ibu bapa atau penjaga kurang memantau dan mengawasi aktiviti anak-anak mereka dek kesibukan mencari rezeki untuk seisi keluarga.

Banyak masa lapang dihabiskan oleh kanak-kanak dan remaja di hadapan kaca televisyen. Hal ini turut akan menjejaskan perkembangan mental dan fizikal anak-anak. Sepatutnya mereka perlu dipantau selalu agar masa yang terluang itu digunakan untuk mengulang kaji pelajaran, berdarmawisata dengan keluarga, bergaul dengan jiran tetangga dan melakukan aktiviti riadah yang cergas dan sihat.

Yang penting, golongan penonton, khasnya golongan muda harus bijak memilih filem-filem tayangan yang mampu memberikan faedah kepada diri dari segi akhlak, ilmu dan pengalaman selain sebagai wadah hiburan dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Secara ringkas, anak-anak mestilah dipantau dan ditemani oleh ibu bapa mereka ketika diberi peluang untuk menonton filem-filem di kaca televisyen. Manfaatlah tayangan filem untuk pembinaan diri dan kerjaya masa depan yang berguna kerana remaja pada hari ini merupakan pemimpin pada hari esok.

Wong Shun Xin,
Tingkatan 1 Meekness, SMK Methodist,
35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: