Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, April 12, 2012

Pelita Bahasa April 2012



















NOTA EDITOR

Revolusi Dunia Penerbitan

Sejarah membuktikan manusia mula membuat lakaran dan menulis sebelum terhasilnya teknologi membuat kertas lagi. Terdapat pelbagai medium yang telah digunakan oleh manusia untuk menulis. Antaranya termasuklah batu, daun, kayu dan kulit binatang yang digunakan untuk merakamkan pelbagai peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka. Kertas pertama telah dihasilkan oleh orang Mesir purba lebih 2000 tahun SM. Kertas pertama dihasilkan daripada batang pokok papirus. Semenjak terhasilnya kertas, manusia telah mencatat pelbagai peristiwa dan ilmu pengetahuan, seperti kitab agama yang lebih sistematik.

Setelah berabad-adad lamanya manusia menggunakan kertas dan menerbitkan pelbagai bahan bacaan melalui penerbitan secara bercetak, dunia penerbitan kini berubah pula kepada gaya penerbitan secara elektronik yang tidak memerlukan kertas sebagai medium penyampaiannya. Sekali lagi dunia penerbitan mengalami perubahan seiring dengan teknologi yang dicipta oleh manusia sendiri.

Penerbitan bahan bacaan secara elektronik atau penerbitan dalam talian telah menjadi pilihan banyak orang yang gemar membaca menerusi internet. Pembaca tidak perlu lagi mencari bahan bacaan di kedai buku atau pergi ke perpustakaan. Para pembaca hanya memerlukan peranti tertentu, seperti komputer, iPAD atau telefon pintar, untuk membaca bahan yang diterbitkan secara elektronik. Penggunaan e-buku, pada awalnya, hanya tersebar secara meluas untuk buku teks kegunaan murid sekolah. Setelah teknologi ini mendapat perhatian masyarakat, akhbar, majalah, jurnal dan buku untuk bacaan umum telah diterbitkan secara elektronik. Contohnya, akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian yang telah diterbitkan secara dalam talian.

Penerbitan elektronik lebih cepat berbanding dengan penerbitan bercetak kerana bahan tersebut tidak melalui proses percetakan. Apabila tidak melalui proses percetakan, kos menerbitkan judul tersebut juga semakin berkurangan. Bahan penerbitan elektronik juga mempunyai pelbagai nilai tambah, seperti boleh disertakan dengan audio dan visual yang menarik perhatian pembaca. Pengedaran pula berlaku di alam maya. Kaedah pengedaran sebegini dapat menyebarkan pasaran judul buku tempatan ke seluruh dunia. Bersedialah kita untuk mengalami perubahan ini.

Pada kesempatan ini, seluruh kerabat kerja majalah Pelita Bahasa ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Zahari Hasib yang telah kembali ke negeri abadi pada 26 Februari yang lalu. Semasa hayatnya, Allahyarham sering mengutus puisi untuk disiarkan dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bait-bait puisinya ringkas dan mengandungi kritikan yang bersahaja. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Nor Azleenda Abdul Hadi

Sari Bahasa

28 Ribu Judul Setahun: Bagaimanakah Peranan E-Buku?

Meskipun jumlah buku di dunia telah bertambah berlipat kali ganda, keadaan di negara kita tidak jauh berubah dalam tempoh 50 tahun yang lalu. Perkembangan industri penerbitan agak perlahan, dan tidak seiring bukan sahaja dengan peningkatan penduduk, tetapi juga dengan pertumbuhan dan perkembangan dalam bidang lain. Mengapakah perkara ini berlaku? Adakah kerana kita tidak mempunyai budaya mencintai dan menjanakan ilmu atau kita tidak mempunyai sarjana, penulis dan penerbit yang komited?

Dunia perbukuan memerlukan kerjasama pelbagai pihak – penulis, penyunting, pereka letak, penerbit,pencetak, pengedar dan seumpamanya. Adakah minat membaca yang rendah menjadi penyumbang lembapnya dunia penerbitan di negara kita selama ini? Kita perlu memastikan segala proses dan rangkaian terbabit berjalan dengan lancar dan berkesan. Jika mana-mana satu mata rantai terbabit tidak berfungsi dengan baik, sudah pasti perkara ini akan menjejaskan matlamat untuk melahirkan lebih banyak tajuk buku di negara ini.

Di dunia, hanya 500 tajuk dihasilkan pada tahun 1550, kemudian bertambah menjadi 2300 pada tahun 1650, sebelum melonjak kepada 50 ribu pada tahun 1850. Pada tahun 1550, jumlah bibliografi secara kumulatif hanya 35 ribu tajuk, kemudian meningkat kepada 700 ribu pada 1750, sebelum mencecah 16 juta pada tahun 1950, dan kemudiannya melonjak 52 juta pada tahun 2000. Untuk membaca semua buku yang telah diterbitkan, anda perlu hidup 250 ribu tahun, dan untuk membaca tajuknya sahaja pun mengambil masa 15 tahun.

Pada kurun pertama penerbitan (1450-1550), hanya terdapat 35 ribu tajuk buku diterbitkan. Dalam tempoh antara tahun 1950 hingga tahun 2000, sebanyak 36 juta tajuk telah berjaya diterbitkan, peningkatan sebanyak 1000 kali ganda. Jika seseorang itu membaca satu tajuk sahaja dalam sehari, dia sebenarnya terpaksa menyingkirkan 4000 lagi tajuk lain yang “dilahirkan” setiap hari. Dengan kata lain, buku yang tidak dibacanya akan bertambah 4000 kali lebih cepat daripada jumlah buku yang sempat dibacanya. Implikasinya, kejahilannya bertambah 4000 kali lebih pantas daripada ilmu yang diperolehnya, seolah-olah mengabsahkan kata Voltaire bahawa “timbunan buku menyebabkan kita jahil”.

Satu daripada kriteria yang digunakan untuk mengukur perkembangan industri buku sesebuah negara ialah jumlah tajuk buku baharu yang diterbitkan dalam tempoh setahun. Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menetapkan nisbah penerbitan buku sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara. Jika nisbah itu menjadi ukuran, hal ini bermakna jumlah buku yang sepatutnya diterbitkan di negara ini setahun ialah 28 ribu judul, sesuai dengan jumlah penduduknya seramai 28 juta orang. Namun begitu, pada tahun lepas kita hanya mampu menerbitkan sekitar 16 ribu judul sahaja – 12 ribu judul kurang daripada jumlah sepatutnya. Kita masih jauh daripada pencapaian dan penanda aras yang ditetapkan. Implikasinya, Malaysia belum lagi maju dari segi industri penerbitan buku.

(Sumber: Pelita Bahasa, April 2012)

No comments: