Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, March 11, 2012

Karangan BM T3 - Laporan

Sebagai setiausaha sebuah persatuan di sekolah, anda diminta untuk menyiapkan laporan tentang aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun. Sediakan laporan anda selengkapnya.

LAPORAN KEGIATAN PERSATUAN BAHASA MELAYU,
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN METHODIST, TANJONG MALIM
BAGI TAHUN 2011

Penasihat : Puan Maizon bt. Abdul Hamid
Pengerusi : Sdri. Nor Fahana bt. Mohamed Zain
Naib Pengerusi : Sdra.Mohd Syazwan bin Isyan Puzi
Setiausaha : Sdra.Tan Jia Meng
Bendahari : Sdra.Michael Goh Joon Seng
Ahli Jawatankuasa :
Sdri. Siti Ayisah bt. Selamat
Sdri. Nor Faizahtul Ain bt. Basri
Sdra. Mutu a/l Ganeson
Sdri. Mimi Gan Siew Leng
Juruaudit: : Sdra. Bah Los a/k Nah Liew

Persatuan Bahasa Melayu ialah persatuan yang ditubuhkan sejak sekolah ini dibuka. Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bahasa Melayu telah diadakan pada 12 Januari 2011. Kehadiran sebanyak 120 orang ahli dan tiga orang guru penasihat cukup memberangsangkan AJK PBM.

Tujuan Persatuan Bahasa Melayu ditubuhkan adalah untuk memenuhi keperluan kegiatan kokurikulum di sekolah. Persatuan ini harus aktif sepanjang tahun dengan menganjurkan dan melakasanakan pelbagai aktiviti. kebahasaan dan kesusasteraanBahasa Melayu dalam kalangan ahli yang berbilang kaum, agama dan latar belakang.

Dari segi kegiatan, Persatuan Bahasa Melayu dianggap sebagai persatuan yang paling aktif di sekolah sepanjang semester pertama tahun 2011. Antara kegiatan yang dijalankan ialah pertandingan syarahan dan peraduan bahas antara kelas. Sebenarnya, pertandingan tersebut diadakan sebagai usaha pihak sekolah untuk mencungkil bakat dan memilih wakil sekolah ke pertandingan di peringkat Daerah Batang Padang.

Pada semester kedua pula, Persatuan Bahasa Melayu dapat menganjurkan peraduan menulis karangan, sajak dan cerpen. Pertandingan tersebut bertujuan untuk memperoleh karya-karya yang bermutu untuk dimuatkan dalam majalah sekolah, IMPETUS. Pada semester ini juga, pihak sekolah melalui Panitia Bahasa Melayu turut menghantar peserta kepada pesta pantun.

Syabas dan tahniah kepada para pemantun sekolah yang telah mengungguli Pesta Pantun Daerah Batang Padang dan berjaya mewakili daerah ke peringkat negeri. Pada penghujung semester, kebanyakan ahli persatuan menumpukan perhatian kepada bidang akademik, yakni mereka dikehendaki menghadiri ceramah, seminar, dan bengkel PMR dan SPM 2011.

Pada keseluruhannya, semua kegiatan yang dijalankan oleh Persatuan Bahasa Melayu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli-ahli. Kalau sokongan seperti ini terus diberikan, kami amat yakin bahawa persatuan akan bertambah aktif lagi pada masa depan. Akhirulkalam, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan guru penasihat PBM, khususnya Cikgu Maizon bt. Abdul Hamid yang telah banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada kami sepanjang tahun 2011. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.

Laporan disediakan oleh,

Tan Jia Meng
(TAN JIA MENG)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim,
Perak Darul Ridzuan.

31 OKTOBER 2011

No comments: