Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, March 11, 2012

Karangan BM T2 - Keruntuhan Akhlak Remaja

Keruntuhan Akhlak Remaja

Zaman ini, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja semakin bertambah. Di dada akhbar, saban hari pelbagai masalah yang berkaitan dengan keruntuhan akhlak diberitakan. Antaranya termasuklah kes buli, gangsterisme, dan vandalisme. Justeru, tidak hairanlah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kini semakin membimbangkan.

Banyak faktor yang mendorong kepada keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja. Namun begitu, punca utama ialah kegagalan remaja itu sendiri mengawal diri dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran. Mereka hendak mencuba perkara baharu tanpa memikirkan kesannya. Mereka terlalu ghairah menunjukkan kehebatan diri sehingga mendorong golongan remaja terlibat dalam gejala merokok, penyalahgunaan dadah, dan vandalisme.

Selain itu, golongan remaja agak mudah dipengaruhi oleh kawan sebaya. Mereka akan terburu-buru menurut ajakan dan suruhan kawan sebaya, apatah lagi jika remaja berkenaan bergaul dalam kumpulan remaja yang bersikap negatif dan bermasalah dalam kehidupan sehari-hari.

Seterusnya, remaja juga agak mudah terpangaruh oleh paparan negatif dalam media massa. Pada masa yang sama juga, kemudahan Internet, yakni dunia tanpa sempadan turut menawarkan cukup banyak laman negatif yang mudah dilayari oleh remaja. Laman-laman inilah jika tidak dikawal selia akan mempengaruhi jiwa raga remaja pada hari ini.

Keluarga yang porak-peranda turut menyumbang kepada keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kini. Ibu bapa remaja kurang menunjukkan teladan yang dapat dijadikan ikutan atau contoh yang baik. Sebaliknya, sesetengah ibu bapa kurang mengambil tahu masalah anak-anak mereka. Justeru, anak remaja yang terbiar tanpa bimbingan dan kasih sayang yang sepatutnya mula mencari jalan keluar dan bergaul dengan anasir-anasir negatif di luar rumah. Mereka mula bergentayangan di pusat beli-belah, kafe-kafe siber dan menjadi ahli samseng jalanan.

Kesimpulannya, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kini haruslah ditangani dengan bijak dan segera. Semua pihak, termasuklah ibu bapa atau penjaga, pihak sekolah, jiran tetangga, serta segenap lapisan masyarakat haruslah berganding bahu dan bersama-sama mengatasi masalah yang kian runcing di negara kita pada hari ini. Sesungguhnya, para remaja pada hari ini merupakan umarak (pemimpin) nusa bangsa pada masa depan.


Disediakan oleh,
Chai Wuang Xing, Tingkatan 2 Hijau, SMJK Katholik, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.