Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, February 28, 2012

Tema, Persoalan dan Biodata Penulis Novel Kembara Amira

ANALISIS NOVEL TINGKATAN 5:
KEMBARA AMIRA

BIODATA PENGARANG

Novel “Kembara Amira” ini merupakan karya Amer Hamzah B. L.Kadir. Beliau dilahirkan pada 19 Jun 1966 di Dungun, Terengganu. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Bukit Bertam dan kemudiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim. Seterusnya, beliau memperoleh B.Ed (Hons) dalam bidang sejarah di Universiti Sains Malaysia (USM) dan M.Ed dalam bidang Kesusasteraan Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kini, beliau bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang, Kulim, Kedah. Beliau mula melibatkan diri dalam bidang penulisan sekitar tahun1994. Pada awalnya, beliau menumpukan perhatian dalam bidang penulisan cerpen dan kini beliau lebih cenderung dalam penulisan novel.

Penglibatan dalam dunia sastera bermula dengan Projek Hadiah Galakan Sastera Kenyalang, satu projek memupuk bakat penulisan dalam kalangan penulis baharu di Sarawak. Pada tahun yang sama cerpennya yang bertajuk “Caturrangga” telah dijadikan judul antologi cerpen dan puisi bagi projek ini. Cerpen “Belasungkawa” telah diberikan pengiktirafan antara cerpen terbaik dalam projek tersebut. Kedua-dua cerpen ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Minggu dan penerbitan antologi ini diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Bank Utama pada 1999.

Penglibatan dalam penulisan novel pula bermula pada tahun 2004 apabila novel pertama beliau, iaitu “Biar Bintang Berguguran” telah diterbitkan. Kemudian diikuti dengan “Demi Kasih Katrina” dan “Krisandra & Cinta yang Lara” yang diterbitkan oleh Tintarona Publications Sdn. Bhd.

Kembara Amira pula merupakan novel yang memenangi hadiah utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 dan diterbitkan pada tahun 2006. Akhir sekali, novel beliau, iaitu “ Kala Yuda” telah mengungguli tempat pertama dalam Sayembara Fiksyen, Sains dan Teknologi UTM – Kumpulan Utusan.


TEMA

Novel Kembara Amira bertemakan ketabahan dalam menjayakan sesuatu misi atau tugas tanpa mengenal erti putus asa dan takut.
Perkara ini dibuktikan melalui tindakan Amira yang begitu tabah semasa berada di Gunung Mat Raya, iaitu di tempat ibunya bersama-sama dengan pembantu dan pelajar-pelajarnya menjalankan aktiviti mencari gali artifak lama tinggalan manusia zaman silam. Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi bukan sahaja oleh Amira tetapi juga dihadapi oleh ibunya sendiri, Jacinta, Itai dan juga pelajar-pelajar ibunya yang sedang bekerja di tapak kerja lapangan itu. Amira hampir mati lemas akibat tergelincir di sungai dan dia bernasib baik kerana telah diselamatkan oleh Itai. Jacinta juga menghadapi cabaran, iaitu dia pengsan dan sesat di dalam hutan ketika hendak menjejaki Amira yang telah dihanyutkan oleh arus sungai yang deras. Jacinta juga bernasib baik kerana diselamatkan oleh Tau. Profesor Zaidah juga menghadapi cabaran, iaitu beliau mendapat kecederaan, iaitu tangannya terseliuh apabila kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh Pak Lias hilang kawalan kerana breknya mengalami kerosakan.

Tugas mereka hampir-hampir tidak dapat disempurnakan kerana keselamatan mereka bagaikan terancam dan menyebabkan Dr. Zawawi mencadangkan kerja-kerja cari gali itu ditangguhkan buat sementara waktu. Walau bagaimanapun, Profesor Zaidah tidak bersetuju dengan cadangan Dr. Zawawi untuk menangguhkan kerja lapangan itu dan mengatakan bahawa kerja itu perlu diteruskan. Amira tabah semasa melakukan kerja cari gali dan akhirnya dia menjumpai artifak yang berupa bekas air. Ada yang menjumpai karpus ataupun tulang pergelangan tangan manusia. Seterusya, Amira tabah menghadapi dugaan semasa hendak menyelamatkan Malique yang dikurung oleh makhluk yang berbulu (Tau) bersama-sama dengan Itai, Pak Lias, dan Jacinta.

PERSOALAN

Persoalan kegigihan dalam melakukan sesuatu perkara.
Contohnya, Profesor Zaidah, Dr. Zawawi dan pelajar-pelajarnya gigih berusaha untuk mencari gali artifak di tapak kerja lapangan.

Persoalan tolong-menolong dalam kehidupan.
Contohnya, Itai menyelamatkan Amira daripada mati lemas di sungai dan Tau pula menyelamatkan Jacinta yang tersesat jalan lalu pengsan ketika hendak menjejaki Amira. Ludin pula merawat Profesor Zaidah yang terseliuh tangannya dengan kaedah perubatan tradisional.

Persoalan keberanian dalam menempuh cabaran.
Contohnya, Amira, Itai dan Jacinta berani untuk pergi ke Gunung Gua Gajah demi menyelamatkan Malique. Mereka juga berani berhadapan dengan makhluk berbulu yang mengurung Malique.

Persoalan kebijaksanaan dalam tindakan.
Contohnya, Amira menunjukkan kebijaksanaannya dengan bertindak pantas dan tepat pada masanya untuk menggerakkan usaha demi menyelamatkan Malique.

Persoalan kesabaran dan ketekunan dalam melaksanakan tugasan.
Contohnya, pelajar-pelajar Profesor Zaidah bersabar dan tekun menjalankan kerja lapangan di tapak ekskavasi atau kerja lapangan itu.

Persoalan kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga.
Contohnya, Profesor Zaidah sayang kepada Amira, iaitu dia masih mengambil berat tentang keselamatan Amira. Tau amat menyayangi anaknya, iaitu Malique atau Sabi dan tidak mahu anaknya itu berjauhan daripadanya.

Persoalan kebijaksanaan dalam membuat keputusan
Contohnya, Amira berfikir dengan rasional dan bijaksana dalam membuat keputusan dengan menceritakan perkara yang sebenar kepada Ludin tentang peristiwa dia dan Itai mengambil ketulan emas di sungai untuk dihadiahkan kepada Jacinta.

Persoalan tentang penggunaan masa cuti dengan cara yang berfaedah.
Amira bersama dengan Jacinta ke Bukit Mat Raya untuk membantu ibunya, Profesor Zaidah yang mengetuai misi cari gali bahan artifak yang tinggi nilainya di samping memastikan kehijauan hutan dikekalkan daripada pembalakan dan pengusaha cari gali emas.

Persoalan tentang sikap masyarakat yang tidak menerima perbezaan warna kulit.
Orang asli tidak menerima Ipah dalam masyarakatnya kerana Ipah berkulit putih dan bermata biru sehingga menyebabkan dirinya dipulaukan.

Persoalan sikap saling membantu.
Itai, Amira, Jacinta, Roslan dan Pak Lias saling membantu mencari Malique yang hilang setelah dihanyutkan oleh arus lumpur yang deras.

Persoalan taat kepada perintah agama
Amira segera mengadakan solat subuh yang tidak dapat ditunaikan ketika di dalam kereta api.

Persoalan penyayang
Amira bercakap lemah-lembut dengan ibunya.
Amira sangat menyayangi Jacinta, sahabatnya dengan sanggup ke lubuk emas mencari batu emas untuk dihadiahkan kepada Jacinta.

Persoalan Suka akan cabaran
Amira seronok dapat bersama-sama ibunya ke tapak kajian arkeologi kerana suka akan cabaran.

Persoalan integrasi kaum.
Dipaparkan melalui hubungan baik Amira yang berbangsa Melayu dan Jacinta yang berbangsa Cina.

Persoalan kegiatan manusia yang telah merosakkan alam sekitar.
Hal ini dapat dibuktikan melalui kerakusan manusia yang melakukan pembalakan haram dan penerokaan khazanah hutan untuk mencari emas.

Hasil Kerja Kumpulan 1:
Manreet Kaur, Chaw Hui Wen, Sundarraj, dan Abdullah, Tingkatan 5 Sains 2, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: