Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, February 23, 2012

Penerbitan Majalah

PENGENDALIAN PENERBITAN MAJALAH TAHUNAN YANG MESRA BAHASA:
ANTARA TANGGUNGJAWAB DAN CABARAN*
oleh
MOHAMAD BIN MUSIP
Munsyi Dewan (DBP) dan Pensyarah Cemerlang DG52, Jabatan Pengajian Melayu, IPGK Perempuan Melayu, Melaka.

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar (Manusia) dengan perantaraan kalam. Dia telah mengajarkan kepada manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah Al-“Alaq: 1-5)

Pendahuluan

Ayat 1 hingga ayat 5 Surah Al-‘Alaq di atas sering dirujuk dan digunakan orang sebagai peringatan kepada diri sendiri dan orang sekeliling supaya mencintai ilmu, bermula dengan membaca untuk menggali ilmu dalam pelbagai bidang mengikut keperluan kita. Apabila membaca sudah dijadikan amalan, timbul pula keinginan susulan kita untuk berkongsi ilmu dan pengalaman daripada pembacaan itu. Justeru, kita cenderung pula untuk menulis. Gambaran ini tampaknya mudah untuk dinyatakan, tetapi untuk memahami dan melaksanakannya sehingga menjadi kenyataan tidak semudah yang dijangka. Banyak cabaran yang melatari perjuangan kita.

Berasaskan pemikiran di atas, penerbitan majalah tahunan dalam mana-mana institusi pekerjaan atau pendidikan haruslah dikategorikan sebagai satu bidang tugas rasmi. Pelaksanaannya mestilah berasaskan perancangan yang rapi. Kerapian perancangan penerbitan terhasil daripada kesedaran asas dan kecekapan pasukan tadbir urus sesebuah organisasi untuk mengenal pasti sumber manusia yang dapat menggerakkan penerbitan majalah tahunan.

Dalam konteks penerbitan majalah tahunan Institut Pendidikan Guru (IPG), kerapian perancangannya bermula daripada pembahagian tugas dan perancangan strategik Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP). JHEP dikatakan penggerak tugas penerbitan kerana organisasi ini menaungi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) yang memegang amanah menerbitkan majalah tahunan IPG menerusi Biro Penerbitan dan Penerangan.

Majalah Tahunan yang Mesra Bahasa

Isu bahasa dalam majalah tahunan bukanlah isu baharu. Bahkan, isu bahasa dapat ditemukan dalam apa-apa jua penerbitan. Konsep “isu bahasa” bermaksud segala masalah yang berpunca daripada pengabaian terhadap tuntutan ke arah berbahasa dengan betul. Natijah daripada timbulnya isu bahasa yang sering kita lihat dan baca dalam media cetak termasuk majalah tahunan ialah berlakunya masalah pencemaran atau kerancuan bahasa dalam makalah yang diterbitkan. Punca terjadinya kerancuan ini mungkin kerana pengetahuan dan pengalaman pengendali majalah (sidang redaksi) yang secara relatifnya bersifat kurang dan belum matang. Berasaskan keadaan ini, saya terpanggil untuk menyarankan supaya majalah tahunan IPG menyerlahkan sifat mesra bahasa. Ke arah itu, satu mekanisme bagi meningkatkan pengetahuan bahasa dalam kalangan pengendali majalah perlu dibina. Mekanisme ini perlu digerakkan oleh tenaga penggerak yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam arena penerbitan, dengan berfokuskan aspek bahasa yang murni atau saya istilahkan sebagai mesra bahasa.

Pembentukan Sidang Redaksi

Sidang redaksi sebagai pengendali majalah tahunan perlu disusun dengan mengambil kira keperluan untuk menghasilkan majalah yang sesuai dengan citra dan taraf IPG. Susunan sidang redaksi majalah yang mesra bahasa harus bermula dengan jawatan ketua pengarang selaku editor, diikuti penolong-penolong pengarang selaku penolong-penolong editor (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris). Pasukan pengarang ini berperanan memimpin redaksi untuk menghasilkan majalah yang mesra bahasa. Maksud mesra bahasa dalam konteks ini ialah bahan-bahan yang diterbitkan mestilah melalui proses penentuan reka bentuk (dummy), persembahan kulit dan isi, penyuntingan makalah, pembacaan pruf pracetak, penjadualan kerja, penyediaan naskhah pracetak, dan pengedaran. Sidang redaksi bukanlah dibentuk dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira merit kecemerlangan seseorang. Demikian juga penasihat kepada sidang redaksi, mereka ini perlu diberikan perincian tugas yang dapat membantu sidang redaksi, bukan menjadi penjawat tanpa tugas. Tegasnya, kesemua proses penerbitan perlu mengutamakan kepentingan untuk menjaga piawaian bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Peranan Pasukan Pengarang sebagai Pasukan Editor

Pasukan pengarang yang diketuai ketua pengarang dengan dibantu oleh sidang pengarang hendaklah bertindak menyediakan bahan mentah untuk penerbitan. Peranan dan tanggungjawab ini haruslah dinaungi pensyarah yang berfungsi sebagai penasihat merangkap ketua editor. Dalam hubungan ini, ketua editor dan pasukan editor majalah perlu meneliti komponen yang berikut dalam penyediaan bahan pracetak untuk majalah, iaitu komponen:

1. kulit majalah (judul hadapan dan belakang);
2. bahan awalan/prelim (halaman ulangan kulit hadapan, kata alu-aluan, halaman
kandungan, halaman redaksi);
3. isi (takwim, laporan dan gambar aktiviti rasmi, makalah deskriptif dan kreatif, gambar staf dan pelajar, selingan);
4. penutup (penghargaan dan autograf).

Keempat-empat komponen berkenaan perlu menampilkan aura profesional daripada segi reka bentuk persembahan, yang mesti bersih daripada kesalahan bahasa.

Peranan Editor Naskhah

Tuntutan untuk menghasilkan majalah yang mesra bahasa terpikul secara langsung di bahu editor naskhah. Editor naskhah ialah editor yang dipertanggungjawabkan untuk menangani naskhah atau bahan mentah yang diterima daripada penyumbang bahan. Editor naskhah bertanggungjawab membaca draf, menyemak kesesuaiannya dengan keperluan majalah, menambah baik atau memberikan nilai tambah, seterusnya menyediakan draf akhir untuk dibaca oleh pembaca pruf. Untuk menjadi editor naskhah yang berkesan, seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan bahasa yang kemas kini. Pengetahuan yang kemas kini bermaksud pengetahuan yang berkembang mengikut perkembangan ilmu. Dalam hal bahasa, editor yang hebat hendaklah menunjukkan keupayaan mengenal pasti bentuk bahasa yang betul dan bentuk bahasa yang salah. Daripada manakah kehebatan sedemikian timbul? Jawabnya, kehebatan timbul daripada pembacaan dan amalan berbahasa, selain amalan merujuk sumber sebagai petunjuk kecemerlangan dalam menghargai tatabahasa, ejaan, tanda baca, kosa kata, dan makna.

Antara unsur dalam teks bukan kreatif yang perlu diteliti oleh editor ialah:
1. Tajuk:
- tidak terlalu panjang
- tidak perlu noktah
- keseluruhan hurufnya ditebalkan
- keseluruhannya menggunakan huruf besar
- berupa satu penyataan, bukan ayat yang sempurna

2. Pendahuluan
- bentuknya ringkas untuk menjelaskan maksud tajuk
- mengutarakan konsep penting berdasarkan tajuk
- membayangkan isi selanjutnya

3. Perenggan Isi
- mengemukakan isi utama, huraian, dan contoh
- menghubungkaitkan isi dengan tajuk dan isi yang lain
- menggunakan kosa kata, frasa, dan ayat yang sesuai
- menggunakan tanda baca yang betul
- menggunakan penanda wacana yang sesuai mengikut pertalian (kohesi) antara
ayat dan pertautan (koheren) antara perenggan

4. Perenggan Penutup
- menggambarkan teks yang sudah selesai mengemukakan isi
- menyimpulkan idea dan merumuskan pandangan

Sekiranya bahan mentah yang disemak ialah bahan yang berbentuk karya kreatif, senarai semak yang berikut perlu dipatuhi, iaitu:

1. Tajuk
- kreatif dan menarik
- bukan berbentuk ayat (tiada noktah)
- bukan tajuk yang pernah diterbitkan

2. Keseluruhan Cerita
- diyakini karya asli, bukan diciplak atau diplagiat
- kata bualnya sesuai, termasuk penggunaan tanda pengikat kata
- ceritanya logik dan dapat membina pemikiran
- penggunaan kosa kata/diksi yang sesuai
- jika puisi, dapat difahami mesej atau perutusannya

Peranan Ketua Pengarang

Ketua pengarang majalah tahunan ialah ketua sidang redaksi, iaitu pasukan yang menyediakan bahan mentah untuk diproses sebagai bahan majalah tahunan. Seseorang ketua pengarang yang berkesan dapat memainkan peranan sebagai editor naskhah, sekal gus sebagai pengerusi mesyuarat apabila diadakan mesyuarat untuk membuat keputusan yang penting bagi menjayakan penerbitan. Ketua pengarang dengan dibantu oleh penolong ketua pengarang, serta sidang pengarang (seksyen: aktiviti, karya kreatif, karya deskriptif, fotografi, dan umum) bertanggungjawab secara

kolektif untuk menggerakkan penerbitan majalah tahunan. Setiap individu yang dimaksudkan itu perlu bekerja dalam kerangka sebagai “editor yang hebat” – bersama-sama memastikan bahasa dalam teks/bahan terpelihara tatabahasa, ejaan, dan tanda baca, selain daripada sudut kosmetik atau reka bentuk persembahan.

Ketua pengarang dengan persetujuan dan bantuan penasihat sebenarnya mempunyai satu tanggungjawab yang lebih utama, iaitu merangka reka bentuk majalah mengikut amalan penerbitan majalah tahunan semasa. Dengan reka bentuk atau kerangka kandungan yang mantap, pengisian bahan lebih mudah dilakukan. Reka bentuk majalah merupakan acuan konsepsual majalah yang ingin diterbitkan. Keseluruhan konsep majalah tahunan dapat dikembangkan sekiranya reka bentuk (dummy) majalah dapat disediakan dengan kemas dan sesuai dengan latar belakang organisasi yang menerbitkan majalah. Majalah tahunan IPG misalnya hendaklah mencerminkan hasrat IPG untuk melahirkan guru yang cemerlang. Justeru, aura majalah secara keseluruhannya mencerminkan petunjuk kecemerlangan itu, antaranya:

1. Tidak ada penggunaan bahasa yang menyalahi tatabahasa;
2. Susunan dan isi kata pengantar atau kata alu-aluannya kemas dan bernas;
3. Susunan sidang redaksinya menggambarkan oraganisasi yang berfungsi, bukan
merupakan tempelan nama dan gambar;
4. Gambar dan keterangan gambarnya tepat (ejaan nama khasnya betul)
5. Faktanya tepat serta diyakini, misalnya tarikh mula bertugas dan mengakhiri tugas
bagi pensyarah;
6. Susunan laporan, gambar, dan takwim menggambarkan usaha mencapai visi dan misi IPG;
7. Karya deskriptif dan karya kreatifnya sesuai dengan kematangan warga IPG;
8. Persembahan isiya tampak profesional, mirip kepada persembahan majalah komersial;
9. Keseluruhan format majalah mengikut spesifikasi penerbitan, berdasarkan gaya
yang diterima di peringkat antarabangsa. Di Malaysia, buku Gaya Dewan dirujuk sebagai manual penerbitan, termasuk jenis dan saiz fon, tanda baca, huruf besar dan huruf kecil, serta cara menulis rujukan.

Langkah-langkah Menjadi Editor yang Hebat

Apabila semua tindakan kita dalam kehidupan diasaskan kepada ilmu, iaitu bersumberkan pembacaan dan penulisan, maka editor atau pengendali majalah (ketua pengarang dan sidang pengarang) yang mahu menampilkan kehebatan dalam hasil kerja juga perlu membaca dan menulis. Dalam konteks tugas menerbitkan majalah tahunan, editor atau ketua pengarang bertanggungjawab membaca semua bahan atau teks yang diterima untuk penerbitan. Dalam proses membaca, editor perlu juga menulis ketika membetulkan mana-mana bahagian dalam teks sebelum ditaip semula oleh sidang redaksi yang diberikan tugas khas sebagai jurutaip. Surah Al-‘Alaq ternyata dapat menyuntik ilham kepada petugas majalah untuk menangani tugas menjayakan penerbitan majalah tahunan.

Ukuran nyata bagi seseorang editor yang hebat ialah keupayaannya dalam menguasai bahasa, iaitu mengenal pasti bentuk bahasa yang betul dan diterima sebagai amalan. Jika dinilai daripada segi kelayakan mata pelajaran Bahasa Melayu pada perigkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seseorang siswa/siswi, maka secara umum dapat dikatakan bahawa semua siswa/siswi celik bahasa. Ironinya, hakikat yang dapat diperhatikan pada bahan-bahan bertulis termasuk bahan-bahan yang diserahkan kepada pengendali majalah tahunan, tampak kelemahan yang ada. Isu tidak menguasai bahasa sebenarnya berpunca daripada tahap amalan berbahasa yang rendah. Punca berlakunya fenomena ini wajar dikaji dan dicari penyelesaiannya secara tuntas.

Contoh isu kesalahan bahasa dalam teks bertulis ialah penggunaan:
1. kata sendi dari dan daripada;
2. kata majmuk yang dieja rapat dan dieja terpisah;
3. kata pemeri ialah dan adalah;
4. hukum D-M; dan
5. ayat pasif diri pertama.

Seseorang editor yang mahu dilabelkan sebagai hebat ialah editor yang sanggup menerima tanggungjawab untuk mendepani cabaran dengan menekuni hal bahasa, yang bagi kebanyakan orang sebagai bersifat skematik (skema) dan tidak menyeronokkan. Anjakan paradigma atau perubahan cara berfikir daripada manjauhi hal bahasa kepada mendekati dan menghayati penggunaan bahasa yang betul, tepat, dan berkesan amatlah relevan bagi editor atau pengendali majalah tahunan IPG. Sanggupkah cabaran ini dihadapi dalam situasi kebanyakan orang merasakan bahawa mempelajari bahasa sebagai langkah menjumudkan diri! Jika bahasa dapat dipelajari secara beristiqamah dan berhikmah, tidak diragukan lagi bahawa majalah tahunan akan dapat diterbitkan dengan jaya dan sempurnanya.

Penutup

Bengkel yang singkat ini tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah rendahnya tahap penguasaan bahasa dalam kalangan pengendali majalah tahunan. Namun, setiap orang disarankan supaya berfikir secara bijak dan proaktif untuk mendepani cabaran dalam menjayakan penerbitan. Seseorang yang terlibat dalam kerja penerbitan sebenarnya tidak melakukan pekerjaan yang sia-sia. Hal ini demikian kerana pengendali majalah ialah mereka yang begitu hampir dengan budaya ilmu, budaya membaca, dan budaya belajar sepanjang hayat. Jika wacana ilmu yang ditekuni memberikan barakah, budaya membaca memberikan kebahagiaan, pembelajaran sepanjang hayat mengurniakan ketinggian akal budi, apakah perkara lain yang lebih membahagiakan daripada kesemuanya itu?

Rujukan

Pengetahuan dan Pengalaman Peribadi (Penulis pernah menjadi Ketua Pengarang Majalah Tahunan SINARAN (Jasin, 1972), PEMUKA (Melaka, 1974), CENDERAMATA (MPSI, 1976-1977); Penasihat Teknik Majalah Tahunan SEMESTA (Raub, 1989-1995),; Ketua Penasihat Majalah Tahunan BINGKISAN (Melaka, 2010-2011); memimpin bulletin PERTAMA dan PEKA (UPM, 1985-1988), RIMBUN BAHASA (JPM, IPPM, 1997-1998). Selain itu, penulis juga menulis sajak, pantun, gurindam, nazam, syair, cerpen, berita, rencana, kertas kerja, kertas cadangan, minit mesyuarat, teks ucapan, buku kerja, dan buku teks. Penulis dapat dihubungi di www.facebook.com/MunsyiMohamadMusip.)

*Dibentangkan dalam Bengkel Penerbitan Majalah Tahunan IPG Zon Selatan pada 25 Februari 2012 di IPGK Perempuan Melayu, Melaka.

No comments: