Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, June 27, 2011

KESABARAN
















"Dalam hal ini tak ada soal tentang ukuran waktu. Satu tahun tak kira; sepuluh tahun tak apa-apa. Untuk menjadi seniman jangan mengira waktu; maknanya ia harus matang seperti pohon, yang tak memaksa getahnya, tetapi berdiri tegap dalam ribut musim bunga tanpa bimbang apakah musim panas akan datang. Ia akan datang juga. Tetapi ia hanya akan datang kepada mereka yang hidup sabar seolah-olah keabadian terbentang di depan, diam sepi tanpa hujungnya. Saya mempelajarinya setiap hari, belajar dengan pedih, tetapi saya bersyukur: Kesabaran adalah segala-galanya."

Rainer Maria Rilke, Sasterawan Jerman.

Saturday, June 25, 2011

Karangan BM Tingkatan Satu

Kekurangan Minat Membaca dalam Kalangan Remaja

Amalan membaca banyak membawa faedah kepada masyarakat tanpa mengira usia, bangsa, agama dan latar belakang kehidupan. Malangnya, remaja pada hari ini berhadapan dengan masalah kekurangan minat membaca.

Kekurangan minat membaca dalam kalangan remaja berpunca daripada beberapa sebab. Pertama sekali, remaja lebih tertarik akan dunia teknologi maklumat seperti Internet, blogspot dan facebook. Selain itu, mereka mudah terpengaruh akan keadaan dunia remaja pada hari ini yang teruja akan dunia hiburan. Mereka kurang membaca surat khabar, majalah dan buku-buku ilmiah.

Ibu bapa turut dijadikan teladan oleh golongan remaja pada hari ini. Sekiranya, ibu bapa kurang mengamalkan budaya membaca, maka anak-anak turut bersikap demikian bak kata bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh itu, sebagai ibu bapa, mereka seharusnya mengamalkan budaya membaca dan menjadi suri teladan kepada anak-anak remaja di rumah.

Kurangnya galakan, program dan motivasi membaca turut menyumbang kepada masalah kekurangan minat membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Kegagalan institusi sekolah dalam menjayakan kempen membaca turut menjadi faktor penyumbang kepada masalah tersebut.

Oleh itu, pelbagai usaha perlu difikirkan untuk menyemaikan budaya membaca dalam kalangan remaja. Pertama sekali, kempen membaca perlu digerakkan ke seluruh pelosok negara agar setiap rakyat menyedari kepentingan budaya membaca. Ibu bapa dan guru perlu berganding bahu dalam usaha menggalakkan anak-anak murid membaca sama ada di sekolah atau di luar sekolah. Perpustakaan bergerak dan perpustakaan mini perlu diwujudkan untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya membaca. Sesungguhnya, masyarakat yang membaca merupakan masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan luas sekali gus mengelakkan diri mereka digelar katak di bawah tempurung.

Justeru, marilah kita menyemaikan budaya membaca. Sesungguhnya, masyarakat yang membaca merupakan masyarakat yang berilmu dan bermaklumat bak kata-kata hikmat, membaca jambatan ilmu.

Tan Hector,
Tingkatan 1 Hijau,
SMJK Katholik, 35900 Tg. Malim,
Perak Darul Ridzuan.

LADAP MES 2011


















Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) untuk guru-guru SMK Methodist, Tg.Malim telah berlangsung pada 25 Jun 2011. Antara penceramah yang hadir ialah Yang Berusaha En. Azshar b. Ramli, Penolong PPD Kurikulum (Bahasa) Batang Padang. Yang Berusaha En. Lee Weng Woh, Pengetua SMK Methodist, Tg. Malim telah menyampaikan cenderamata kepada penceramah jemputan. Terima kasih daun keladi. Salam.

Pantun 2011

‎I
Gadis jelita intan melintang,
Jalan membawa buah bidara;
Pemanis kata selamat datang,
Salam Satu Malaysia pemuka bicara.

II
Makan sekaya terasa manis,
Sambil makan melihat tempua;
Izinkan saya memulakan majlis,
Hari Koperasi diraikan jua.

III
Kuning emas masaknya padi,
Mawar merah dalam jambangan;
Terima kasih daun keladi,
Budi baik Pengetua jadi kenangan.

Friday, June 24, 2011

Sajak - ANGKA























Angka

Lumrahnya
Riwayat angka
Sementara

Adakalanya
Ia lupa
Pada sifar, pemula segala angka
Adakalanya
Ia alpa
Pada dua, selepas dirinya
SATU

Demikianlah, angka
Di hayat usia
Selepas sifar, muncul satu
Selepas satu, beratur tunggu
Dua tiga
mengharungi pasang surut lautan
mendepani gelora ombak dugaan
Di samudera kehidupan
Yang ungu
Yang biru!

Chai Loon Guan,
Taman Intan Setia,
Tg.Malim.

(SIASAH: 1 - 7 Julai 2011)

Thursday, June 23, 2011

Latihan Intensif Calon Tokoh Nilam Kebangsaan 2011




















Penulis bergambar kenangan dengan Pegawai BTPN Perak Darul Ridzuan, Jurulatih, Guru-guru Pengiring dan para calon Tokoh Nilam Kebangsaan Negeri Perak Darul Ridzuan 2011 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 21 - 23 Jun 2011.

Tuesday, June 21, 2011

Latihan Intensif Calon Tokoh Nilam Kebangsaan 2011



















Penulis terpilih menjadi salah seorang jurulatih untuk menjayakan Latihan Intensif Calon Tokoh Nilam Kebangsaan 2011 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak pada 21 - 23 Jun 2011. Selesai sudah slot Tatabahasa Bahasa Melayu kepada para calon kategori SR dan SM (luar bandar dan bandar) semalam, 21 Jun. Hari in, 22 Jun 2011 akan berlangsung pula slot Pengucapan Umum dan Sesi Pembentangan Calon. Suatu pengalaman yang menarik, sesi perkongsian ilmu dan kemahiran serta pembinaan jati diri dan keyakinan yang terampil. Selamat maju jaya. Salam Nilam.

Monday, June 20, 2011

Kejohanan Balapan MES 2011








Kejohanan Balapan dan Padang Ke-62, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim 2011.
Tarikh: 06 JULAI 2011 (Rabu)
Masa: 2.30 petang
Tempat: Padang MES
Tetamu Kehormat: YBhg. Pn.Christine Lee Thai Thye (Setiausaha Alumni MES)
1Murid 1Sukan 1Malaysia - Majulah Sukan Untuk Negara.

Ikan-ikan Kehidupan

Hadiah Sastera Perdana Malaysia















HSPM 2008-2009
Fort Margherita oleh Mohd Ali Salim, Segugus Kyuho untuk Cikgu oleh Ghazali Lateh, Nostalgia Ramadan oleh Husna Nazri, Di Perantauan Impian oleh Chai Loon Guan, Sedang Malaikat Berdoa oleh Mawar Shafie, Manto Tangkap Toman oleh Azizi Haji Abdullah, Batu Niah dan Harapan oleh Nimoiz TY, Perempuan-perempuan yang Bertandang oleh Mohd. Hashim Othman, Lemang Nan Sebatang oleh Nisah Haji Haron.

HSPM 2006-2007
Pusaka Cendana oleh Nisah Haji Haron, Cinta Puncak Sagarmatha oleh Rozais al-Anamy, Nilai Cinta Kami oleh Azizi Abdullah, Hadiah untuk Cikgu oleh Jais Sahok, Syair Asahab Mel oleh Siti Zaleha, Namaku Madam Sara oleh Muhd Mansur Abdullah, Bila Bulan Muncul oleh Asmidar Alias, Jerebu dalam Blog Mak Andeh oleh Fudzail, Che Soleh Rial oleh A Rahman CM, Lintah oleh SN Datuk Dr Anwar Ridhwan.

HSPM 2004-2005
Di Bawah Langit Copenhagen oleh Alinea Abd Halim@Salina Ibrahim, Panorama Seorang Nisa oleh Siti Hajar Mohd Zaki, Sangeetha oleh Azizi Haji Abdullah, Jusoh Aku Pun Nak ke Sana oleh Azizi Haji Abdullah, Profesor Sufi oleh A. Rahmad, Padam oleh Irwan Abu Bakar, Akrab oleh Amaruszati Noor Rahim, Nikmat Umur Panjang oleh Abdullah Hussain, Aduhai Si Luncai oleh Fatimah Busu, Suami Saya Tidak Melakukannya oleh Mawar Shafie. Kesemua cerpen terbaik ini dibukukan dalam Antologi Cerpen Hadiah Sastera Perdana Malaysia “Cinta Sekerdip Embun” Pengenalan oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhuan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thursday, June 16, 2011

Pengajaran BM


Strategi Pengajaran Bahasa kepada Pelajar Asing (Bahagian 5):
Isu Varian Malaysia dan Varian Indonesia

oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]

Umumnya ada dua variasi bahasa Melayu yang dominan, iaitu variasi Malaysia dan variasi Indonesia. Bahasa Melayu Brunei masih amat rapat dengan variasi Malaysia jika dibandingkan dengan variasi Indonesia dan oleh itu dapat dikelompokkan dalam variasi Malaysia. Fakta menunjukkan bahawa bahasa Melayu yang dipelajari dan diajarkan kepada penutur asing di sebahagian besar pusat pengajian di negara asing ialah bahasa Melayu variasi Indonesia yang dikenal sebagai bahasa Indonesia.

Nama jurusan pengajiannya pun lebih banyak yang dikenal sebagai Pengajian Indonesia (Indonesia Studies) daripada Pengajian Melayu (Malay Studies), kecuali di Universiti Leiden (Belanda), di Universiti Victoria State (New Zealand), di Universiti Pengajian Asing Beijing (Republik Rakyat China) dan di Universiti Pengajian Asing Hankuk (Korea Selatan), kerana adanya Kursi Pengajian Melayu yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia.

Bahasa Melayu variasi Malaysia diperkenalkan di beberapa pusat pengajian di Asia Timur, seperti di Universiti Pengajian Asing Beijing (sejak tahun 1961), di Universiti Komunikasi China (sejak tahun 2002), di Universiti Bangsa-bangsa Guangxi (sejak tahun 2008), di Universiti Bangsa-bangsa Yunnan di kota Kunming (sejak September 2010) serta di Universiti Pengajian Asing Hankuk dan Universiti Pengajian Asing Busan, kedua-duanya di Korea Selatan serta di beberapa buah universiti di Jepun.

Di Eropah, masih agak baru dimulakan usaha memperkenalkan bahasa Melayu variasi Malaysia apabila Universiti Frankfurt, Jerman mengendalikan kursus bahasa Melayu yang disertai oleh pelajar dari seluruh Eropah dan juga Rusia bermula pada tahun 2004. Dalam kursus kali pertama itu, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia untuk memenuhi permintaan Universiti Franfkurt itu, khususnya oleh Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggaranya pada waktu itu, Prof. Dr. Bernd Nothofer.

Dua tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 2006 dan 2007, universiti tersebut melanjutkan usaha mendedahkan bahasa Melayu varian Malaysia kepada pelajar peringkat Magister (sarjana) dengan mengundang Prof. Dr. Awang Sariyan memberikan kuliah intensif, dengan penekanan kepada sosiolinguistik bahasa Melayu, tatabahasa dan sistem sebutan.

Di Unversiti La Rochelle, Perancis, dengan usaha Dr. Laurent Metzger yang selama lebih dua dekad bertugas di Universiti Malaya dan beberapa tahun di Universiti Kebangsaan Singapura, usaha mendedahkan bahasa Melayu variasi Malaysia kepada pelajar telah dimulakan pada tahun 2002.

Di Oceania, Universiti Melbourne, Australia, melalui usaha Prof. Alexandaar Adelaar, bahasa Melayu variasi Malaysia turut diperkenalkan walaupun variasi Indonesia masih cukup dominan. Universiti Deakin, di Melbourne, Australia pula baru pada tahun 2005 memulakan pendedahan pelajarnya kepada bahasa Melayu variasi Malaysia apabila pelajarnya dihantar ke Malaysia untuk mengikuti kursus bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka. Tinjauan yang pernah saya lakukan di Victoria State, Australia pada sekitar tahun 2000, terdapat kira-kira 120 ribu orang pelajar yang mengikuti kursus bahasa Melayu, dari peringkat sekolah rendah hingga universiti, tetapi dapat dikatakan bahawa hampir kesemuanya berdasarkan varian Indonesia.

Di Rusia, usaha sarjana yang agak lama bertugas di Malaysia seperti Dr. Pogadaev Victor dan beberapa orang yang lain, termasuk sarjana Malaysia sendiri, membuka pengenalan kepada bahasa Melayu varian Malaysia di samping varian Indonesia yang telah lebih awal bertapak.

Pada hemat pemakalah, isu ini tidaklah terlalu besar dan tidak harus dijadikan halangan untuk mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) telah memutuskan bahawa bahasa Melayu yang didukung oleh majlis tersebut ialah bahasa Melayu supranasional, yang tidak ditandai oleh ciri khusus varian mana-mana negara secara ketat. Meskipun tampak mudah, tetapi rumusan itu memang kurang realistik, kerana variasi Indonesia dan variasi Malaysia akan tetap tampak wujudnya, terutama dalam aspek kosa kata, selain nyata juga dalam beberapa aspek tatabahasa, sebutan dan retorik.

Di Universiti Pengajian Asing Beijing, sejak tertubuhnya Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia pada tahun 2008, subjek Perbandingan Bahasa Melayu Varian Malaysia dan Varian Indonesia menjadi salah satu mata kuliah yang dititikberatkan untuk membekalkan maklumat dan kemahiran kepada pelajar yang sebilangannya akan berkhidmat di dunia Melayu (terutamanya di Malaysia, di Indonesia dan di Brunei Darussalam).

Maka itu, jalan sebaik-baiknya ialah memperkenalkan kedua-dua variasi itu supaya pelajar asing memperoleh manfaat untuk keperluan dan destinasi yang berbeda, iaitu Malaysia dan Indonesia. Terbitnya Kamus Bahasa Melayu Nusantara (DBP Brunei Darussalam, 2003) yang memasukkan lema variasi di Malaysia, di Indonesia dan di Brunei Darussalam banyak membantu pemahaman pelajar asing tentang perbedaan yang wujud, terutama tentang makna kata yang berbeda.

Daripada sudut ejaan, dapat dikatakan bahawa tidak wujud perbedaan yang terlalu besar dan pelajar asing tidak akan menghadapi masalah besar berhadapan dengan teks dalam bahasa Melayu variasi Malaysia dan variasi Indonesia. Demikian juga istilah dalam pelbagai bidang ilmu sebahagiannya telah diselaraskan. Kedua-dua aspek itu, iaitu sistem ejaan dan istilah bagi bahasa Melayu mencapai keselarasan yang relatif tinggi berkat kerjasama kebahasaan serantau melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam - Indonesia - Malaysia (Mabbim) yang telah bermula pada tahun 1972.

Namun aspek kosa kata umum dan juga gaya bahasa tampaknya perlu ditangani dengan lebih terancang dan giat. Perkembangan kosa kata yang relatif tinggi kadar perbedaannya dalam dua varian itu tidak perlu dikekang kerana ada keperluan tertentu dan khusus bagi kedua-dua kelompok penggunanya. Yang perlu diupayakan ialah penyebarluasan maklumat tentang kosa kata yang berbeda itu dalam bentuk kamus, glosari dan bahan terbitan serta bahan siaran (media cetak dan media elektronik), agar pelajar asing dapat memahami dan menghayati konteks penggunaannya dalam interaksi dengan kedua-dua kelompok pengguna bahasa Melayu itu.

Kewujudan bahasa Melayu varian Malaysia dan varian Indonesia tidak seharunya dijadikan isu untuk memperkecil daerah penyebaran, pengajian dan pengajaran bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Hakikat kewujudan kedua-dua varian itu perlu diakui dan didedahkan sebaik-baiknya kepada pelajar asing, dengan menunjukkan segi-segi persamaan dan perbedaannya.

Kembara Bahasa
16 Jun 2011

Mesyuarat Silaturahim LPS/PIBG/Alumni MES 2011




















Mesyuarat silaturahim antara pihak pentadbir sekolah dengan LPS, PIBG dan Alumni MES telah berjaya dilangsungkan pada hari Rabu bersamaan 15 JUN 2011 di Bilik Gerakan, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

Wednesday, June 15, 2011

Tokoh Murid MES 2010


















Penerima Anugerah Tokoh Murid Gemilang,
SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim 2010.

Biodata
Michael Goh Joon Seng

Michael Goh Joon Seng dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Mei 1990 anak kedua daripada dua orang adik-beradik kepada pasangan Puan Lau Yoke Yin dan Dr. Goh Hock Seng, Pensyarah Kanan (TESL), Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Sejak bangku sekolah rendah lagi, Michael Goh Joon Seng cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum sehingga membolehkan beliau memperoleh keputusan yang cemerlang, yakni 4A, 3B (UPSR), 6A 1B(PMR), dan 10A(5A+, 5A) dalam SPM 2010.

Michael Goh Joon Seng merupakan murid yang aktif dalam bidang kokurikulum. Keterampilan diri Michael Goh Joon Seng cukup terserlah apabila beliau mewakili sekolah dan memenangi pelbagai pertandingan sama ada di peringkat daerah, negeri Perak, Malaysia dan di arena antarabangsa. Antara kejayaan beliau ialah muncul Naib Johan Kategori Terbuka World Robot Olympiad 2008 di Yokohama, Jepun, Johan Kategori Terbuka World Robot Olympiad 2009 di Pohang, Korea Selatan dan menerima anugerah khas. Beliau juga muncul johan kategori terbuka Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan 2009 dan menerima anugerah persembahan terbaik.

Beliau menjadi Pengerusi Persatuan Fizik dan Kelab Tenis, aktif dalam bidang sukan dan menjadi Johan Pertandingan Tenis Lelaki Bawah 18 tahun MSSD Batang Padang (2009-2010). Selain itu, beliau juga mewakili sekolah dalam pertandingan Kuiz Kimia Kebangsaan Malaysia (2010).

Sebagai Naib Ketua Pengawas Sekolah, Michael Goh Joon Seng, telah berjaya mengungguli beberapa anugerah, iaitu Anugerah Gemilang Khas Kokurikulum Akademik Lelaki (2010), Anugerah Khas Pencapaian Kokurikulum Gemilang (2008/2009) dan Anugerah Murid Cemerlang Sekolah Menengah (Lelaki) - Tempat Keempat (2010) oleh Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran Malaysia.

Michael Goh Joon Seng sangat mementingkan kehadiran di dalam kelas semasa di bangku sekolah. Beliau juga sangat menghormati guru-guru dan suka menuntut ilmu daripada guru-guru sejak sekolah rendah. Beliau juga meminati bidang lego, elektrik dan elektronik sejak kecil. Syabas dan tahniah, Michael Goh Joon Seng!

Hari Anugerah Gemilang MES 2011


















Hari Anugerah Gemilang dan Pelancaran Rakan Alam Sekitar MES 2011 telah dirasmikan oleh YB Dato' Seri Ong Ka Chuan, Ahli Parlimen Kawasan Tg. Malim pada 15 JUN 2011. Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelaksana HAG MES 2011!

Monday, June 13, 2011

Sajak - Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR

Dalam dakapan aku, Kuala Lumpur
Asap polusi
Mewarnai landskap kotamu
Dengan anai-anai mobil
Yang sombong
Wargamu
Yang berbahasa bisu
Asing dan terasing
Biarpun di kamarmu
Pernah aku diamuk mimpi
Mengejar rerona pelangi
Di buana ilmu
Di buana hidup

Dalam belaian aku, Kuala Lumpur
Hingit bingit kota
Dan hiruk pikuk manusia
Menjadikan aku
Kian lemas
Kian cemas
Di lebuh raya hidup
Biarpun aku tahu
Neon malammu
Kian segar
Kian tegar
Dan, entah sekian kalinya
Dara menjadi dewasa
Di kamar tidurmu
Teruna menjadi sasau
Di lorong kacaumu

Kuala Lumpur oh Kuala Lumpur
Tanpa kusangka
Malam ini,
dapat kutidur di peraduanmu
menganyam mimpi
dapat kucipta puisi di kalbumu
yang biru
yang ungu

Selamat malam, Kuala Lumpur!

Chai Loon Guan,
Hotel Coronade, Kuala Lumpur.
13 – 15 Jun 2011.

Mesyuarat KPM



Mesyuarat Pengurusan Maklumat NKRA Prasekolah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian di bawah Inisiatif Sub-NKRA Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia 2011 di The Coronade Hotel, Jalan Walter Grenier, 55100 Kuala Lumpur pada 13 - 15 JUN 2011.

Sunday, June 12, 2011

Saturday, June 11, 2011

Penulis Perak – Tidak nampak ceria?









oleh PENA MUTIARA

APA khabar penulis Perak? Apa khabar Persatuan Penulis di Perak? Masih aktif lagi membangunkan sastera dan dunia penulisan? Walau apa pun jawapannya, yang nyata sejak beberapa tahunkebelakangan ini dunia sastera di Perak seakan-akan diselubungi mendung. Tidak nampak ceria. Suatu masa dahulu, iaitu sekitar tahun 60-an, 70-an dan 80-an, Perak adalah satu-satunya negeri yang kaya dengan persatuan penulis.Setiap daerah sekurang-kurangnya ada sebuah persatuan penulis. Masukera tahun 90-an kebanyakan persatuan penulis itu sudah tidak aktif lagi bergerak.

Ada yang kini tidak kedengaran lagi namanya. Entah ada lagi entah tidak. Malah ada juga persatuan penulis yang tenggelam timbul namanya. Persatuan penulis yang wujud di Perak adalah seperti PERENTAS di Parit Buntar. LEPAS di Kuala Kangsar, PESEDAR di Parit, ASPEK di Lenggong, GATRA II dan PESAKA di Ipoh, PEDOMAN di Sitiawan, PEDANG di Tapah, PENTAS di Telok Intan dan Karyawan Pk di Ipoh. Antara persatuan penulis yang disebutkan itu, hanya beberapa buah sahaja persatuan yang nampak masih bergerak dan mampu menjalankan beberapa program, walau pun bermusim. Yang lain-lain tenggelam entah ke mana. Tidak ada terdengar khabar berita lagi, barangkali sudah berkubur tanpa tanda.

PERENTAS, LEPAS dan Karyawan Pk adalah antara beberapa persatuan penulis yang masih aktif. Walau pun begitu, aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh persatuan penulis berkenaan sudah berkurangan. Setahun hanya ada satu dua kegiatan saja. Pada tahun 2000 lalu Karyawan Pk berjaya menerbitkan dua buah buku sastera karya penulis-penulis Perak iaitu antologi cerpen dan puisi. Buku-buku tersebut telah dilancarkan di Ipoh pada 5 Ogos 2000. Judul buku itu ialah Suratan dan Danau Hati. Cukupkah dengan dua buah buku saja diterbitkan untuk jangka masa lima tahun ini? PERENTAS dan LEPAS bagaimana? Mereka patut berbuat demikian memandangkan mereka adalah persatuan penulis yang masih wujud dan masih bergerak.

Dengan terbitnya buku-buku itu nanti, sekurang-kurangnya menjadi tanda akan kewujudan penulis-penulis di daerah yang mereka wakili atau pun boleh juga buku-buku itu merangkumi keseluruhan penulis Perak yang ada hari ini. Buku adalah bahan sejarah untuk tatapan dan kajian generasi akan datang apabila ingin mengetahui perkembangan dunia sastera dan penulisan di Perak.

Jelaslah tahun-tahun kebelakangan ini dunia penulisan oleh penulis-penulis Perak tidak cemerlang. Banyak penulisnya mendiamkan diri, seolah-olah sudah bersara menulis. Graf kerajinan mereka menulis benar-benar berada di tahap yang cukup mengecewakan. Mereka semacam tidak menghargai bakat yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Ini amat berbeza dengan apa yang berlaku dalam tahun-tahun 60-an, 70-an dan 80-an dulu. Tiga dekad tersebut merupakan dekad cemerlang dalam dunia penulisan Perak.

Waktu itu penulis lahir bagaikan cendawan tumbuh di musim hujan. Tidak hairan hal ini boleh berlaku kerana dalam tiga dekad tersebut persatuan penulis di Perak amat aktif mengadakan kursus, bengkel atau pun ceramah mengenai penulisan. Tokoh-tokoh sastera yang berwibawa serta editor-editor sastera di akhbar arus perdana dan majalah terkenal dijemput untuk mengendalikan bengkel atau kursus itu. Keadaan ini membuatkan suasana dunia penulisan di Perak cukup segar dan meriah.

Kesan dari aktiviti-aktiviti yang merangsang/mencabar itu maka dalam dekad 60-an dan 70-an itu Perak berjaya melahirkan beberapa orang penulis berbakat besar seperti Baharuddin Kahar, Jaafar Abdul Rahim, Zahari Hasib, Raja Sabaruddin Abdullah, Rizi S. S, Lahsani, Pena Mutiara, Najmi, Zakaria Salleh, S. Hamisal, Baharin Ramly, Jaffri B. N., M. Salleh Mahyat, Mishar, Azdi, Azimad Mahmud, Zabidin Hj Ismail, Aiel Khadijah, Malim Ghozali Pk, Ramli Daud, Ahmad Mahmud, Kasajiza A. S. dan Mohd Hadri Talib

Berbakat

Sepanjang dekad 80-an dan awal tahun 90-an beberapa orang lagi penulis muncul di Perak. Antara mereka yang nampak berbakat dan ada potensi untuk maju dan berjaya sebagai penulis ialah Raja Yusoff Arifin, Ijamala M. N., Al-Hisham, Norza, M. Shah, Nordin Haji Abdullah, J. Jamal, Chai Loon Guan, Sabariah Bahari, Jamaluddin Ahmad, A. Wahab Hamzah, Onn Abdullah dan Amirul Fakir.

Melihat barisan penulis yang agak ramai seperti yang disebutkan di atas, dunia penulisan di Perak tidak seharusnya sepi dan dingin seperti yang berlaku dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Nampaknya ramai penulis Perak sudah ingin bersara dari menulis, walau pun mereka berbakat besar. Hanya beberapa orang saja yang nampak rajin menulis seperti Raja Yusoff Arifin, Nordin Haji Abdullah, Zahari Hasib, Al-Hisham, Jaafar Abdul Rahim, Chai Loon Guan, Ijamala M. N. dan Amirul Fakir.

Dunia penulisan dan sastera di Perak wajar dimeriahkan semula seperti yang berlaku dalam dekad 60-an, 70-an dan 80-an. Penulis-penulis yang tidak rajin perlu dirangsang untuk aktif menulis semula. Mereka yang telah menunjukkan kebolehan menulis dengan baikdan cemerlang seperti Malim Ghozali Pk, Baharuddin Kahar, Kasajiza A.S. dan Baharin Ramly hendaklah kembali menulis lebih rajin. Mereka tak seharusnya lebih banyak mendiamkan diri kerana sumbangan karya mereka masih diperlukan. Mereka perlu menyumbangkan sesuatu untuk mengisi erti kemerdekaan negara ini. Penulis ada peranan dan tanggungjawabnya yang tersendiri dalam membangunkan negara.

Kelesuan dan kemuraman yang melanda dunia sastera dan penulisan di Perak hari ini hendaklah diatasi segera. Langkah pertama ke arah menceriakan suasana itu ialah dengan mengadakan pertemuan penulis-penulis Perak dalam empat dekad, iaitu 60-an, 70-an, 80-an dan 90- an. Seluruh penulis Perak dalam empat dekad itu, walau pun di mana mereka berada hari ini, perlulah hadir dalam sebarang pertemuan ini.

Dengan berkumpul dan bertemu penulis-penulis Perak dari empat dekad ini, maka akan lahirlah semangat baru, fikiran baru dan azam baru dalam dunia penulisan. Penulis-penulis muda akan dapat bertukar- tukar fikiran dan idea dengan penulis-penulis mapan Perak yang kaya dengan pengalaman seperti Suhaimi Haji Muhammad, Hassan Ali, Baha Zain, Mana Sikana, Yahaya Ismail dan Muhammad Haji Salleh. Banyak manfaatnya bila orang baru bertemu dan berbincang dengan orang lama.

Antara persatuan penulis yang ada di Perak hari ini, persatuan yang sudi tampil ke depan sebagai pelopor pertemuan bersejarah dan julung-julung kali diadakan di Perak ini? Sama-sama kita tunggu reaksi dari mereka. Dan untuk pertemuan bersejarah ini, rasanya Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dan membantu demi kemajuan dan pembangunan sastera dan penulisan di Perak.

(Sumber: Kayacipta)

Kata Terbitan Bersisipan






Sisipan bahasa Melayu dapat wujud dalam:
a. Kata Nama (KN)
b. Kata Adjektif (KA)
c. Kata Kerja (KK)

Contoh:
a. Sisipan Kata Nama
1. kelengkeng, telunjuk, kelabut, telapak - sisipan "el"
2. keruping, seruling, serabut - sisipan "er"

b. Sisipan Kata Adjektif
1. kelebak, selerak, gelembung - sisipan "el"
2. gerodak, ker(e)lip - sisipan "er"
3. gemilang, semerbak, gemerlap, gemuruh - sisipan "em"
4. sinambung - sisipan "in"

c. Sisipan Kata Kerja
1. jelajah, gelegak - sisipan "el"

(Sumber: Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Halaman 71 - 72)

Friday, June 10, 2011

Darmawisata 2011























Nostalgia darmawisata persinggahan ke Green View Garden, Cameron Highlands pada 10 Jun 2011 dalam perjalanan pulang ke desa leluhur Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan dari Kuala Krai, Kelantan Darul Naim.

Wacana SBDJ 2011



















Selamat Berwacana!

Wednesday, June 8, 2011

Darmawisata 2011


















Nostalgia darmawisata persinggahan ke Restoran 88, Cameron Highlands pada 7 Jun 2011 dalam perjalanan ke Kuala Krai, Kelantan Darul Naim.

Tokoh Guru Perak 2011


















Tuan Haji Ahamad Zabidi bin Shansuddin telah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Perak 2011 sempena Sambutan Hari Guru Negeri Perak pada 31 Mei 2011. VVIP - YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.

Sunday, June 5, 2011

Pembuka dan Penutup Bicara

Pembuka dan Penutup Bicara

Yang jauh dah dijemputkan
Yang dekat dah dikampungkan
Adat bersaudara, saudara dipertahankan
Adat berkampung, kampung dipertahankan
Hidup sandar-menyandar
Bagai aur dengan tebing

Adat berketua, ketua dimuliakan
Adat bertamu, tamu dialu-alukan
Hidup, hormat-menghormati
Bagai menelan mustika embun
Bahu memikul, hati menyokong

Kalau pinang
Hendak pulang ke tampuknya
Kalau sireh
Hendak pulang ke gagang
Kalau burung
Hendak pulang ke sangkarnya
Ke laut, menuju alur
Ke darat, menuju benar
Air setitik, sama dilautkan
Tanah sekepal, sama digunungkan

Kasih berpaut, jasamu tuan mekar
Di hati tersemat, tak pernah pudar
Tak sedetik, kami lupakan
Tak setimpal, kami balaskan.

(Sumber: Azlan Shah Abu Bakar – Dewan Sastera Mei 2011)

Karangan BM PMR - Surat Tidak Rasmi

No.4,Taman Anson,
Jalan Ketoyong,
35900 Tanjong Malim,
Perak Darul Ridzuan.
6 JUN 2011

Menemui sahabatku, Leong Kar Wong yang kini berada di Kampar, Perak Darul Ridzuan semoga sihat walafiat hendaknya di sisi keluarga yang tersayang.

Saudara Kar Wong,

Surat saudara telah selamat saya terima dua minggu yang lepas. Saya memohon maaf terlebih dahulu kerana saya terlewat untuk membalas surat saudara. Saya berharap agar saudara memaafkan saya.

Dalam surat kepada saya, saudara ingin mengetahui hobi saya. Selain itu, saudara juga ingin mengetahui keistimewaan dan sebab hobi tersebut menjadi pilihan saya. Sebenarnya, saya mempunyai hobi pilihan saya, iaitu membaca pada masa lapang.

Saya telah mula membaca buku sejak kecil lagi. Malah dalam mimpi saya, saya tidak dapat berpisah dengan buku atau bahan bacaan yang bermanfaat. Salah satu keistimewaan membaca buku ialah pembaca dapat menguasai sejumlah kosa kata dan frasa dalam sesuatu bahasa. Setelah saya membaca buku bertahun-tahun lamanya, kosa kata atau frasa yang susah mampu saya kuasai dan fahami maksudnya dengan mudah.

Selain itu, saya berkeupayaan untuk mengarang sebarang tajuk penulisan dengan mudah. Dengan adanya hobi membaca buku, keputusan peperiksaan saya semakin meningkat cemerlang. Walaupun tajuk karangan ujian susah, namun saya tetap boleh menangani masalah tersebut tanpa menghadapi sebarang masalah.

Di samping itu, hobi tersebut tidak melibatkan perbelanjaan kos yang besar. Saya tidak payah membayar wang yang banyak untuk membeli buku. Kebanyakan buku boleh dipinjam dari perpustakaan sama ada di perpustakaan sekolah, universiti atau perpustakaan awam yang terletak berhampiran dengan rumah saya.

Saya memilih amalan membaca sebagai hobi saya kerana saya mahu menjadi seorang rakyat Malaysia yang berguna kepada diri, keluarga, bangsa dan negara pada masa depan. Jikalau saya tidak membaca buku, saya tidak boleh mencapai cita-cita saya, bak kata ilmu pelita hati dan membaca jambatan ilmu.

Setakat ini sahaja yang boleh saya ceritakan. Jumpa lagi dalam lembaran warkah yang akan datang. Kirimkan salam ingatan tulus ikhlas saya kepada keluarga saudara. Sekian, terima kasih.

Sahabatmu,
Chai Wei Jian
Disediakan oleh: Chai Wei Jian, Tingkatan 1 Hijau, SMJK Katholik, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Imbuhan Awalan "Me-"

PENGIMBUHAN AWALAN "ME-" PADA KATA PINJAMAN
k
komersial – mengkomersialkan
komunikasi – mengkomunikasikan
kafir – mengkafirkan
konsepsi – mengkonsepsikan
kategori – mengkategorikan
korporat – mengkorporatkan
kritik – mengkritik
koordinasi – mengkoordinasikan
kuantifikasi – mengkuantifikasikan
komputer – mengkomputerkan
kredit – mengkreditkan
klasifikasi – mengklasifikasikan
kristal – mengkristalkan
kuantiti – mengkuantitikan
p
pamer – mempamerkan
personifikasi – mempersonifikasikan
plaster – memplaster
polemik – mempolemikkan
politik – mempolitikkan
popular – mempopularkan
s
servis – menservis
simulasi – mensimulasikan
stabil – menstabilkan
standard – menstandardkan
steril – mensteril
swasta – menswastakan
syampu – mensyampu
syariat – mensyariatkan
syelek – mensyelek
syarat – mensyaratkan
sabotaj – mensabotajkan
syukur – mensyukuri
syarikat – mensyarikatkan
struktur – menstrukturkan
skru – menskru
syirik – mensyirikkan
t
tabligh – mentablighkan
tadbir – mentadbir
tafsir – mentafsirkan
takdir – mentakdirkan
taksir – mentaksirkan (melalaikan)
takrif – mentakrifkan (mendefinisikan)
takwil – mentakwilkan
talkin – mentalkinkan
takbir – mentakbirkan (mimpi)
tauhid – mentauhidkan
tauliah – mentauliahkan
terjemah – menterjemahkan
tradisi – mentradisikan
transformasi – mentrasformasikan
transkripsi – mentranskripsikan
transliterasi – mentransliterasikan

PENGIMBUHAN AWALAN "ME-" PADA KATA BAHASA MELAYU ASLI

k → ng
p → m
kerja – mengerjakan
ke tengah – mengetengahkan
kalung – mengalungkan
kusut – mengusutkan
kagum – mengagumkan
kecewa – mengecewakan
kalah – mengalahkan
karang – mengarang
kilang – mengilang
kotor – mengotorkan
kecuali – mengecualikan
kerat – mengerat
kaya – mengaya
keluar – mengeluarkan
pandang – memandang
pandu – memandu
panjang – memanjang
pasang – memasang
pasti – memastikan
patuh – mematuhi
pendek – memendekkan
peras – memeras
perlu – memerlukan
pintas – memintas
potong – memotong
puji – memuji
pulau – memulaukan
pusat – memusatkan

s → ny
t → n
sakit – menyakitkan
sambung – menyambung
sampai – menyampaikan
satu – menyatukan
sayang – menyayangi
sedia – menyediakan
selimut – menyelimutkan
sembah – menyembah
sembunyi – menyembunyikan
sembur – menyembur
senang – menyenangkan
senduk – menyenduk
serta – menyertai
sidai – menyidai
sumbang – menyumbang
teliti – meneliti
tusuk – menusuk
tunda – menuda
tentang – menentang
tempa – menempa
tampi – menampi
tambah – menambah
tolak – menolak
tampil – menampilkan
tonton – menonton
terbit – menerbitkan
tanam – menanam
tentu – menentukan
tempuk – menepuk

Saturday, June 4, 2011

Ceritera Shigeaki Hinohara

SHIGEAKI HINOHARA (Dengan izin…)

At the age of 97 years and 4 months, Shigeaki Hinohara is one of the world's longest-serving physicians and educators. Hinohara's magic touch is legendary: Since 1941 he has been healing patients at St. Luke's International Hospital in Tokyo and teaching at St. Luke's College of Nursing.

After World War II, he envisioned a world-class hospital and college springing from the ruins of Tokyo; thanks to his pioneering spirit and business savvy, the doctor turned these institutions into the nation's top medical facility and nursing school. Today he serves as chairman of the board of trustees at both organizations. Always willing to try new things, he has published around 150 books since his 75th birthday, including "Living Long, Living Good" that has sold more than 1.2 million copies. As the founder of the New Elderly Movement, Hinohara encourages others to live a long and happy life, a quest in which no role model is better than the doctor himself.

Energy comes from feeling good, not from
eating well or sleeping a lot.


We all remember how as children, when we were having fun, we often forgot to eat or sleep. I believe that we can keep that attitude as adults, too. It's best not to tire the body with too many rules such as lunchtime and bedtime.

All people who live long — regardless of
nationality, race or gender — share one thing in common: None are overweight.

For breakfast I drink coffee, a glass of milk and some orange juice with a tablespoon of olive oil in it. Olive oil is great for the arteries and keeps my skin healthy. Lunch is milk and a few cookies, or nothing when I am too busy to eat. I never get hungry because I focus on my work. Dinner is veggies, a bit of fish and rice, and, twice a week, 100 grams of lean meat.

Always plan ahead.

My schedule book is already full until 2014, with lectures and my usual hospital work. In 2016 I'll have some fun, though: I plan to attend the Tokyo Olympics!

There is no need to ever retire, but if one
must, it should be a lot later than 65.

The current retirement age was set at 65 half a century ago, when the average life-expectancy in Japan was 68 years and only 125 Japanese were over 100 years old. Today, Japanese women live to be around 86 and men 80, and we have 36,000 centenarians in our country. In 20 years we will have about 50,000 people over the age of 100.

Share what you know.

I give 150 lectures a year, some for 100 elementary school children, others for 4,500 business people. I usually speak for 60 to 90 minutes, standing, to stay strong. When a doctor recommends you take a test or have some surgery, ask whether the doctor would suggest that his or her spouse or children go through such a procedure. Contrary to popular belief, doctors can't cure everyone. So why cause unnecessary pain with surgery? I think music and animal therapy can help more than most doctors imagine.

To stay healthy, always take the stairs and
carry your own stuff.

I take two stairs at a time, to get my muscles moving. My inspiration is Robert Browning's poem "Abt Vogler." My father used to read it to me. It encourages us to make big art, not small scribbles. It says to try to draw a circle so huge that there is no way we can finish it while we are alive. All we see is an arch; the rest is beyond our vision but it
is there in the distance.

Pain is mysterious, and having fun is the
best way to forget it.

If a child has a toothache, and you start playing a game together, he or she immediately forgets the pain. Hospitals must cater to the basic need of patients: We all want to have fun. At St. Luke's we have music and animal therapies, and art classes.

Don't be crazy about amassing material
things.

Remember: You don't know when your number is up, and you can't take it with you to the next place. Hospitals must be designed and prepared for major disasters, and they must accept every patient who appears at their doors. We designed St. Luke's so we can operate anywhere: in the basement, in the corridors, in the chapel. Most people thought I was crazy to prepare for a catastrophe, but on March 20, 1995, I was unfortunately proven right when members of the Aum Shinrikyu religious cult launched a terrorist attack in the Tokyo subway. We accepted 740 victims and in two hours figured out that it was sarin gas that had hit them. Sadly we lost one person, but we saved 739 lives.

Science alone can't cure or help
people.

Science lumps us all together, but illness is individual. Each person is unique, and diseases are connected to their hearts. To know the illness and help people, we need liberal and visual arts, not just medical ones.

Life is filled with
incidents.

On March 31, 1970, when I was 59 years old, I boarded the Yodogo, a flight from Tokyo to Fukuoka. It was a beautiful sunny morning, and as Mount Fuji came into sight, the plane was hijacked by the Japanese Communist League-Red Army Faction. I spent the next four days handcuffed to my seat in 40-degree heat. As a doctor, I looked at it all as an experiment and was amazed at how the body slowed down in a crisis.

Find a role model and aim to achieve even
more than they could ever do.

My father went to the United States in 1900 to study at Duke University in North Carolina. He was a pioneer and one of my heroes. Later I found a few more life guides, and when I am stuck, I ask myself how they would deal with the problem.

It's wonderful to live long.

Sajak Musim Cuti III - Sakit II
























Sakit II

Sakit
tiada tender
tiada permit
tiada biasiswa
tiada subsidi
tiada kroni
tiada pilih kasih

Sakit
tiada Mykad
tiada pasport
tiada visa
tiada diplomatik
tiada politik

Sakit
bebas datang
bebas pulang
tanpa diundang
di dunia kaya
di dunia papa

Sakit
mengingatkan kita
tentang sihat
menasihati kita
tentang kasih
menegur kita
tentang bahagia
menginsafkan kita
tentang kemanusiaan
menyedarkan kita
tentang kehidupan
mendekatkan kita
kepada Tuhan!

Chai Loon Guan,
Hospital Selayang,
3 Jun 2011.

(Sumber: Berita Minggu - 12 JUN 2011)

Syarat Pemilihan Tokoh Nilam
























Syarat Pemilihan Tokoh Nilam

1. Jumlah bacaan buku
a. 72 – 143 naskhah (Anugerah Gangsa)
b. 144 – 215 naskhah (Anugerah Perak)
c. 216 – 287 naskhah (Anugerah Emas)
d. 288 + naskhah (Anugerah Nilam)

2. Calon yang menguasai lebih daripada satu bahasa mempunyai kelebihan.
3. Calon berkemahiran bertutur/berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
4. Calon dapat menulis esei spontan dalam kedua-dua bahasa utama. Kategori Sekolah Menengah 150 patah perkataan manakala kategori Sekolah Rendah 100 patah perkataan.
5. Calon berkeupayaan untuk mengulas senaskhah buku, sama ada karya besar (karya Sasterawan Negara) atau karya agung (Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dsb.).
6. Calon dapat memberikan respons tentang isu-isu semasa, berpengetahuan luas dan mampu membuat persembahan ringkas dalam sesi temu duga.
7. Calon mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan (akademik) sama ada di peringkat sekolah atau peperiksaan awam, yakni UPSR dan PMR serta terserlah dalam bidang kokurikulum dan kesahsiahan diri.

Hadiah - Piala Pusingan, Sijil Penghargaan dan Wang Tunai RM 100.00
Catatan:
2008
• MES Johan Tokoh Nilam Daerah Batang Padang dan Johan Tokoh Nilam Negeri Perak Darul Ridzuan. Wakil Negeri Perak ke Pertandingan Tokoh Nilam Peringkat Kebangsaan.
2009
• MES Johan Tokoh Nilam Daerah Batang Padang dan Naib Johan Tokoh Nilam Negeri Perak Darul Ridzuan.
2010
• MES Johan Tokoh Nilam Daerah Batang Padang dan Naib Johan Tokoh Nilam Negeri Perak Darul Ridzuan.

(Sumber: Unit Kokurikulum dan Panitia Bahasa Melayu, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim)

Friday, June 3, 2011

Kriteria Penilaian Tokoh Nilam

BAHAGIAN A

1. Pengesanan Kemahiran Membaca (25%)
Calon hendaklah membaca teks yang disediakan dalam tempoh yang ditentukan berhubung dengan isu-isu pengetahuan am, sains, seni, sukan dan lain-lain)

1.1 Skiming
1.2 Skaning
1.3 Analisis
1.4 Rumusan

2. Pengesanan Pengetahuan (20%)
Calon menyampaikan ulasan buku dan juga hakim akan mengemukakan soalan-soalan berhubung dengan kemahiran PSS.

2.1 Nama penulis dan tajuk buku.
2.2 Tema/mesej buku tersebut.
2.3 Sinopsis.
2.4 Bagaimana buku tersebut membantu kerjaya calon?
2.5 Ciri-ciri fizikal buku, yakni bibliografi, nombor panggilan, tulang buku, kegunaan indeks dsb.

3. Pengesanan Kebestarian (20%)
Calon diminta mengupas topik terkini atau isu semasa.

3.1 Kebolehan berhujah.
3.2 Kepetahan bercakap.
3.3 Kefasihan bertutur.
3.4 Perawakan.
3.5 Ilmiah.

4. Pengesanan Penghayatan dan Aspirasi Pembacaan (25%)
Soalan-soalan berhubung dengan kemahiran membaca.

4.1 Erti membaca.
4.2 Masa membaca.
4.3 Pengurusan buku.
4.4 Genre buku yang diminati.
4.5 Soalan bonus hakim - sikap calon terhadap membaca, yakni usaha mendapatkan bahan bacaan, reaksi terhadap penulis yang diminati, pengetahuan tentang Bulan Membaca, Pesta Buku, Hari Buku Sedunia dan usaha menyimpan dan mengurus buku.

BAHAGIAN B - PENULISAN

5. Pengesanan Kemahiran Memberikan Pendapat / Ulasan (10%)
Calon hendaklah menulis tidak lebih daripada 150 patah perkataan (Sekolah Menengah) atau 100 patah perkataan (Sekolah Rendah) dengan berdasarkan soalan yang disediakan dlalam tempoh yang ditentukan.

5.1 Isi
5.2 Bahasa
5.3 Kaedah persembahan.
5.4 Penyelesaian masalah.
5.5 Kaedah mengulas dan memberikan pendapat.

(Sumber: BTPN Perak)

Thursday, June 2, 2011

Sajak Musim Cuti II - Bahasa












BAHASA

bahasaku
bagaikan mimpi ngeri
tiba-tiba terjaga
dariipada lena yang trauma

menangis bahasaku
di persada usia
terabai tanpa cinta
tersisih tanpa kasih
bagai melukut di tepi gantang
terasing duka di rumah sendiri
terasing luka di rumah sendiri

alahai, bahasaku!

Chai Loon Guan,
Hospital Selayang.
3 Jun 2011.

Sajak Musim Cuti I - Tikus Kehidupan










Tikus Kehidupan

aku
umpama tikus
dikejar dan mengejar
saling berlumba
saling bergelut
di pentas kehidupan

bersainglah aku
dengan kawan
bertarunglah aku
dengan lawan
biarpun acapkali aku
terkesima dibelenggu
resah-gelisah
termimpi akan kengerian
dijadikan habuan
sang kucing yang buas
sang kucing yang lapar!

Chai Loon Guan,
Hospital Selayang,
3 Jun 2011.

Sajak - Terima Kasih, Tuhan

Terima kasih, Tuhan

Terima kasih, Tuhan
Kerana memberikan nafas
Untuk denyut hidup
Dapat kulihat sinar mentari
Di ufuk pagi
Dapat kutatap landskap alam
Di bumi duga

Terima kasih, Tuhan
Kerana memberikan nafas
Untuk nadi hidup
Dapat kuhayati puisi hayat
Di horizon senja
Dapat kutafsir sketsa buana
Di laut usia
Luka bahagia, manis duka
Rencah ombak kehidupan

Terima kasih, Tuhan!

Chai Loon Guan,
Tg.Malim.
12 Mac 2011.

(Sumber: Berita Minggu - 17 April 2011)

Hari Anugerah Gemilang & Pelancaran Rakan Alam Sekitar 2011












Majlis Hari Anugerah Gemilang & Pelancaran Rakan Alam Sekitar,
SMK Methodist, 35900 Tg. Malim 2011.
Tarikh: 15 JUN 2011 ( Rabu )
Masa: 2.00 petang
Tempat: Dewan MES
Tetamu Kehormat:
YB Dato' Seri Ong Ka Chuan, SPMP, DPMP, PMP,
Ahli Parlimen Tg.Malim.
Selamat Datang!

Wednesday, June 1, 2011

Tokoh Nilam Batang Padang 2010























Tivya Aingari Ganesan, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim, Perak Darul Ridzuan. Sebagai maklumat tambahan, Tivya turut mewakili Daerah Batang Padang ke Pertandingan Tokoh Nilam Negeri Perak Darul Ridzuan 2010 dan muncul sebagai Naib Johan Kategori Sekolah Menengah.

Sajak - AKULAH









akulah
ikan perantauan
berenang-renang
mencari jalan pulang
di laut dalam

akulah
burung pengembaraan
melebarkan sayap
mencari desa halaman
yang ditinggalkan silam
nostalgia semalam

akulah
musafir perjalanan
akhirnya pulang
daripada destinasi panjang
mencari akar diri
mencari jati diri
yang terbelenggu
di diari kalbu
yang berdebu
terpenjara di kamar rindu
dendam
yang terpendam

barangkali,
sempatkah aku
mengejar kereta api
di stesen usia
sebelum berangkat pergi
menyelusuri rel landasan-Nya
tanpa puisi
mewarnai sketsa rerona-Nya
tanpa melodi?

Chai Loon Guan,
Taman Berop Idaman,
Tg. Malim.

Seminar Tatabahasa BM MRSM Felda Trolak Utara 2011




















Seminar Tatabahasa BM PMR
Maktab Rendah Sains MARA Felda, Felda Trolak Utara, 35600 Sungkai.
28 MEI 2011
Kenal pasti sama ada betul atau salah bagi KATA yang berikut:
1. calun ( )
2. pertunjukkan ( )
3. mee ( )
4. ko-kurikulum ( )
5. beristirahat ( )
6. pensil ( )
7. merbahaya ( )
8. minimum ( )
9. sayugia ( )
10. emel ( )
11. insuran ( )
12. memperoleh ( )
13. gambarajah ( )
14. definasi ( )
15. cop ( )

Kenal pasti sama ada betul atau salah bagi FRASA yang berikut:
1. ibubapa ( )
2. bantu membantu ( )
3. 50-an ( )
4. lain-lain usul ( )
5. koleksi lagu ( )
6. kedua-dua adiknya ( )
7. kata-kata aluan ( )
8. pertemuan penulis-penulis ( )
9. penghawa dingin ( )
10. sesetengah koperasi ( )
11. oleh kerana ( )
12. pelbagai kuih-muih ( )
13. gugusan pulau ( )
14. segelintir daripada pemohon ( )
15. kertas kerja-kertas kerja ( )

Nyatakan Jenis Frasa:
1. makan nasi ( )
2. daripada Encik Adichonan ( )
3. amat mahal sekali ( )
4. kedai runcit Mutu ( )
5. di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( )
6. berbincang tentang hal itu ( )
7. penyair tersohor ( )
8. malas sungguh ( )

Kenal pasti sama ada betul atau salah bagi AYAT yang berikut:

1. Beliau memiliki ijazah sarjana di bidang pengurusan perniagaan. ( )
2. Tanah kebun yang luas itu bagi kami. ( )
3. Dengan kehadiran beliau telah menaikkan semangat semua pemain.( )
4. Orang yang baru sampai itu siapa? ( )
5. Jika saya belajar dengan sungguh-sungguh. ( )
6. Semoga dia berjaya dalam peperiksaan itu. ( )
7. Harga barang itu lima setengah ringgit. ( )
8. Ali mempunyai sebuah cita-cita untuk mengharumkan nama negara.( )
9. Mereka sedang berseloroh sesama sendiri. ( )
10. Beberapa kawasan pendalaman di Kelantan telah dinaiki air. ( )
11. Industri pelancungan sedang giat dimajukan. ( )
12. Perabot ini sangat mahal kerana ianya diimport dari Itali. ( )
13. Mereka sekeluarga saling sayang-menyayangi. ( )
14. Jika sekiranya saya terlupa, tolong ingatkan saya. ( )
15. Bangunan itu yang tinggi Menara Maybank. ( )
16. Kami berdoa agar Amar cepat sembuh. ( )
17. Mereka akan melancong ke Jepun atau Taiwan? ( )
18. Kelalaian yang menyebabkan kemalangan sering berlaku. ( )
19. Masalah ini kami akan atasi. ( )
20. Meja itu beralaskan dengan sehelai kain. ( )
21. Pasukan Selangor bertemu pasukan Johor. ( )
22. Pemimpin itu lupa akan janji-janjinya. ( )
23. Dia belum mengetahui tentang hal itu. ( )
24. Mereka akan mendalamkan lagi sungai itu. ( )
25. Adik-adiknya bijak-bijak belaka. ( )
26. Ali menghantar keretanya untuk dibaiki di Sun Hup Bengkel Kereta. ( )
27. Suasana di jalan itu pada waktu malam sangat sunyi sepi. ( )
28. Dia memasuk buku itu ke dalam beg. ( )
29. Ibu mengambilkan nenek segelas air. ( )
30. Semasa kedudukan Jepun, kehidupan rakyat tertindas. ( )


Bibliografi:
1. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, DBP 2008.
2. Tutorial Terbilang BM Tingkatan 2, Longman 2007.
3. Fakta Topik Easy PMR BM (Kesalahan Umum Tatabahasa), Sasbadi 2009.
4. Koleksi Pedoman Bahasa I, DBP 2010.
5. Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP 2007
• Chai Loon Guan, GC BM, Munsyi Dewan DBP: 2011