Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, February 27, 2011

Warkah Seorang Sahabat















No 10, Jalan Bernam 12,
Taman Bernam Baru,
35900 Tanjong Malim,
Perak Darul Ridzuan.

7 Februari 2011

Menemui sahabat penaku, Chong Wei yang kini berada di Negeri Sembilan Darul Khusus. Apa khabar saudara? Saya di sini baik-baik belaka. Harap saudara juga berkeadaan sedemikian di samping keluarga yang tercinta.

Chong Wei,

Surat saudara yang bertarikh 2 Februari 2011 telah selamat saya terima pada tiga hari yang lepas. Maafkan saya atas sedikit kelewatan yang tidak disengajakan. Menurut surat tersebut, saudara ada menyuarakan hasrat untuk mengetahui tempat-tempat yang menarik di sekitar kawasan kediaman saya, bukan? Di sini, saya sertakan beberapa maklumat mengenainya.

Saya ingin menerangkan serba ringkas sejarah Tanjong Malim kepada saudara. Pekan Tanjong Malim terletak di selatan negeri Perak Darul Ridzuan bersempadan dengan negeri Selangor. Tanjong Malim terletak kira-kira 70 kilometer di utara Kuala Lumpur. Tanjong Malim juga terletak betul-betul di sebelah utara Sungai Bernam yang menjadi garis sempadan antara negeri Perak dan Selangor. Tempat-tempat yang berhampiran dengan Tanjong Malim ialah Hulu Bernam, Kampung Kelawar, Slim River, Slim Village, Behrang, Behrang Ulu dan Ketoyong.

Untuk makluman saudara Chong Wei, asal nama Tanjong terbentuk daripada permukaan bentuk tanjung di hulu Sungai Bernam manakala Malim pula berasal daripada kata, “Muallim” yang bermaksud orang yang sangat berilmu. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa fakta yang mengatakan bahawa Tanjung Jambu dan Kampung Kubu adalah nama asal Tanjong Malim berikutan sekumpulan enam orang pahlawan Bugis yang telah meneroka dan membukanya pada suatu ketika dahulu.

Buat pengetahuan saudara, terdapat satu lagi keistimewaan di Tanjong Malim, iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). UPSI merupakan universiti pendidikan pertama dan terulung di Malaysia. Oleh hal yang demikian, Tanjong Malim digelar sebagai Bandar Pendidikan. Sebelum ini, UPSI lebih dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) atau SITC, kemudian bertukar kepada Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI). Kampus ini terletak bertentangan dengan SMK Methodist, Tanjong Malim dan kini dalam proses untuk membuka cawangan kampusnya di Proton City.

Selain itu, Tanjong Malim juga mempunyai sebuah kilang pengeluar kereta tempatan, iaitu Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PROTON) yang diilhamkan penubuhannya pada zaman pentadbiran Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia. Orang ramai sering berkunjung ke Tasik Embayu yang terletak berhampiran dengan kilang Proton di Proton City. Tasik tersebut dikelilingi oleh pelbagai jenis pokok yang menghijau dan dilengkapi dengan kemudahan moden. Jika saudara berniat untuk menenangkan fikiran sambil menghirup udara yang segar, singgahlah di kawasan ini. Pastinya saudara akan berpuas hati dengan keadaan panorama dan landskap alam di sekitar tasik tersebut.

Chong Wei,

Setelah puas mengetahui tempat-tempat menarik di sini, pasti saudara tertanya-tanya akan keistimewaan Tanjong Malim dari segi makanan tempatan, bukan? Di sini terdapat beberapa buah kedai makan yang amat istimewa. Nasi padang di sini pasti mampu membuka selera saudara serta keluarga. Ada wisatawan dari Kedah Darul Aman dan Kelantan Darul Naim sanggup datang ke sini semata-mata ingin merasai kelazatan hidangan tersebut. Di samping itu, Nasi Beriani Gum turut menjadi tarikan orang ramai dek keunikan masakan dan aroma rempah-ratusnya. Yang pasti, saudara akan singgah lagi di tempat ini setelah menikmati hidangan di kedai tersebut.

Cukuplah setakat ini sahaja maklumat mengenai Tanjong Jambu. Saya berharap agar saudara telah mendapat maklumat yang terperinci seperti yang saudara inginkan. Saya amat berbesar hati jika saudara dan keluarga sudi untuk singgah di kawasan kediaman saya, bak kata pepatah, “besar tapak tangan, nyiru saya tadahkan”. Pintu rumah saya sentiasa terbuka buat kalian.

Sekian, terima kasih.

Sahabat penamu,
Fakhira

Saturday, February 26, 2011

Nama

Namaku, Chai Loon Guan dalam bahasa ibunda (Cina) - 蔡 润 源

Friday, February 25, 2011

Persidangan Meja Bulat KPPK 2011




















Baru kembali daripada Persidangan Meja Bulat bagi membincangkan isu mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan isu memartabatkan mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat kebangsaan anjuran KPPK / NUTP di Hotel Vistana, Kuala Lumpur pada 25 - 26 Februari 2011.

Dalam gambar - YBhg.Prof.Madya Dr.Lim Swee Tin (UPM), Dr.Hanafi (DBP), Pn.Siti Aishah Murad (DBP), En.Awang Abdullah (KPPK - Penyelaras Persidangan), En.Fauzi Abdullah (IPGM Bahasa Melayu KL) dan peserta-peserta persidangan.

Wednesday, February 23, 2011

Tugas














23 Februari 2011:
Saya sedang sibuk menekuni beberapa skrip ucapan untuk Mesyuarat Agung PIBG 2011 sebelum menghadiri Persidangan Meja Bulat Memartabatkan Bahasa dan Susastera BM Kebangsaan anjuran KPPK/NUTP di Hotel Vistana Kuala Lumpur.

Sunday, February 20, 2011

Notelun Nostalgia MESA 1970'an

















Dewan Tun Abdul Razak, 35900 Tg, Malim, Perak - 19 Februari 2011

Saturday, February 19, 2011

MES SCHOOL SONG I - 60's

















Forward me scholars
Onward to liberty
Cross Bernam with torch
Of knowledge and loyalty

Hurrah for MES
Hurrah for MES
Hurrah for MES
Our alma mater true

Remember your alma mater
Like sons of royalty
Live up her ideals really
With love and loyalty

Always round her rally
Where're you may be
Help her better cater
Her students thro' eternity

(For Old Time Sake II - A gathering of ex-Methodist English School Students of the 50's, 60's and Mid-70's. 19 February 2011 at Tun Abdul Razak Hall, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan)

Thursday, February 17, 2011

Cinta
















Cinta membahagiakan duka. Duka melukakan bahagia. Tanpa cinta dan duka, kita kehilangan warna-warni kehidupan di maya pada ini. Salam.

Wednesday, February 16, 2011

Sahabat















Oleh sebab dibelenggui keangkuhan, ketamakhalobaan dan kepentingan diri, barangkali benar kita akan kehilangan kesetiaan seorang sahabat yang baik dan akrab di buana kehidupan ini.

Ayam rintik di tepi kota,
Mencari makan di pagi hari;
Kawan tertawa banyak bersua,
Teman menangis seorang diri.

Pohon mengkudu tumbuhnya rapat,
Rapat lagi pohon jati;
Kawan beribu mudah didapat,
Sahabat setia payah dicari.

(Sumber: Pelita Bahasa - Februari 2011)

Monday, February 14, 2011

Dirgahayu, Guruku!


WARKAH UNTUK GURU
(Dedikasi buat Mrs.Eva Jenny Jothi - 90 tahun menjelang 3 Mac 2011)

Bagaikan tukang jahit, guru
Kautabah sabar menarikan jejarum ilmu
Bertemankan bebenang rona
Mencantumkan helai demi helai kain
Menjadi busana kebahagiaan anak-anak warisan
Nusa dan bangsa

Bagaikan tukang masak, guru
Kaugigih cekal
Memilih sayur-mayur yang terpilih
Digaulkan dengan gizi dan rempah-ratus pengalaman
Menghasilkan hidangan kedewasaan
Buat anak cucu warisan zaman-berzaman

Bagaikan tukang rumah, guru
Kausabar mengetam pepapan akhlak
Mendirikan tiang moral
Membentuk kamar, jendela dan pintu
Rumah keharmonian
Insan - anak-anak didik nan kamil

Dalam riak gelombang lautan kehidupan, guru
Kaulah bahtera gagah melayari cekal ke pelabuhan bahagia
Dalam pusar pawana ribut yang mengganas di gurun pasir kehidupan, guruku
Kaulah khalifah tabah
Milik jati diri adunan citra terpuji
Memandu aku
Musafir sesat serba daif
Ke buana celik insaf
Menuju alaf baharu
Era Koridor Raya Multimedia

Dalam kegelapan, guru
Kau sebutir bintang berkerdipan di cakerawala hidupku
Jejalur nur suci kristalmu
Menerangi buana ilmuku
Waktu demi waktu
Selagi hayat dikandung badan

Dirgahayu, guruku
Jasa baktimu
Kembang mekar mewangi di taman kehidupan
zaman-berzaman!

CHAI LOON GUAN
(BERITA MINGGU – 26 APRIL 1998)

Majlis Ramah Mesra Nostalgia Alumni MES
















Majlis Ramah Mesra Nostalgia Alumni MES 60-an dan 70-an

Tarikh: 19 Februari 2011 (Sabtu)
Tempat: Dewan Tun Abdul Razak Tg. Malim
Masa: 5.00 petang - 10.00 malam

Yang mudah...











Biarlah orang bermasam muka atau tidak suka akan rasional kebenaran yang kita syorkan dalam sesuatu hal yang melibatkan komuniti atau organisasi. Yang penting hal yang mudah tidak haruslah digandakan kesulitan dengan idea-idea yang bermotifkan keuntungan atau dibaluti agenda peribadi sehingga menyukarkan urusan seharian masyarakat dan kehidupan di sekelilingnya. Salam.

Sunday, February 13, 2011

Sandiwara























Manusia acapkali mengambil kesempatan atas maksud kosa kata prihatin, cinta, kemanusiaan dan ketanggungjawaban. Begitu juga, kita seringkali mengambil peluang atas maksud frasa kenang budi, kenang jasa, dan kasih sayang bertopengkan kepura-puraan tanpa keikhlasan, ketulusan dan ketelusan. Jelas terbukti bahawa kita melakukan sesuatu bermotifkan keuntungan peribadi atau sekadar melakonkan watak untuk mengaburi kebenaran di pentas kehidupan. Benarlah kata-kata pujangga Inggeris -dunia ialah sebuah pentas dan kitalah sang pelakonnya. Salam.

Saturday, February 12, 2011

Cadangan


















Semua orang bisa memberikan cadangan yang barangkali bernas dan bermanfaat kepada organisasi. Yang sukar, bukan semua orang bisa atau sanggup bersama-sama untuk menjayakan dan merealisasikan cadangan tersebut. Salam.

Sunday, February 6, 2011

Lautan Kehidupan























Sudah lumrah alam, gelora ombak di lautan kehidupan ada pasang surutnya. Kata bijak pandai pula, buana kehidupan persis lingkaran waktu - bermula dengan detik tangis kelahiran, nikmat ceria alam kanak-kanak, bahagia duka zaman keremajaan dan kedewasaan, derita usia tua yang uzur dan nyanyuk sebelum tibanya waktu sakaratulmaut menjemput kita pulang ke rumah-Nya. Sesungguhnya, kita umpama sang pengembara yang sedang menjejaki setiap inci rel kereta api kehidupan. Sesekali, pernahkah kita berbisik dalam kalbu: "Sudah bersediakah aku untuk bertemu dengan malaikatulmaut?" Salam.

Saturday, February 5, 2011

Sajak - MESIR dalam API
















MESIR dalam API

Merah api
Kian menjamah tanahmu
Bara api
Kian membahang membakar bumimu
Nyala api
Kian merebak bersemarak
Dalam kobar debar
Nubari hati marhaen
Kota desa
Yang tersedak
Yang tersesak
Yang terdesak

Lihat, lidah api
Kian liar menjalar
Membakar hati rakyat
Dan, kedamaian pun terlelong
di pasar perjuangan

Ah, sebelum debu
Bertimbun di rumah merdekamu
Kembalikanlah kedamaian
Kembalikanlah keamanan
Amarah peluru atau batu
Bukan suapan kebahagiaan
Bukan kudapan keadilan

Usah biarkan bulur kebebasan
Membelengguimu
Di mulut kuasa yang celupar
Di perut kuasa yang lapar
Usah biarkan merah darah
terpalit pada sketsa
Sang umarak yang haloba
Sang umarak yang alpa!

Chai Loon Guan,
Tg.Malim.

Friday, February 4, 2011

Filem "Ice Kacang Puppy Love"









Baru selesai menonton filem pendek Cina - "Ice Kacang Puppy Love" di 8TV. Ceritanya mudah tetapi mesej filem mengusik kalbu menggugah minda. Filem yang mampu menghiburkan sambil mengajak audiens berfikir sejenak tentang kehidupan manusia. Tahniah kepada pengarahnya. Tahniah juga kepada anak murid saya - Encik Soon Kien Seng (tengah), salah satu watak sampingan dalam filem tersebut. Salam.

Wednesday, February 2, 2011

Karangan BM Tingkatan 1 - Pasar Malam di Tg.Malim

PASAR MALAM di TANJONG MALIM

Pasar malam merupakan salah sebuah tempat yang menjual pelbagai jenis barang dan makanan kegunaan seharian dengan harga yang berpatutan. Pasar malam juga biasanya akan diadakan di setiap pekan atau bandar pada masa yang tertentu. Pasar malam di pekan saya, iaitu Pekan Tanjong Malim biasanya diadakan mulai petang pada setiap hari Sabtu.

Banyak gerai jualan dibuka untuk menarik perhatian orang ramai. Antaranya, gerai yang menjual ikan, buah-buahan, sayur-sayuran, makanan dan pakaian terdapat di situ. Suasana pasar malam Tanjong Malim riuh-rendah dengan suara tawar-menawar pelanggan dan penjaja yang cuba menarik perhatian setiap pelanggan. Saya pula cukup gemar membeli nasi lemak bungkus di gerai pasar malam. Selain nasi lemaknya enak dan bersih, harganya juga berpatutan.

Adik perempuan saya pula suka membeli minuman di pasar malam. Kebiasaannya, ibu akan membeli ikan, udang dan sotong segar daripada seorang penjaja Melayu di pasar malam tersebut kerana harganya murah dan berpatutan. Suasana pasar malam dimeriahkan pula dengan kunjungan penduduk di sekitar bandar Tg. Malim serta pelajar UPSI dan Politeknik SAS, Behrang.

Penjaja di pasar malam akan mengemaskan gerai masing-masing pada pukul sepuluh malam. Barangkali para penjaja berasa gembira kerana hasil titik peluh mereka sudah membawa pulangan yang menguntungkan. Sampah-sarap yang bertaburan akan dibersihkan oleh pekerja-pekerja MDTM sebaik sahaja para peniaga berangkat pulang ke destinasi masing-masing. Demikianlah sedikit banyak gambaran suasana pasar malam di pekan saya, Tanjong Malim.

Hasil kerja:
Yap Kai Lun,
Tingkatan 1H, SMJK Katholik, 35900 Tg.Malim, Perak Darul Ridzuan.

Karangan BM Tingkatan 2 - Membaca Jambatan Ilmu

“Membaca Jambatan Ilmu”. Berdasarkan slogan tersebut, anda berbincang dengan rakan tentang langkah-langkah untuk menarik minat membaca dalam kalangan remaja.

Pada hari Ahad yang lalu, Ann Zhi, Sok Kuan dan saya (Zi Shan) telah pergi ke perpustakaan awam untuk mencari maklumat. Sambil menyiapkan projek sekolah, kami berbincang tentang tajuk pidato BM, yakni “Membaca Jambatan Ilmu”.

Ann Zhi: Remaja pada hari ini amat kurang mengamalkan budaya membaca.
Sok Kuan: Betul kata Ann Zhi. Oleh sebab itu, semua pihak patutlah bekerjasama untuk membendung sindrom kurang membaca dalam kalangan remaja.
Zi Shan: Apakah langkah-langkah yang wajar untuk menarik minat membaca dalam kalangan remaja, Ann Zhi?
Ann Zhi: Pada hemat saya, pihak sekolah perlu bertindak proaktif, yakni menganjurkan kempen dan ceramah tentang kepentingan membaca dalam kehidupan kita sehari-hari.
Sok Kuan: Selain itu, ibu bapa juga haruslah memberitahukan kepentingan membaca buku sama ada bahan kreatif ataupun bukan kreatif, majalah dan akhbar kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi.
Zi Shan: Malangnya, amalan ini kian berkurangan di sekolah, Sok Kuan. Bagaimanakah masalah ini boleh kita tangani, Ann Zhi?
Ann Zhi: Pertama sekali, pengajaran dan pembelajaran guru sekolah perlulah kreatif dan inovatif. Guru boleh menggabungjalinkan teknik bacaan dalam pengajaran di dalam kelas. Contohnya guru mengajarkan Sains menggunakan teater membaca, membaca teks KOMSAS selain teknik lakonan, nyanyian, dan teknik main peranan.
Sok Kuan: Seterusnya, bahan-bahan yang digunakan oleh guru perlulah menarik dalam usaha menarik minat remaja. Contohnya penggunaan ICT, majalah, buku-buku rujukan, dan akhbar di dalam bilik darjah.
Zi Shan: Sebenarnya, budaya membaca dalam kalangan remaja juga boleh kita terapkan dalam program utama sekolah seperti Minggu Bahasa dan Susastera BM, Bulan Kemerdekaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan. Pihak sekolah boleh menganjurkan pelbagai pertandingan berasaskan budaya membaca, kawan-kawan.
Ann Zhi: Betul, Zi Shan. Selain itu, pihak sekolah melalui Pusat Sumber Sekolah juga boleh menambahkan bahan bacaan yang menarik minat remaja di perpustakaan sekolah. Contohnya buku-buku terbaharu yang merangkum genre susastera BM dan BI, autobiografi, fiksyen selain buku-buku yang berasaskan ilmu sains dan teknologi semasa.
Sok Kuan: Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Unit Hal-ehwal Murid boleh mendirikan pondok-pondok bacaan atau mewujudkan sudut-sudut bacaan di dalam bilik darjah. Prasarana seperti itu difikirkan penting untuk merangsang minat murid-murid ke arah budaya membaca.
Ann Zhi: Benar, Sok Kuan. Kita berharap agar budaya membaca ini dapat diamalkan dan diperkukuh dalam sanubari setiap warga sekolah, termasuklah murid-murid dan guru-guru. Sesungguhnya, membaca jambatan ilmu.

Selepas perbincangan di perpustakaan awam, mereka sempat singgah bersantai di gerai ais kacang Tg.Malim sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Disediakan oleh,
Lieu Zi Shan,
Tingkatan 2 Amanah, SMK Methodist 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Tuesday, February 1, 2011

Gong Xi Fa Cai 2011






















GONG XI FA CAI buat seisi keluarga, sanak saudara, sahabat handai, rakan-rakan seperjuangan, rakyat Malaysia, warga Nusantara, dan insan sarwajagat di dunia yang fana ini! Salam.