Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Thursday, October 27, 2011

Aktiviti Drama dalam BM






PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MALAYSIA MELALUI DRAMA

Drama
Drama merupakan lakaran peristiwa yang disedut daripada alam fantasi dan imaginasi. Peristiwa itu boleh juga diambil daripada situasi yang terdapat dalam masyarakat, isu sosial atau petikan daripada unsur-unsur pelajaran di sekolah.

Aktiviti drama di dalam bilik darjah tidak memerlukan pentas dan peralatan yang lengkap tetapi pelakon harus menggunakan bahasa yang betul, tersusun dan indah. Penglibatan pelajar dalam aktiviti drama di bilik darjah adalah secara langsung sama ada sebagai pelakon atau penonton.

Keperluan Aktiviti Drama
Aktiviti drama dapat memenuhi keperluan berikut:

1. Rangsangan
Aktiviti ini dijalankan untuk menarik minat dann tumpuan pelajar terhadap pelajaran dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Contohnya, seorang pelajar boleh menggunak teknik mimos untuk mencetuskan perbincangan.

2. Isu Pelajaran
Drama boleh menjadi aktiviti fokus dalam sesuatu pengajaran. Ini boleh dilaksanakan melalui pemilihan bahan sama ada bahan sastera atau bukan sastera seperti sejarah, sains, agama, seni dan budaya.

3. Pengukuhan / Pengayaan
Drama dalam pengajaran bahasa dapat dijadikan sebagai aktiviti pengukuhan terhadap pembelajaran yang telah berlaku. Contohnya, setelah mengajarkan makna perumpamaan, pelajar diminta melakonkan satu peristiwa untuk menerangkan maksud perumpamaan itu.

4. Pemulihan
Teknik drama, merupakan salah satu teknik belajar yang menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif. Oleh itu, teknik ini sesuai digunakan sebagai aktiviti pemulihan.

5. Penilaian
Aktiviti drama boleh digunakan sebagai suatu cara penilaian formatif dalam pengajaran bahasa. Contohnya, pembacaan skrip yang menunjukkan intonasi dan sebutan yang betul.

Aktiviti Drama

1. Main Peranan
Pelajar melakonkan watak yang dipilih berdasarkan cerita atau situasi yang ditetapkan. Untuk menjayakannya, dia dikehendaki menghayati watak tersebut melalui aksi dan laras bahasa yang sesuai.
Contoh:
a. Watak – Tuan Puteri yang budiman.
b. Situasi – Situasi gembira.

2. Simulasi
Aktiviti yang dipindahkan daripada alam nyata di luar bilik darjah ke dalam bilik darjah. Keadaan sebenar diwujudkan di dalam bilik darjah melalui perubahan persekitaran serta lakonan. Situasi yang dilakonkan berdasarkan pemerhatian, pengalaman dan pembacaan yang dilakukan oleh pelajar.
Contoh:
Menerima rawatan di wad kecemasan.

3. Dialog
Pelajar akan membaca dan membina skrip dialog mengikut peranan yang ditetapkan dengan bahasa, intonasi, nada, gaya dan aksi yang sesuai. Aktiviti ini dapat dilakukan secara individu atau kumpulan.

4. Teater Membaca
Guru memilih skrip drama yang baik seperti Uda dan Dara. Pelajar akan membaca dengan lancar serta menggunakan sebutan, nada intonasi dan gaya yang betul berdasarkan cerita serta melakukan gerakan yang sesuai dengan isi dan suasana cerita.

5. Boneka
Dalam aktiviti ini guru boleh menggunakan berbagai-bagai jenis boneka yang melambangkan watak-watak tertentu. Dengan menggunakan boneka, pelajar memainkan peranan dan menimbulkan situasi yang sesuai dengan jalan cerita. Penggunaan boneka adalah melalui pergerakannya serentak dengan lafaz, iringan skrip dan iringan bunyi-bunyian. Aktiviti ini menggunakan gerak-geri, sarung tangan, topeng, pepatung dan gambar.

6. Improvisasi
Lakonan secara spontan yang mengisahkan kejadian, peristiwa atau situasi sebenar dalam kehidupan seharian. Aktiviti ini dijalankan dalam kumpulan kecil, iaitu antara dua hingga lima orang sahaja. Pelajar diberi masa yang pendek, iaitu antara 10 hingga 15 minit untuk berfikir dan menyusun dialog untuk dilahirkan secara spontan.

7. Pantomin
Satu bentuk lakonan yang skripnya tidak dilafazkan oleh pelakon tetapi dibaca oleh pelajar lain serentak dengan aksi pelakon. Oleh itu, pelakon dan pembaca skrip mestilah bersama-sama menghayati skrip tersebut sebelum dilakonkan. Lakonan jenis ini dapat memberikan peluang kepada pelajar berlakon dengan penuh yakin tanpa memikirkan masalah menghafal dialog.
Contoh:
Peristiwa Malam Kemerdekaan Negara.

8. Mimos
Lakonan yang mengutamakan gerak laku seluruh anggota dan ekspresi muka bagi menyampaikan idea, cerita, perasaan dan emosi pelakon tanpa dialog. Mimos boleh dilakukan secara individu atau secara kumpulan.

Pelajar yang menjadi penonton perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap setiap pelakuan yang sedang dilakonkan oleh rakannya untuk membuat tafsiran. Selepas aktiviti ini, penonton membuat laporan dengan menggunakan perkataan yang tepat, ayat yang betul dan idea yang tersusun.

Perancangan Aktiviti

i. Penyediaan Bahan – cerita daripada pengalaman pelajar, gambar bersiri, skrip dan teks, petikan yang sesuai daripada bahan sastera dan bukan sastera.
ii. Persediaan Tempat – situasi dan ruang lakon, bilik darjah, ruang lapang di persekitaran sekolah, penyediaan ruang, susunan kerusi penonton dan kawalan disiplin.
iii. Pemilihan Pelakon – memberikan peluang kepada semua pelajar, memberikan pelajar peluang untuk memilih watak yang hendak dilakonkan dan menggalakkan pelajar mencuba pelbagai watak dalam situasi yang berbeza-beza.

(Bibliografi: Teknik Pengajaran Bahasa Malaysia II, Jilid 3, Halaman 25 – 32, DBP 1990)

No comments: