Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, October 9, 2011

Karangan BM Tingkatan Satu

Bumi Kita

Bumi kita merupakan salah sebuah planet yang tercantik di alam cakerawala ini. Bumi bukan sahaja didiami manusia, malah juga dihuni oleh habitat flora, fauna dan makhluk yang lain. Sebenarnya, bumi kita berada di tempat yang ketiga jauhnya dari matahari dalam sistem solar. Permukaan bumi pula dipenuhi lebih tujuh puluh peratus air.

Selain planet Bumi yang berada di sistem solar, planet yang lain seperti Planet Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptune dan Pluto juga berada dalam sistem solar. Hanya planet Bumi yang mempunyai makhluk hidup. Kenapa hanya planet Bumi sahaja yang mempunyai makhluk hidup? Yang jelas, planet Bumi mempunyai oksigen yang amat diperlukan oleh setiap hidupan sama ada di darat atau di kawasan yang berair.

Malangnya, walaupun sumber di bumi amat kaya dan memenuhi permintaan dan keperluan asas manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan namun, manusia bukan sahaja tidak menghargainya malah sering melakukan aktiviti yang mencemarkan alam sekitar bumi seperti tindakan menebang hutan, mencemarkan sungai dan laut di samping membakar sampah-sarap. Perbuatan tersebut bukan sahaja tidak berfaedah malah turut akan mengancam kesihatan kita dan kehidupan manusia sejagat. Habitat flora dan fauna pula turut terancam oleh kepupusan secara beransur-ansur.

Pembangunan yang pesat dan melampau serta pengeluaran asap polusi daripada kenderaan dan kilang-kilang perindustrian turut akan mengancam kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dari semasa ke semasa. Hasil dapatan menunjukkan bahawa peratusan yang mengalami penyakit yang serius di bandar adalah jauh lebih tinggi daripada peratusan yang tercatat di kampung atau kawasan pedalaman. Jelaslah bahawa masalah pencemaran di kota-kota besar kian serius dan amat berbahaya kepada dunia kehidupan manusia.

Akhir kata, marilah kita mencintai bumi kita kerana bumi bagaikan rumah yang memberikan perlindungan, keselesaan dan kehidupan kepada manusia sejagat di jagat raya ini. Lindungilah bumi kita daripada bencana pencemaran dan pembangunan yang tidak terancang demi masa depan generasi anak cucu kita.

Hasil kerja :
Yap Kai Lun, 1 Hijau, SMJK Katholik, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: