Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, October 15, 2011

Karangan BM PMR 2011

Sekolah anda telah mengadakan sambutan Hari Guru.
Ceritakan aktiviti-aktiviti yang diadakan semasa sambutan tersebut.

Setiap tahun pada tanggal 16 Mei, negara kita akan menganjurkan sambutan Hari Guru peringkat sekolah. Jawatankuasa sambutan telah ditubuhkan untuk merancang dan menyusun pelbagai aktiviti bersempena dengan hari tersebut. Kebanyakan aktiviti Hari Guru dikendalikan oleh barisan pengawas sekolah sidang pagi. Pada pukul 7.30 pagi, semua murid sekolah saya telah berkumpul di dataran perhimpunan. Dataran perhimpunan telah dihias dengan karangan bunga yang cantik oleh jawatankuasa sambutan. Kad gergasi, poster, dan gegantung madah pujangga yang bertemakan Hari Guru turut kelihatan menambahserikan sambutan majlis pada pagi itu.

Sebelum majlis dimulakan, Pengetua, Penolong-penolong Kanan, Guru-guru Kanan, Guru Kaunseling, Guru Cemerlang dan guru-guru sidang pagi dan petang telah dijemput dan diiringi ke dataran perhimpunan. Para tetamu, termasuk Yang Dipertua PIBG dan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah turut diiringi oleh paluan kompang dan bunga manggar. Sebaik sahaja para guru dan tetamu mengambil tempat duduk, majlis rasmi pun bermula. Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Perak Darul Ridzuan dan lagu sekolah, Lux Et Veritas.

Selepas itu, Tuan Pengetua, Yang Berusaha Encik Lee Weng Woh diberi penghormatan untuk membaca perutusan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, dan diikuti oleh perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Ketua pengawas, Saudari Tivya Aingari a/p Genesan, bagi pihak semua murid sekolah, turut memberikan ucapan penghargaan kepada guru-guru. Seterusnya, para hadirin bangun untuk menyempurnakan majlis pembacaan ikrar dan nyanyian lagu Hari Guru, iaitu Guru Malaysia bersama-sama sebelum upacara pemotongan kek Hari Guru 2011.

Pada pukul 9.00 pagi, jawatankuasa permainan telah menyediakan pelbagai jenis permainan untuk guru-guru. Para guru telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan dibantu oleh lima belas orang murid. Murid-murid yang lain bertindak sebagai penonton dan penyokong kepada pasukan pilihan mereka masing-masing. Sungguh meriah sekali sesi permainan beragam yang melibatkan guru-guru sidang pagi dan sidang petang.

Sebaik sahaja sesi permainan guru berakhir, maka berlangsunglah pula majlis penyampaian hadiah kepada pemenang. Pada ketika itulah, murid-murid mengambil peluang dan ruang untuk menyampaikan cenderamata kepada guru-guru mereka sebagai tanda penghargaan dan terima kasih. Kemudian, para tetamu dan guru-guru ke dewan sekolah untuk menjamu selera sambil menyaksikan pelbagai persembahan yang telah diatur susun oleh jawatankuasa persembahan. Selain ucapan, majlis diserikan oleh lakonan sebabak, tarian Satu Malaysia, sketsa, persembahan muzik caklempong, dan lawak jenaka. Acara pada tahun ini diakhiri dengan cabutan bertuah untuk para hadirin yang bertuah.

Sambutan Hari Guru berakhir pada pukul 1.05 tengah hari. Sesungguhnya majlis tersebut berlangsung dengan meriah dan berjaya mencapai matlamatnya. Saya berharap agar sambutan Hari Guru akan bertambah hebat dan meriah pada tahun-tahun yang akan datang. Selamat Hari Guru, cikgu! Jasa cikgu akan kami kenang selama-lamanya.

Disediakan oleh:
S.Gurusamy, Tingkatan 2 Dedikasi, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim.

No comments: