Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, October 28, 2011

Cerpen Tingkatan 1 - Trauma Embah













Analisis Cerpen
Tajuk: Trauma Embah
Penulis: Haryati Abu Nasir

Sinopsis:

Ibu sudah berusia tetapi dia tampak sihat, cergas dan awet muda. Ibu menjalankan perniagaan sendiri, iaitu menjual peralatan rumah dari kampung ke kampung. Meskipun ibu bersekolah setakat darjah enam, namun ibu bijak mengurus wang dan perniagaannya. Kini, ibu mengambil alih tugas mak cik menjaga Embah (nenek aku) setelah mak cik menjaga Embah sejak datuk meninggal dunia lapan belas tahun yang lalu. Tambahan pula, mak cik baru kematian suami secara mengejut. Dia tidak mampu menjaga Embah sendirian kerana dia ada empat orang anak yang perlu disara.

Ibu menjaga Embah dengan penuh kasih sayang. Ibu cekal menjaga Embah meskipun Embah sudah uzur, nyanyuk, dan tidak dapat bergerak. “Aku” bercerita tentang latar belakang Embah yang terlalu penyabar. Datuk amat garang hingga Embah dan anak-anaknya cukup takut kepada datuknya. Namun, Embah gigih membantu datuk mencari rezeki dan menjaga empat orang anak tirinya dengan penuh kasih sayang. Embah menjaga mereka seumpama anak kandung sendiri. “Aku” juga bercerita tentang ibu saudaranya, Rafiah dibaling dengan parang pendek oleh datuk apabila datuk mendapat tahu bahawa Rafiah mengerintingkan rambutnya. Parang itu mengenai hujung tumit kaki kiri ibu.

Suatu hari, Embah meracau-racau dengan suara yang tersekat-sekat. Ibu sedar bahawa Embah sedang berhadapan dengan trauma. Daripada kakak tirinya, barulah ibu tahu bahawa Embah pernah kehilangan dua orang anak lelakinya dalam tempoh seminggu. Embah kian tertekan kerana datuk melarang Embah meratapi kematian mereka. Embah semakin cengkung.

Tubuh Embah tinggal tulang dan kulit. Ibu cekal menjaga Embah dengan penuh kasih sayang meskipun ibu terpaksa melupakan perniagaannya. Mujurlah abah sangat memahami dan banyak memberikan sokongan moral kepada ibunya. Kecekalan ibu menjaga Embah menimbulkan keinsafan dan kematangan kepada “Aku”. “Aku” bertekad untuk menjadi insan sebaik ibunya.

Tema:
Trauma yang menghantui hidup sebagai akibat tekanan dan pengorbanan anak terhadap ibunya yang sudah tua dan uzur.

Persoalan:
i. Sifat panas baran ketua keluarga hingga menimbulkan tekanan kepada keluarganya.
ii. Kesabaran dan ketaatan isteri.
Contoh: Embah akan turun hingga ke pertengahan tangga menyambut kepulangan datuk.
iii. Pengorbanan dan tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa. Contoh: Selepas lapan belas tahun, ibu pula mengambil alih menjaga Embah.
iv. Kasih sayang ibu terhadap anak-anaknya.
Contoh: Embah sangat sayang akan anak-anaknya. Dia menjaga anak-anak tirinya seumpama menjaga anak-anak kandungnya.
v. Perniagaan sebagai sumber rezeki yang lumayan.
Ibu menjalankan aktiviti perniagaan barangan rumah sejak lima belas tahun lalu.

(Sumber: Kupasan dan Kajian 2011, KOMSAS Tingkatan 1, Sasbadi Sdn. Bhd., Halaman: 118 – 119)

• Encik Chai Loon Guan, GC BM dan Munsyi Dewan, 29 Oktober 2011.

No comments: