Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, October 5, 2011

Catatan Perjalanan I

5 Oktober 2011 (Rabu)

Aku memulakan perjalanan mulai 9.15 pagi selepas bersarapan secawan Nescafe dan dua keping roti kosong, anak isteri membantu mengangkat bagasi pakaian, komputer riba Acer Aspire 4730 ZG, fail dan sepuluh naskhah buku latihan rumusan BM murid-murid Tingkatan 4 Sains 2 ke dalam kereta Kelisaku, AEU 5164.

10.10 pagi, singgah sebentar di R & R Tapah untuk ke bilik air sebelum membeli setin dua 100 Plus sebagai bekalan melegakan perjalanan yang jauh.

10.40 pagi, Kelisaku mula menyusuri Simpang Pulai dan Plaza Tol Ipoh. Papan tanda Plus menunjukkan bahawa bandar Alor Setar(Star) dari Ipoh sejauh 240 kilometer.

10.47 pagi, R & R Sungai Perak kian hampir. Rupa-rupanya R & R Sungai Perak ditutup sementara untuk pengubahsuaian dan penaiktarafan. Sempat aku berhenti rehat di Bukit Gantang untuk mengisi minyak RON 97 bertemankan sebotol air mineral dan sebuku roti berintikan kacang merah.

12.20 tengah hari, Hentian Bukit Merah terpaksa aku singgah untuk melangsaikan hutang. Tidak semena-mena perutku mula meragam. Sakit. Mujur tandas di hentian itu, bersih dan mesra pelanggan.

12.33 tengah hari, selepas makan tengah hari Kelisaku melepasi Hentian Alor Pongsu dan Bandar Baru (Baharu) serta semakin hampir aku menjejakkan kaki di bumi yang bernama Pulau Mutiara, Pulau Pinang.

12.47 tengah hari, Kelisaku melalui Hentian Sungai Bakap.

1.15 tengah hari, aku sudah tiba di bumi Jelapang Padi, Kedah Darul Aman.

1.35 tengah hari, R & R Gurun melambai-lambai seolah-olah mengalu-alukan kedatangan aku.

1.50 tengah hari hingga 2.20 petang, dapat kulihat papan tanda Plus yang tertera Kota Sarang Semut. Alor Star (Setar), 22 kilometer, Jitra, 42 kilometer dan Bukit Kayu Hitam, 64 kilometer. Kelisaku menjejaki Plaza Tol Alor Star Selatan, Plaza Tol Jitra dan seterusnya Arau, Kangar, dan Kuala Perlis datang menyusul, satu persatu. Destinasiku tidak lain dan tidak bukan, Hotel Putera Palace Kangar, Perlis Indera Kayangan (Perlis Negeri Ilmu).

Barangkali atas kedegilan tidak mahu akur akan pelan tunjuk arah perjalanan ke destinasi sasaran oleh kerani di alma materku atau barangkali lurus bendul terikut-ikut akan papan tanda Plus, maka Kelisaku terus meluncur laju membelah landskap sawah menuju ke Kangar biarpun dalam catatan, aku perlu membelok ke kiri simpang sebelum ke kanan menghala SMK Arau untuk meneruskan perjalanan ke hotel penginapan. Maka, tercari-carilah aku lokasi sebenar Hotel Putera Palace biarpun keretaku sudah berada di tengah-tengah jantung ibu kota negeri Perlis Indera Kayangan. Mujur ada insan yang sudi menunjukkan arah kepada sang pengembara biarpun kedudukannya cuma dua simpang dari kiri ke kanan jalan di tengah-tengah bandar Kangar.

3.30 petang, akhirnya aku dapat meletakkan keretaku di parkir Hotel Putera Palace, Kangar sebelum mendaftar masuk ke bilik penginapan untuk beristirahat.

Beberapa minit kemudian, aku menerima isyarat SMS daripada DBP Wilayah Utara. Atur janji pertemuan dijadualkan pada pukul 6 petang di lobi hotel terpampang jelas di skrin telefon Nokiaku. Barangkali, ada taklimat penyelarasan dan perbincangan santai sebelum tibanya program pada keesokan pagi di Perpustakaan Awam Negeri Perlis, yakni majlis Kembara Di Alam Kata bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Negeri Perlis Indera Kayangan 2011. Selamat berkembara. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.

No comments: