Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, October 18, 2011

Bual Bicara BBK Negeri Perak 2011





















Ungkapan "Satu Bahasa, Satu Bangsa dan Satu Negara" ini dibikin oleh ahli politik, dan kemudian kita diminta mendefinisikannya. Oleh sebab itu tidak semudah itu kita menjelaskannya. Namun, sebagai guru yang pernah melihat semua isu dan peristiwa yang berlaku di depan mata sendiri selama 54 tahun kita merdeka, ungkapan ini tidaklah sekabur yang kita fikirkan. Kita akan cuba melihatnya secara positif.

Pertama, ada atau tidak satu negera bernama Malaysia. Tidak mungkin ada warga Malaysia yang akan menafikannya. Memang ada sebuah negara bernama Malaysia.

Kedua, ada atau tidak suatu bangsa yang dipanggil bangsa Malaysia? Tentu sekali kita semua mengaku ada! Dan kitalah warga negara Malaysia. Ini tercatat dalam Kad Pengenalan kita.

Ini bermakna kita sudah berhasil membentuk sebuah negara Malaysia, dan sebuah bangsa Malaysia dalam masa 54 tahun.

Ketiga, satu bahasa! Ini agak sedikit rumit. Di sini juga terdapat sedikit kenakalan sesetengah kita dalam mendefinisikan "satu bahasa." Ada dua perkara yang perlu kita jelaskan.

a. Tuntutan bahawa satu bahasa dapat mempersatukan warganya adalah tidak benar. Ada banyak negara yang hanya menuturkan satu bahasa, mereka masih berbalah. Warga Britain menuturkan satu bahasa, tetapi perkelahian kaum tetap ada. Warga keturunan Asia menjadi sasaran di Leeds, Shefield dan Manchester. Warga Amerika menuturkan satu bahasa, tetapi perkelahian kaum yang buruk berlaku di Los Angeles dan Florida. Warga China menuturkan satu bahasa, tetapi kaum Tibet dan kaum Hue tetap merasa tertekan dan menentang. Ada banyak contoh lagi. Anehnya di negara kita yang berbilang bahasa ini hidup agak aman sejak empat puluh tahun lalu. Kita harus bersyukur hidup aman di Malaysia. Dan kita tidak berseorangan. Warga Austria menuturkan empat bahasa, iaitu Perancis, Itali, Swis dan Romans, tetapi mereka hidup dengan aman. Warga Canada di Quebec menuturkan bahasa Perancis, dan dapat hidup aman dengan yang menuturkan bahasa Inggeris.

b. Yang kita maksudkan dengan satu bahasa itu adalah, wujudnya sebuah bahasa supra yang dapat dipelajari oleh semua kaum. Ini adalah bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah. Ini adalah bahasa sekolah, atau bahasa persuratan yang perlu dipelajari oleh kaum Cina, India, dan Melayu sendiri. Warga daripada kaum Cina tentu masih dapat mengekalkan bahasa Cinanya, warga Tamil, bahasa Tamilnya, dan Melayu dengan bahasa Melayunya. Tetapi semuanya mesti belajar Bahasa Kebangsaan, termasuk warga Melayunya! Tidak ada sebarang kaum yang harus berfikir dia beroleh advantej.

Bahasa Kebangsaan itu adalah bahasa Melayu Tinggi. Ia adalah bahasa yang dipelajari oleh semua kaum di samping bahasa ibunda masing-masing.

(YBhg.Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Dewan Besar, SM Poi Lam (SUWA), Lahat, Ipoh, Perak Darul Ridzuan - 17 Oktober 2011)

No comments: