Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, September 26, 2011

Kata-kata Imam Al Ghazali

Suatu hari, semasa Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya, lalu Imam Al Ghazali bertanyakan 6 soalan:
Pertama
“Apakah yang paling dekat atau rapat dengan diri kita di dunia ini?”

Murid-muridnya ada yang menjawab “Ibu bapa atau guru atau kawan dan sahabat”

Imam Al Ghazali menjelaskan semua jawapan adalah benar. Tetapi yang paling dekat atau rapat dengan kita adalah MATI; oleh sebab itu sememangnya janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Surat Al Imran ayat 185). Oleh itu, berlumba-lumbalah kita membuat persiapan untuk kembali menemui pencipta kita bila-bila masa sahaja.

Kedua
“Apa yang paling jauh daripada kita di dunia ini?”
Murid-murid beliau ada yang menjawab “Negara China atau bulan atau matahari atau bintang-bintang”.

Lalu Imam Al Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan oleh mereka adalah benar. Tapi yang paling benar adalah MASA LALU. Walau dengan apa cara jua pun, kita tidak dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu, kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

Ketiga
“Apa yang paling besar di dunia ini?”  Murid-muridnya menjawab “Gunung atau bumi atau matahari”.

Semua jawapan itu benar kata Imam Al Ghazali. Tetapi yang paling besar daripada yang ada di dunia ini ialah NAFSU (Surat Al A’raf Ayat 179). Sebenarnya anugerah nafsu kepada manusialah yang membezakan manusia daripada malaikat. Maka kita harus berhati-hati dengan anugerah tersebut, menggunakan sebaik-baiknya bersama dengan akal untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi. Semoga nafsu mutmainnah yang sentiasa mendampingi kita membawa ke jalan yang diredhai-Nya serta mendapat keberkatan-Nya.

Keempat
“Apa yang paling berat di dunia?” Ada jawapan yang diberikan ialah besi dan gajah.

Semua jawapan adalah benar, kata Imam Al Ghazali, tetapi yang paling berat ialah MEMEGANG AMANAH (Surat Al Ahzab ayat 72). Langit termasuk malaikat dan bumi serta gunung ganang semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah atau pemimpin di dunia ini. Hanya manusia yang menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga ramai dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak dapat menyempurnakan amanahNya.

Kelima
“Apa yang paling ringan di dunia ini?” Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan.

Semua itu benar kata Imam Al Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini ialah MENINGGALKAN SOLAT. Peringatan ini adalah untuk kita menginsafi bahawa solat ialah salah satu perintah Allah tapi
ditinggalkan hanya kerana leka atau alasan yang longgar seperti leka membeli-belah di bazar Ramadan atau pasar malam atau bersuka ria dalam sesuatu perayaan lalu terlepas waktu solat.

Akhir sekali soalan Keenam
“Apakah yang paling tajam di dunia?” Murid Imam Al Ghazali serentak menjawab “Pedang”.

Benar kata Imam Al Ghazali, tetapi yang paling tajam di dunia ialah LIDAH MANUSIA, kerana lidah, manusia selalunya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri sama ada melalui umpat mengumpat atau ketika marah. Sebaliknya, marilah kita gunakan lidah untuk menyampaikan berita baik dan memberikan nasihat ingat-mengingatkan.

No comments: