Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, September 3, 2011

Belasungkawa

















Datuk Hj. Hassan Ahmad
Hassan Ahmad (Hassan bin Ahmad, Haji, Datuk, Hasmad)

Lahir : 8 Disember 1936 di Muar, Johor Darul Takzim.
(31 Ogos 2011)

HASSAN AHMAD, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), merupakan seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pelbagai aspek yang berhubung dengan penerbitan buku, penyelidikan, pengurusan, dan perancangan bahasa dan sastera.

Pada satu ketika, beliau merupakan seorang penyelidik bahasa dan sastera yang banyak menulis tentang bahasa dan sastera terutama dalam tahun-tahun 1960-an. Kedudukannya bertambah penting apabila beliau dilantik menjawat jawatan Ketua Pengarah DBP, sebuah institusi yang ditugaskan membina, memoden, dan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan pada tahun 1976. Sejak beliau mula berkhidmat di DBP pada tahun 1963, Hassan Ahmad telah memegang beberapa jawatan penting, bermula sebagai Pegawai Penyelidik, Ketua Bahagian Penyelidikan, Pemangku Pengarah, Pengarah, dan Ketua Pengarah dalam masa 13 tahun.

Anak bekas pegawai dalam Jabatan Polis, Hassan Ahmad ialah anak sulung daripada lapan orang adik-beradik. Berasal dari Muar, Johor, beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Mersing (1942-1943) dan Sekolah Melayu Muar (1945-1948). Selepas itu, beliau melanjutkan pelajarannya di Sekolah Tinggi Muar hingga lulus peperiksaan Sijil Persekolahan pada tahun 1955. Beliau diterima belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan lulus Sijil Tinggi Pelajaran (1957). Mulai tahun 1959, Hassan melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera.

Selepas menamatkan pengajiannya di universiti, beliau menjadi Penolong Pegawai Daerah Pontian dalam tahun 1962, tetapi meninggalkan jawatan itu pada tahun 1963 untuk berkhidmat dengan DBP. Beliau mula-mula bertugas sebagai Pegawai penyelidik, dan kemudian mengetuai Bahagian Penyelidikan dari tahun 1965-1968, Dalam tahun 1969, Hassan Ahmad dilantik menjadi Pemangku Pengarah dan Pengarah pada tahun 1971 sehingga tahun 1976 apabila beliau diangkat pula menjadi Ketua Pengarah.

Ketika Hassan Ahmad dilantik sebagai ketua pentadbir institusi yang ditugaskan membina dan mengembangkan bahasa dan sastera, DBP telah mula memperhebat kegiatannya sebagai penerbit karya-karya kesusasteraan dan bahasa Melayu yang terbesar di negara ini. Berkat kesungguhan dan kegigihan beliau, di samping pengalaman beliau yang luas dalam lapangan penyelidikan, Hassan Ahmad telah berjaya menjadi seorang pentadbiran yang cukup berkemampuan dan telah memberikan perhatian yang serius terhadap perancangan bahasa dan sastera.

Dari segi bahasa, DBP telah berjaya memperkemas dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang moden dan saintifik serta berupaya menerbitkan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Serentak dengan tugas tersebut, DBP juga telah menumpukan lebih perhatiannya kepada masalah kesusasteraan, malah memperluas kegiatannya dan menjadi penerbit buku kesusasteraan Melayu yang terbesar di negara ini.

Demikianlah dalam usahanya memajukan bahasa dan sastera Melayu, beliau banyak sekali menulis esei tentang bahasa, sastera dan penerbitan, dan telah mengemukakan banyak kertas kerja dalam persidangan-persidangan bahasa dan penerbitan buku pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kerana kepakaran beliau itu, beliau telah beberapa kali dipilih oleh UNESCO sebagai pakar bagi seminar dan mesyuarat tentang perusahaan penerbitan buku di dalam dan luar negeri.

Dalam kegiatan berorganisasi, Hassan Ahmad pernah mengambil bahagian yang aktif. Sewaktu menuntut di Universiti Malaya, beliau pernah menjadi Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu, Universiti Malaya (1960-1961), dan menjadi Presidennya pada tahun 1961-1962. Banyak yang telah dilakukan oleh Hassan Ahmad selaku Presiden PBMUM. Malahan, di kalangan penuntut bukan Melayu pada waktu itu menggelarkan dirinya `penghulu’ disebabkan peranannya yang suka membela orang Melayu. Beliau adalah antara 13 mahasiswa yang menentang cara pengajaran dan sistem pengajian Melayu di universiti ketika itu. Dan pada ketika krisis bahasa di universiti merebak ke Muar, Hassan Ahmad pernah berucap bagi pihak kumpulan 13 menyeru supaya diwujudkan suatu sistem pengajian terbuka. Turut terlibat sama dalam peristiwa itu ialah Allahyarham Ali Haji Ahmad, Kassim Ahmad, dan lain-lain. Ternyata beliau merupakan seorang pejuang yang gigih dan kerana cinta yang mendalam terhadap kesusasteraan dan bahasa sendiri, Hassan Ahmad sanggup meninggalkan jawatan Penolong Pegawai Daerah yang pada waktu itu dianggap cukup berprestij dan penuh `glamour’ semata-mata untuk menyertai DBP yang menjadi pusat bahasa dan kesusasteraan negara.

Dalam organisasi penulis, Hassan Ahmad pernah menjadi Ketua I Persatuan Penulis Nasional (PENA) 1966-1967. Dalam Jawatankuasa Tetap Majlis Bahasa Malaysia/Indonesia (kini MABBIM) yang bersidang tiap dua kali setahun sejak tahun 1976. Hassan Ahmad menjadi Pengerusi Majlis Bahasa Malaysia dan merupakan salah seorang yang penting dalam usaha untuk menyatukan ejaan dan istilah antara Malaysia, Indonesia, dan Brunei Darussalam.

Sebagai Ketua Pengarah, beliau kesempatan melawat ke luar negara atau menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa di Amerika Syarikat, Eropah, Rusia, India, Jepun, Korea, Filipina, Thailand, dan Indonesia. Pada tahun 1982, beliau pernah diundang oleh National Book Trust of India mempengerusikan salah satu sesi dalam “Seminar on Book For All at Low Cost” di New Delhi.

Kemudian sewaktu Persidangan Editor Asia yang berlangsung pada bulan Januari 1982 di Singapura, Hassan Ahmad telah diundang dan mengemukakan kertas kerjanya bertajuk “Problems and Techniques of Translation and Adaption of Foreign Works into an Indigenous Language”. Ternyata tumpuan utama Hassan Ahmad bukan sahaja terhadap lapangan perancangan bahasa dan sastera, penerbitan dan kemajuan serta pengurusan dan pemasaran buku, malah juga dalam bidang terjemahan. Setakat ini tiga buah buku tentang organisasi dan pengurusan telah diterjemahkannya, masing-masing berjudul Eksekutif yang Berkesan (1984), Aspek Kemanusiaan dalam Perusahaan (1984), dan Sukarnya Membuat Pilihan (1986).

Di samping itu, dua buku, Syair (1964) dan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan-pertubuhan Khasnya (1966) yang kedua-duanya diterbitkan oleh DBP telah diusahakannya sewaktu bertugas di Bahagian Penyelidikan dan ketika beliau mendapat peluang berkunjung ke ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada akhir tahun 1965. Pemergiannya ke PBB adalah di bawah rancangan PBB untuk menggalakkan pengajaran dan pelajaran tentang PBB dan Pertubuhan-pertubuhan Khasnya di dalam sistem-sistem pelajaran negara-negara anggotanya. Berdasarkan pengalamannya dan pembacaannya yang luas tentang PBB, maka buku itu telah berjaya ditulisnya.

Atas segala khidmatnya dalam membina dan mengembangkan bahasa dan sastera, beliau telah dikurniai darjah Kesateria Mangku Negara oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1973. Pada tahun 1978, beliau dianugerahi pula darjah Datuk Setia Ismail Johor oleh Duli Yang Mulia Sultan Johor yang membawa gelaran “Datuk”. Hassan Ahmad juga dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara, Pengerusi Hadiah Sastera Malaysia, Pengerusi Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan, Ahli Jemaah Universiti Kebangsaan Malaysia, di samping beberapa jawatan lain dalam pelbagai jawatankuasa bahasa dan kebudayaan.
Setelah bersara dari DBP pada tahun 1988, Datuk Hassan telah dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO. Memandangkan pengalamannya yang luas dalam bidang penerbitan buku, sekembalinya ke Malaysia, Datuk Hassan telah dilantik pula sebagai Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan.

KARYA
Kajian
Syair, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1964, 91 hlm.
Bahasa, Sastera, Buku: Cetusan Fikiran Hassan Ahmad, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 554 hlm.
Umum
Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan-pertubuhan Khasnya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1966, 300 hlm.
International Conference on Translation (kumpulan kertas kerja bersama), Kuala Lumpur: The Malaysian Translators Association, 1986, 224 hlm.
Terjemahan
Aspek Kemanusiaan dalam Perusahaan/Douglas Mc Greger, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 254 hlm.
Eksekutif yang Berkesan/Peter F.Drucker, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 222 hlm.
Sukarnya Membuat Pilihan/Samuel P.Huntington dan Joan M. Nelson, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, 218 hlm.

(Sumber: http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=845&IID=)

No comments: