Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, September 9, 2011

Azizi Hj. Abdullah

Pulangnya seorang sasterawan rakyat
Oleh Zainal Rashid Ahmad
AZIZI Hj. Abdullah akan sentiasa dikenang sebagai sasterawan besar, meskipun selama hayatnya tidak menerima Anugerah Sasterawan Negara. Sejarah membuktikan, kehebatan seorang sasterawan sejati bukan terletak pada anugerah - namun sebaliknya, sejauh mana karya-karyanya mampu terus "hidup" merentas zaman ke zaman.

Azizi akan dikenang dengan susuk karyanya yang sangat merakyat - bermula dari cerpen Sisa yang disiarkan di Warta Mingguan, Pulau Pinang, Azizi terus menulis dan menulis hingga merentas 48 tahun - hingga saat pemergiannya pada 11 Ogos lalu. Azizi pernah menerima Hadiah Sako tahun 2002 anjuran Kumpulan Utusan menerusi novel Kawin Kawin selain menerima Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) menerusi cerpen Cermin (1990) dan cerpen Jati Diri (1995).

Saya bukanlah orang yang tepat untuk berbicara mengenai Azizi - tetapi rasa kagum dan terasa kehilangannya sukar saya banding. Zaman dan bangsa ini, saya rasa tidak mungkin lagi mampu melahirkan sasterawan-sasterawan besar, dan Azizi antara susuk tubuh yang dipinjamkan Allah pada bangsa ini untuk menjadi sebahagian dari nadi perjalanan sastera bangsa.

Sepanjang zaman kesasterawanannya (1963-2011), Azizi menulis lebih dari 25 novel dan hampir 200 cerpen. Satu pencapaian yang sangat luar biasa - dan membuktikan kesungguhannya dalam berkarya. Dilahirkan di Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah pada 4 April 1942 - Azizi mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Bukit Meryam dan kemudian ke Sekolah Agama Dairatul Maarif Al Wataniah, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Sepanjang era kerjayanya, Azizi berkhidmat sebagai guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah (1965-1997). Selepas bersara, Azizi menjadi Editor Utusan Pengguna terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Ini sebahagian jalur fakta untuk kita menyusur persekitaran pendidikan dan kerjaya Azizi. Sepanjang menjadi Editor Utusan Pengguna - Azizi menghabiskan banyak masa dan tumpuan untuk melihat dan menganalisis isu-isu pengguna malah isu rakyat. Sesuatu yang saya andaikan, sebagai sentimen semulajadinya terhadap kehidupan.

Saya kenal Azizi melalui karya- karyanya -hinggalah pada tahun 2002 - ketika saya terpilih mewakili Malaysia ke Mastera di Bogor, Indonesia bagi kategori cerpen, Azizi adalah penyelia yang dilantik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengiringi penulis muda pada pertemuan tahun itu.

"Aku cakap terus-terang kat hang Non, aku meluat baca karya-karya hang - hangpa orang muda mengarut!" kata Azizi kali pertama kenal saya.

Azizi mengkritik ketika saya minta panduannya, untuk memilih satu dari tujuh karya yang saya bawa bagi diperkatakan. Kerana Azizi penyelia, maka saya fikir dialah tempat saya meminta panduan dan nasihat."Tetapi abang kena pilih juga," kata saya setengah memaksa. Azizi mengerutkan muka, dan terdiam sahaja. Saya juga tidak berminat memanjangkan perbualan sebab saya sudah tahu rentaknya. Hari pertama, sebagai Penyelia, Azizi ditempatkan di Rumah Agam, manakala kami peserta berkongsi bilik di berek. Saya jarang masuk seminar, sebab lebih suka merayau di luar. Dek kerana itu, saya senjata keperluan Azizi."Awat hang tak masuk," tegurnya."Saya duduk di bilik bang, buka saja tingkap, bersusun orang datang berjaja. Banyak lukisan berkualiti, harga murah. Jadi saya pesan minta hari-hari penjaja tu datang bawa apa saja lukisan yang dia ada."

Sejak itu saya menjadi akrab dengan Azizi. Tetapi hubungan yang akrab itu kerana satu perkara: Dia sukakan program televisyen Edisi Siasat dan dia tahu saya penerbitnya.

"Non, hang teruskan apa hang buat... rakyat... rakyat... tak kira apa pun kerja kita... kepentingan rakyat kita kena jaga," kata Azizi.

Sejak itu saya faham Azizi - kenapa dia mencela karya-karya eksperimental saya sebagai 'meluat dan mengarut'. Komposisi kepengarangan Azizi sangat jelas: sastera mesti menyuarakan soal rakyat. Sesuatu yang saya anggap tipikal pada masa itu, tetapi beberapa tahun kemudian hingga sekarang, saya tahu, mencari sastera yang menyuarakan nadi rakyatlah paling sukar sekarang.

Novel-novel seperti Senja Belum Berakhir (1971), Suriati (1993), Wi & William (1995), Kawin-Kawin dan karya popularnya Seorang Tua di Kaki Gunung akan menjadikan suara perjuangan Azizi pada karya-karya rakyat akan terus hidup.

Di Bogor, dalam satu sesi Mastera 2002 itu, Azizi hadir sebagai panel dengan hanya memakai baju Pagoda dan berkain pelikat- saya nampak dengan jelas - dia agak kecewa. Sekalipun panel yang menyertai pada hari itu adalah dua nama besar cerpenis Indonesia - Hamsad Rangkuti dan Danarto - namun isu dan perbincangan melegar sekitar sastera eksperimental ternyata mengecewakan Azizi.

Kami meninggalkan Dewan Seminar, walaupun Danarto cerpenis kegemaran saya. Saat itu, susuk peribadi Azizi makin saya kenal. Orang kasar, tetapi kelakar - dia bercakap lepas - satu yang sinonim dengan watak orang pedalaman di Kedah. Personaliti dirinya adalah struktur kepengarangannya - Azizi sentiasa menyuarakan fikiran dan perasaan tanpa ragu-ragu - bukan kerana nilai 'kampung' tempat dia lahir, membesar dan bekerja - tetapi kerana - akar umbi kampung membuatkan dia melihat hidup itu satu kelangsungan untuk berterus-terang.
"Aku meluat dengar orang bercakap benda-benda teori ni," kata Azizi sepanjang berjalan.

Sebentar kemudian, ada orang menyahut nama saya dari belakang - muncul penjaja lukisan. Kelihatan dia bersama tiga kanak-kanak.

Ini momen penting dalam pengenalan saya dan Azizi - kanak-kanak. Saya melihat Azizi yang sebenar apabila saya melihat dia bersama kanak-kanak.

Peristiwa bertemu penjaja lukisan dan tiga cucunya membuat saya faham, mengapa Azizi menasihati saya berulang kali dalam nota kata yang hampir sama: "kita ni kena ada sikap membela... kita bagi bahagian diri kita, sama ada kita kerja atau menulis... sebahagiannya mesti untuk orang lain. Itu namanya kita pembela dan kita kena membela nasib orang lain."

Esoknya, kami berdua ponteng lagi seminar - Azizi datang melepak di bilik saya. Sebentar kemudian, penjaja lukisan pun sampai. Azizi tetap berkain pelikat - segera saya jemput penjaja itu masuk bilik. Lelaki tua sekitar usia 70 tahun itu nampak sangat gelabah dan serba-salah.

"Saya bawa apa yang tuan minta," kata penjaja itu. Segera dilembarkan begitu banyak lukisan cat minyak dengan motif ikan kap. Ada sekitar 30 lukisan. Tiap kali mengingat saat itu, dan saya selalu mengingati selama sembilan tahun ini, kerana itu antara momen penting. Saya rasa banyak Azizi membeli lukisan pada hari tersebut - dan saya rasa, dia memang peminat ikan kap.

Tetapi jauh dari itu ialah kerana kejadian hari sebelumnya. Azizi menjemput si penjaja ke bilik kami kerana ketika terserempak di pekan kecil Bogor, terjadi sesuatu. Ketika kami sibuk bersalaman, dan saya memperkenalkan penjaja itu pada Azizi, seorang dari cucunya enggan bersalam - matanya merah tanda sudah lama menangis.

Yang pertama saya lihat, Azizi bertanya dengan lemah-lembut: "mengapa menangis?"

Wajah garang dan sinis Azizi, sikap cakap lepas dan polosnya lenyap sama sekali. Dipendekkan cerita, si anak menangis kerana tidak mendapat baju sekolah. Jadi Azizi menjemput si penjaja datang ke bilik esoknya. Mahu melihat lukisan. Tapi saya tahu, matlamat Azizi mudah: membeli untuk bersedekah itulah cara untuk melenyapkan airmata anak itu dari terus menangis.

Cuma yang kelakarnya, saya mati-mati percaya Azizi peminat lukisan dan mengumpulkan koleksi catan ikan kap. Rupanya lukisan sekitar RM25 sekeping itu, dibelinya banyak-banyak untuk sekadar hadiah pada teman-teman. Pada sesiapa yang sempat menerima hadiah atau memiliki lukisan itu, simpanlah baik-baik. Ada jiwa dan hati nurani Azizi di situ.

Banyak yang saya lalui lagi bersama Azizi selama seminggu di Indonesia. Ada yang boleh saya kongsi - selebihnya saya simpan kerana sukar untuk dikongsi. Tetapi terus-terang saya katakan, sampai kesudah Azizi terus mengkritik cerpen-cerpen saya - antara yang saya ingat: "orang mabuk akan memabukkan orang lain!"

Itu sindirannya pada sikap eksperimental saya. Tetapi saya senang hati menerimanya - sebab Azizi menyatakannya cara orang kampung - terus-terang.

Saya percaya ramai yang akan mengenang Azizi dengan cara tersendiri - peminat sastera juga, terutama yang membesar dengan novel Seorang Tua di Kaki Gunung yang dijadikan teks sekolah sedikit masa dahulu.
(Sumber: Utusan Malaysia)

No comments: