Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, July 1, 2011

Karangan Jenis Peribahasa BM PMR

Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Sediakan payung sebelum hujan”. Tuliskan suatu karangan yang menghuraikan maksud peribahasa itu.

Peribahasa memang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Setiap peribahasa mempunyai maksud tertentu. Pada setiap peribahasa tersirat banyak nasihat dan pengajaran yang berguna sebagai panduan hidup kita pada era globalisasi ini.

Peribahasa ”Sediakan payung sebelum hujan” bermaksud bersedia atau berwaspada kita dalam menghadapi segala perkara atau kemungkinan yang datang, khususnya kemungkinan yang tidak dirancang. Peribahasa ini juga mempunyai persamaan makna dan berkaitan dengan peribahasa “Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.”

Berdasarkan maksud peribahasa ini, ternyata bahawa tujuan penciptaannya bertujuan sebagai peringatan kepada kita untuk mengelakkan berlakunya sesuatu keburukan. Tegasnya, peribahasa ini menjelaskan bahawa jika kita senantiasa dalam keadaan bersedia atau bersiap siaga untuk menghadapi masa depan dengan penuh cabaran dan dugaan, sudah pasti kita dapat menempuhnya dengan baik dan penuh keyakinan. Oleh itu, peribahasa ini sesuai dijadikan pegangan hidup atau pedoman oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira ras, agama atau latar belakang kehidupan.

Dalam kehidupan seharian, maksud peribahasa ini wajar kita amalkan. Misalnya, semasa kita hidup senang, kita tidak harus bersikap boros. Sebaliknya, kita perlu berjimat cermat dan menyimpan wang untuk keperluan pada masa depan seperti melanjutkan pelajaran. Kita juga boleh menggunakannya pada waktu kesempitan wang atau ditimpa kesusahan. Dengan cara ini, kita tidak perlu berhutang daripada sesiapa.

Amalan berjimat cermat ini patut diterapkan ke dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa patut menyediakan sebuah tabung untuk anak-anak. Lebihan wang belanja atau wang saku semasa di sekolah bolehlah dimasukkan ke dalam tabung. Wang ini nanti boleh digunakan oleh anak-anak untuk membeli buku-buku rujukan atau peralatan sekolah yang diperlukan oleh mereka dari semasa ke semasa.

Akhirulkalam, kita haruslah menghayati nilai dan pengajaran yang tersirat dalam peribahasa “Sediakan payung sebelum hujan”. Dalam keadaan apa juga pun, kita perlulah bersikap positif dan mengamalkan nilai-nilai yang terkandung dalam peribahasa “Sediakan paying sebelum hujan” kerana bencana yang mendatang tidak diduga oleh siapa-siapa pun lebih-lebih lagi kata orang tua-tua, malang tidak berbau.

Hasil Kerja:
Tan Jia Meng, Tingkatan 2 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: