Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, June 25, 2011

Karangan BM Tingkatan Satu

Kekurangan Minat Membaca dalam Kalangan Remaja

Amalan membaca banyak membawa faedah kepada masyarakat tanpa mengira usia, bangsa, agama dan latar belakang kehidupan. Malangnya, remaja pada hari ini berhadapan dengan masalah kekurangan minat membaca.

Kekurangan minat membaca dalam kalangan remaja berpunca daripada beberapa sebab. Pertama sekali, remaja lebih tertarik akan dunia teknologi maklumat seperti Internet, blogspot dan facebook. Selain itu, mereka mudah terpengaruh akan keadaan dunia remaja pada hari ini yang teruja akan dunia hiburan. Mereka kurang membaca surat khabar, majalah dan buku-buku ilmiah.

Ibu bapa turut dijadikan teladan oleh golongan remaja pada hari ini. Sekiranya, ibu bapa kurang mengamalkan budaya membaca, maka anak-anak turut bersikap demikian bak kata bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh itu, sebagai ibu bapa, mereka seharusnya mengamalkan budaya membaca dan menjadi suri teladan kepada anak-anak remaja di rumah.

Kurangnya galakan, program dan motivasi membaca turut menyumbang kepada masalah kekurangan minat membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Kegagalan institusi sekolah dalam menjayakan kempen membaca turut menjadi faktor penyumbang kepada masalah tersebut.

Oleh itu, pelbagai usaha perlu difikirkan untuk menyemaikan budaya membaca dalam kalangan remaja. Pertama sekali, kempen membaca perlu digerakkan ke seluruh pelosok negara agar setiap rakyat menyedari kepentingan budaya membaca. Ibu bapa dan guru perlu berganding bahu dalam usaha menggalakkan anak-anak murid membaca sama ada di sekolah atau di luar sekolah. Perpustakaan bergerak dan perpustakaan mini perlu diwujudkan untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya membaca. Sesungguhnya, masyarakat yang membaca merupakan masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan luas sekali gus mengelakkan diri mereka digelar katak di bawah tempurung.

Justeru, marilah kita menyemaikan budaya membaca. Sesungguhnya, masyarakat yang membaca merupakan masyarakat yang berilmu dan bermaklumat bak kata-kata hikmat, membaca jambatan ilmu.

Tan Hector,
Tingkatan 1 Hijau,
SMJK Katholik, 35900 Tg. Malim,
Perak Darul Ridzuan.

No comments: