Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Monday, May 2, 2011

Karangan Laporan BM PMR

Sekolah anda telah mengadakan Majlis Hari Penyampaian Hadiah. Sebagai ketua pelajar, anda diminta menyediakan laporan lengkap tentang acara tersebut.

Laporan Majlis Hari Penyampaian Hadiah SMK Methodist, 35900 Tg.Malim 2011

Pada 24 April 2011 yang lalu, SMK Methodist telah mengadakan Majlis Hari Penyampaian Hadiah buat kali ke-100 di Dewan A, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Majlis tersebut diadakan bertujuan untuk memberikan penghargaan kapada pelajar-pelajar yang telah memperoleh kecemerlangan sama ada dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan kesahsiahan diri. Selain itu, majlis ini juga dapat memberikan galakan kepada murid-murid yang lain supaya lebih berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dan gemilang dalam dunia pendidikan.

Majlis ini bermula tepat pada jam 9.00 pagi dan telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Ong Ka Chuan, Ahli Parlimen Tg.Malim. Hari Penyampaian Hadiah ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada para ibu bapa. Ramai antara mereka hadir untuk menyaksikan kejayaan anak-anak mereka dalam majlis tersebut. Hampir 500 pengunjung hadir pada majlis itu. Kehadiran pengunjung dan ibu bapa yang begitu ramai menjadikan suasana majlis berlangsung dengan begitu meriah.

Nyanyian lagu “Negaraku” dan “ Lux Et Veritas” memulakan tirai. Seterusnya majlis diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh pengetua sekolah, Yang Berusaha Encik Lee Ming Ho. Dalam ucapan, beliau senantiasa menggalakkan anak-anak murid supaya berusaha untuk meningkatakn prestasi akademik , kokurikulum dan kesahsiahan diri pelajar.

Selepas persembahan caklempong, majlis penyampaian hadiah kepada para pelajar yang berjaya telah dijalankan. Majlis ini dimulakan dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang berjaya dalam peperiksaan akhir tahun 2010 menurut kelas masing-masing. Kemuncak upacara ini ialah penyampaian hadiah penghargaan kepada pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan awam seperti PMR dan SPM 2010. Sebanyak 50 orang pelajar terpilih sebagai penerima anugerah kokurikulum.

Majlis ini berakhir pada pukul 12.00 tengah hari dengan persembahan koir oleh pelajar-pelajar sekolah yang diketuai oleh Saudara Tan Yu Hang. Sebelum bersurai, para hadirin telah dijemput untuk menjamu selera di dewan makan. Ringkasnya, majlis penuh gemilang ini telah berjaya dilangsungkan dalam suasana yang meriah dan mencapai objektifnya.

Laporan disediakan oleh,
Chiam Tow Yuet
(CHIAM TOW YUET)
Ketua Pelajar,
SMK Methodist, 35900 Tg.Malim,
Perak Darul Ridzuan.

24 APRIL 2011

No comments: