Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Saturday, May 21, 2011

Karangan BM PMR

Sukan membawa pelbagai faedah kepada golongan pelajar. Bincangkan faedah sukan kepada pelajar.

Sukan merupakan sejenis kegiatan yang memerlukan ketangkasan dan tenaga yang tertentu. Aktiviti sukan biasanya dapat dijalankan pada waktu pagi, petang atau malam. Terdapat pelbagai jenis sukan seperti acara balapan dan padang, bola keranjang, badminton, bola sepak, bola tampar dan lain-lain lagi. Kebanyakan pelajar mempunyai hobi bersukan dan aktif dalam pelbagai acara sukan. Setiap sekolah wajib mengadakan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan selama sejam pada setiap minggu untuk menggalakkan pelajar menceburi bidang sukan dan permainan sejajar dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia, iaitu 1Murid 1Sukan.

Sebenarnya, sukan memberikan pelbagai manfaat dan faedah kepada golongan pelajar. Pertama-tama, pelajar-pelajar dapat mengisi masa lapang masing-masing dengan berfaedah. Hal ini dapat mengelakkan pelajar-pelajar daripada melibatkan diri dalam gejala sosial yang boleh memberikan kesan buruk kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara seperti budaya lepak, vandalisme, gengsterisme, merokok, menyalahgunakan dadah dan sebagainya. Pelajar-pelajar juga dapat mengelakkan diri daripada membazirkan masa kerana masa ibarat emas.

Selain itu, pelajar-pelajar dapat mencungkil bakat dan kebolehan diri dalam bidang sukan. Melalui sukan, pelajar-pelajar dapat mengetahui dan mengembangkan potensi diri masing-masing. Pelajar-pelajar juga dapat mempelajari dan menguasai kemahiran hidup yang berharga seperti bekerjasama dan bertoleransi melalui aktiviti sukan. Sikap-sikap tersebut bukan sahaja diwajibkan ketika bersukan malah juga amat diperlukan ketika pelajar-pelajar mengikuti sesi pembelajaran atau menjalani aktiviti bersama-sama pelajar yang lain.

Di samping itu, pelajar-pelajar dapat memperlihatkan kemajuan dari segi fizikal dan mental selepas bersukan. Pelajar-pelajar dapat mengekalkan kesihatan badan kerana berpeluh dapat membakar kalori dalam badan sekali gus dapat mengelakkan diri mereka daripada penyakit-penyakit serius seperti obesiti, kencing manis dan sakit jantung. Pada masa yang sama, bersukan juga dapat mencerdaskan minda pelajar-pelajar dalam buana pendidikan.

Seterusnya, pelajar-pelajar yang aktif dalam sukan dapat dipilih untuk menyertai pelbagai acara sukan sama ada di peringkat daerah, negeri, kebangsaan ataupun di arena antarabangsa. Dengan ini, pelajar-pelajar dapat mengharumkan nama sekolah dan keluarga di persada sukan nasional dan antarabangsa seperti Datuk Nicole David. Pelajar-pelajar tersebut juga berkeupayaan untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam bidang kokurikulum dan berkelayakan untuk dianugerahi “Tokoh Pelajar” dan olahragawan atau olahragawati di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa bidang sukan membawa faedah-faedah kepada golongan pelajar. Pihak sekolah perlu menganjurkan berbagai-bagai aktiviti di sekolah bagi mengalakkan pelajar bersukan. Ibu bapa juga harus bersikap prihatin akan minat dan kebolehan anak-anak dalam bidang kokurikulum, khususnya sukan dan permainan. Seorang pelajar yang cemerlang bukan sahaja perlu mahir dalam akademik malah juga perlu mengambil berat dan gemilang dalam bidang kokurikulum akademik dan sukan.

Disediakan oleh:
Derrick Goh Xin Deik, Tingkatan 2 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul
Ridzuan.

1 comment:

Norsharida/dida said...

thankx for the share cikgu2