Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, May 27, 2011

Karangan BM PMR 2011

Soalan:
Cara terbaik untuk menghabiskan cuti sekolah yang panjang adalah seperti meluangkan waktu bersama-sama keluarga. Jelaskan cara terbaik untuk menghabiskan cuti sekolah yang panjang.


Cuti sekolah merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh setiap pelajar. Selepas berbulan-bulan mereka penat belajar atau menelaah buku dan nota-nota di sekolah, maka cuti sekolah sememangnya merupakan berita yang alu-alukan oleh setiap pelajar. Walau bagaimanapun, setiap pelajar dinasihati agar mereka menghabiskan cuti sekolah dengan bermanfaat.

Sebenarnya, cara terbaik untuk menghabiskan cuti sekolah adalah dengan meluangkan masa bersama-sama keluarga. Sepanjang tempoh 10 bulan menuntut ilmu di sekolah, sebagai pelajar kita jarang mempunyai masa yang panjang untuk bergaul dengan ahli keluarga. Oleh itu, cuti sekolah yang panjang ini merupakan peluang yang terbaik untuk kita mengeratkan hubungan dan silaturahim dengan keluarga. Misalnya, kita boleh mengambil kesempatan ini untuk melancong ke tempat-tempat yang bersejarah bersama dengan anggota keluarga kita seperti melancong ke Melaka dan tempat-tempat pelancongan yang indah dan menarik di negara kita. Rancangan ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara anggota keluarga tetapi juga dapat menambahkan ilmu dan pengalaman kita tentang landskap sejarah tanah air kita, Malaysia.

Selain itu, kita boleh membantu ibu kita membuat kerja rumah seperti mengemaskan rumah, menyapu atau mengelap lantai dan sebagainya. Dengan ini, kita dapat merasai betapa penatnya ibu mencurahkan tenaga untuk memastikan rumah sentiasa dalam keadaan bersih, kemas dan ceria. Seterusnya, kita boleh mengambil kesempatan bersempena cuti panjang ini untuk balik ke kampung menziarahi datuk dan nenek kita. Dapatlah kita luangkan masa kita berbual-bual dengan mereka sambil menjaga hal-ehwal kebajikan mereka.

Selain meluangkan waktu bersama-sama dengan keluarga, kita juga boleh membuat latihan ulang kaji pada tempoh cuti yang panjang ini sebagai langkah persediaan secara terancang untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun sekali gus berjuang untuk memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Di samping itu, kita juga boleh menyertai kempen, ceramah atau seminar yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kampung atau taman sebagai pengisian aktiviti pada cuti panjang ini. Sebenarnya, usaha murni ini dapat mengelakkan diri kita daripada melepak di kafe siber atau membazirkan masa dalam aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah malah membahayakan masa depan kita. Dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang menarik ini, kita dapat berkawan dengan kawan-kawan yang baharu dan seterusnya dapat menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman.

Oleh itu, sebagai murid, marilah kita habiskan masa cuti sekolah kita dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat, menarik dan menyeronokkan. Sesungguhnya masa itu emas.

Chai Hui Shin, Tingkatan 3 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: