Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, February 2, 2011

Karangan BM Tingkatan 2 - Membaca Jambatan Ilmu

“Membaca Jambatan Ilmu”. Berdasarkan slogan tersebut, anda berbincang dengan rakan tentang langkah-langkah untuk menarik minat membaca dalam kalangan remaja.

Pada hari Ahad yang lalu, Ann Zhi, Sok Kuan dan saya (Zi Shan) telah pergi ke perpustakaan awam untuk mencari maklumat. Sambil menyiapkan projek sekolah, kami berbincang tentang tajuk pidato BM, yakni “Membaca Jambatan Ilmu”.

Ann Zhi: Remaja pada hari ini amat kurang mengamalkan budaya membaca.
Sok Kuan: Betul kata Ann Zhi. Oleh sebab itu, semua pihak patutlah bekerjasama untuk membendung sindrom kurang membaca dalam kalangan remaja.
Zi Shan: Apakah langkah-langkah yang wajar untuk menarik minat membaca dalam kalangan remaja, Ann Zhi?
Ann Zhi: Pada hemat saya, pihak sekolah perlu bertindak proaktif, yakni menganjurkan kempen dan ceramah tentang kepentingan membaca dalam kehidupan kita sehari-hari.
Sok Kuan: Selain itu, ibu bapa juga haruslah memberitahukan kepentingan membaca buku sama ada bahan kreatif ataupun bukan kreatif, majalah dan akhbar kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi.
Zi Shan: Malangnya, amalan ini kian berkurangan di sekolah, Sok Kuan. Bagaimanakah masalah ini boleh kita tangani, Ann Zhi?
Ann Zhi: Pertama sekali, pengajaran dan pembelajaran guru sekolah perlulah kreatif dan inovatif. Guru boleh menggabungjalinkan teknik bacaan dalam pengajaran di dalam kelas. Contohnya guru mengajarkan Sains menggunakan teater membaca, membaca teks KOMSAS selain teknik lakonan, nyanyian, dan teknik main peranan.
Sok Kuan: Seterusnya, bahan-bahan yang digunakan oleh guru perlulah menarik dalam usaha menarik minat remaja. Contohnya penggunaan ICT, majalah, buku-buku rujukan, dan akhbar di dalam bilik darjah.
Zi Shan: Sebenarnya, budaya membaca dalam kalangan remaja juga boleh kita terapkan dalam program utama sekolah seperti Minggu Bahasa dan Susastera BM, Bulan Kemerdekaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan. Pihak sekolah boleh menganjurkan pelbagai pertandingan berasaskan budaya membaca, kawan-kawan.
Ann Zhi: Betul, Zi Shan. Selain itu, pihak sekolah melalui Pusat Sumber Sekolah juga boleh menambahkan bahan bacaan yang menarik minat remaja di perpustakaan sekolah. Contohnya buku-buku terbaharu yang merangkum genre susastera BM dan BI, autobiografi, fiksyen selain buku-buku yang berasaskan ilmu sains dan teknologi semasa.
Sok Kuan: Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Unit Hal-ehwal Murid boleh mendirikan pondok-pondok bacaan atau mewujudkan sudut-sudut bacaan di dalam bilik darjah. Prasarana seperti itu difikirkan penting untuk merangsang minat murid-murid ke arah budaya membaca.
Ann Zhi: Benar, Sok Kuan. Kita berharap agar budaya membaca ini dapat diamalkan dan diperkukuh dalam sanubari setiap warga sekolah, termasuklah murid-murid dan guru-guru. Sesungguhnya, membaca jambatan ilmu.

Selepas perbincangan di perpustakaan awam, mereka sempat singgah bersantai di gerai ais kacang Tg.Malim sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Disediakan oleh,
Lieu Zi Shan,
Tingkatan 2 Amanah, SMK Methodist 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

No comments: