Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, December 31, 2010

Sajak - Menara Condong
























MENARA CONDONG

1885
Sebuah pagoda bertapak gagah
di Jalan Selat sebelah Jalan Pasar
di sini
Menara Condong Pisa Itali
Mengamit jutaan wisatawan
Memasyhurkan nama dan citramu,
Teluk Intan

Biarpun ada benarnya
Sekali air bah sekali pasir berubah
Namun monumenmu yang bersejarah
Tetap kukuh berdiri dekad demi dekad
Menghadapi onak duri cabaran
Mewarnai pahit manis kehidupan

Aneka ras dan wargamu
Bandar di hilir
Tidak lupa akan jasa baktimu
Menangani kecemasan dan kemarau
Beberapa dasawarsa dahulu
Biarpun kini, kau semakin tua dan uzur!

Menara Condong
Warisan sejarah bangsa
Perlu diwarta dan dipulihara
Untuk tatapan
Untuk renungan
Anak-anak watan zaman-berzaman!

Chai Loon Guan
(Sumber: Antologi Menara Condong - 1994)


Wednesday, December 29, 2010

Biodata Penulis Novel T4 - Azfa Hanani

Biodata Penulis.

HALIS AZHAN MOHD. HANAFIAH dilahirkan di Melor, Kota Bharu, Kelantan pada tanggal 1 Januari 1970 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Melor, Kelantan dan Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan. Beliau memperoleh B.Ed. TESL (Hons) daripada UKM pada tahun 1993 dan M.A. (Kesusasteraan Melayu) daripada UPM pada tahun 2002. Beliau sekarang berkhidmat sebagai pensyarah Kursus Penulisan Kreatif di IPGM Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.,

Halis Azhan mula menulis pada tanggal 31 Januari 1984. Karya pertama beliau ialah sebuah cerpen kanak-kanak berjudul Anak Pungut (Bujal, Januari 1985). Sejak itu, beliau mengorak langkah lebih jauh lagi dan menghasilkan karya-karya sastera kanak-kanak dan remaja.

Novel-novel hasil pena beliau ialah Konflik (Utusan Melayu, 1989), Krisis (Utusan Melayu, 1990), Ariff (Marwilis Publisher, 1991), Cinta Gadis Nadia (Utusan Melayu, 1992), Biduk Berlalu (Utusan Melayu, 1993), Azfa Hanani (Utusan Melayu, 1994), Erni Aflina (DBP, 2001), dan Seperti Sejalur Pelangi (DBP, 2004). Halis Azhan juga menghasilkan tiga buah kumpulan cerpen remaja, iaitu Dunia Kecil Kami (FIP, 2007), Terjerat Dalam Belenggu (FIP, 2007) dan Cerita pada Hari Valentine (2007).

Pengarang ini pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu – Public Bank pada tahun 1988, 1989, 1991, 1992, 1993 dan 1994 bagi kategeri novel dan cerpen remaja, Hadiah Pertama Cerpen Kanak-kanak Mobil – DBP 1998 dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003 bagi kategori Kumpulan Cerpen Kanak-kanak. Beliau juga pernah dilantik sebagai panel hakim beberapa sayembara penulisan tanah air.

Bab 19 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 19: Segala-segala Berakhir

Nani
boleh tersenyum lebar di banglo Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah. Mereka sekeluarga menerima kehadiran Nani. Tanpa disedari oleh sesiapa, Datuk Tengku Makmur telah mengotakan janji.

Nani dapat berhubung dengan keluarga di kampung. Talian telefon sudah dipasang di teratak buruk. Bil telefon akan ditanggung oleh Datuk Tengku Makmur. Datin Maziah melayani Nani seperti dahulu tanpa terlalu dimanjakan. Abang Muzaffar pula sedang menyusuri lorong ke arah keinsafan. Dia mula mendekati masjid dan mengikuti pengajian agama. Cikgu Zamin akan menjadi abang ipar Kamilah. Sempat Nani berpesan kepada Falina agar dapat memberitahu Nordin dan Rozlan bahawa mereka merupakan kawan-kawan baik Nani.

Hari Sumbangsih SM Taman Sari telah berlangsung dengan jayanya. Kutipan wang sebanyak RM16,655 telah melebihi matlamat dan mencipta rekod kutipan. Malam Bakat Sumbangsih diteruskan walaupun tidak disenangi oleh ramai murid. Kewujudan Budak Glamor sudah berakhir. Rupa-rupanya Syafikah dan Fuziana memang tidak menyenangi Laili. Laililah yang telah mengapi-apikan mereka agar turut membenci Nani.

Iskandar menemui ajal dalam kemalangan jalan raya. Laili yang cedera parah dalam kemalangan itu masih berada di dalam wad ICU. Pasukan Forum Remaja pula telah menempa kejayaan gemilang. Nani dan pasukannya telah muncul johan negeri. Nani diumumkan sebagai pengerusi forum terbaik di setiap pusingan sebelumnya.

Nani menaiki teksi ke rumah Ekran di Lorong Kerani, Kampung Teruntum. Beberapa orang anak muda sedang tekun bekerjasama menyiapkan sebuah gerai. Abang Muzaffar dan Ekran turut bersama-sama. Rupa-rupanya mereka sedang membuatkan Ekran sebuah gerai yang baharu. Kedua-dua, ayah dan ibu Ekran yang merupakan pensyarah UKM sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah di Amerika Syarikat. Ekran tinggal bersama dengan datuk dan nenek. Jelaslah, kes kebakaran gerai burger Ekran berkait rapat dengan ego Abang Muzaffar!

Kosa kata / Makna:
1. Timangan – yang sangat dikasihi atau dimanjakan, nama lain drpd nama yang diberikan ketika lahir, gelaran
2. Lembaran – lampiran atau helai (kertas, surat khabar, dll), halaman atau muka surat
3. Tragis – sangat sedih, sangat menyedihkan
4. Tersingkap – terbuka, terselak, terbongkar
5. Kepincangan – perihal pincang, keadaan yang tidak seimbang atau tidak sebagai yang sepatutnya
6. Semat – benda (jarum peniti, peniti cantil, dll) yang digunakan untuk mencucuk dua benda yang hendak dicantumkan
7. Usir – mengikut, memburu, mengejar, menghalau
8. Mengelolakan – mengarah dan mengawal perjalanan sesuatu (spt. perusahaan, pejabat, dll), menyelenggarakan
9. Gelagat – tanda (akan terjadinya sesuatu) tingkah laku, gerak geri
10. Keterlanjuran – perihal terlanjur
11. Mendadak – (dgn) tiba-tiba, (dgn) tidak disangka-sangka
12. Menguntumkan – memberikan (melemparkan) sesuatu (senyuman)

Peribahasa:
1. Retak menanti belah – menunggu binasa

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 30 Disember 2010.
Taman Intan Setia, 35900 Tanjong Malim.

Pantun















Belimbing Melaka buahnya rapat,
Rasanya lazat kuning warnanya;
Harus waspada memilih sahabat,
Sahabat jahat bawa bencana.

(Sumber: Osman Dol)

Bab 18 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 18: Hakikat

Zahidin meminta Nani membawanya ke dusun ayah Nordin untuk memetik buah rambutan. Zurina dan Zahir juga berada di situ untuk mengambil upah mengutip buah. Sedekah Pak Haji Arshad. Pak Long dan Mak Long mengetam padi di bendang. Abang Mazran dan Kak Finaz bersetuju membenarkan Nani pulang menemui keluarga sementara mereka memujuk Datin Maziah agar dapat menerima Nini (Nani) kembali.

Biarpun sudah diubati, kesan sakit lumpuh yang dideritai sejak beberapa lama masih mewarnai hidup Zuraini. Aturan langkahnya masih lemah dan berbantukan tongkat. Rahsia Nani mengambil peranan Murni di rumah itu akhirnya terbongkar juga. Kekhilafan Nani disedari oleh Datin Maziah selepas Nani bertengkar dengan Abang Muzaffar. Nani masih memarahi Abang Muzaffar dek sikapnya terhadap Ekran. Nani nekad akan memberitahu Abang Mazran dan Kak Finaz bahawa dia mahu kembali ke pangkuan keluarga di kampung semula. Nani juga akan meninggalkan Ellina, Adriani, dan kawan-kawan yang lain di SM Taman Sari. Kata Nani, kebahagiaannya hanya di sisi orang-orang yang tersayang.

Buat kali pertama sejak beberapa lama, hati Nani berasa sungguh damai semasa menghalakan aturan langkah ke dusun Pak Haji Arshad. Landskap sawah berlatarkan langit yang membiru dan pepohon yang menghijau merendang mengagumkan Nani. Mak Hajah Kiah mengkhabarkan kedatangan Abang Mazran dan Kak Finaz. Datuk Tengku Makmur dan Abang Muzaffar yang sedang memimpin Datin Maziah agak tertinggal di belakang. Abang Mazran dan Kak Finaz hendak membawa Nani balik ke banglo Kuala Lumpur. Nani menolak permintaan mereka sambil membetulkan nama panggilannya, yakni Nani bukan Nini.

Kerana gagal memujuk Nani, Abang Mazran menyerahkan peranan itu kepada ayah dan ibunya. Sambil memohon maaf, Datuk Tengku Makmur menceritakan kisah kematian ibu bapa kandung Nani dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah 16 tahun yang lalu. Hanya Nani seorang yang terselamat dalam tragedi itu yang berpunca daripada ngantuk keletihan dan kecuaian Datuk Tengku Makmur. Mereka gagal mengesan kedudukan Nani untuk menebus dosa. Kehadiran Pak Madi berkunjung ke rumah Datuk tempoh hari telah membongkarkan rahsia Nani yang sebenar. Datin Maziah turut memohon maaf kerana menampar dan menghina Nani. Nani memaafkan mereka. Pesan Mak Long tidak pernah dilupakan oleh Nani. Kata Mak Long, jadilah manusia yang pemaaf!

Kosa Kata / Makna:
1. Berselisih – tidak sama (jumlah, dll), berbeza, berlainan pendapat, bertemu di jalan
2. Takdir – sesuatu yang ditentukan oleh Allah terlebih dahulu, qadak, untung nasib
3. Terhiris – berasa tersinggung oleh kata-kata atau perbuatan seseorang
4. Disimbah – basah (kerana disirami air, peluh dll), kuyup, dilumur (darah)
5. Bergelumang – berlumur (dengan lumpur dll), penuh dengan kotoran dsb
6. Mencelup – memasukkan (menenggelamkan, menyelamkan) ke dalam benda yang cair
7. Bertinggung – duduk di atas tapak kaki dengan kaki berlipat dan punggung tidak diletakkan di lantai, bercangkung, berjongkok
8. Gelegar – bunyi gemuruh (meriam, letupan bom dll), kayu (balak) yang menyangga lantai, jeriau
9. Menatang – membawa sesuatu di atas tapak tangan , menating, menayang
10. Kekhilafan – kesalahan (kerana kurang teliti, kurang pengalaman, dll), kekeliruan, kesilapan
11. Sedekah – pemberian kepada fakir miskin, kenduri (minta selamat dll)

Peribahasa:
1. Hujan emas di negeri orang, hujan batu negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri – tempat sendiri lebih baik dari tempat orang
2. Melukut di tepi gantang – tidak penting

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 29 Disember 2010.
Taman Intan Setia, 35900 Tanjong Malim.

Tuesday, December 28, 2010

Bab 17 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 17: Terusir

Hakikatnya, Murni pernah memiliki seorang teman lelaki semasa hayatnya. Kemunculan mengejut Syafikah dan Fuziana menamatkan perbualan Nani dengan Ekran. Ekran meninggalkan bilik persatuan. Nani pula balik ke rumah.

Nini (Nani) tiada selera untuk makan. Lesu. Dia memohon izin daripada Datin Maziah untuk berehat di dalam bilik. Nani masih memikirkan hal Ekran. Sebenarnya, Ekran anak muda yang istimewa, kacak, pemimpin pelajar yang berkarisma dan berwawasan. Dalam diam-diam, Nani telah menaruh hati kepadanya. Kemudian, Nani memikirkan kekurangan yang ada pada dirinya. Nani membuat telahan terhadap hubungan Murni dan Ekran. Barangkali Datin Maziah tidak merestui persahabatan itu dek perbezaan taraf hidup sehingga berlakunya kemalangan pada petang yang berhujan lebat itu.

Barangkali, Murni pernah meluahkan isi hatinya terhadap Ekran di skrin komputer sebelum tersimpan di dalam disket-disket mini di dalam laci meja. Sepanjang petang itu, Nani amat tekun mencungkil rahsia itu. Rupa-rupanya, Datin Maziah bukanlah penyebab hubungan Murni dan Ekran terputus.

Nani ke bilik Abang Muzaffar dan menuntut penjelasan. Nani mencampakkan diari Murni dan kertas-kertas di atas katil Abang Muzaffar. Abang Muzaffarlah yang selama ini tidak merestui hubungan akrab Murni dan Ekran berdasarkan bukti nama timangan yang kerap tertulis pada catatan Murni. Sebenarnya, Abang Muzaffar cukup memandang hina pada Ekran. Nani mengingatkan Abang Muzaffar bahawa dia ialah Azfa Hanani. Azfa Hanani setaraf dengan Muhammad Ekran! Pertengkaran itu telah menarik perhatian Datin Maziah. Telapak tangan kanan Datin Maziah telah menghinggap di pipi kiri Nani.

Datin Maziah menuntut penjelasan daripada Nani. Disuruhnya Nani membaca majalah Focus dalam bahasa Inggeris. Diarahnya Nani menyelak baju untuk melihat bukti tahi lalat pada bahagian perut. Akhirnya, Nani tidak diberi peluang untuk berterus terang. Pipi kanan Nani ditampar oleh Datin Maziah. Terjelepok Nani – Azfa Hanani sebelum diusir!

Kosa Kata / Makna:
1. Menzahirkan – menyatakan, melahirkan
2. Membongkar – mengangkat ke atas, menaikkan, merombak, membuka dengan paksa, membangkitkan perkara-perkara lama
3. Sembarangan – dengan begitu sahaja, tidak menentu, tidak dengan usul periksa
4. Cerap – periksa, perhati
5. Meningkah – membalas (menjawab, menyahut) perkataan orang
6. Kepalang – (terlalau, sangat) cukup sedikit, tidak memadai, tidak berapa atau tidak cukup
7. Terjelepok – jatuh terduduk, jatuh tersila

Peribahasa:
1. Khabar angin – berita yang belum pasti
2. Menaruh hati – mencintai

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 28 Disember 2010.
Taman Intan Setia, 35900 Tanjong Malim.

Monday, December 27, 2010

Bab 16 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 16: Hari Sumbangsih

Guru-guru dan murid-murid SM Taman Sari teramat sibuk menjelang Hari Sumbangsih. Projek Sumbangsih bermatlamat untuk mendidik para murid agar menggunakan masa terluang dengan sebaik-baiknya di samping pengalaman menghadapi dugaan hidup. Ketika Nini (Nani) sedang meneliti buku cenderamata berkulit warna merah biji saga, muncul Adlan memberikan sapaan. Maklumat dalam buku cenderamata tercetak indah, menggunakan kertas yang bermutu tinggi dan terang amat gambar-gambar yang tertera. Kata Fuad pula, Hari Sumbangsih kali ini memang lebih meriah.

Rekod kutipan Hari Sumbangsih ialah RM 14,245, yakni dua tahun lepas. Adlan mengharapkan kumpulan pelajar SPM tahun ini dapat mencipta rekod, yakni sekurang-kurangnya RM 15,000. Nini (Nani) tercari-cari akan Ekran, pengerusi pameran. Muncul Fazlina sambil meminta maaf atas kelewatan kerana terpaksa ke tandas sekolah.

Fazlina juga tidak nampak Ekran kecuali Laili. Laili berpegang-pegang tangan dengan budak lelaki. Kononnya, Laili berpacaran. Lelaki itu ialah Iskandar. Dialah yang akan membawa sebuah pancaragam untuk membantu Laili, Syafikah dan Fuziana menjayakan Malam Bakat Sumbangsih biarpun ramai yang tidak menyenangi mereka. Terkesima Nini (Nani).

Nani dan kawan-kawan menjamu selera di gerai nasi ayam. Dengan kupon RM 50 yang dihadiahkan oleh Abang Mazran, Nini (Nani) akan membayar kos makanan dan minuman. Selesai makan, Nani meminta diri. Dia ingin ke gerai burger. Ekran keseorangan di bilik persatuan. Kemunculan Nani mengejutkan Ekran. Cepat-cepat Ekran cuba menyorokkan gambar-gambar yang diteliti sebentar tadi. Nani menuntut penjelasan Ekran yang suka menjauhkan diri daripada Nani akhir-akhir ini. Yang jelas, Nani ditinggalkan di pameran buku, Ekran tidak menghadiri majlis hari jadi Murni dan perkaitannya dengan hadiah hari jadi itu.

Akhirnya, Ekran berterus terang sambil menyuakan beberapa keping gambar kepada Nani. Kata Ekran, Murni teman akrabnya. Kemudian mereka terpaksa berpisah. Murni kekecewaan. Murni tertinggal beg duit pada kali terakhir pertemuan sebelum terlibat dan meninggal dunia dalam kemalangan. Tertegun Nani. Syafikah dan Fuziana berada di muka pintu.

Kosa Kata / Makna:
1. Berkeliaran – berjalan (bergerak, bersiar-siar, dll) merata-rata atau ke sana sini, merayau, bertualang
2. Berkehendakkan – memerlukan
3. Terjulang – terangkat, terdukung, tersanjung, terhormat
4. Memadai – mencukupi, dapat mengisi atau memenuhi (kehendak, peraturan, dll)
5. Jahil – tidak mengetahui, bodoh, cetek pengetahuannya
6. Meluat – berasa hendak muntah, meloya, meluat
7. Tersasar – terpesong (drpd arah atau landasan yang sewajarnya), tersesat
8. Pembabitan – perihal membabitkan (melibatkan)
9. Komitmen – sikap (pendirian atau perbuatan) memberikan sepenuh tenaga dan perhatian, dsb.
10. Menepis – mengelakkan pukulan, serangan, iltizam dsb.
11. Tertegun – tiba-tiba terhenti dan terdiam

Peribahasa:
1. Sambil menyelam minum air – dapat membuat dua kerja serentak
2. Meminta diri – minta izin pulang
3. Kalu tidak ada angin masakan pokok bergoyang (kalau tidak angin bertiup, tak kan pokok bergoyang – setiap kejadian meninggalkan kesannya.

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 27 Disember 2010.
Taman Intan Setia, 35900 Tanjong Malim.

Taman Bakau, Lumut


Bab 15 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 15: Kunjungan Mengejut

Kak Finaz akan bekerja sebagai arkitek semula mulai awal bulan depan. Jadi, urusan hantar dan pulang sekolah Nini (Nani) akan diuruskan oleh Datin Zaharah yang kebetulan pula menghantar dan mengambil dua orang anak lelaki kembarnya di sekolah yang sama. Semuanya telah diatur oleh Kak Finaz.

Petang itu, Nini (Nani) terpaksa menduduki ujian bahasa Jepun di Institut Lingua Franca pada jam 3 petang. Dia tidak sempat pulang ke rumah untuk makan tengah hari. Menurut Kak Finaz, Pak Long dan Zuraini yang ditemani oleh Abang Norman akan pulang dari Indonesia petang itu. Zuraini dikhabarkan sudah dapat berjalan semula. Kak Finaz akan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Nini (Nani) meluahkan hasrat untuk bertemu dengan Pak Long dan Zuraini tetapi tidak kesampaian dek beberapa kekangan. Kak Finaz memujuk Nani dan memaklumkan bahawa dia dan Abang Mazran akan membawa Nani balik ke kampung pada cuti semester nanti. Pengumuman ini menceriakan suasana.

Gerai burger Ekran masih berangka arang. Nani ingin berjumpa dengan Ekran. Kotak hadiah Ekran cukup misteri. Kononnya, beg duit itu dijumpai oleh seorang murid di dalam sebuah laci kabinet di bilik persatuan. Tepat 5 petang, Abang Mazran sudah menanti kepulangan Nani di pekarangan Institut Lingua Franca.

Kehadiran Pak Long dan Zuraini mengejutkan Nani. Mereka bersalaman sambil bertanyakan khabar. Zuraini tersenyum di atas kerusi roda. Nani dan Zuraini berpelukan. Zuraini masih terlalu lemah untuk bergerak bebas. Masa akan membantunya lebih kuat berjalan. Datuk Tengku Makmur yang sedang selesa bersandar di sofa hanya melihat sahaja keadaan mereka sambil menghisap paip.; Penerbangan Pak Long, Zuraini dan Abang Norman ditangguhkan. Mereka akan pulang ke Johor Bahru pada pagi esok.

Datin Maziah dan Kak Finaz membeli-belah di Kuala Lumpur. Kak Finaz (kakak ipar Murni) sudah mengandung dua bulan. Nani berpesan kepada Pak Long agar memberitahu Zahir bahawa Nani akann balik tidak lama lagi. Datuk Tengku Makmur menyuruh Nani membawa Zuraini ke ruang rehat sambil menjamu coklat dari peti sejuk. Datuk Tengku Makmur ingin berbicara dengan Pak Long. Kata Zuraini, Datuk Tengku Makmur memuji Nani di depan Pak Long. Nani budak baik, berbudi bahasa, dan mudah mendengar nasihat. Bagi Nani, ada suka duka tinggal di banglo mewah. Sesekali, dia ingin sekali menjalani kehidupan asalnya.

Kosa Kata / Makna:
1. Melenting – membingkas balik (rotan), bergerak (melompat), naik marah
2. Bercanggah – bertentangan
3. Terkapai-kapai – bergerak-gerak seolah-olah hendak memegang sesuatu, putus asa dankebingungan
4. Ceracak – mencuar ke atas (tajam-tajam), bercerancangan
5. Merimaskan – menyebabkan tidak enak (tidak nyaman, tidak senang, dll), mengganggu (fikiran), merunsingkan
6. Geruni – takuti, ngeri
7. Cengil – keras dan pedas
8. Badai – (bkn percakapan), angin ribut (yang kuat dan tiba-tiba garang datangnya), taufan

Peribahasa:
1. Kata itu kota – janji mesti ditepati
2. Memerah akal (otak) – berfikir dengan serius
3. Serkap jarang – menuduh tanpa bukti
4. Menemui ajal (maut) – mati

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 27 Disember 2010.
Taman Intan setia, 35900 Tanjong Malim.

Sunday, December 26, 2010

Bab 14 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 14: Misteri Yang Tersimpan

Nini (Nani)
menelefon Falina. Nani bercakap dengan Falina dan Aini. Dapatlah Nani melepaskan rindu kepada keluarga dan kawan-kawan. Selepas menunaikan solat maghrib, Nani terimbau-imbau kata-kata Falina dan Aini di katilnya. Rupa-rupanya Nani diminati oleh sebilangan murid SM Sri Dian. Sejak Nani belajar di SM Taman Sari, beberapa orang anak muda ingin mendekatinya. Kata Ellina, Nani berwajah lembut. Kata Falina pula, air muka Nani jernih, bersifat penyayang dan mudah menyebabkan anak muda jatuh cinta. Rupa-rupanya punca Nordin dan Rozlan tidak bertegur sapa kerana berebutkan hati Nani.

Lamunan Nini (Nani) terputus apabila Kak Finaz masuk mengajak Nani makan malam. Nani masih kekenyangan. Menurut Kak Finaz, Abang Mazran bercadang untuk memasang telefon di rumah keluarga Nani selain menghadiahi Nani sebuah telefon bimbit baharu. Dapatlah Nina mengubat rindu dan menghubungi keluarga dan kawan-kawan. Sambil duduk di atas katil, Kak Finaz mengajar Nani meggunakan telefon bimbit. Kak Finaz cuba menghubungi Kamaliah. Malangnya, Kamaliah tiada di rumah.

Nini (Nani) membuka kotak-kotak hadiah hari jadi. Isinya pelbagai, termasuklah sehelai baju panas biru bergambar topi sebuah pasukan antarabangsa yang dihadiahkan oleh Ellina. Menurut Ellina, baju itulah barang terakhir yang mahu dibeli oleh Murni semasa mereka bersiar-siar di Kuala Lumpur dahulu. Pintu bilik Nani diketuk. Selepas dibenarkan, terjongol Abang Muzaffar. Kesibukan menyiapkan tesis menyebabkan Abang Muzaffar terlupa untuk membeli hadiah hari jadi.

Bertemankan senaskhah buku komputer, Abang Muzaffar ingin menunaikan janji untuk mengajar Nani menggunakan komputer. Sebenarnya, Nani tidak berpeluang untuk menggunakan komputer dek kemiskinan. Di sekolah pula, yuran pembelajaran sebanyak RM 10.00. Mahal bagi keluarga miskin seperti keluarga Nani di kampung. Satu persatu hal komputer diajarkan oleh Abang Muzaffar sehingga bekalan elektrik terputus. Terpaksalah Abang Muzaffar membantu Nani menyalakan lilin sebelum meninggalkan Nani. Dalam kesamaran cahaya lilin, Nani mencari kotak hadiah pemberian Ekran. Alangkah terkejutnya Nani, isi kotak itu mengandungi kad pengenalan Murni, sejumlah wang dan beberapa keping kad dan sehelai kerta yang bercatatan. Kertas catatan Ekran!

Kosa Kata / Makna:
1. Berkumandang – bergema, bergaung
2. Menangguhkan – mengundurkan (waktu), menunda waktu (sampai, hingga), melengah-lengahkan
3. Keperitan – perihal perit, kepedihan, kesusahan, kesukaran
4. Meleretkan – memberikan (senyuman) yang melebar
5. Terjongol – timbul atau tertonjol keluar sedikit
6. Mahram – orang (lelaki ataupun perempuan) yang haram dinikahi (mengikut hukum Islam) kerana hubungan kekeluargaan yang rapat, hubungan susuan dsb.
7. Cerna – hancur jadi sebati (bercampur satu), hadam, hancur jadi cair, larut

Peribahasa:
1. Lupa daratan – tidak ingat asal usul
2. Air muka – wajah, nama baik
3. Bagaikan aur dengan tebing – saling membantu
4. Malu alah – serba salah kerana termakan budi

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 26 Disember 2010.
Kampung Berop, Tg.Malim.

Saturday, December 25, 2010

Bab 13 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 13: Hadiah Bererti

Kak Finaz mengajar Nini (Nani) prosedur melayan tetamu semasa majlis hari jadi kelak. Hari minggu, 3 petang, kawan-kawan jemputan hadir. Nini (Nani) sedang menanti kehadiran Ekran. Abang Mazran sedang menolak troli yang berisi kek tiga tingkat. Majlis dimulakan dengan ucapan ringkas Nani dan nyanyian “Selamat Hari Jadi”.

Nama Murni tertera cantik di atas kek. Datin Maziah ingin menolong Nini (Nani) memotong dan mengagihkan kek. Nani pula melayan tetamu seramai kurang lebih 50 orang. Majlis itu berlangsung dalam suasana meriah. Ellina, Adriani dan rakan-rakan memuji suara Nini (Nani) sebagai pengerusi forum. Pada hari itu, pasukan Forum Remaja SM Taman Sari diisytiharkan pemenang. Selepas Suzana, Rudiah pula bertanyakan cita-cita Nini (Nani). Dulu Nina bercita-cita untuk menjadi seorang doktor tetapi kini dia wajar memikirkan kerjaya dalam bidang penyiaran.

Tiba-tiba Kak Finaz memanggil Nini (Nani) untuk menjemput Ekran masuk. Ekran menghadiahi Nani hadiah sebelum memecut laju meninggalkan pintu pagar banglo Datuk Tengku Makmur. Pelbagai hadiah diterima oleh Nini (Nani). Selain jamuan, sesi karaoke juga diadakan. Nani diminta mendendangkan lagu, yakni lagu “Gemilang”.

Abang Mazran membawa berita baik daripada Abang Dad yang menelefon dari Jakarta kepada Nani. Zuraini sudah dibawa berjumpa dengan kiai dan mempunyai harapan untuk sembuh. Zuraini juga akan dibawa berjumpa dengan doktor pakar di sebuah hospital terkenal sekiranya rawatannya dengan kiai tidak berjaya. Pada hari Nani menerima surat daripada keluarga, Zuraini sudah berada di Jakarta selama dua hari ditemani oleh Pak Long, Abang Norman dan Kak Rozan. Peluang untuk bercakap dengan Pak Long melalui telefon bimbit Abang Mazran terlepas kerana talian sibuk. Kelak, Nani dibenarkan menelefon kawan-kawannya. Nani diberi sebuah telefon bimbit. Wajah-wajah Falina, Kamilah dan Aini menerpa di ruang mata Nini (Nani).

Kosa Kata / Makna:
1. Kekekokan – perihal (keadaan) kekok, kecanggungan
2. Hambar – tidak ada masa, tawar, dingin, acuh tak acuh, tidak bersemangat
3. Memaut – memegang dan menarik ke diri sendiri
4. Rutin – pekerjaan atau cara melakukan sesuatu yang telah menjadi kelaziman dan tidak berubah
5. Mendesis – berkata dengan perlahan-lahan, berbisik
6. Melabuhkan – menjatuhkan atau menurunkan (kelambu, tirai, dll), memanjangkan (pakaian)
7. Teratak – rumah kecil di sawah dll, (utk tempat tinggal sementara), dangau, gubuk
8. Menggamit – memberikan isyarat dgn jari (utk memanggil), mencuit
9. Karaoke – satu bentuk hiburan yang membolehkan individu (kumpulan) menyanyikan lagu yang terpilih dgn iringan muzik
10. Gara-gara – bencana, huru-hara, kegemparan, kehebohan, akibat daripada
11. Kiai – gelaran bagi alim ulama Islam, guru ilmu ghaib (tasawuf)
12. Menerpa – menyerbu dan menerkam (menyerang, dll), meluru masuk, berkejar

Peribahasa:
1. Gajah putih – sesuatu yang mahal tetapi tidak berguna
2. Berkecil hati – berasa tersinggung perasaan (agak marah), tawar hati

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 25 Disember 2010.
Taman Intan Setia, Tanjong Malim.

Bab 12 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 12: Melulu

Nini (Nani)
sedang mencuba tali leher. Dia disindir oleh Ellina dan ditertawakan oleh Fazlina. Biarpun telah diajar, Nani masih tidak berjaya. Akhirnya Ellina terpaksa menghulurkan bantuan. Fuad, Adlan dan Fazlina sudah lama menatap skrip masing-masing sebagai persediaan akhir. Pertandingan Forum Remaja akan bermula pada 9 pagi. Nani tidak sanggup mempersia-siakan amanah dan kepercayaan Ellina.

Skrip forum dibarisi oleh Nini (Nani) sambil diberi peringatan oleh Ellina. Nani kelihatan kemas bergaya memakai sepasang blazer berwarna kelabu serta bertali leher. Pernah Nani dicalonkan oleh guru untuk menjawat pengawas SM Sri Dian tetapi pencalonan itu terpaksa ditolak oleh Nani. Nani tidak mahu membebankan Pak Long kerana Nani perlu bertukar pakaian sekolah, membayar harga blazer dan tali leher. Angka perbelanjaan ratusan ringgit cukup membebankan keluarganya.

Menurut Ellina, Murni juga pernah dicalonkan jawatan sebagai pengawas tetapi ditolaknya sehingga akhir hayat. Nini (Nani) teringat akan kisah-kisah lalu dan kisah-kisah sekarang. Datin Maziah pula akan mengadakan majlis hari jadi Murni yang ke-17 pada hujung minggu. Ellina sempat mengingatkan Nani tentang Iskandar. Kata Ellina, Iskandar yang pernah mengganggunya bersikap buaya darat. Ellina bimbang akan keadaan Ekran. Kata Ellina, gerai burgernya kena bakar semalam. Berita itu turut mengejutkan Nani. Gerai burger itu memberikan erti yang amat besar kepada Ekran untuk menghargai masa terluang dengan mencari sedikit wang saku. Nani memohon keizinan seketika untuk ke bilik persatuan. Bilik tersebut tidak jauh dari bilik pengawas. Malangnya, tiada sesiapa di dalamnya.

Dengan berpakaian pengawas, Nani bergaya di depan cermin. Muncul Laili dengan senyuman sinisnya. Laili menyindir Nani kerana sanggup menjadi pengerusi forum tetapi menolak tawaran menjadi pengacara majlis yang disyorkan oleh Laili. Laili mula mencerca Nani. Nani terpaksa mempertahankan kebenaran. Biarpun berindentiti gadis kampung yang serba kolot, Nani mempunyai prinsip, maruah dan harga diri. Laili memberikan amaran agar Nani tidak mencampuri urusannya, yakni niat kumpulannya untuk membantu pelajar Tingkatan 5 Sastera II pada malam Bakat Sumbangsih. Tuduhan melulu itu telah menyebabkan Nini (Nani) tergamam seketika. Sebelum berlangsungnya pertandingan Forum Remaja, hati Nini (Nani) diamuk gelora.

Kosa Kata / Makna:
1. Serebah – tidak kemas atau teratur (bkn pakaian), serbah-serbih
2. Rungkai – membuka
3. Meruntun – menarik (menyeret) kuat-kuat, membantun, menyentak, merenggut
4. Hayat – ada nyawa pada badan, hidup
5. Terpinga-pinga – tercengang-cengang kehairanan
6. Mencemik – mencebikkan bibir sedikit (utk mengejek, menghina, dll)
7. Mencerlung – memandang dengan mata yang terbeliak, menatap dgn tajam
8. Mendongak – terangkat sedikit ke atas (bkn kekpala, muka dll), tercongak, memandang ke atas
9. Sanubari – jantung hati, perasaan dalam hati atau batin
10. Koridor – laluan yang menghubungkan satu bahagian dgn bahagian lain dalam sesebuah bangunan
11. Tertancap – masuk terbenam, terpacak, terpancang
12. Mencerca – mengeluarkan kata-kata keji utk menghina (mengejek dsb)
13. Menuding – menunjuk ke sesuatu arah (dgn. Jari telunjuk, tongkat, dll), menuduh

Peribahasa:
1. Makan hati – sedih
2. Buaya darat – lelaki yang sangat suka perempuan
3. Rusa masuk kampung – tercengang-cengang
4. Campur tangan – terlibat dalam urusan orang lain

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 25 Disember 2010.
Taman Intan Setia, 35900 Tanjong Malim.

Friday, December 24, 2010

Bab 11 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 11: Bukan Dirancang

Telefon berdering. Datin Maziah bertanya kepada Nini (Nani). Kata Nini, panggilan daripada Nina. Panggilan Ellina agak mengejutkan. Ellina mengajak Nini (Nani) ke rumahnya pada petang itu. Pasukan Forum SM Taman Sari akan mengadakan perbincangan dan latihan. Perubahan pada wajah Nini (Nani) disedari oleh Abang Musaffar.

Nini (Nani) cuba memberikan alasan untuk ke rumah Nina. Datin Maziah pula mengingatkan Nini (Nani) tentang kelas tuisyen. Kata Datin Maziah, kelas tuisyen sama penting dengan kelas perbincangan yang diuar-uarkan oleh Nini (Nani). Selepas campur tangan Abang Musaffar dan dipujuk oleh Nini (Nani), akhirnya Datin Maziah membenarkan Nini (Nani) ke rumah Nina. Datin Maziah turut menyentuh peperiksaan SPM dan amat berharap agar Nini (Nani) akan menjadi pelajar terbaik seperti Abang Dad, Tengku Murshadad, abang sulung Murni yang kini sedang menguruskan perniagaan keluarga di Indonesia. Tengku Mirzan pula sedang berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Perancis.

Nani menerima sepucuk surat daripada Abang Musaffar seperti yang disuruh oleh Kak Finaz. Kak Finaz sedang berurusan dengan bekas majikannya. Barangkali Kak Finaz hendak menyandang jawatan yang dilepaskan beberapa bulan yang lalu. Helai demi helai surat itu ditatap oleh Nani.

Selepas menghantar Nani ke rumah Ellina dengan motosikal berkuasa tinggi, Abang Musaffar pun meminta diri. Rumah Ellina, rumah orang kebanyakan dan tidak semewah rumah keluarga Murni. Menurut Ellina, dia perlu berlatih dan berbincang untuk pertandingan Forum Remaja. Kedua, dia perlu mengendalikan mesyuarat sekretariat pameran luar Hari Sumbangsih. Jadi, Nini (Nani) perlu mengambil alih peranan Ellina sebagai pengerusi forum semasa Ellina bermesyuarat selain mendengar dan memberikan komen semasa sesi perbincangan dan latihan. Nani terpaksa bersetuju.

Nini (Nani) teringat akan cerita panjang Zuraini dalam surat itu. Katanya, seluruh keluarga merindui Nani. Pak Long dan Mak Long selalu menunaikan solat hajat, Zurina dan Zahir pula sering bertanyakan berita kepulangannya. Zahidin pula kerap mengigau dan meracau-racau menyebut nama Nani dalam tidurnya. Kata Zuraini, dia akan dihantar berubat ke Indonesia tidak lama lagi. Sejurus selesai makan mi goreng dan minuman kordial yang disediakan oleh ibu Ellina, Nini (Nani) dikejutkan oleh pengumuman Ellina, yakni Nini (Nani) telah dilantik sebagai pengerusi forum pada pagi lusa.

Kosa Kata / Makna:
1. Berdolak-dalih – bercakap berbalik-balik (sekejap kata begini dan sekejap lagi begitu tentang perkara yang sama)
2. Curiga – syak-wasangka, waswas, sangsi
3. Berhelah – menggunakan tipu daya, berdalih
4. Redup – berawan (langit), tidak terang (cuaca), mendung, tidak panas terik
5. Berborak-borak – berbual-bual kosong, bergebang
6. Mengunyah-ngunyah – menyebut (memperkatakan) berulang-ulang, selalu membangkit-bangkitkan
7. Alternatif – pilihan yang merupakan kemestian (keharusan), satu pilihan antara dua kemungkinan
8. Mengetap – mengatupkan rapat-rapat, merapatkan
9. Membonceng – menumpang naik motosikal (basikal, dsb)
10. Mempelawa – mengajak, mempersilakan
11. Sekretariat – jawatan setiausaha, pejabat setiausaha, pegawai-pegawai atau jabatan yang diamanahkan untuk menjaga rekod dan melaksanakan tugas-tugas kesetiausahaan, urus setia
12. Anjakan paradigma – engsotan model atau batasan pemikiran (seseorang atau sesuatu organisasi) pada sesuatu masa yang dipengaruhi oelh pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan kesedaran yang ada
13. Menjengah – melihat (menengok) dengan menghulurkan kepala, menjenguk, (datang) mengunjungi
14. Meracau-racau – bercakap dengan tidakk tentu fasal (tidak keruan) ketika demam, dll, mengigau

Peribahasa:
1. Kata itu kota (Kata mesti dikota) – janji mesti ditepati

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 24 Disember 2010.
35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Bab 10 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 10: Meluah Rasa

Kak Finaz membenarkan Nini (Nani) mengunjungi Pesta Buku Alam Malaysia. Berita itu disampaikan kepada Ekran. Cuma Kak Finaz berpesan agar Nani tidak balik lewat takut nanti dimarahi oleh Datin Maziah. Sempat juga Nani menceritakan asal usulnya. Dia anak yatim piatu dan miskin. Dia memohon Ekran agar tidak menyamakan dirinya dengan Murni. Sebenarnya, Nani Cuma menyamar sebagai Murni di banglo itu, yakni memenuhi janjinya kepada Abang Mazran dan Kak Finaz di samping mengelakkan diri daripada keciciran dalam bildang pelajaran.

Bagi Ekran, Murni sudah tiada lagi. Nani tetap Azfa Hanani. Itulah panggilan Ekran. Kemunculan semula Tengku Murni menjadi bahan bicara hangat kebanyakan warga SM Taman Sari. Nani tidak keberatan menceritakan segala-galanya sehingga dipertemukan kepada Abang Mazran dan Kak Finaz. Kisah persekolahan, beban ayah dan ibu saudara dan Zuraini yang lumpuh memerlukan rawatan diceritakan oleh Nani kepada Ekran. Ekran memahami luahan kata yang terbuku di hati Nani selain hal “curi pinjam” buku-buku perpustakaan di sekolah lamanya. Nani turut menceritakan kisah hidupnya sebagai “anak manja” di banglo Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah, kesukaran Nani melayan manja Datin Maziah, pandangan serong Datuk Tengku Makmur dan Abang Muzaffar selain daya usahanya mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa Jepun.

Jam 2 petang. Mereka mula beredar. Sambil sama-sama mengorak langkah, Nani turut meluahkan rasa terkilannya tentang Laili, Syafikah dan Fuziani yang sengaja mencari fasal. Menurut Ekran, kumpulan Budak Glamor itu asyik berkelahi dengan Murni (semasa hidupnya) dan kini Ellina pula. Menurut Ekran lagi, ayah Laili, Datuk Minhad, pernah mendermakan RM10,000.00 kepada persatuan untuk modal projek Hari Sumbangsih yang lalu. Hal itu telah merumitkan Ekran, selaku pengerusi untuk bertindak tegas. Semasa Nani dan Ekran hendak melintas jalan, tiba-tiba muncul laju sebuah motosikal berkuasa tinggi. Motosikal itu berhenti mendadak, yakni terlajak 20 meter. Penunggangnya berpatah balik dan menghampiri mereka.

Kosa Kata / Makna:
1. Gagang – tangkai (bunga, gayung, dll), hulu (keris, tombak, dll), sulur
2. Sahut – balasan (kpd. panggilan atau pertanyaan)
3. Acuh – peduli, mengambil berat, mengendahkan
4. Kemelut – keadaan yang genting atau berbahaya
5. Makluman – apa-apa yang dimaklumkan, pemberitahuan
6. Melimpah-ruah – terlalu banyak keluar kerana terlalu penuh
7. Mencoretkan – meringkaskan
8. Selindung – bersembunyi, menyorok
9. Berpenunggu – berpengawal, berpenjaga, berpenghuni, berhantu, berpuaka
10. Etika – ilmu berkenaan prinsip-prinsip akhlak atau moral
11. Berderau – berbunyi spt. bunyi hujan dibawa angin (air dicurah, riak atau ombak yang dibawa angin, dll), tersentak (perasaan), tersirap (darah), tercetus dan berpanjangan bunyinya (ketawa), berderai

Peribahasa:
1. Makan budi – menerima kebaikan orang

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 24 Disember 2010.
35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Thursday, December 23, 2010

Bab 09 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 9: Ekran

Sabtu. Nini (Nani) ke Institut Lingua Franca kerana ingin meminjam buku rujukan bahasa Jepun sebagai alasan meminta keizinan Abang Mazran dan Kak Finaz. Nini (Nani) didekati seorang anak muda berjaket hitam. Mereka berbual-bual biarpun tidak kenal-mengenal. Nini (Nani) dipelawa oleh anak muda itu untuk menaiki motosikal berkuasa tinggi dan klasik itu tetapi ditolak tegas oleh Nini (Nani) demi keselamatan diri.

Rupa-rupanya, pemuda yang bermata keranjang itu bernama Iskandar. Kelihatan Ekran sedang tekun memasak burger di bawah sepohon pokok di seberang jalan. Nini (Nani) ingin berjumpa dengan Ekran. Ekran tengah sibuk berniaga. Maka terpaksalah Nani menanti kesempatan. 20 minit kemudian, Nani dapat berbual-bual dengan Ekran. Sempat juga Nani terdengar percakapan Ekran dengan pelanggan dalam bahasa Perancis.

Nini (Nani) ingin belajar daripada Ekran cara berurus niaga burger sebagai persediaan menjelang Hari Sumbangsih. Sempat juga Ekran bertanya kepada Nani tentang kedudukannya berkawan dengan penjual burger. Nani mengingatkan Ekran bahawa dirinya bukan Tengku Murni tetapi Azfa Hanani. Azfa Hanani bangun membantu Ekran mengemas gerai burgernya . Selepas itu, mereka menjamu selera di sebuah gerai nasi ayam. Menurut Ekran, dia berniaga pada setiap hari kecuali menjelang musim peperiksaan atau sakit. Berniaga dan belajar merupakan perjuangan Ekran untuk menjadi seorang akauntan kelak. Menurut Ekran, dia dapat menyimpan wang dan selebihnya digunakann untuk membiayai perbelanjaan sekolah.

Sebenarnya, Ekran mengambil alih gerai itu selepas abang sulungnya ditawarkan belajar di Korea Selatan. Selepas makan, Nani ke pejabat pos untuk mengirimkan buku-buku perpustakaan SM Sri Dian yang dialamatkan kepada Cikgu Zamin. Ekran sempat memberitahu Nani bahawa Murni hanya pandai makan nasi menggunakan sudu dan garpu. Hanani dan Murni sememangnya berbeza!

Kosa Kata / Makna:
1. Terkial-kial – (berbuat sesuatu) dgn. Sepenuh upaya (tenaga), berjerih-jerih, bergerak-gerak keras (kerana tertawa atau menangis)
2. Menyorot – memancar (cahaya, sinar), bercahaya, bersinar
3. Mengepit – memegang (menghimpit, membawa) di antara lengan dan badan (di bawah ketiak) atau di antara dua jari
4. Klasik – serius dan abadi nilainya
5. Mencerlung – memandang dengan matanya yang terbeliak, menatap dengan tajam
6. Spontan – tidak dengan paksaan, dengan desakan atau gerak hati sendiri sahaja, berlaku atau tercetus dengan sendiri
7. Menggoda – mengajak (meminta, menyuruh) supaya berbuat sesuatu (kejahatan), mengganggu, mengacau
8. Berceloteh – bercakap-cakap (dgn.tidak tentu pokok pangkalnya atau tidak keruan), berbual-bual, mengoceh
9. Pinggir – tepi
10. Berwibawa – mempunyai wibawa (kekuasaan, hak atau keupayaan)
11. Memamah – menghancurkan makanan (dalam mulut) dengan gigi, mengunyah
12. Memercik – menghambur ke sana sini (utk. titik air dll.)
13. Mengetap – mengatupkan rapat-rapat, merapatkan

Peribahasa:
1. Mata keranjang – lelaki yang minat pada ramai perempuan
2. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang – sangat miskin

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 23 Disember 2010.
35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Wednesday, December 22, 2010

Bab 08 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 8: Tertanya-tanya

Sejak terserempak dengan Ekran, lidah Nini (Nani) kelu berkata-kata. Timbul keinginan Nani untuk bertemu dengan Ekran lagi. Nini (Nani) mendapat markah yang baik dalam karangan berbentuk cerita. Atas permintaan Abang Mazran, semua guru tahu Nani menggunakan nama Murni. Cikgu Zamri turut mencatatkan bahawa Nani dapat meraih A1 untuk kertas Bahasa Melayu SPM.

Ketika sibuk mencatat fakta, muncul Syafikah ditemani Fuziana ingin berbual dengan Nini (Nani). Syafikah dan kawan-kawan mencadangkan Nini (Nani) mengacarai Majlis Bakat Sumbangsih. Menurut Laili, suara Nini (Nani) bagus lebih-lebih lagi peluang inilah yang harus digunakan untuk memperkenalkan diri. Setahu Nini (Nani), pengendalian majlis sudah diserahkan kepada para pelajar Tingkatan Lima Sastera II. Laili, Syafikah dan Fuziana pula antara AJK Pameran Alam Sekitar dan Reka Cipta.

Menurut Syafikah, pelajar Tingkatan 5 Sastera II tidak berkeupayaan untuk mengendalikan majlis tersebut kerana lembab dan bersifat kolot. Syafikah dan Fuziana memang sengaja merendah-rendahkan kemampuan orang lain seperti yang tercatat dalam diari Murni. Rupa-rupanya kumpulan Budak Glamor mempunyai agenda. Nini (Nani) disuruh menuruti kata Laili bukannya Ellina. Akhirnya, Nini (Nani) menolak pelawaan mereka. Akibatnya, dia dicemuh sebagai gadis kampung yang kolot dan keras kepala seperti Murni.

Sesudah menghadiahkan bacaan surah Yasin kepada kedua-dua orang tuanya, Nini (Nani) duduk berehat di hadapan meja komputer. Gelaran “gadis kampung” oleh Syafikah dan Fuziana tengah hari tadi telah mengusik mindanya. Menurut Adriani, barangkali Laili tidak mahu Nini (Nani) berkawan rapat dengan Ellina.

Nini (Nani) ditegur oleh Abang Muzaffar. Abang Muzaffar telah berjanji akan mengajar Nini (Nani) mengakses komputer selepas tesisnya disiapkan. Nini (Nani) dapat mengesan perubahan yang agak ketara pada Abang Muzaffar. Kata-katanya lembut terlafaz dan tiada nada sinis lagi. Sebaliknya, Abang Muzaffar memuji suara bacaan surah Yasin Nani sambil meminta agar bacaan untuk Nini dibuat sekali.

Kosa Kata / Makna:
1. Disogok – disuap, dirasuahi
2. Menyelinap – bergerak dengan pantas (utk. Menyembunyikan diri), menyorok, menyusup
3. Inspirasi – ilham, bisikan hati
4. Menyapa – mengajak bercakap, menegur
5. Gedung – rumah besar drpd. Batu, bangunan utk pejabat dll.
6. Dilafazkan – diucapkan
7. Mengimpikan – mengidamkan, mengharapkan sangat, mengangan-angankan
8. Menghuni – mendiami, menduduki
9. Mengajukan – mengemukakan (usul, permintaan, sanggahan, dll), memajukan
10. Pelawaan – ajakan, undangan
11. Prasangka – anggapan buruk terhadap sesuatu (seseorang) sebelum mengetahui (menyelidiki) yang sebenarnya
12. Hadrat – hadapan (Allah, Nabi, raja), majlis keagamaan
13. Disergap – diserang (diserbu, diterpa), didatangi dengan tiba-tiba, disergah

Peribahasa:
1. Rusa masuk ke kampung – tercengang-cengang
2. Pucuk dicita, ulam mendatang (pucuk dicita ulam tiba) – dapat lebih baik dari yang dihajat
3. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal – dapat yang sangat diingini

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 23 Disember 2010.
Tg.Malim, Perak Darul Ridzuan.

Bab 07 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 7: Kerenah Laili

Nini (Nani) menulis warkah kepada keluarga di kampung melalui alamat Abang Norman di Johor Bahru. Nordin akan menyerahkan warkah itu kepada Pak Long dan Mak Long di Kampung Merpati. Zuraini, Zurina dan Zahir boleh membacakan mereka warkah rindu itu. Dalam warkah itu, Nani menceritakan dunia kehidupan baharu di banglo itu. Nani berjanji akan pulang pada suatu ketika nanti.

Nini (Nani) meminta izin keluar ke Plaza Cahaya. Di situlah lokasi Institut Lingua Franca, yakni tempat Nani akan mengikuti kursus intensif bahasa Inggeris dan bahasa Jepun. Abang Mazran menghulurkan dua keping RM50.00 untuk perbelanjaan Nini (Nani) walaupun Nani agak keberatan menerimanya. Selepas memberikan ciuman kepada Datin Maziah, Nini (Nani) pun bertolak ke SM Taman Sari untuk urusan projek Hari Sumbangsih. Sempat juga dia bertanyakan Hari Sumbangsih kepada Kak Finaz. Di dalam diari Murni, turut tercatat bahawa Murni ingin bertanding merebut jawatan setiausaha. Elliana, pegawai promosi kempennya. Laili pula yang menjadi saingannya telah kecundang dalam perebutan itu.

Ekran tampil berucap mengenai acara-acara yang akan diadakan pada Hari Sumbangsih. Antara lain, aktiviti pasar ria, sukan terbuka dan pemeran untuk mengumpulkan dana sejumlah RM16,000.00. Ekran pemimpin murid yang berkarismatik. Hasil perbincangan, kelas Nini (Nani) bercadang untuk menguruskan gerai burger, kejohanan bola sepak tujuh sebelah dan pameran alam sekitar dan reka cipta.

Laili meluahkan bantahan. Kononnya, berlaku ketidakadilan dalam pengagihan slot. Tuduhan Laili telah dijawab oleh Ekran. Menurut Ekran, agihan dibuat melalui undian. Selepas perjumpaan, Ellina menghampiri Nini (Nani). Ellina meluahkan perasaan tentang Laili kepada Nini (Nani). Rupa-rupanya, Ellina selalu berselisih faham dengan gadis-gadis glamor seperti yang tercatat dalam diari Murni.

Adriani memberikan panduan kepada Nini (Nani) untuk ke Plaza Cahaya dengan menaiki bas mini yang bernombor 19. Terlintas akan kata-kata Kak Finaz, yakni ibu mentuanya, Datin Maziah, sering mengarahkan Murni menaiki teksi kalau mahu pergi ke mana-mana. Nini (Nani) sampai di Plaza Cahaya pada pukul 11.20 pagi. Dia bergegas ke Pasar Raya Buku untuk memperoleh buku-buku yang diingini sebelum ke pondok perhentian bas. Nini (Nani) terkejut ketika bertentangan mata dengan penjual burger untuk bertanyakan teksi!

Kosa Kata / Makna:
1. Kerenah – ragam, tingkah laku, kemahuan
2. Anjung – bahagian rumah yang ditinggikan (di sisi atau di tengah rumah)
3. Sejenak – sebentar, sejurus
4. Menepati – berpegang teguh pada (janji, kata, dll), tidak memungkiri, menunaikan
5. Kantuk – rasa hendak tidur
6. Melewati – lalu (di), melalui, melintasi, melebihi had (batas), melampaui, melangkaui, melebihi
7. Sumbangsih – sesuatu (tenaga, wang, dll) yang diberikan sebagai bantuan, sokongan
8. Pekerangan – halaman rumah, tanah kampung
9. Mengendalikan – mengekang, menahan (hawa nafsu, kenaikan harga barang), mengurus(kan), mentadbir(kan), mengawal perjalanan
10. Terpahat – telah diukir dgn. Pahat, terukir, terlekat, tercatat atau terakam
11. Keruan – ketahuan, tentu
12. Mengendahkan – memberikan perhatian kepada, memandang penting (mustahak, berharga, dll), mempedulikan, mengacuhkan
13. Janggal – tidak sedap dilihat (didengar), canggung, tidak sesuai (tepat), tidak selaras
14. Lingua franca – bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara masyarakat atau orang-orang yang berlainan bahasa
15. Terserempak – diserang (diserbu, dll) dgn tiba-tiba, bertemu (bersua) dgn tidak disangka-sangka
16. Mendongak – terangkat sedikit ke atas (bkn kepala, muka dll), tercongak, memandang (menoleh, menengok) ke atas

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 22 Disember 2010.
First Garden, Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Bab 06 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 6: Imbuhan Budi

Sebaik pulang dari sekolah, Datin Maziah sudah menanti di anjung. Nini (Nani) terpaksa bersandiwara. Datin Maziah bertanyakan hal sekolah dan pelajaran. Kononnya guru dan kawan-kawannya banyak membantu. Kemudian, mereka ke meja makan. Pelbagai makanan disediakan. Ketika itulah Nini (Nani) terkenang akan ayah dan ibu saudaranya di teratak buruk.

Lauk ayam masak merah dimasak oleh Datin Maziah. Hampir tersasul Nini (Nani) ketika membicarakan hal masak-memasak. Kak Finaz memberitahu emak mentuanya, Datin Maziah agar tidak menyuruh Nini (Nani) memasak makanan Jepun. Datin Maziah juga terkejut melihat Nini (Nani) makan sedikit kok terkenang akan seseorang di Jepun. Nini (Nani) merengek meminta Datin Maziah mengambilkannya air suam agar dia dapat bercakap dengan Kak Finaz.

Nini (Nani) memberitahu Kak Finaz bahawa menurut Nina, kad pengenalan dan beg duit Murni belum ditemukan sejak kemalangan itu. Menurut Kak Finaz, akaun Murni selamat. Selepas makan, Nini (Nani) meminta izin untuk berehat di bilik. Sambil duduk di birai katil, Kak Finaz memberitahu Nini (Nani) bahawa segala-galanya selamat. Nini (Nani) risau kalau-kalau muncul gadis kedua yang menyerupai Murni seperti yang disangsikan oleh Laili.

Nini (Nani) dan Kak Finaz mengemas bilik dengan hiasan dan kusyen baharu. Kemudian Kak Finaz menghulurkan album dan diari Murni kepada Nini (Nani). Sejak kematian Nini, Kak Finazlah memainkan peranan dalam keluarga. Atas permintaan Abang Mazran, dia telah meletakkan jawatan sebagai arkitek. Nini (Nani) membelek helai demi helai gambar dan diari Murni. Rupa-rupanya, Murni sering bertelingkah dan menegur sikap Laili, Syafikah dan Fuziana yang gemar membanggakan diri dan merendah-rendahkan orang lain selain hadir sesuatu yang ingin dirahsiakannya. Catatan yang dipadamkan pada hari terakhir hayatnya sejurus sebelum kemalangan tragedi itu mengesahkan andaian tersebut.

Muncul Datuk Tengku Makmur sambil mengingatkan Nini (Nani) agar memanggilnya “papa” hanya di depan Datin Maziah. Datuk Tengku Makmur turut bertanyakan upah yang dijanjikan oleh Abang Mazran. Nani terkejut, terkeliru dan menggelengkan kepala. Akhirnya Datuk Tengku Makmur menawarkan RM 500.00 sebulan sambil meminta alamat keluarga Nani di kampung untuk urusan pengiriman wang. Begitu rupanya keangkuhan orang kaya, menilai pertolongan dengan wang. Sejumlah wang kertas dilemparkan ke atas katil sebelum beliau beredar. Terluka hati Nani.

Kosa Kata / Makna:
1. Rutin – sesuatu menjadi kebiasaan atau kelaziman, biasa
2. Melunaskan – membayar (hutang dll) hingga selesai, memenuhi (menunaikan) kewajiban
3. Kekok – kaku ketika berbuat sesuatu (kerana belum biasa)
4. Kecur – keluar air liur (kerana mengingini sesuatu makanan)
5. Meledak – pecah dan meletup (dgn.kuat), meletus
6. Menyorot – memancar (cahaya, sinar), bercahaya, bersinar
7. Tertancap – masuk terbenam, terpacak, terpancang
8. Terkesima – tercengang, termangu-mangu, hilang akal
9. Terbuku – terganggu perasaan (dalam hati)
10. Menatang – membawa sesuatu di atas tapak tangan, menating, menayang
11. Terpempan – terpegun, tercengang


Disediakan oleh Chai Loon Guan, 22 Disember 2010.
First Garden, Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Tuesday, December 21, 2010

Tunku Abdul Rahman























Perdana Menteri Malaysia Pertama:
8 Februari 1903 - 6 Disember 1990

Kata-kata Hikmat

Kalau mencari tempat mandi pertama teluk kedua pantai, kalau mencari pemimpin negeri pertama elok kedua pandai.

(Sumber: Bernama dalam Mingguan Malaysia - Ahad 19 Disember 2010)

Sunday, December 19, 2010

Gurney Drive Penang

















(Sumber: Nina Khoo - MESA, Disember 2010)

Friday, December 17, 2010

Sajak - Pasir Bogak

Pasir Bogak

suara ombakmu, Pasir Bogak
melamar aku
menatap landskapmu
bebatu, pepulau, bebiru ombak
dan horizon alam
dalam diam
dapat aku lukiskan
suara derita
ikan, kerang, dan udang
di sketsa puisi
ketika dingin dinihari
dan sepi bening alammu
kian membungkusi mimpiku
yang kian sasau
di buanamu, laut
lestari penuh misteri
lestari penuh ilusi!

Chai Loon Guan,
Coral Bay, Pasir Bogak - 17 Disember 2010

Monday, December 13, 2010

Bab 05 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 5: Sebagai Murid Baharu

Pagi itu, Abang Mazran menghantar Nini (Nani) ke SM Taman Sari. Nani berkenalan dengan Tengku Ellina (Nina), saudara dua pupu Murni. Ellina akan menolong Nani menyesuaikan diri belajar di sekolah tersebut. Sepanjang dua hari yang lalu, Ellina agak sibuk mewakili sekolah dalam pertandingan Forum Remaja antara sekolah menengah. Kata Ellina, wajah Hanani seiras betul dengan Murni. Pagi semalam, Nani diberi tanda nama Tengku Murni. Nani perlu memakainya pada setiap hari persekolahan untuk mengelakkan diri daripada dikesan. Ellina akan memperkenalkan Nani kepada kawan-kawan sekelas. Ellina memberitahu Nani bahawa Nini yang sebenar amat peramah orangnya. Seperti Nani, Nini juga banyak mempunyai peminat di sekolah. Kononnya, Murni berkenan dengan seorang murid lelaki.

Masa belajar bermula. Pelajaran Bahasa Inggeris. Gurunya pula Cikgu Ramzan. Kata Adriani, dia guru yang garang. Komen Cikgu Ramzan, Murni sangat fasih dalam Bahasa Inggeris. Selain Bahasa Inggeris, aku juga dikehendaki mempelajari bahasa Jepun. Di rumah, Datin Maziah mahu melihat gambar-gambar anak kesayangannya semasa mengikuti program pertukaran pelajar di Jepun. Mujuk Kak Finaz berakal panjang dan memberitahukan salah satu beg kepunyaan Nini (Nani) hilang di lapangan terbang.
Abang Mazran pantas bertindak. Dia menghubungi kawannya di Hiroshima agar mengirim dua helai kimono, yakni sehelai untuk Nani dan sehelai untuk Datin Maziah. Sejak tinggal di banglo itu, Nani sering hidup dalam keadaan berwaspada. Sergahan Cikgu Razman terhadap Yusnizan memaksa Nani memasang telinga dan menumpukan perhatian. Lamunan Nani ditegur oleh Ellina.

Sepanjang pelajaran Bahasa Inggeris, Nani sering terpinga-pinga. Laili, Syafikah dan Fuziana amat fasih semasa berhujah dengan Syamsul, Faizan dan beberapa orang murid lain. Ellina dan Adriani berjanji akan menolong Nani. Nani sempat menceritakan hal sebenar kepada Ellina dan Adriani dalam perjalanan ke makmal. Semasa menuruni anak tangga Bangunan A, suara sapaan kedengaran. Tiba-tiba muncul murid lelaki dari bilik Persatuan Pelajar Tingkatan Lima SMTS ingin mengetahui nama Nani. Selepas memperkenalkan diri, Nani diminta ke bilik persatuan pada waktu rehat untuk mengambil borang keahlian. Rupa-rupanya budak lelaki itu, Muhammad Ekran bin Muhammad, rakan sekelas Ellina dan Murni.

Makmal Fizik. Cikgu Sani menyerahkan sebuah buku kerja kepada Nani. Nani duduk di sisi Ellina. Uji kaji pada pagi itu sudah pun dibuat oleh Nani di SM Sri Dian. Biarpun Nani dapat menjawab soalan Cikgu Sani, copeng telinganya tertangkap kata-kata kurang enak daripada Laili. Bisik Ellina, sejak dulu, Laili memang tidak sebulu dengan Murni. Lili, Ika dan Fuzi digelar Budak Glamur. Menurut Ellina lagi, kad pengenalan, kad ATM dan beg duit Murni masih belum ditemukan lagi. Terkedu lagi Nani (Azfa Hanani)!

Kosa Kata / Makna:
1.Menokok – menambah, mengimbuh
2.Mengulum – menahan atau membiarkan (gula-gula dll) di dalam mulut, mengemam, menggumam
3.Bertabur – disebari (dgn), dihamburi (dgn), penuh dihiasi (dgn), bersedekah
4.Kesanggupan – kesediaan (kerelaan dll) untuk melakukan sesuatu, kebolehan, kemampuan
5.Serba-serbi – bermacam-macam (hal, perkara dll), berbagai-bagai
6.Bahang – hawa panas, kehangatan (yg terbit drpd api, panas tubuh dll)
7.Tertera – tercap, tercatat, tercetak
8.Melabuhkan – menjatuhkan atau menurunkan (kelambu, tirai dll), memanjangkan (pakaian), menghentikan (kapal, perahu, dll), mencampakkan atau membuangkan ke air (laut dll0, meletakkan
9.Sinis – cenderung untuk mempersoalkan kebaikan (kejujuran dll) orang, suka mengejek-ejek, mengandungi ejekan (cemuhan dsb)
10.Sangsi – ragu-ragu, syak
11.Kening – alis, dahi

Peribahasa:
1.Jauh panggang dari api – sangat berbeza
2.Berputih mata – sangat kecewa, malu
3.Berakal panjang – bijaksana
4.Memasang telinga – mendengar dengan serius

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 13 Disember 2010.
Guchil, Kelantan Darul Naim.

Bab 04 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 4: Seawal Kehadiran

Nani tiba di banglo dan ditegur oleh Kak Finaz agar tidak jadi macam rusa masuk kampung. Nani sekarang ialah Nini. Datin Maziah sedang tidur. Nani diperkenalkan kepada Mak Cik Leha, pembantu rumah. Mak Cik bagaikan tidak percaya. Kasih pembantu rumah kepada Murni amat menebal sebenarnya. Agak gementar Nani lebih-lebih lagi bakal dipertemukan dengan Datin Maziah.

Bilik Hotel Universe, Nani diajar pelbagai perkara. Antaranya, makan dengan sudu dan garpu, menonton televisyen bersebelahan dengan Datin Maziah dan merengek kalau sesuatu yang dimahukan Nina tidak dipersetujui. Dialog yang disediakan oleh Kak Finaz perlu dihafal oleh Nani. Paling sukar, Nani diminta mencium pipi Datin Maziah sebelum pergi ke mana-mana dan membiarkan dahi Nina pula dicium seawal kepulangannnya. Beberapa helai baju baharu sudah dibeli oleh Abang Mazran dan Kak Finaz. Sesungguhnya, Nani dan Nini ada banyak ketidaksamaan dalam keserupaan.

Bilik Nini (Nani) cukup besar. Ada sebuah katil besar, dua buah meja tulis yang salah satunya dilengkapi peralatan komputer dan dua buah almari besar. Di sudut dinding sebelah kanan terpampang gambar Tengku Murni di dalam bingkai bersadur emas. Dialah pemilik asal bilik tersebut. Bagaikan agak terasing, Nani memohon untuk belajar bahasa Inggeris secara intensif. Abang Mazran berjanji akan menghantar Nini (Nani) belajar di sebuah pusat tuisyen. Menurut Kak Finaz, adik iparnya Murni (Nini) sangat suka akan kartun dan anak patung. Nina masih ingat akan pesanan Mak Long agar tidak melampau.

Kalau ditanya oleh Datin Maziah, Nini (Nani) diminta memaklumkan bahawa dia ke Tokyo untuk menyertai program pertukaran murid Malaysia dan Jepun selama empat bulan sambil membisikkan rasa rindu yang mendalam selain bersedia dengan jawaban mengajar Datin Maziah bahasa Jepun. Tiba-tba Nini (Nina) terpandang akan abang Murni, Tengku Muzaffar. Dia pelajar tahun akhir kursus undang-undang di Universiti Malaya, bakal peguam. Tengku Muzaffar (anak bujang Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah) menyindir Nini (Nani). Pedas dan pedih hatinya. Abang Mazran memberikan amaran kepada adiknya. Kak Finaz merayu agar adik iparnya tidak mencari masalah dengan Hanani pula. Akhirnya, Tengku Muzaffar berjanji.

Ayah Abang Mazran sudah lama tidak pulang ke rumah sejak berkahwin dengan wanita muda dua tahun yang lalu. Wajah Pak Long, Mak Long, dan sepupu Nina menjelma di ruang mata. Abang Mazran dan Abang Norman akan menjadi orang perantaraan. Setiap surat yang mencatatkan nama Nina perlu melalui alamat pejabat Abang Mazran. Nina dilarang menulis nama Azfa Hanani kecuali di sekolah atas urusan rasmi. Nina perlu menangani diri sendiri. Lima buah buku rujukan terbitan Index Publications yang dicuri pinjam oleh Nina perlu dipulangkan secepat mungkin.

Dalam pertemuan singkat di tepi pagar buluh rumah Pak Long, Norman membongkarkan kes kecurian buku-buku rujukan perpustakaan yang dilakukan oleh beberapa orang penghuni asrama putera. Tidak hairanlah, hanya pengawas lelaki yang dipanggil berkumpul di bilik pengawas tempoh hari. Lazim, Hamidon dan Teck Lee disahkan sebagai pencuri. Nani akan mengarang sepucuk surat untuk menceritakan segala-galanya sebelum disisipkan dalam kiriman buku-buku tersebut.

Datin Maziah sudah sedar. Nini (Nani) diminta menghadap Datin Maziah. Segala-galanya berjalan seperti yang telah dirancang oleh Abang Mazran dan Kak Finaz. Nini (Nani) menjawab setiap pertanyaan dengan lancar dan manja. Datin Maziah mengusap-usap kepala Nini (Nani). Selepas mendengar penjelasan Abang Mazran, mengatakan bahawa suara Nini (Nani) sekarang agak berbeza sedikit. Nini (Nani) menjelaskan bahawa suaranya berubah berpunca daripada perubahan iklim di Tokyo lebih-lebih lagi dia kini semakin membesar. Datin Maziah berharap agar Nini (Nani) cepat dewasa agar mudah memperoleh lesen memandu dan dapat dibelikan sebuah jip baharu. Nini (Nani) terpegun.

Kosa Kata / Makna:
1. Mencanak – mencuar, tegak memanjang
2. Memaut – memegang dan menarik ke diri sendiri, memegang kuat-kuat (dgn teguh, melilit dgn teguh
3. Menebal – menjadi tebal
4. Menginap – menumpang tidur (di rumah sahabat, di hotel dll), bermalam
5. Merengek – selalu menangis, merungut-rungut, menggerutu
6. Melabuhkan – menjatuhkan atau menurunkan (kelambu, tirai dll), memanjangkan (pakaian), menghentikan (kapal, perahu) mencampakkan atau membuangkan ke air (laut dll) meletakkan
7. Karakter – sifat (ciri) perwatakan yang membezakan seseorang drpd yang lain, huruf, simbol
8. Mengusulkan – mengemukakan pendapat (supaya diterima atau disetujui), menganjurkan, mencadangkan, menyarankan
9. Meluruh – bertukar bulu (ayam), meranggas, gugur pada musim luruh (daun)
10. Mimik – memek, kerut (muka orang hendak menangis)
11. Terlentang – terkulai lemah
12. Membongkar – mengangkat ke atas, menaikkan, menurunkan muatan dari kapal, memunggah, merombak, membuka dgn paksa, mengeluarkan sesuatu secara tidak teratur kerana mencari sesuatu, membuka (rahsia), membangkitkan perkara-perkara lama
13. Sisip – terletak dll di celah-celah (disela-sela), terselit
14. Meleret – berleret, memanjang, melebar
15. Serik – tidak mahu melakukan lagi, jera, takut, teduh atau berhenti (bkn hujan), serak

Peribahasa:
1. Kata itu kota – Janji ditunaikan

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 13 Disember 2010.
Guchil, Kelantan Darul Naim.

Bab 03 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 3: Kerana Terdesak

Semalaman Nani tidak dapat tidur lena. Abang Mazran dan Kak Finaz akan mengunjungi rumah Nani selepas tidak berkesempatan untuk berbincang dengan Pak Long dan Mak Long Nani. Ayah dan ibu saudara Nani tiada di rumah. Mereka mengejarkan Zuraini ke hospital dengan kereta Pak Haji Arshad kerana demam akibat disengat tebuan. Abang Mazran dan Kak Finaz menginap di hotel Johor Bahru.

Petang semalam, Mak Hajah Kiah ringan tulang menjaga Zuraini di hospital. Memang Pak Long dan Mak Long berhasrat untuk menamatkan persekolahan Nani dek bebanan kewangan sedangkan Nani sudah mendaftarkan diri untuk mengambil peperiksaan SPM. Ah, Nani tidak perlu berasa takut dihukum kerana kesalahan mencuri lagi. Beban Pak Long dan Mak Long akan bertambah ringan. Benarlah, kemiskinan mendekatkan kekufuran. Nani masih ingat akan pembacaan kisah klasik anak raja dan anak papa bertukar tempat. Azan subuh kedengaran. Zurina, Zahir dan Zahidin masih terlena dalam lingkup kain selimut di atas tikar mengkuang. Selepas mandi, Nani diminta oleh Mak Long mengambil daun pandan untuk dimasak nasi lemak. Biasanya, Nani akan bersarapan dengan beberapa ketul ubi keledek rebus dan secawan teh kosong. Pagi itu, menu sarapan diubah!

Mak Long kelihatan sugul. Zahidin yang baru berusia lima tahun turut menegur Nani. Teka-teki sudah terjawab. Nani akan mengikut Abang Mazran dan Kak Finaz ke Kuala Lumpur. Barangkali, Kuala Lumpur akan menyediakan ruang dan peluang untuk Nani belajar. Kesanggupan Pak Long dan Mak Long melepaskan aku pergi adalah atas desakan hidup dan keinginan untuk melihat Nani berjaya dalam pelajaran, terutamanya dalam bidang kedoktoran biarpun doktor bukanlah cita-citanya. Mak Long berharap agar Nani akan dapat membantu mereka pada suatu hari nanti.

Penantian suatu penyiksaan. Pada kesempatan itu, Nani bertanyakan asal usulnya. Mak Longlah menjadi bidan menyambut kelahiran Nani. Nanilah anak tunggal ayah dan ibu yang telah pergi buat selama-lamanya. Ayah dan ibu Nani berkahwin di sebuah universiti tempatan lebih 19 tahun yang lalu dan beroleh kejayaan cemerlang dalam kursus masing-masing sebelum terlibat dalam kemalangan, yakni tragedi sebuah teksi terjunam ke dalam gaung mengorbankan semua penumpangnya, kecuali seorang bayi bernama Nani. Mulai saat itu, Nani dibesasrkan oleh Pak Long dan Mak Long.

Abang Mazran dan Kak Finaz hadir ditemani oleh Abang Norman dan Pak Haji Arshad. Selesai sarapan, Abang Mazran bercerita tentang Murni. Kisah kemalangan Murni memandu jip hadiah Datin Maziah sempena hari jadi Murni yang ke-16 walaupun masih belum cukup umur untuk memiliki lesen. Murni gagal diselamatkan dan menghembuskan nafas yang terakhir dalam perjalanan ke hospital. Datin Maziah terselamat tetapi koma selama beberapa hari. Sebaik tersedar, nama Nini yang pertama disebut oleh Datin Maziah. Maka, Abang Mazran terpaksa berbohong, kononnya Nini terselamat dan sedang mengikuti program pertukaran murid ke Jepun. Sejak sebulan yang lalu, keraguan Datin Maziah kian ketara. Datin Maziah mahu menziarahi Nini di Jepun. Kebetulan pula, Nini sebaya dengan Nani, berusia 17 tahun. Lantas, mereka sekeluarga merayu agar Pak Long dan Mak Long mengizinkan Nani mengikut mereka balik ke Kuala Lumpur. Kos perubatan Zuraini akan ditanggung oleh Abang Mazran dan Kak Finaz.

Nani turut mendapat penjelasan daripada Abang Mazran kononnya Datin Maziah beranggapan bahawa Nini telah dilarikan oleh abang-abangnya sedangkan Nini manja orangnya. Nani tidak perlu berkemas. Menurut Kak Finaz, Nani akan dibelikan beberapan helai baju baharu. Namun begitu, Nani meminta izin untuk mengambil sehelai dua pakaian dan buku-buku latihan sebagai rujukan termasuklah buku-buku rujukan perpustakaan yang dicuri pinjam oleh Nani. Nani bercadang untuk memulangkannya melalui kiriman pos bersertakan permohonan maaf. Sebelum bertolak, Nani bersalaman dan mencium tangan Pak Long dan Mak Long serta memohon agar makan minumnya dihalalkan. Pipi Zahidin yang sedang bermuram dicium Nani selain berkirim salam kepada Zuraini. Sebelum kereta bergerak, muncul Nordin tiba-tiba dengan wajah yang beriak cemas.

Kosa Kata / Makna:
1. Bersandar – meletakkan belakang (bahu, dada, dll) pada sesuatu supaya teguh atau selesa, duduk sambil bertopang (bersangga) pada
2. Membelenggu – melekatkan (mengenakan) belenggu pada, menggari, mengikat kebebasan, menyekat, menghalang
3. Kekufuran – keadaan kufur
4. Azan – panggilan untuk bersembahyang, bang
5. Keheningan – keadaan hening, kejernihan, kesunyian
6. Hasrat – keinginan yang kuat untuk memiliki (melakukan) sesuatu
7. Petah – pandai berkata-kata
8. Logik – dapat diterima oleh akal, masuk di akal, munasabah
9. Tercungap – bernafas kencang kerana kepenatan, terngap-ngap (susah bernafas)
10. Menjengah – melihat (menengok) dgn menghulurkan kepala, menjenguk, (datang) mengunjungi
11. Bersimpuh – duduk bertelut, bertimpuh (spt perempuan duduk)
12. Menempa – memukul besi dll utk dijadikan alat (pisau dll), menitik, membuat (keris dll) drpd logam, membentuk , mencipta, membuat
13. Merumuskan – memendekkan atau meringkaskan (perkataan), menyebutkan sesuatu dgn ringkas lagi tepat
14. Berdalih – memberikan alasan atau helah (utk menyembunyikan sesuatu atau melepaskan diri daripada sesuatu tugas, tanggungjawab, dsb)
15. Mengajukan – mengemukakan (usul, permintaan, sanggahan, dll), membawa ke hadapan, memajukan
16. Terjebak – termasuk ke dalam perangkap (jebak), terperangkap, terpikat
17. Mewarisi – menerima harta pusaka drpd, mempusakai
18. Mengharungi – berjalan menyeberangi air (semak, sungai dll), merunduk, menempuh, menghadapi (mengalami) kesusahan

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 13 Disember 2010.
Guchil, Kelantan Darul Naim.

Bab 02 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 2: Siapakah Mereka?

Nani pasrah. Nordin tidak mengetahui sebab Nani dipanggil oleh pengetua. Nordin jiran sekampung Nani. Ayahnya, Pak Haji Arshad, ketua kampung yang berhati mulia dan berbudi tinggi. Keresahan Nani dapat dikesan oleh Rozlan. Sebaik melintasi terowong tingkat satu Bangunan B, Nordin dan Rozlan meminta diri untuk menghadiri perjumpaan pengawas. Cikgu Sufian, guru pengawas yang garang.

Dalam perjalanan ke bilik pengetua, wajah-wajah Pak Long dan Mak Long Nani silih berganti menerpa ruang matanya. Nani diminta oleh kerani agar masuk ke dalam bilik pengetua sebaik tiba. Nani tertanya-tanya akan tetamu yang sedang menunggu. Nani kelihatan pucat, berpeluh dan terpegun akan layanan mesra yang diberikan.

Azfa Hanani dijemput duduk oleh pengetua selepas salam. Cikgu Yazid, guru perpustakaan dan Cikgu Habib, guru disiplin bermisai melenting itu tiada di situ. Seorang lelaki dan dua orang perempuan sebaya Cikgu Sofea kelihatan duduk di sofa lembut bilik berhawa dingin itu. Seorang kakak ipar Nordin, Syarifah Rozan atau lebih mesra dipanggil Kak Rozan. Nani diminta duduk di sofa lembut, di sisi Kak Rozan. Perkataan “kembar” menyebabkan Nani tergamam. Nani meminta penjelasan Kak Rozan. Encik Mazran dan Puan Syafinaz diminta berbincang dengan Azfa Hanani.

Nani terkejut. Kemunculan sepasang suami isteri kenalan Kak Rozan semasa belajar di Amerika Syarikat membawa harapan. Kononnya wajah Nani menyerupai wajah seorang gadis yang telah meninggalkan alam fana lebih empat bulan yang lalu. Pak Madi dan Mak Diah akan dimaklumkan. Abang Norman juga akan balik ke Kampung Merpati petang itu jika mendapat cuti. Nani keresahan. Encik Mazran (Abang Ran) dan Puan Syafinaz (Kak Finaz) berharap agar Nani mengikut mereka balik.

Peristiwa itu bagaikan sebuah mimpi. Nani, gadis malang yatim piatu mahu diangkat menjadi anak emas sebuah keluarga hartawan. Kata orang, cempedak menjadi nangka. Menurut Kak Rozan, Abang Mazran dan Kak Finaz mengunjungi rumahnya semalam. Mereka mahu Kak Rozan menyelesaikan kemelut mereka, yakni Murni telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan Datin Maziah.

Nani masih bermonolog. Mampukah anak gadis kampung, dibesarkan dalam serba-serbi kolot dan kekurangan berlakon sebagai gadis kota anak yang berada? Pelbagai peluang, kemudahan dan kemewahan akan disediakan untuk Nani sekiranya Nani menerima tawaran mereka, yakni mengubati kepiluan si ibu. Nani perlu berunding dengan Pak Long dan Mak Long. Nani memerlukan restu, keizinan dan kesanggupan mereka melepasakan Nani pergi. Ketakutan Nani dapat dikesan oleh Kak Rozan. Pertama, Nani tidak kenal akan Murni. Nani miskin dan tidak pandai menyamar jadi anak orang kaya. Takut diperasan oleh Datin Maziah. Kak Finaz akan membantu meleraikan ketakutan Nani itu. Nani perlu belajar memanggil Datin Maziah, mama! Yang penting, Nani masih mahu meneruskan pelajarannya.

Kosa Kata / Makna:
1. Pasrah – menyerah
2. Tergamam – terkejut, terpegun
3. Meleret – berleret, memanjang, melebar
4. Menyusuri – mengikuti, meneliti
5. Seranah – kata-kata yang mengutuk (menista dll)
6. Menerpa – menyerbu dan menerkam (menyerang), meluru masuk, berkejar
7. Herdik – kata-kata yang keras dan kasar (utk memarahi dll), tengking
8. Lafaz – bunyi perkataan yg disebut atau yg diucapkan dengan baik, sebutan, kata-kata yang disebut
9. Kecurigaan – perihal curiga, syak wasangka
10. Seiras – hampir serupa dengan
11. Ketulusan – kebersihan dan kesucian hati, kejujuran
12. Mengerling – memandang ke kanan atau ke kiri (dgn tidak menggerakkan kepala)
13. Ad hoc – disusun untuk tujuan ini, teristimewa untuk hal ini
14. Kolot – kuno, cara lama (tidak moden)
15. Celopar – banyak cakap, cerewet, bercakap ikut sesuka hati sahaja
16. Kepincangan – perihal pincang, keadaan yang tidak seimbang atau tidak sebagai yang sepatutnya, kekurangan, cacat cela
17. Keciciran – ketinggalan

Peribahasa:
1. Mengorak langkah – membuka langkah, mulai melangkah (berjalan), berikhtiar

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 13 Disember 2010.
Guchil, Kelantan Darul Naim.

Sunday, December 12, 2010

Bab 01 - Novel T4: Azfa Hanani

Sinopsis Novel Tingkatan 4 (2011)
Tajuk: Azfa Hanani
Penulis: Halis Azhan Mohd Hanafiah

Bab 1: Takut

Nani (Azfa Hanani) dilanda lamunan. Masa berlalu begitu sahaja. Cikgu Sofea, sesudah menyampaikan arahan, amat tekun menulis. Falina, Kamilah dan Aini menyusun radas dan bahan-bahan kimia. Selaku ketua kumpulan, Falinalah murid yang paling pintar dalam pelajaran Kimia.

Kenyataan pagi tadi meresahkan Nani. Nani ditegur oleh Falina dan diusik oleh Aini. Kononnya murid yang sering mencuri buku rujukan SPM perpustakaan sudah dikenal pasti. Kata Nani, dialah pencuri. Pencuri bersebab. Murid marhaen Tingkatan 5 yang dahaga akan ilmu. Hukuman, maruah dan aib akan ditanggung oleh Nani dan keluarga.

Kelemahan Nani dalam bahasa Inggeris mendapat perhatian istimewa Cikgu Zamin sehingga timbul buruk sangka dalam kalangan kawan, terutamanya Kamilah. Keputusan P7 untuk Bahasa Inggeris SRP menyekat Nani belajar di sekolah berasrama penuh. Kamilah dapat mengagak pencuri buku rujukan. Perbualan kawan-kawan cukup melemaskan Nani. Tiba-tiba sebuah tabung didih pecah terhempas di lantai.

Falina mengarahkan Nani menukarkan tabung didih kumpulan yang kelihatan retak. Hisham dan Kim Seng sedang membersihkan serpihan kaca. Nani tahu bahawa mencuri itu salah. Kekangan yang dihadapi, cinta akan ilmu, perkhidmatan bas dan kesempatan membawa keluar senaskhah buku Fizik Moden tanpa disedari oleh pustakawan melorongkan keinginan untuk mengulangi perbuatan itu.

Nani pernah berusaha mahu memiliki sendiri buku-buku itu. Namun, Pak Long kurang berkemampuan dek sebagai penoreh getah. Sebahagian besar wang simpanan dan harta telah digunakan untuk membiayai perubatan anak sulungnya yang lumpuh, Zuraimi. Wang biasiswa digunakan untuk ongkos bas dan yuran sekolah.

Sesampainya Nani, perbualan Falina, Kamilah dan Aini terputus. Nani bermonolog. Kehidupan Nani mungkin tidak melarat sekiranya ibu bapa kandung masih ada. Muncul dua orang pengawas, Nordin dan Rozlan. Nani dipanggil menghadap pengetua.

Kosa Kata / Makna:
1. Menebarkan – mencampakkan (jala dll) supaya kembang atau terbentang, menaburkan, memperluas
2. Kancah – kawah, kuali besar, keadaan (sukar, perang, penderitaan dll), medan
3. Kelekaan – perihal leka atau terleka (asyik), keasyikan
4. Mencelah – masuk di celah (orang dll), memotong cakap orang, menyampuk
5. Daif – cacat, hina, lemah
6. Bergumpal – berkepal, bertetul, berkepul, peluk-memeluk dan guling-menggulingkan
7. Aib – rasa hina atau malu akibat perbuatan keji dsb oleh seseorang anggota keluarga dsb.
8. Prejudis – rasa suka atau tidak suka yang tidak berasas terhadap sesuatu kaum, agama dsb.
9. Mengharungi – berjalan menyeberangi air (semak, sungai dll), menempuh, melayari, menghadapi (mengalami) kesusahan (kesukaran dsb)
10. Menghela – menarik, mengheret, menyeret, menolak (dalam kira-kira), mengurangi
11. Menghambur – terjun, melompat (ke bawah)
12. Terkekeh-kekeh – ketawa berdekah-dekah, tergelak-gelak, terbahak-bahak
13. Memintas – melalui (menempuh) jalan yang paling dekat, menyeberang jalan dll, memotong
14. Berkerenah – beragam, bertingkah laku, berkemahuan
15. Meraih – menarik kepada diri sendiri, menarik (hati), memikat (orang dll), memborong untuk menjual lagi (barang dagangan), memperoleh, mendapatkan, mengumpulkan

Peribahasa:
1. Bangkai gajah tidak akan tertutup dek sehelai daun (Bangkai gajah bolehkah ditudung oleh nyiru) – kejahatan yang besar itu tidak dapat disembunyikan
2. Serkap jarang – menuduh tanpa bukti

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 12 Disember 2010.
Guchil, Kelantan Darul Naim.

Wednesday, December 8, 2010

Sajak - Cameron dalam Rindu

















(Sumber: Cheng Haw Chien - pelukis, penyair dan seniman kaligrafi mahir dalam menghasilkan catan dari berus cina dan memggabungkan elemen-elemen seni lukis, puisi dan kaligrafi dengan cara menulis untaian-untaian puisi di atas lukisan.)

Cameron dalam Rindu

Dingin bening Cameron
Dalam sketsa alam
Membuka laluan fikir
Sang musafir
Menukil syair
Pahit manis
Merenung perjalanan
Duka bahagia
Simpang-siur kehidupan
Yang berona

Bening hening Cameron
Dalam nur ilham
Menerangi buana atma
Sang pengembara
Mencari erti keindahan
Dalam kedinginan
Menghayati misteri alam
Dalam kesyahduan
silir-semilir desir angin keterasingan
Menduga wacana minda
Tentang kebesaran-Nya
Tentang keesaan-Nya

Cameron
Gegaris banjaran
Paku pakis flora
Cenderawasih fauna
mengizinkan aku
membelai kabus saljumu
menghayati lelagu rimbamu
Buat penawar rindu
Buat pengubat pilu
Dalam dakapan kehidupan
sarwajagat milik-Nya

Chai Loon Guan,
Hotel De’ La Ferns, Cameron Highlands.

(Sumber: Berita Harian - 8 Januari 2011)

Darmawisata Cameron



















Wisatawan berdarmawisata ke Cameron Highlands pada 6 - 7 Disember 2010 dan sempat menginap di Hotel De' La Ferns, Cameron Highlands bersama dengan keluarga.

Bab 8 - Novel T2: Erti Sebuah Pengorbanan

SINOPSIS NOVEL TINGKATAN 2 (2011)
Tajuk: Erti Sebuah Pengorbanan
Penulis: Zaihanim bt. Zainal Abidin
Penerbit: KZ Berjaya Enterprise

Bab 8: Pengorbanan

Kejayaan Iman muncul johan pidato daerah menjadi buah mulut murid-murid dan guru-guru. Yang lebih berbangga, Cikgu Julia. Iman menerima ucapan tahniah daripada datuk, nenek dan rakan-rakan. Hubungan Iman dan ayahnya kembali bertaut.

Jumaat. Hari terakhir sebelum sekolah mula bercuti selama dua minggu. Kelas Tingkatan Satu Dinamik riuh-rendah. Cikgu Julia akan mengumumkan keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun. Zulkarnain sempat berlawak jenaka melibatkan Pei Wen. Pei Wen mencebikkan bibir. Rupa-rupanya, Zulkarnain menaruh hati pada Pei Wen.

Keputusan telah diumumkan. Adif Danial, Iman Zulaikha dan Haris Fadzillah menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga di dalam kelas. Kedengaran tepukan dan ucapan tahniah. Zulkarnain dan Pei Wen mendapat tempat keenam dan kelapan. Pada keseluruhannya, Cikgu Julia amat berpuas hati dengan prestasi murid-muridnya. Cikgu Julia tidak lupa mengingatkan murid-muridnya agar mengulang kaji pelajaran pada musim cuti.

Adif Danial pula akan bertukar ke Kuala Lumpur. Keadaan ini dijadikan modal untuk Zulkarnain untuk mengusik Adif Danial dan Iman. Iman tertunduk malu. Dalam kesibukan murid-murid menyemak keputusan, muncul Cikgu Shaharudin, guru disiplin sekolah itu. Linda dan Iman Zulaikha dipanggil ke depan kelas. Diari ungu dikeluarkan daripada sampul surat. Iman tersentak. Linda tidak berani bertentang mata dengan Cikgu Shaharudin. Salah seorang murid dari kelas Tingkatan Satu Anggerik telah membuat pengakuan bahawa dia telah mengambil diari Iman seperti yang telah dirancang oleh Linda. Terkejut Iman. Dia beristighfar sambil merenung wajah Linda. Bahu Linda terhinggut-hinggut. Dia menangis sambil menutup wajahnya dengan tapak tangan. Akhirnya, Linda mengaku. Iman sedia memaafkan Linda seandaInya dia sedia berubah. Linda mendakap Iman dengan erat. Cikgu Shaharudin terpana melihat sikap terpuji yang ditunjukkan oleh Iman, anak murid kesayangan Cikgu Julia.

Datuk dan nenek Iman mengadakan kenduri kesyukuran atas kejayaan Iman dalam pertandingan pidato peringkat daerah dan Peperiksaan Pertengahan Tahun baru-baru ini. Anak-anak dan cucu-cucu dijemput hadir. Sebenarnya, datuk dan nenek dikurniai lima orang anak. Ibu Iman Zulaikha, anak yang kedua. Pei Wen dan keluarganya, Adif Danial dan ibunya, Zulkarnain, Cikgu Julia serta beberapa rakan sekelasnya turut hadir. Pada hari itu, Iman memakai baju kurung berwarna ungu. Baju itu pernah dipakai semasa menyambut Hari Raya Adilfitri bersama-sama dengan ayah dan ibunya dua tahun yang lalu.

Para tetamu lelaki mengambil tempat di ruang tamu rumah datuk. Tetamu wanita pula berada di ruang dapur. Datuk mengetuai bacaan tahlil dan zikir dalam majlis tersebut. Selesai berdoa, hidangan pun diangkat ke ruang tamu. Sempat juga Iman berbual-bual dengan Mak Cik Sofia, ibu Adif Danial.

Malam itu, Iman duduk di anjung rumah sambil menghirup udara malam. Rumah datuk dan nenek kembali sunyi. Tiba-tiba muncul ayah Iman mengemukakan cadangan kepada Iman. Ayah Iman ingin bercuti bersama dengan Iman ke New Zealand. Yang penting, Iman amat memerlukan ayah dan ibu di sisi Iman. Walaupun malam gelap pekat, Iman dapat melihat ada sinar yang terang menantinya di hujung sana. Ayah Iman Zulaikha, Yusri ingin membina ikatan kekeluargaan yang runtuh selama ini semula. Iman mengangguk dan mendakap ayahnya erat-erat. Doa Iman, biarlah kasih sayang ibu dan ayah kukuh selama-lamanya. Air mata kesyukuran membasahi pipi Iman Zulaikha. Bersyukur Iman kepada Tuhan kerana memakbulkan doanya selama ini.

Kosa Kata / Makna:

1. Membicarakan – mempercakapkan, memperkatakan, membincangkan, mengadili
2. Bertaut – menjadi rapat, berkatup rapat-rapat, bercantum, berpaut, bertemu, berhubungan (dgn), bertalian (dgn)
3. Semester – satu daripada dua sesi pengajian dlm. Sesuatu tahun akademik di pusat pengajian (universiti, kolej, sekolah dsb)
4. Menaruh – meletakkan, menempatkan, membubuh, menambah
5. Prestasi – hasil yang telah diperoleh, pencapaian
6. Didatangi – dikunjungi, dilawati, diziarahi
7. Beralih – bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, pergi (ke tempat lain)
8. Kaget – terkejut, terperanjat
9. Menjenguk – melihat, mengunjungi, menengok
10. Mengerling – memandang ke kanan atau ke kiri (dgn. Tidak menggerakkan kepala)
11. Tersipu-sipu – malu sekali, (dgn) pantas, lekas, segera
12. Berkorban – (sedang) menawarkan sesuatu sbg korban (kpd yang disembah), menanggung penderitaan untuk keselamatan (kebahagiaan, kepentingan) orang dll.
13. Mengukir – membuat lukisan dll dgn cara memahat (menggores, menoreh dll), membentuk (senyuman), memperlihatkan, menampakkan (senyum)
14. Memakbulkan – menerima (permintaan, doa, dll), mengabulkan, menyampaikan (maksud), memperkenankan
15. Menatap – memerhatikan dgn teliti, memandang dgn sungguh-sungguh
16. Kepekatan – perihal atau keadaan pekat

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 6 Disember 2010.
Hotel De’ La Ferns, Cameron Highlands.

Bab 7 - Novel T2: Erti Sebuah Pengorbanan

SINOPSIS NOVEL TINGKATAN 2 (2011)
Tajuk: Erti Sebuah Pengorbanan
Penulis: Zaihanim bt. Zainal Abidin
Penerbit: KZ Berjaya Enterprise

Bab 7: Usaha dan Cabaran

Peperiksaan menjelang tiba. Iman mengadakan perbincangan berkumpulan bersama-sama Pei Wen, Zulkarnain dan Adif Danial. Iman mahir dalam pelajaran Matematik. Mereka bantu-membantu. Iman mahu mengungguli pencapaian akademik Tingkatan Satu Dinamik. 20 Mei 2006. Peperiksaan Pertengahan Tahun telah pun berlalu. Kini, Iman memberikan tumpuan pada pertandingan pidato daerah. Teks disediakan oleh Iman dan disemak oleh Cikgu Julia. Kemudian, Iman akan berlatih bersama-sama Pei Wen, Zulkarnain dan Adif Danial selepas sekolah. Di rumah, Iman berlatih di hadapan datuk dan nenek.

Sudah genap sepuluh hari Iman tidak berutus e-mel dengan ibunya. Barangkali, ibunya telah menemui pengganti ayah. Sempat Iman berbual-bual dengan nenek. Dapatlah nenek mendengar dan berkongsi luahan rasa Iman. Nenek tahu benar akan perangai ibu Iman. Kata nenek, mencari pengganti suami bukan mudah dan menasihati Iman agar tidak berprasangka terhadap ibu Iman sendiri. Iman tertunduk. Air mata mengalir dari kolam matanya. Iman berasa terlalu berdosa. Nenek menepuk-nepuk bahu cucunya.

Tiba-tiba datuk, nenek dan Iman dikejutkan dengan panggilan Ruhaida, ibu Iman dari New Zealand. Rupa-rupanya, ibu Iman terlantar di hospital selama sepuluh hari kerana kemalangan jalan raya. Iman menangis teresak-esak kerana bersalah menuduh ibunya. Iman meluahkan perasaannya melalui e-mel.

Esok, pertandingan pidato akan dijalankan. Iman telah membuat persediaan yang rapi. Para peserta juga diminta menyediakan satu teks salinan asal berkaitan tajuk yang dipersembahkan. Teks itu disisipkan di dalam diari yang berwarna ungu. Ungu, warna kegemaran keluarga Iman. Petang itu, Iman dan Pei Wen ingin bertemu dan berbincang dengan Cikgu Julia. Iman juga mahu menyerahkan teks itu untuk disimpan oleh Cikgu Julia agar lebih selamat. Malangnya, diari ungu tidak kelihatan. Diari itu ditinggalkan oleh Iman di dalam beg sebelum memasuki perpustakaan. Iman ke kelas untuk mencari diarinya. Pei Wen pula ke perpustakaan untuk tujuan yang sama. Malangnya, diari itu tiada di dalam kelas. Panik. Hampa. Iman bagaikan mahu menangis. Gagal juga Pei Wen mencari diari tersebut di perpustakaan.

Iman dan Pei Wen terpaksa berjumpa dengan Cikgu Julia semula. Sebuah teks baharu perlu disediakan oleh Iman. Sesungguhnya, Iman tidak mengaku kalah. Iman meneruskan latihan. Zulkarnain dan Adif Danial turut memberikan kata-kata semangat. Dalam e-mel, ibu Iman turut mendoakan kejayaan Iman. Teks pidato dihafal. Solat hajat ditunaikan. Malam itu, Iman tidur awal. Esok, datuk dan nenek akan pergi bersama-sama.

8.15 pagi. Ramai murid hadir di majlis itu. Enam buah sekolah menyertai pertandingan tersebut. Setiap sekolah menghantar enam orang wakil. Iman peserta kedua terakhir. Pei Wen menjadi peneman dan pendorong utama Iman. Zulkarnain, Adif Danial dan Ai Ling turut hadir memberikan perangsang. Ayah Iman turut hadir. Maka bertambah semangatlah Iman. Yang penting, Iman memberikan tumpuan kepada persembahannya nanti.

Kosa Kata / Makna:
1. Perkongsian – syarikat perniagaan yg dijalankan secara berkongsi oleh dua orang atau lebih sbg rakan niaga
2. Menghirup – menyedut dan menelan benda cair, meneguk, menghisap, menyedut
3. Menatang – membawa sesuatu di atas tapak tangan, menating, menayang
4. Memudaratkan – mendatangkan mudarat, membahayakan, merugikan
5. Terlopong – ternganga (mulut)
6. Berprasangka – sangka (anggapan) buruk terhadap sesuatu (seseorang) sebelum mengetahui (menyelidiki) yang sebenarnya
7. Terhinggut-hinggut – bergoyang-goyang, berayun-ayun, bergoncang-goncang
8. Terlantar – terletak di, terabai, terbiar
9. Teresak-esak – tersedu-sedu (menangis)
10. Berenggang – berantara, berjauh, berpisah
11. Disisipkan – diselitkan
12. Asyik – menaruh berahi atau perasaan cinta yang amat sangat (terhadap seseorang)
13. Gementar – gentar, menggigil (kerana ketakutan, deman dll)
14. Mantap – tabah hati, tetap hati (fikiran), tetap setia, tidak berubah-ubah, tetap, stabil

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 6 Disember 2010.
Hotel De’ La Ferns, Cameron Highlands.

Bab 6 - Novel T2: Erti Sebuah Pengorbanan

SINOPSIS NOVEL TINGKATAN 2 (2011)
Tajuk: Erti Sebuah Pengorbanan
Penulis: Zaihanim bt. Zainal Abidin
Penerbit: KZ Berjaya Enterprise

Bab 6: Kenapakah, Ibu?

Iman berasa bimbang kerana sudah beberapa hari e-mel ibu tidak kesampaian. E-mel Iman pula tidak berbalas. Biarlah ayahnya sendiri memberitahukan hal Mak Cik Sofia kepada ibu. Pertandingan pidato daerah akan bermula selepas Peperiksaan Pertengahan Tahun. Iman pandai membahagikan masa, yakni antara pelajaran dan pertandingan. Iman tidak mempedulikan permintaan Linda. Ketika bertembung dengan Linda, Iman menjelaskan pendiriannya bahawa dia tetap akan bertanding. Keputusan itu menaikkan kemarahan Linda. Linda menolak Iman. Kaki Iman terpelecok, tersungkur di anak tangga yang terakhir dan terguling-guling sebelum jatuh terduduk. Linda segera beredar dari situ. Perbuatan itu terlihat oleh Mohana dan Adif Danial. Mujur Mohana memapah Iman ke biik guru.

Nenek Iman terkejut benar tanpa mengetahui perkara yang sebenar. Iman telah berpakat dengan Pei Wen untuk merahsiakan hal tersebut. Pei Wen cukup marah akan perbuatan Linda dan berasa bimbang akan tindakan Linda seterusnya. Iman bermohon agar hal itu juga tidak diberitahukan kepada Zulkarnain dan Adif Danial.

Petang itu, rumah datuk dan nenek dikunjungi Pak Su Razlan, lulusan jurusan Pentadbiran Perniagaan dari universiti di New Zealand. Ibu Iman juga belajar di universiti yang sama. Menurut Pak Su Razlan, dia sempat berjumpa dengan ibu Iman sebanyak tiga kali dan bersembang beberapa minit sahaja dek kesibukan. Iman meluahkan keresahan kerana e-melnya tidak berbalas. Pak Su Razlan tersenyum sinis lalu memberitahu Iman bahawa ibunya berhubungan mesra dengan seorang lelaki Inggeris. Iman terdiam. Wajahnya berubah. Perubahan ini menimbulkan ketidaksenangan Pak Su Razlan. Pak Su Razlan ditegur oleh nenek sebelum dicelah oleh datuk.

Iman bertekad untuk mengetepikan semua masalah yang berlaku. Yang penting, dia perlu menghadapi peperiksaan seminggu lagi dan pertandingan pidato minggu yang berikutnya. Keesokan hari, tengah hari, selepas mata pelajaran Matematik, Iman ingin berjumpa dengan Cikgu Julia biarpun diajak oleh Pei Wen untuk pulang bersama. Selepas berkemas, Iman terserempak dengan Adif Danial dan Linda. Senyuman Iman tidak berbalas juga. Kemudian, Iman ke bilik guru. Akhirnya, Iman dapat berjumpa dengan Cikgu Julia. Iman meminta pandangan Cikgu Julia tentang ibunya. Iman menceritakan hal ibu dan bapanya satu persatu. Yang jelas, hasrat Iman untuk menyatukan ayah dan ibunya semula musnah kini.

Menurut Cikgu Julia, senario kehidupan ayah dan ibunya sudah ditentukan oleh takdir waima ayahnya akan berkahwin dengan ibu Adif Danial, Mak Cik Sofia dan kesahihan hubungan ibunya dengan lelaki Inggeris yang barangkali merupakan teman sekolej. Yang penting, menurut Cikgu Julia, Iman perlu bersabar, berterus terang dan berkorban. Fikiran Iman tenang dan positif kembali selepas berbual-bual dengan Cikgu Julia. Album gambar dibelek satu persatu. Gambar keluarga Iman tetap akan menjadi kenangan sampai bila-bila. Tiba-tiba, Iman dikejutkan oleh panggilan nenek. Kata nenek kawan lelaki Iman sedang mencarinya. Zulkarnain dan Adif Danial! Adif Danial ingin memohon maaf daripada Iman. Sebenarnya, Adif Danial merindui saat-saat bersama dengan Pei Wen, Zulkarnain dan Iman. Iman dan Adif Danial sama-sama mengaku kesalahan tentang kisah ibu dan ayah masing-masing. Malah, Adif Danial cukup kagum akan ketabahan Iman menghadapi masalah tersebut lebih-lebih lagi Pei Wen dan Zulkarnain telah menceritakan segala-galanya, termasuk tindakan kasar Linda terhadap Iman.

Ibu Adif Danial memahami kehendaknya anak lelakinya. Ibunya sanggup membatalkan perkahwinan sekiranya hasrat tersebut diingini Adif. Yang jelas, ibu Adif tidak akan berkahwin dengan ayah Iman. Hati Iman bertambah lega sekarang. Fikirannya bertambah lapang. Pagi itu datuk dan nenek Iman menjamu Adif Danial dan Zulkarnain makan buah rambutan dan cempedak.

Kosa Kata / Makna:

1. Ketinggalan – yang tinggal baki, kelebihan, sisa, tertinggal (dgn tidak sengaja), terbelakang
2. Amanah – sesuatu yang dipercayakan kepada orang, kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang
3. Menuruni – turun melalui (tangga, lereng bukit dll), turun untuk mengambil sesuatu
4. Bertembung – berjumpa (dgn tidak sengaja), bersua, bertemu, terjerempak
5. Meluap-luap – bergelora dgn amat sangat (bkn perasaan, semangat dsb), berkobar-kobar, berapi-api
6. Terguling-guling – berguling-guling (dgn tidak sengaja), berpusing berbalik-balik
7. Papah – berpegang atau berpaut pd bahu orang dll.
8. Bebel – mengomel, berleter
9. Mencebikkan – menyorongkan bibir bawah ke depan (kerana marah, benci dsb), menghina
10. Tercengang – berasa kehairan-hairanan, terkejut bercampur pelik sehingga mata terbuka luas dan mulut ternganga
11. Merajuk – menunjukkan rasa tidak suka (enggan bercakap, enggan bekerjasama, enggan bergaul)
12. Mengerling – memandang ke kanan atau ke kiri (dgn tidak menggerakkan kepala)
13. Mengkhianati – berbaut khianat kepada, mencelakakan, memperdaya, membelot terhadap
14. Beriringan – berjalan dll bersama-sama, berturut-turut
15. Tampak – tidak terlindung, dapat dilihat, kelihatan
16. Berkecamuk – menjadi hebat, menjadi kacau atau tidak tenteram (fikiran, perasaan dll)
17. Solehah – taat dan patuh kpd perintah Allah (perempuan)
18. Hakikat – sesuatu yang tidak dapat ditiadakan atau dinafikan kebenaran, kenyataan
19. Arwah – roh atau jiwa orang yang telah meninggal dunia, semangat, Allahyarham, Almarhum
20. Menyisihkan – mengasingkan, memisahkan, menceraikan, memencilkan

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 6 Disember 2010.
Hotel De’ La Ferns, Cameron Highlands.

Tuesday, December 7, 2010

Beijing 2010
















(Sumber: Lee Ming Jet Jason, SMK Methodist, Tg.Malim)