Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, November 30, 2010

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009





















30 November 2010 - Selasa
Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Mastera di Dewan Bankuet, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Tetamu Kehormat: YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Haji Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.
Hadiah Kategori B:
Karya Eceran Cerpen:
Di Perantauan Impian (Mingguan Malaysia - 20 Julai 2008)
Penulis - En.Chai Loon Guan
Karya Eceran Cerpen:
Perempuan-perempuan yang Bertandang (Dewan Sastera Oktober 2008)
Penulis - En.Mohd Hashim Othman
Karya Eceran Cerpen:
Kepikunan (Antologi Istana Cinta Ayah, DBP 2009)
Penulis - YBhg.SN Datuk Dr. Shahnon Ahmad

Hadiah Karya Esei/Kritikan Sastera:
Nikmat dan Bala Berdaya Cipta (Dewan Sastera Februari 2008)
Penulis - YBhg.SN Datuk Dr. Shahnon Ahmad

Hadiah Buku Biografi/Autobiografi:
Muzakkirah: Sebuah Autobiografi Suku Abad Menerajui Kerajaan Terengganu (Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.,2008)
Penulis - YABhg.Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad

Saturday, November 27, 2010

Cerpen XV - Pelarian

Fragmen Novel: Bab 5
PELARIAN
Chai Loon Guan

Panas tidak sampai ke petang. Seperti Kuala Lumpur, Gemas, dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu, Tanjong Malim kini dibanjiri askar Nippon. Nippon! Askar Nippon bertubuh rendah, tegap dan garang. Mata sepet Nippon macam mata sepet Ah Hai. Mata sepet Nippon macam mata sepet Pak Cik Teh. Mata sepet Nippon macam mata sepet Bintang Tiga! Mata sepet Nippon macam mata sepet MPAJA!

Lengkap beruniform, pedang samurai tersisip di pinggang, kompeni Nippon bergerak sambil memantau. Mereka meronda sambil memeriksa. Mereka menjerit sambil melemparkan bahasa badan yang bengis. Maki hamun agaknya. Yang lembab disepak terajang. Yang kurang mengerti didera. Yang disyaki tali barut Inggeris diheret. Kemudian diikat di dataran sebelum dipaksa minum air sabun. Kenyang dek air sabun, perut buncit tahanan dipijak-pijak. Dihentak-hentak. Lebih zalim lagi, tahanan dipaksa menggali lubang tanpa setitis air atau secubit roti. Lubang siap digali, tahanan diterjah dek bonet senapang. Diterajang marah oleh Nippon. Dan, di situlah berkuburnya mangsa. Di situlah berhentinya nafas tahanan. Mati tahanan seperti mangsa peperangan bergelimpangan. Aduhai, kejam sungguh Sang Nippon! Zalim benar Sang Nippon! Kempetai Nippon!

“Ohaiyou, joshi!”

Setiap orang yang terserempak akan askar Nippon perlu tunduk. Tunduk tanda hormat. Hormat empat puluh lima darjah! Tiada hormat maka habuannya sepak terajang. Cukup menakutkan. Tragis sifatnya sehingga warga Tanjong Malim dibelenggu dilema? Dilema bercampur benci. Benci dibakar amarah. Amarah akhirnya melahirkan bibit-bibit dendam. Dendam kesumat warga Tg. Malim terhadap Nippon. Binatang, Nippon! Haiwan, Nippon! Syaitan, Nippon! Macam-macam gelaran dilontarkan. Macam-macam panggilan diuar-uarkan! Hanya suara-suara penderitaan dibuai angin senja silir-semilir tanpa simpati atau empati. Apakan daya, Nippon ada di mana-mana. Nippon berada di bandar. Nippon berada di desa. Nippon berada di laut sempadan. Nippon berada di muara kali. Nippon berada di tanjung! Seluruh Tanah Melayu sudah dibanjiri Nippon. Nippon sedang berkuasa. Nippon sedang bermaharajalela. Nippon sedang menggegarkan seluruh rantau nusantara. Gah megah Nippon sedang menyelubungi Asia Timur! Gah megah Nippon segarang Nazi di benua Eropah!

Biar apapun, kehidupan ini mesti diteruskan. Kehidupan ini mesti dilangsungkan. Biarkan Nippon melebarkan sayap maharajalela. Biarkan! Yang pasti, Ah Hai tetap akan meneruskan hidup. Hidupnya di Tanjong Malim mesti diteruskan. Rutin bisnes syarikat berjalan seperti biasa. Benar kata orang, hidup mesti diteruskan biarpun dunia sedang dilanda darurat. Darurat perang. Darurat bencana. Bencana angkara manusia. Bencana dek kuasa!

Esok, Ah Hai dan Ajit Singh ada tugas yang perlu disempurnakan. Mereka perlu bertolak ke Teluk Anson. Barang-barang borong syarikat perlu diangkut. Beras, gula, minyak masak, makanan dalam tin dan sebagainya. Esok, seperti minggu-minggu sebelumnya, lori Bedford Sin Teck Soon perlu melepasi dua pos kawalan Nippon. Satu di pintu keluar Tanjong Malim. Satu lagi di pintu masuk Teluk Anson. Pemeriksaan oleh kempetai Nippon. Pemantauan oleh askar-askar Nippon. Pihak Nippon takut kalau-kalau ada ejen Inggeris. Pihak Nippon takut kalau-kalau ada warga bersubahat dengan ejen bawah tanah. MPAJA. Kegiatan MPAJA sudah dikesan oleh askar rahsia Nippon. Kata Nippon, MPAJA seludup senjata api. MPAJA seludup barang kegunaan seharian. Kegiatan MPAJA mampu menggugat kuasa Nippon. Kuasa Nippon di Tanjong Malim. Kuasa Nippon di Tanah Melayu.

Dek syak-wasangka, puluhan bas Mogah dibakar. Bas-bas penumpang dipaksa menghala ke rimba Simpang Empat. Para penumpang dipaksa turun. Dan, nyalalah api membakar hangus bas-bas tersebut. Dek curiga-mencurigai juga, askar rahsia Nippon menjalankan operasi. Operasi gelidah dari rumah ke rumah. Operasi selongkar dari kedai ke kedai. Yang disyaki, diberkas. Yang dicurigai, ditangkap. Yang bersalah, dipancung tanpa belas kasihan. Memang benar kata orang tua-tua, peperangan tidak mengenal kemanusiaan. Peperangan mencetuskan keharu-biruan kehidupan manusia di dunia sarwajagat ini.

Ketegangan dan kebobrokan itu telah mendesak warga melarikan diri. Warga mencari perlindungan. Dan, satu-satunya tempat yang selamat ialah hutan rimba yang berdekatan. Ada warga bersembunyi di hutan Simpang Empat. Tidak kurang pula yang terpaksa bersembunyi di Hulu Slim. Hulu Slim di pinggir Banjaran Titiwangsa. Bagi mereka, bersembunyi di situ lebih selamat daripada berhadapan dengan Nippon.

“Ohaiyou, joshi!”

“Kau harus senantiasa berwaspada, Ah Hai!” pesan Pak Cik Teh, pada suatu senja sekembalinya Ah Hai dari Teluk Anson.
“Iya, Pak Cik…”
“Nippon sedang memerhati kita, Ah Hai!” ingat Pak Cik Teh kepada Ah Hai.
“Maksud Pak Cik?”
“Urus niaga kita mahu diganggu, Ah Hai! Mereka menaruh syak-wasangka. Mereka mahu bekalan kita dicatu? Mereka mahu beras, minyak dan sebagainya dikawal. Biar penduduk Tanjong hidup susah. Hidup menderita, Ah Hai!”
“Barangkali, ada maklumat bocor, Pak Cik?”
“Apapun, harus kauingat, Ah Hai! Jaga-jaga!”

Memang benar pada tanggapan Ah Hai, urus niaga syarikat dapat dikesan oleh Nippon. Kononnya, syarikat berurusan dengan musuh Nippon. Syarikat berurus niaga dengan orang kebanyakan. Dan, orang kebanyakan itu musuh dalam selimut Nippon. Musuh Nippon? Rakyat Tg. Malim, musuh Nippon? Bukankah rakyat Tg. Malim, perlu makan? Bukankah rakyat Tg.Malim perlu minum? Bagaimana kalau barang-barang runcit itu disekat dan dicatu? Kononnya, barang-barang runcit hanya boleh dijual kepada pihak Nippon sahaja. Yang lain perlu disekat. Yang lain perlu dikawal. Kalau boleh, yang lain dicatu. Biarlah penduduk setempat bersuapkan ubi kayu!

Serba salah Tauke Teh dibuat oleh Nippon. Pak Cik Teh tidak putus-putus mencari jalan keluar. Pak Cik Teh tidak hampa berikhtiar. Kalau boleh, pihak Nippon mahu diajak berbincang. Kemelut ini perlu dirungkai. Warga perlu makan. Warga perlu minum. Mereka juga manusia seperti Nippon. Ah, barangkali, jalan musyawarah dapat membuahkan hasil. Perundingan memerlukan tolak ansur. Tolak ansur akan menguntungkan kedua-dua pihak. Yang penting, rakyat setempat tidak kebuluran. Yang penting rakyat setempat tidak kelaparan. Yang penting, rakyat Tg. Malim dapat hidup selamat. Selamat daripada malapetaka Nippon. Selamat daripada bala bencana Nippon. Nippon yang ganas. Nippon yang kejam. Nippon yang zalim. Pokoknya, Pak Cik Teh perlu berani. Berani Pak Cik Teh akan menguntungkan warga Tg. Malim.

“Ohaiyou, joshi!”

Frasa ini perlu diucapkan saban pagi. Frasa ini perlu diluahkan saban pagi. Sebaik fajar menyingsing, lagu Nippon akan berkumandang. Bendera Nippon akan berkibaran. Sesiapa yang ingkar, alamat penamparlah habuannya. Sesiapa yang langgar, pedang samurailah hadiahnya. Bagi Nippon, lagu dan bendera Nippon adalah nyawa. Lagu dan bendera adalah maruah. Lagu dan bendera adalah kehormatan dan kesetiaan. Kesetiaan kepada maharaja. Kesetiaan kepada bangsa dan negara!

Dalam kepincangan perang, Nippon bukan sahaja perlu berhadapan dengan Inggeris. Nippon juga mendapat tentangan dari dalam. MPAJA! Iya, Malayan People Anti-Japanese Army. Propaganda dan perang saraf sudah bermula. Siapa MPAJA? Bukankah sebahagian besar anggotanya bekas Bintang Tiga? Bintang Tiga sama dengan MPAJA. Anggotanya sama, hanya label uniform sahaja yang berbeza. Tindak tanduk Bintang Tiga semasa penjajahan Inggeris diterjemahkan dalam perjuangan MPAJA pula!

Kebimbangan Nippon terhadap saudagar Cina kian ketara. Urus niaga syarikat tempatan dengan warga setempat merungsingkan pihak atasan Nippon. Sudah tiba masanya, urus niaga itu diberhentikan sama sekali. Sebarang urus niaga mestilah dipantau selia oleh Nippon. Tiada kompromi. Tiada simpati. Tiada empati. Silap haribulan, sama ada Tauke Teh atau Ah Hai akan menjadi korban!

Dan, petang itu, Tauke Teh telah memperoleh maklumat sulit. Maklumat sulit daripada polis rahsia Nippon di Tg. Malim. Akan turun sepasukan polis Nippon dari Kuala Kubu Bharu (KKB) untuk menangkap Ah Hai. Hal ini tidak boleh dirahsiakan oleh Tauke Teh lagi. Tauke Teh perlu bertindak segera. Jika tidak, alamat terlambatlah misi untuk menyelamatkan anak buahnya, Ah Hai.

“Di mana kau, Ah Hai?”
Debar rasa kian memuncak. Resah gelisah kian menggigit pangkal hati Pak Cik Teh. Kebimbangan yang amat kian membara.
“Di mana kau, Ah Hai?”

Anak-anak buah syarikat dikerah untuk mencari Ah Hai. Ah Hai perlu dipertemukan sebelum terlambat. Yang peliknya, ketika mahu mencarinya, batang hidungnya tidak kelihatan. Kelibatnya hilang terus. Cari punya cari, akhirnya Pak Cik Teh dapat bertemu dengan Ah Hai di kaki lima kedai, No.3, Jalan Besar, Tanjong Malim. Ah Hai tengah gunting rambut. Masih ada separuh perjalanan sebelum diberesrapikan rambut Ah Hai.

“Ah Hai, bertuah kau!”
“Pak Cik?”
“Ayuh, balik cepat! Ada hal yang perlu kita bereskan!”
Terpinga-pinga Ah Hai dibuat oleh Pak Cik Teh.
“Kemas sehelai dua baju. Bergegas kau petang ini! Tinggalkan Tg.Malim cepat!”

Mesej Pak Cik Teh sudah difahami oleh Ah Hai. Dia perlu meninggalkan Tg. Malim segera. Jika tidak, alamat buruk padahnya kelak. Berbekalkan sebiji dua pau Yik Mun, beberapa helai mata wang British, dan segalas pakaian, berlarilah Ah Hai sekuat-kuat tenaganya. Berlarilah Ah Hai selaju-lajunya. Askar Nippon dari Kuala Kubu Bharu kian mampir. Sasaran mereka, Ah Hai! Menjelang senja, Ah Hai sudah bergelar pelarian. Dari Tg. Malim, Ah Hai berbeca ke Behrang Stesen. Dari Behrang Stesen ada mobil sedang menunggu. Mobil itulah yang akan menumpangi Ah Hai ke Tapah. Dari Tapah akan berlari lagi Ah Hai ke Cameron Highlands tanpa pengetahuan Nippon. Misi menyelamatkan Ah Hai berjalan dengan cekap dan lancar. Kerjasama cukup akrab. Di Cameron Highlands, Ah Hai perlu berjumpa dengan Tauke Tan. Tauke Tan, saudagar seperti Tauke Teh, berdialek Hokkien dari Wilayah Fujian, Tanah Besar China.

Maka, seperti yang ditakdirkan, menjadi pelarianlah Ah Hai mulai hari itu. Berita kehilangan Ah Hai menjadi buah mulut warga setempat Tg.Malim. Dan, kehilangan Ah Hai diasosiasikan dengan kehadiran skuad polis Nippon dari KKB! Nippon tidak berputus asa. Pak Cik Teh ditangkap untuk disoal siasat. Pak Cik Teh ditahan dalam lokap untuk memberikan keterangan lanjut. Namun, hati Pak Cik Teh tetap kental. Hati Pak Cik Teh tetap cekal. Biarpun didera, dimaki dan hampir diugut bunuh, rahsia kehilangan anak buahnya, Ah Hai masih tersimpan rapi. Pihak Nippon gagal memperoleh sebarang maklumat daripada Pak Cik Teh. Daripada siasatan pihak Nippon, kononnya Ah Hai menjadi tali barut puak penentang Nippon di Tanah Melayu! Ahli MPAJAkah Ah Hai? Ejen Inggeriskah Ah Hai? Atau barangkali, Ah Hai juga salah seorang pejuang kemanusiaan? Pejuang kebebasan? Pejuang keadilan? Ataupun seperti insan yang lain, Ah Hai seorang insan yang bergelar manusia?

Dari Cameron Highlands, Ah Hai menyusun langkah seribu ke Sungai Siput Utara. Beberapa minggu di Sungai Siput Utara, Ah Hai menjadi pelarian di Batu Gajah, Perak. Nippon sedang giat mengekori Ah Hai. Nippon sedang giat menjejaki Ah Hai. Sampai bila, Ah Hai perlu berlari? Hiba pilu hati Ah Hai apabila mendapat khabar bahawa Pak Cik Teh telah diberkas untuk disoal siasat. Pak Cik Teh sedang didera untuk mencungkil maklumat. Hampir-hampir Ah Hai mahu menyerah kepada Nippon pada saat itu. Dia tidak mahu Pak Cik Teh menjadi galang gantinya! Dia perlu bertanggungjawab. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul! Sesungguhnya, Pak Cik Teh sudah banyak berkorban untuk warga Tg. Malim, lebih-lebih lagi dirinya!

“Jangan sesekali kauserah diri, Ah Hai! Jangan! Ingat! Pak Cik dapat bertahan…Bersabarlah, lambat-laun, pihak Nippon akan membebaskan Pak Cik! Percayalah…” Bagaikan itulah nota maklumat yang diterima oleh Ah Hai daripada orang kepercayaan Tauke Teh di daerah pelarian!

Nota:
“Ohaiyou, joshi” – “Selamat pagi, Tuan!”

Friday, November 26, 2010

Apa khabar Tg.Jambu?












Sketsa Tg.Jambu - mendung, sunyi dan sepi. Hujan turun pada setiap malam. Agaknya musim tengkujuh sudah mula melanda Tg.Jambu. Apa khabar, Sg.Berop - sebatang kali yang pada mulanya tenang dan jernih air kalinya?

Sunday, November 21, 2010

Landskap Alam - Vietnam























(Sumber: MESA)

AYAT BM SPM 2010






AYAT BAHASA MELAYU SPM 2010
AYAT

1. Ayat Susunan Biasa

1a. Perangainya baik sungguh.
1b. Pegawai itu masih belum sampai.

2. Ayat Susunan Songsang

2a. Baik sungguh perangainya.
2b. Masih belum sampai pegawai itu.

3. Ayat Susunan Biasa – Ayat Susunan Songsang Sebahagian

3a. Dia membaca buku di perpustakaan.
3b. Membaca buku dia di perpustakaan.

3c. Kakak membersihkan halaman rumah pagi ini.
3d. Membersihkan halaman rumah kakak pagi ini.

3e. Kanak-kanak itu berkejar-kejaran di padang.
3f. Berkejar-kejaran kanak-kanak itu di padang.

4. Ayat Aktif Transitif

4a. Abang membelikan ibu sebuah rumah.
4b. Halimah menghadiahi anaknya sebuah basikal.

5. Ayat Aktif Tak Transitif

5a. Kanak-kanak sedang mandi di kolam itu.
5b. Beberapa orang pengunjung masih bersiar-siar pada waktu senja.

6. Ayat Pasif

6a. Barang itu sudah diambil oleh Ali semalam.
6b. Tembok itu terlanggar oleh lori pada bahagian bawahnya.
6c. Mereka kehujanan sepanjang hari.
6d. Baju itu berjahit dengan benang sutera.
6e. Hutang itu akan kaujelaskan sepenuhnya.
6f. Dia kena tipu oleh pemuda itu.

7. Ayat Majmuk

7a. Murid-murid berlari dan bernyanyi.
(Ayat Majmuk Gabungan)
7b. Saya membeli baju yang berwarna merah.
(Ayat Majmuk Pancangan Relatif)
7c. Dia menerangkan bahawa murid itu sakit.
(Ayat Majmuk Pancangan Komplemen)
7d. Sekiranya saya lulus peperiksaan ini, saya akan berpuasa sepuluh hari.
(Ayat Majmuk Pancangan Keterangan)
7e. Ahmad sedang membaca buku tetapi kawan-kawannya yang sudah letih lesu telah lama tidur.
(Ayat Majmuk Campuran)

8. Ayat Majmuk Aktif – Ayat Majmuk Pasif

8a. Saya minum teh dan Aminah makan nasi.
8b. Teh saya minum dan nasi dimakan oleh Aminah.

8c. Mereka menonton wayang yang lucu itu.
8d. Wayang yang lucu itu ditonton oleh mereka.

8e. Guru menerangkan bahawa ujian akan bermula pada bulan hadapan.
8f. Bahawa ujian akan bermula pada bulan hadapan diterangkan oleh guru.

8g. Sungguhpun badannya letih, Aliah tetap menghadiri majlis perayaan itu.
8h. Sungguhpun badannya letih, majlis perayaan itu tetap dihadiri oleh Aliah.

(Sumber: Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga: DBP 2008)

Friday, November 19, 2010

Sajak - Teka-teki Kehidupan II



















Teka-teki Kehidupan II

bagaimana, tiba-tiba
mata tidak boleh melihat
telinga tidak boleh mendengar
tangan tidak boleh mengangkat
kaki tidak boleh melangkah

bagaimana, tiba-tiba
lidah berhenti merasa
anak tekak kehabisan suara
jiwa terpenjara
mata akal buta
mata hati luka

bagaimana, tiba-tiba
harapkan pagar, pagar makan padi
harapkan burung terbang tinggi, punai di tangan dilepaskan
harapkan guruh di langit, air di tempayan dicurahkan
harapkan kuning kuah kambih, cangkuk terubuk ditinggalkan
harapkan di untung menggamit, kain di badan didedahkan

terkesima aku
dipentaslakonkan oleh teka-teki kehidupan
yang membiru
yang mengungu!

Chai Loon Guan,
SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.
19 November 2010.

(Berita Harian - 18 Disember 2010)

Thursday, November 18, 2010

Tokoh Ilmuwan Bahasa Kebangsaan 2010

Kosa Kata BM








Kata mampan bermaksud mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik (berkenaan ekonomi, pembangunan dan sebagainya) (Kamus Dewan, 2007:989). Padanan dalam bahasa Inggeris ialah suistainable.

Kata mapan bermaksud : 1. tidak berubah-ubah (sudah diterima umum) atau mantap. 2. sudah kukuh (kedudukannya), tidak goyah (sudah stabil, teguh, dikenali dan sebagainya) (Kamus Dewan, 2007:997). Padanan perkataan Inggeris ialah established.

Kata mempan bermaksud dapat dilukai (oleh senjata dll.), lut, boleh terbakar (oleh api) (Kamus Dewan, 2007:1016). Padanan bahasa Inggerisnya ialah vulnerable.

Contoh penggunaannya:

i) Pelbagai usaha dilaksanakan oleh pemimpin rantau ini untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mampan.

ii) Penulis baru akan banyak belajar daripada penulis yang sudah mapan.

iii) Walaupun beberapa kali ditikam, tetapi tiada juga mempan.

(Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka)

Monday, November 15, 2010

Tiga Buah Sajak Nukilan Pena Murid MES 2010














Ceritera tentang Alam
Alamku,
Tumbuh menghijau
Menceriakan bumi
Tiada jemu mataku
Membarisi sketsa saujana

Alam kurniaan Ilahi
Kaya akan hidupan flora dan fauna
Sungai indah
Laut pasrah
Dibelai segar udara
Mendamaikan jiwa
Mengubati rindu

Alam
Mahahebat kurniaan-Mu
Di sarwajagat ini!

Muhamad Yafiez,
Tingkatan 3 Dedikasi,
SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.
2010

Nusa Bangsaku

Malaysia, tanah airku
Rakyat jelata
Hidup aman makmur
Bahagia ceria
Di buana gagasan
Satu Malaysia

Malaysia, tanah airku
Nusa bangsa yang kucintai
Aman sentosa
Aman sejahtera
Akan kuukir janji sejuta
Mencurah jasa bakti
Di kebun nusa
Di kebun bangsa
Malaysia, tanah airku!

Muhamad Yafiez,
Tingkatan 3 Dedikasi,
SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.
2010

Duka Alam

Dulu,
Alamku, alam menghijau
Subur menyegarkan
Sungaimu mengalir ceria
Airmu jernih bersih
Ikan-ikan riang berenang-renang
Nyaman udara menyegarkan
Sumber ilham
Warga sarwajagat ini

Kini,
Alamku, alam duka lara
Terluka dek cemar
Polusi kilang
Cemar pembangunan
Dan, mengalirlah sisa-sisa toksik
Bertemankan sampah-sarap
Di buana derita
Di buana sengsara

Kembalikanlah
Alam hijauku
Alam ceriaku
Tanpa polusi
Tanpa ilusi
Demi masa depan
Yang menjanjikan harapan!

Noor Afiq Hidayat b. Noor Rahim,
Tingkatan 3 Dedikasi,
SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.
2010

Sunday, November 14, 2010

Anugerah Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2010















Michael Goh Joon Seng, murid Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim dan Murid-murid Cemerlang Sekolah Menengah lain bergambar kenangan dengan YBhg. Dato’ Hajah Noor Rezan binti Bapoo Hashim, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Pendidikan), Kementerian Pelajaran Malaysia di Hotel Empress, Sepang pada 10 - 11 November 2010.

Saturday, November 13, 2010

Sajak - Aung San Suu Kyi



















Aung San Suu Kyi

Sememangnya benar, merah darahmu
Semerah pejuang kental cekal
- Abraham Lincoln, Maharajalela, Mahatma Gandhi, Nelson Mandela
Zaman berzaman
Biarpun dirimu terbelenggu
Dalam jumud kuasa
Kamar siasah
Kebebasan senantiasa berbunga
Di tamanmu
Kemanusiaan senantiasa membara
Di hatimu
Keadilan senantiasa bersketsa
Di peraduanmu
Dalam nafas azam
Dalam nafas iltizam

Dirgahayu, serikandi
Aung San Suu Kyi
Dalam buana demokrasi!

Chai Loon Guan,
Teluk Nipah, Purnama Beach Resort,
Pulau Pangkor.

Thursday, November 11, 2010

Perkampungan BM Sekolah Rendah Negeri Perak 2010






















Perkampungan Bahasa Melayu Sekolah Rendah Negeri Perak 2010 anjuran Unit Kokurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri Perak dengan kerjasama DBP Wilayah Utara telah berlangsung dengan jayanya di Purnama Beach Resort, Pulau Pangkor pada 8 - 11 November 2010. Penceramah daripada DBPWU, iaitu Munsyi Dewan, Encik Tewarajoo a/l Ramasamy, PPT dan Encik Chai Loon Guan telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan perkampungan tersebut selama empat hari tiga malam. Para peserta yang terdiri daripada murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 dari sepuluh daerah Negeri Perak Darul Ridzuan telah berpeluang untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang Tatabahasa Bahasa Melayu, Penulisan Syarahan Bahasa Melayu, Penulisan Sajak dan Cerpen Bahasa Melayu selain sesi perbengkelan. Majlis penutupan rasmi perkampungan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Encik Nadzeri bin Hassan, Penolong Pengarah Unit Kokurikulum Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Perak Darul Ridzuan.

(Foto dan teks: Chai Loon Guan)

Saturday, November 6, 2010

Tan Yu Hang - Murid yang berbakat besar dalam bidang seni muzik tanah air.





















TAN YU HANG,
Tingkatan 5 Sains 1, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

• Belajar piano daripada Pn.Lim Pee Kian pada 1 Oktober 1999.
• Belajar violin daripada Pn.Christine Augustine, tutor Fakulti Seni dan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg.Malim.
• Menyertai pasukan koir sekolah ke pertandingan daerah dan negeri pada 2008.
• Lulus cemerlang ujian piano Gred 8 ABRSM pada 2008.
• Gubah lagu Oh Malaysia dan Budi Bahasa Budaya Kita pada 2008.
• Gubah lagu caklempong – Burung Kakak Tua pada 13 Disember 2009.
• Gubah lagu You Are Not Alone untuk persembahan koir sekolah pada Hari Anugerah Gemilang Sekolah 2009.
• Gubah lagu Perajurit Tanah Airku dan Malaysiaku Gemilang pada 9 dan 29 Januari 2010.
• Gubah lagu Satu Malaysia untuk Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik KRN Sekolah Menengah Negeri Perak 2010 pada 13 Jun 2010.
• Gubah lagu Satu Malaysia untuk Universiti Lim Kok Wing pada 28 Julai 2010.
• Aktif dalam kegiatan pasukan caklempong dan koir SMK Methodist, 35900 Tg. Malim. Antara sumbangan beliau ialah:

Bermain caklempong untuk Kolej Za’ba, UPSI, Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Jamuan Rakyat sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Perak ke-82, Malaysia-Singapore Youth Camp 2010 di Trolak Resort, vokalis koir pada 2006 dan 2007, pianist dan komposer 2008 – 2009, konduktor dan jurulatih koir 2010, Johan Pertandingan Koir Daerah Batang Padang 4 tahun berturut-turut, iaitu 2006 – 2009, Johan Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik KRN Negeri Perak 2010 dan memenangi tempat ke-4, Pertandingan Koir Patriotik KRN Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2010.

(Foto dan teks: Chai Loon Guan)

RTM 1 di Kampung Berop, Tg.Malim.




























Pemimpin masyarakat Tg.Malim bersama-sama RTM 1 membuat liputan tentang permasalahan banjir kilat di Kampung Berop, 35900 Tg. Malim yang kian berleluasa dan serius belakangan ini. Krew RTM 1 membuat tinjauan sekitar Sungai Berop, menemu bual penduduk tempatan, dan pemimpin masyarakat. Yang sedihnya, setiap kali hujan lebat, air hujan dari pelbagai penjuru alam akan menuju ke Sg.Berop tanpa simpati. Dan, melimpahlah air bersama-sama sampah-sarap dan kelodak lumpur membanjiri sekitar kampung. Sungai Berop tidak mampu bertahan lagi lebih-lebih lagi susur keluar air ke Sungai Bernam tidak banyak, bentengnya kian terhakis dan tercemar dek sampah, serta Sungai Bernam pula kian cetek dan sempit. Aduhai, kampungku - sebuah kampung yang bernama Berop!

(Foto dan teks: Chai Loon Guan)

Thursday, November 4, 2010

Pantun Satu Malaysia














Burung ketitir burung jelatik,
Di dalam taman bersuka-ria;
Kita ukir budaya cantik,
Hidup aman Satu Malaysia.

(Sumber: Ramli Daud - Sasterawan Felda)

Tuesday, November 2, 2010

Selamat Hari Deepavali 2010


















Selamat Hari Deepavali kepada sahabat - handai, guru dan murid-murid saya yang beragama Hindu di seluruh pelosok tanah air, nusantara dan dunia sarwajagat ini semoga sihat walafiat dan bahagia ria hendaknya di sisi keluarga yang tersayang. Salam muhibah!
Chai Loon Guan dan keluarga.