Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, August 31, 2010

Seni Catan I: Flora Fauna Kehidupan


















Lukisan: Chai Wuang Shen, PSV BM/BI, IPGM Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.

Monday, August 30, 2010

Merdeka! Merdeka! Merdeka!




















Satu Malaysia Menjana Transformasi

Ambang Merdeka MES 2010






















Jam 7.30 pagi - Isnin bersamaan 30 Ogos 2010, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim telah mengadakan Perhimpunan Khas Kemerdekaan Ke-53 2010 di Dataran Perhimpunan SMK Methodist,35900 Tg. Malim.

Sejajar dengan tema sambutan pada tahun ini, iaitu Satu Malaysia Menjana Transformasi, beberapa acara perhimpunan khas telah disusun dan dijalankan dengan jayanya. Antara lain nyanyian Negaraku, Ceramah Kemerdekaan oleh YBhg. Prof. Madya Dato' Paduka Dr. Rosli bin Saludin, Ketua Jabatan Bahasa dan Budaya, Fakulti Bahasa dan Sastera, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tg.Malim, Deklamasi Sajak - Rimba Merdeka, Bicara Merdeka, Ikrar Merdeka, Laungan Merdeka dan nyanyian lagu Jalur Gemilang.

Perhimpunan Khas Kemerdekaan MES 2010 turut disertai oleh pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg. Malim.

Teks dan foto:
Chai Loon Guan, Ketua Panitia BM.

Wednesday, August 25, 2010

Sajak - Gila











GILA

Gila aku
Melihat gila dunia
Aku kegilaan
Menatap kegilaan manusia
Menggila aku
Menelaah gila menggila
Tergila-gila oleh aku
Menonton kegila-gilaan manusia
mempergilakan kemanusiaan
Tanpa keimanan
Tanpa ketakwaan
Di buana kehidupan
Yang gila-menggila!

Gilakah aku?

CHAI LOON GUAN,
Dewan A,
SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

Monday, August 23, 2010

Karangan BM Tingkatan 1

Sejak belakangan ini, penggunaan telefon bimbit semakin berleluasa. Penggunaan telefon bimbit telah mendatangkan pelbagai kesan kepada pengguna. Pada pendapat anda, jelaskan kesan-kesan negatif penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sekolah.

Pada alaf yang serba maju ini, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Walaupun telefon bimbit dapat menghubungkan manusia tanpa mengambil kira faktor pemisahan ruang dan waktu, namun telefon bimbit turut memberikan kesan yang buruk kepada masyarakat, khususnya generasi pelajar.

Pertama sekali, budaya remaja yang gemar bergaya dengan telefon bimbit kian berleluasa. Para pelajar hari ini sanggup menggunakan wang saku untuk membeli telefon bimbit yang cantik dan istimewa akan kepelbagaian fungsinya. Bagi sesetengah pelajar yang dilahirkan dalam keluarga yang miskin, keinginan mereka untuk memiliki alat canggih ini akan mendorong mereka melakukan kegiatan yang tidak bermoral seperti mencuri, menyalahgunakan dadah, maksiat dan sebagainya.

Selain itu, sesetengah pelajar yang jahil akan selok-belok telefon bimbit akan terdorong membeli telefon bimbit yang berimitasi. Telefon bimbit yang berimitasi akan membahayakan keselamatan diri pelajar. Contohnya, kes letupan akan mudah berlaku dalam keadaan tertentu atau terdedah kepada sinaran frekuensi yang kuat di samping mudah diancam kerosakan.

Seterusnya, pelajar-pelajar akan membazirkan masa dan wang sekiranya mereka terlalu ketagih akan penggunaan telefon bimbit. Sebagai contoh, pelajar perlu menambahkan nilai prabayar yang kian susut nilainya dan membazirkan masa dengan bersembang dengan rakan-rakan. Selain pelajar akan menambahkan bebanan tanggungan ibu bapa dalam kewangan, pelajaran pelajar turut akan terjejas sekali gus mengancam masa depan pelajar.

Kehadiran teknologi moden 3G pada telefon bimbit yang berkamera terkini akan membolehkan para pelajar menghantar gambar-gambar lucah dan aksi keganasan kepada kawan-kawannya. Gejala ini jika tidak ditangani akan meruntuhkan akhlak para pelajar.

Kesimpulannya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar mendatangkan beberapa kesan yang negatif. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam usaha memantau aktiviti anak-anak mereka semasa menggunakan telefon bimbit sama ada di dalam rumah atau di luar rumah.

Disediakan oleh:
Chai Wei Kit, Tingkatan 1 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Sunday, August 22, 2010

BBK Oktober 2010


Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara!

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

(Sumber: DBP, Kuala Lumpur)

Teks Perbahasan

Soalan Contoh
Anda akan menyertai Pertandingan Bahas Ala Parlimen peringkat daerah sebagai pasukan kerajaan. Usul perbahasan tersebut ialah “Pemantauan Pihak Berkuasa Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”.

Sebagai menteri kedua, sediakan teks perbahasan tersebut.

Teks Contoh
Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan Yang Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.

Tuan Yang Dipertua,

Sebagai menteri yang kedua, saya pastinya menolak definisi usul yang telah dipinda oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi iaitu “Pemantauan Pihak Berkuasa Tidak Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”. Jadi saya memohon agar definisi usul itu dipinda semula seperti definisi yang diberikan oleh Perdana Menteri, iaitu “Pemantauan Pihak Berkuasa Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”.

Tuan Yang Dipertua,

Sebelum membentangkan hujah-hujah seterusnya, saya akan membidas hujah yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi. Ketua Pembangkang mengatakan bahawa pemantauan yang kurang berkesan tidak dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Tuan Yang Dipertua,

Sebenarnya, pihak berkuasa mempunyai prosedur atau peraturan yang menjadi garis panduan untuk meluluskan tender kantin kepada pengusaha yang berjaya. Selepas itu, pihak berkuasa hendaklah memantau pengusaha-pengusaha kantin yang sedang menjalankan operasi itu dengan berkesan. Jadi sepatutnya pihak berkuasa hendaklahlah menjalankan tanggungjawab mereka itu dengan berkesan. Sekiranya mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, sudah pasti masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah akan dapat diatasi. Mungkin ada segelintir pihak yang berkuasa tidak menjalankan pemantauan yang berkesan tetapi bukan bermakna semua pihak berkuasa tidak menjalankan pemantauan yang berkesan. Jika berlaku juga sebahagian kecil pihak berkuasa yang tidak menjalankan pemantauan dengan berkesan, suddah pasti mereka juga akan dikenakan tindakan kerana kecuaian. Jadi, perkara pokoknya di sini, pihak berkuasa sepatutnya menjalankan pemantauan dengan berkesan untuk mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Tuan Yang Dipertua,

Pemantauan pihak berkuasa akan dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah, jadi hujah saya yang pertama iaitu berpaksikan frasa, pemeriksaan berkala secara kerap. Selepas tender diberikan kepada pengusaha kantin, pihak berkuasa perlulah membuat pemeriksaan berkala secara kerap terhadap pengusaha kantin tersebut. Pihak berkuasa seperti pegawai-pegawai daripada Jabatan Pelajaran dan Jabatan Kesihatan perlulah membuat pemeriksaan secara mengejut untuk memastikan makanan yang disediakan benar-benar bersih dan selamat untuk dimakan oleh murid-murid. Sampel makanan perlulah diperiksa dan dibuat uji kaji di makmal. Selain itu, pekerja-pekerja yang terlibat untuk menyediakan makan perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya langkah ini dijalankan, sudah pasti keracunan makan dalam kalangan masyarakat tidak akan berlaku.

Tuan Yang Dipertua,

Sekiranya pemeriksaan berkala secara kerap dijalankan sudah pasti pihak pengusaha kantin akan mementingkan kebersihan dalam aspek penyediaan makanan. Oleh itu, pengusaha kantin perlulah memastikan tangan penyedia makanan benar-benar bersih dan premis penyediaan makanan mereka bersih. Selain itu, tukang masak juga perlu memakai topi dan apron di samping memotong kuku mereka agar bersih. Sayur-sayuran atau bahan-bahan yang hendak dimasak perlulah dibersihkan dengan air yang secukupnya di samping tidak mendedahkan makanan kepada lalat atau serangga yang lain. Jika langkah ini diambil oleh pengusaha kantin, sudah tentulah masalah keracunan makanan dapat dielakkan.

Tuan Yang Dipertua,

Hujah saya yang kedua iaitu berpaksikan frasa, mengadakan kursus kepada pengusaha kantin. Pihak berkuasa perlulah mengadakan kursus yang berkaitan dengan aspek kebersihan dalam pengendalian makanan kepada pengusaha-pengusaha kantin sekolah. Melalui kursus tersebut, pengusaha kantin akan mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh demi menjaga kebersihan makanan di kantin. Sudah tentu, mereka akan diberikan pendedahan tentang cara-cara untuk menyediakan makanan yang bersih dan selamat untuk murid-murid sekolah. Pekerja-pekerja kantin itu juga didedahkan dengan aspek kebersihan dan kesihatan yang perlu dititikberatkan dalam penyediaan makanan. Selain itu, mereka perlu memakai pakaian yang sepatutnya semasa memasak makanan dan menjaga kebersihan seperti memastikan kuku mereka dipotong, membasuh tangan sebelum memegang makanan dan sebagainya. Oleh itu, masalah keracunan makanan dalam kalangan murid-murid sekolah akan dapat diatasi.

Tuan Yang Dipertua,

Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong usul ini seratus peratus dan memohon agar usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan suara majoriti.

Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadang.

Sekian, terima kasih.
(Sumber: Cikgu Mohd Khir Kassim)

Saturday, August 21, 2010

Karangan BM Tingkatan Satu

Keselamatan anak-anak perlu diutamakan oleh setiap ibu bapa. Berikan pendapat anda tentang cara-cara yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk meningkatkan keselamatan anak-anak semasa di rumah.

Keselamatan anak-anak amat penting kepada ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengambil daya usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan anak-anak semasa di rumah.

Pertama sekali, ibu bapa mestilah menyimpan barang-barang yang berbahaya seperti pisau, ubat-ubatan, bahan racun dan sebagainya di tempat yang selamat dan jauh daripada anak-anak. Sebenarnya, barang-barang seumpama ini akan melukakan atau mendatangkan marabahaya kepada anak-anak. Ibu bapa juga boleh menasihati anak-anak supaya tidak bermain dengan barang-barang yang berbahaya ini.

Selain itu, ibu bapa juga mestilah senantiasa mengunci pintu pagar dan pintu rumah untuk mengelakkan diri anak-anak daripada tipu muslihat pencuri atau penipu yang senantiasa mencari peluang dan kesempatan untuk melakukan jenayah. Sekiranya, ibu bapa bersikap cuai atau lalai, maka keselamatan anak-anak di rumah akan terancam lebih-lebih lagi kes jenayah kian berleluasa belakangan ini.

Seterusnya, ibu bapa hendaklah pandai memilih alat permainan untuk mengisi masa terluang anak-anak di rumah. Yang penting, barang-barang permainan tersebut perlulah berkualiti tinggi, selamat dan mesra alam.

Kesimpulannya, ibu bapa mesti senantiasa menjaga keselamatan anak-anak di rumah agar kita dapat menghindarkan diri daripada malapetaka atau kemalangan yang tidak diundang bak kata pepatah malang tidak berbau.

Hasil Kerja :
Chai Wei Xin, Tingkatan 1 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Friday, August 20, 2010

Satu Malaysia Menjana Transformasi

Malaysia



MALAYSIA - Tanah Airku!
Jalur Gemilangku berkibaran gah megah di persada aman, makmur dan sejahtera.
Satu Malaysia Menjana Transformasi.

Karangan BM PMR

Perpaduan kaum penting dalam membentuk ‘1 Malaysia’. Berikan pendapat anda tentang cara-cara mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang berdaulat di rantau nusantara. Rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama serta hidup makmur dalam kehidupan sehari-hari. Gagasan Satu Malaysia yang telah diperkenalkan oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia bertujuan untuk mengeratkan tali silaturahim sekali gus merealisasikan perpaduan nasional.

Sebenarnya, terdapat beberapa cara untuk kita mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita. Pertama sekali, kita mestilah berusaha membina semangat kejiranan yang baik dalam kehidupan seharian. Dengan ini, nilai hormat-menghormati antara kaum akan terbentuk dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita. Kita juga selalu dinasihati agar senantiasa bersikap toleransi dan bertolak ansur terhadap amalan dan budaya masyarakat majmuk Malaysia. Rakyat yang hidup aman, makmur dan harmoni akan menghasilkan masyarakat yang progresif.

Selain itu, kita dapat mengeratkan perpaduan kaum dengan melibatkan diri secara proaktif dalam sambutan perayaan utama kaum-kaum di Malaysia. Program rumah terbuka, amalan kunjung-mengunjungi pada musim perayaan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas, usaha sama dalam dunia perniagaan dan lain-lain dapat merapatkan hubungan dan menjauhkan perseteruan. Bersempena dengan musim perayaan juga, kita dapat mengambil peluang untuk mendalami nilai budaya kaum-kaum yang terdapat di Malaysia. Jelasnya, rakyat jelata dapat hidup aman damai dan bersatu padu ke arah menjayakan gagasan Satu Malaysia.

Pada zaman teknologi, kita sepatutnya memanfaatkan penggunaan media massa dan teknologi maklumat dengan sepenuhnya. Media massa dapat membantu menyiarkan rencana dan drama khas untuk menyemaikan perpaduan antara kaum. Kaedah ini dapat menyampaikan mesej yang tepat secara langsung kepada rakyat jelata di segenap pelosok tanah air sekali gus mananamkan semangat perpaduan, muhibah dan jati diri dalam kalangan rakyat.

Seterusnya, pihak kerajaan berperanan penting untuk menyatupadukan rakyat melalui pelbagai perancangan dan program menjurus kepada gagasan Satu Malaysia. Misalnya, dalam bidang pendidikan, guru dapat memainkan peranan yang proaktif untuk menyemaikan nilai-nilai kerjasama dan persefahaman dalam kalangan murid melalui mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Siviks dan Kewarganegaraan, Pendidikan Moral dan Sejarah. Usaha gigih guru juga boleh diterjemahkan dalam aspek kokurikulum yang melibatkan murid-murid dalam kegiatan unit beruniform, kelab atau persatuan dan permainan. Misalnya, penglibatan murid-murid yang beraneka kaum dan agama dalam program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) dan aktiviti perkhemahan perdana pada setiap tahun.

Pendek kata, kita haruslah bersikap sehati sejiwa dalam usaha merealisasikan perpaduan kaum dalam kelangan rakyat Malaysia yang berlainan kaum, agama dan latar belakang kehidupan bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Jelaslah bahawa perpaduan rakyat dapat membangunkan dan memakmurkan bangsa dan negara menjelang Wawasan 2020!

Disediakan oleh: Tan Jia Yi, Tingkatan 3 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

Karangan BM PMR

Budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah anda masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Anda sebagai pustakawan sekolah ingin mencadangkan cara-cara meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.
Tulis cadangan anda itu.

Dewasa ini, amalan membaca dalam kalangan pelajar di sekolah saya masih belum boleh dibanggakan. Kebanyakan pelajar beranggapan bahawa membaca itu hanya sekadar membuang masa dan membosankan. Sebenarnya, amalan membaca buku banyak membawa manfaat kepada pelajar. Melalui pembacaan, penguasaan bahasa dan ilmu seseorang akan bertambah bak kata pepatah membaca jambatan ilmu. Kini, terdapat banyak buku yang telah diterbitkan dalam pelbagai bahasa.

Pertama sekali, sebagai pustakawan, saya perlu menggalakkan pelajar-pelajar mengamalkan tabiat membaca. Ibu bapa turut berperanan untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca. Ibu bapa harus menjadi teladan yang baik kepada mereka. Mereka wajarlah membaca surat khabar, majalah, buku cerita, jurnal dan lain-lain. Ibu bapa juga boleh mengadakan perpustakaan mini atau sudut bacaan di dalam rumah mereka untuk mendedahkan anak mereka dengan persekitaran membaca. Tabiat membaca harus dipupuk dari kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Di samping itu, guru juga memainkan peranan dalam usaha memupuk amalan yang berfaedah ini. Guru-guru boleh menjalankan pelbagai aktiviti pengajaran berdasarkan bahan bacaan ataupun menganjurkan pertandingan yang dapat merangsang minda pelajar seperti pertandingan membaca, bercerita, bersyarah dan lain-lain. Pihak sekolah haruslah mengadakan kempen kesedaran untuk menggalakkan pelajar untuk membaca pada masa lapang. Ceramah juga harus diberikan kepada pelajar untuk menyedarkan mereka dari semasa ke semasa. Dengan ini, pelajar-pelajar digalakkan untuk meminjam buku di samping memupuk amalan membaca di hati sanubari mereka.

Seterusnya, Kementerian Pelajaran Malaysia juga memainkan peranan penting untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam yang berasaskan budaya membaca amat wajar dilaksanakan secara proaktif di sekolah. Program ini akan membolehkan setiap pelajar membaca dan meluangkan masa lapang mereka di pusat sumber sekolah. Program ini bukan sahaja dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan pelajar, malahan dapat memberikan peluang dan motivasi kepada pelajar untuk berpidato atau bercerita di atas pentas sekali gus melahirkan keyakinan diri.

Akhirulkalam, amalan membaca dalam kalangan pelajar memerlukan kerjasama dan iltizam daripada semua pihak. Oleh itu, marilah kita berganding bahu untuk melahirkan warga pelajar yang rajin membaca kerana remaja pada hari ini merupakan bakal pemimpin yang berwawasan pada masa hadapan.

Disediakan oleh,
Leong Siew Hua, Tingkatan 3, SMK Katholik, 35900 Tg. Malim.

Thursday, August 19, 2010

Sajak - Taman Nusa Bangsa























TAMAN NUSA BANGSA

Syukur kepada Tuhan
Aku, generasi merdeka
Lahir di taman indah pusaka ibunda
Dapat kuhirup permai udara bening ceria
Di tamanmu ada sesungai budi
Di tamanmu ada fauna & flora bahagia
Di tamanmu ada sawah & denai damai
Di tamanmu ada bebunga rona cinta
Di tamanmu
ada leladang sejahtera
ada kekebun bangsa
anak-anak watan
aneka agama, budaya & keturunan
sandar-menyandar mempertahankan kedaulatan bangsa
bantu-membantu memperkasakan citra nusa
di pentas buana antarabangsa
putera puteri bangsa
di tamanmu, tanah ibunda
adalah bebunga mekar mewangi semerbak harum
di taman wawasan!

Chai Loon Guan
ANTOLOGI
- PELANGI KEAKRABAN (1997)
- BACALAH DALAM BAHASAMU (2000)
- DI PADANG KEHIDUPAN (2008)

Landskap Sg. Bill - Tg.Malim




























Apa khabar, Sungai Bill yang sudah hampir empat dasawarsa kutinggalkan dalam album nostalgia?
(Sumber: David WF Chan)

Tuesday, August 17, 2010

Bicara Cendekia

MERDEKA!
























Sayembara Menulis dan Mendeklamasi Sajak bersempena dengan Bulan Kemerdekaan 2010 - SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.
Tema: Patriotisme - Satu Malaysia Menjana Transformasi
Karya: Sajak
Bahasa: Bahasa Melayu
Tarikh Tutup: 25 Ogos 2010 (Rabu)
Selamat berkarya dan bersayembara!

Sunday, August 15, 2010

Sajak - Warkah Buat Anak









Warkah Buat Anak

Anak,
Benar, bukan kaupinta untuk dilahirkan
Dalam tangisan
Sedihnya, kesempatan telah dirampas rakus
Nafas alam sarwajagat ini bukan rezekimu
Akhirnya, titis-titis tangisanmu
bernoktah di pintu sakaratulmaut

- busuk mual longgokan sampah
- lalu lalang kaki lima
- balutan surat khabar lama
- hanyir hancing longkang

saksi dan bukti
ibu bapamu yang sesat
ibu bapamu yang ralat
sadis iblis
haiwan bertopengkan insan
insan berhatikan syaitan!

Chai Loon Guan,
15 Ogos 2010.

Saturday, August 14, 2010

Sajak - Ceritera Rindu


















Ceritera Rindu

Kusemaikan rinduku
Di rimba kasih
Agar merdu alam
Beralunan ceria
Sesyahdu lelagu
Flora fauna kehidupan

Kulabuhkan rinduku
Di laut cinta
Agar ceritera
Sukaku dukaku
Bercumbu di gigi pantai
Dan, berdarmawisatalah ikan-ikan
Berenang-renang di lubuk kenangan

Kupulihara rinduku
Di kebun bahagia
Kusemaikan rinduku
Di kebun cinta
Agar kasihku mewangi
Di taman-Nya
Agar cintaku berbunga
Di buana-Nya!

Chai Loon Guan,
8 Ogos 2010.

Confucius























Confucius @ K'ung-fu-tzu, (551 BCE – 479 BCE) was the greatest Chinese thinker and philosopher. "Confucius" was the Latinised name given by the Italian Jesuit Matteo Ricci.

Confucius' teachings have been developed into philosophy known as Confucianism. It is system of moral, social, political, and religious thought, as recordeded in the Analects of Confucius, which was compiled many years after his death.

The philosophy stresses traits like rén (humanity), zhèngmíng (rectification of names), zhōng (loyalty), xiào (filial piety), and lǐ (ritual). His teachings also focuses on personal and governmental morality, correctness of social relationships, justice and sincerity.

Master Kung attempted to revive the perfect virtue of Huaxia (Chinese civilization) and the classical characteristics of the Western Zhou Dynasty to create a great, harmonious and humanistic society.

(Sumber: Wikipedia)

Friday, August 13, 2010

Bicara Cendekia

Satu Malaysia


















Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Malaysia!

Thursday, August 12, 2010

Kepulauan Spartly














Pulau idaman, pulau impian atau pulau rebutan?

Wednesday, August 11, 2010

Hari Anugerah Gemilang MES 2010
















Tetamu Kehormat Majlis Hari Anugerah Gemilang 2010, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim pada 8 Ogos 2010 (Ahad) - Yang Berbahagia Dr. Hamizer bin Mohd Sukor, Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands merangkap Presiden Methodist English School Alumni (MESA).

Karangan BM Tingkatan 1

Hari Anugerah Cemerlang MES 2010

Pada hari Ahad bersamaan 8 Ogos 2010 yang lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan telah mengadakan Majlis Hari Anugerah Gemilang 2010. Majlis itu bermula pada pukul 8.30 pagi dengan kehadiran para ibu bapa, murid-murid dan tetamu jemputan ke majlis ini.

Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberikan penghargaan kepada murid-murid yang telah mencapai prestasi cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan kesahsiahan diri. Selain itu, majlis gemilang ini diharapkan dapat memberikan motivasi kepada murid-murid yang lain supaya terus cemerlang dan gemilang dalam pelbagai bidang pendidikan di sekolah.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan doa dan ucapan alu-aluan oleh Pengetua, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Tanjong Malim. Tepat pada pukul 9.30 pagi, berlangsunglah upacara perasmian yang telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dr. Hamizer bin Mohd Sukor, Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands merangkap Presiden MESA. Dalam upacara tersebut, beliau turut berkongsi pengalaman dan menasihati ibu bapa supaya lebih prihatin akan pendidikan anak-anak.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan persembahan belota dan koir sekolah selain persembahan pasukan pacik, kumpulan tepak sirih, seni pertahanan diri, barisan dayang dan pahlawan, dan caklempong MES. Para tetamu terhibur dan teruja oleh persembahan tersebut.

Acara kemuncak ialah upacara penyampaian hadiah dan anugerah kepada murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan kesahsiahan diri. Majlis tersebut berlangsung dengan lancar dan meriah sekali . Para jemputan dan tetamu turut dijemput untuk menikmati juadah sejurus majlis ini berakhir pada pukul 12 tengah hari . Sesungguhnya, majlis Hari Anugerah Gemilang 2010 ini dapat mendorong minat murid-murid agar bertindak lebih cemerlang dan gemilang pada tahun-tahun yang akan datang. Syabas dan tahniah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim! MES Boleh!

Disediakan oleh:
Lieu Zi Shan, 1 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Monday, August 9, 2010

Sajak - Warkah Merdeka Anak Watan




















WARKAH MERDEKA ANAK WATAN
I
Izinkan aku, pengembara sepi mencari wewarna sejarah silamku
Pada sketsa tanah pusaka moyang
Antara kota Lembah Hwang He dan Yang Tzi-Kiang
Kehadiranmu, TIAN
Mencatatkan dinasti silih berganti
Fenomena alam – banjir, kemarau & gempa bumi
Sandiwara demi sandiwara
Menzahirkan derita peperangan & hina-dina kemiskinan
Di benua tamadun yang tua
Menurut Tao, bumi dan alam semesta saling berharmoni
Antara keseimbangan yin dan yang
Daripada Yan-Huang, Feng-Yan dan Miao-Man
Lahirlah rupa bangsa - TIONGHUA namanya!
II
Nenda, cucu tidak lupa akan kosmologi & worldview Cina
- syurga di atas
- bumi di bawah
semesta bipolar berdasarkan feng shui
dan elemen Hsing, yakni air, api, logam, kayu & bumi
konfusianisme dan analects agungnya
mendedahkan setiap waris insan
dengan ren , li , dan xiao
kata Mencius, perlu kita hayati yi dan zhi
seperti sabda pendeta bitara:
- Penderitaan berpunca daripada hawa nafsu
- Hawa nafsu pencetus masalah manusia
- Nafsu dapat diatasi melalui Jalan Tengah
elakkan tatalaku ekstrim penuh hawa nafsu:
berpandangan betul
berpemikiran betul
berucapan betul
berperlakuan betul
berkehidupan betul
berusaha betul
berperingatan betul, dan
bertafakur betul!
III
Nenda, izinkan cucu membuka jendela silam
Dunia penerokaan Fah Hsien dan I Tsing
Pelayaran armada Laksamana Cheng He ke nusantara, Arab & Afrika
Perkahwinan Sultan Mansur Syah-Puteri Hang Li Po
Merealisasikan bukti paleontologi dan arkeologi
Sinanthropus pekinensis dan Pithecanthropus javanicus
hidup berevolusi dalam sistem ekologi dua belas alaf
Weltanschauung dan ketamadunan bangsamu tersebar luas di jagat Nusantara!
Nenda, menjelang abad ke-19 dan 20
Tamadun agungmu dirobek rakus imperialisme Barat
Dinasti Qing dilanda kebobrokan dan anarki
memunculkan Dr.Sun Yat Sen & Mao Zedong
Nasionalisme bertembung dengan komunisme
Bumimu kembali merah berdarah – luka parah bernanah
Bersemarak api peperangan
Bersketsa rerona penderitaan di kanvas kehidupan
Sebenarnya,
- rakyat mahu nasi bukan peluru
- rakyat mahu pakaian bukan kereta kebal
- rakyat mahu kemakmuran bukan kebuluran
- rakyat mahu keamanan bukan kesengsaraan
- rakyat mahu kebebasan bukan kematian

Dalam keterpaksaan dan keberanian, seperti ribuan pendatang
Papa menguatkan tekad membina azam
Meninggalkan yang tersayang, daerah Engchun provinsi Hokkien
Mengharung ombak gelombang cabaran
Mendepani onak duri dugaan
demi nasi sesuap air seteguk di perantauan
tanah perantau yang menjanjikan rezeki dan peluang
Tanah Melayu, suvarnabhumi (bumi emas)
Tanah Melayu, suvarnadvipa (Semenanjung Emas)
Lubuk kemakmuran yang melimpah ruah!

Dari pura Singa, mencari peta Malaya, papa
Akhirnya Tanjung Mua’alim ditemukan di pinggir Titiwangsa
Tanjung Jambu – tanjung di antara dua kuala
Sungai Bernam – Sungai Langkih
Didiami Melayu, Bugis, Rawa, India dan Cina
Tanahnya subur menghijau
Tanahnya kaya akan bijih
Kehadiran Loke Yew (1918) sebelum Inggeris
Memakmurkan ekonomi peribumi
Di sinilah, benih harapan tersemai
peluh usaha membasahi kudrat
Di sinilah, O Tg.Mua’alim, tangisku berlagu
Dengan titipan azam yang tinggi menggunung
Dan suburnya tanah semenanjung
Papa seperti ribuan pendatang
Berubah daripada hua qiao kepada hua yi
Mula mencipta mimpi
Mengumpul dana harta sebelum pulang
Jadilah papa - musafir rindu yang insaf
Jadilah papa – musafir rindu yang berwawasan
Revolusi 1911, penjajahan Jepun (1933-37)
dan tumbangnya Kuomintang
di tangan komunisme Mao (1949)
merintis jalan buat papa dan ribuan pendatang
menjadi pengembara setia ke tanah seberang
bergelar hua yi – pemastautin tetap
di tanah bertuah, Tanah Melayu
di tanah mewah, Malaya.
bagi papa
di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!
IV
Masa emas melebarkan sayapnya
Papa mengutipnya tanpa sia-sia
Bertemankan mutiara pengalaman
menabur benih gigihlah papa
Membina benteng tabahlah papa
Yang baik dijadikan teladan
Yang buruk dijadikan sempadan
Siang malam adalah musim-musim berharga buat papa
- memperteguh azam
- memperkuat usaha
- memperdalam matang
- memperluas mahir

Anak ini tahu, papa
Betapa perit pahitnya hidup
Betapa azab sengsaranya hidup
Era Jepun bermaharajalela
Gelap gelita dunia
jadi pelarian papa
Diburu musuh dek sengketa dendam di tanah ibunda
Ketika itulah longgokan wang kertas persis sampah
melemaslesukan ekonomi nusa
mencekaltabahkan bangsa
Sebenar-benarnya, papa
Zaman ubi kayu mengajar kita

- erti keamanan
- erti kemakmuran
- erti kemerdekaan
- erti kedaulatan

dalam pelarian sisa waktu
bermaharajalelalah MPAJA, Bintang Tiga & PKM
mencetuskan huru-hara
mengharu-birukan keamanan menyemarakkan keganasan
memporak-perandakan kemakmuran menaburkan peluru kezaliman
Ribuan insan menjadi korban pertarungan
Dunia kuasa dan ideologi buana

Memang benar kata nenda
Kemanusiaan yang ternoda
merelakan manusia mencabul dan membunuh:
- nafsu berwajah kuasa
- nafsu berwajah adicita
pabila bom atom “Little Boy” menjadi cendawan
mencakar luka dada cakerawala Hiroshima
membakar hangus bumi Nagasaki
lidah perang kembali bisu di Tanah Melayu
kembali Inggeris mencengkam, mencakar & mencalar
hati nurani anak-anak watan
Dan, ketika itulah mama sekeluarga
Meredah samudera Laut China
bermigrasi ke tanah seberang
dapat bersatu papa di tanah Semenanjung!

1948 – 60, haiwan buas PKM
menggila & mengganas
di rimba, di kota, di desa
pintu darurat dibuka
hitam kawasan diputihkan
hadir wira dan srikandi nusa
Cekal kental menegakkan panji-panji kedaulatan
Berarak juang demi kemerdekaan nusa bangsa
Dan Hotel Stesen menjadi saksi
Malayan Union ditalkinkan!
V
31 Ogos 1957, suara-suara merdeka
bergema di cakerawala nusa
Union Jack diturunkan
berkibaran Jalur Gemilang megah mewarnai lelangit harapan
Berkat jus soli dan kontrak sosial
Papa dan keluarga sah bergelar warga
Warga nusa bangsa Persekutuan Tanah Melayu!

- Merdeka, bebas daripada belenggu penjajah!
- Merdeka, bebas daripada penjara derita!
- Merdeka, bebas daripada korpus sengketa!
- Merdeka, bersekutu bertambah mutu!
- Merdeka, bersatu bertambah maju!


Rumah kemerdekaan kami
papa isi dengan ilmu kemahiran
Meskipun papa buta tulis & baca!
kami membesar dewasa dalam kebahagiaan
Aku tahu papa, iltizam tanpa putus asa
Adalah nafas kami
Kemiskinan sebenarnya
Adalah lauk pauk untuk kami hidup cekal dan tabah
Ketika lapar, kata mama
biskut kering air bujang
teman setia kehidupan
Benarlah kata nenda
Syurga di telapak kaki mama
Berdekad-dekad lamanya, mama seperti papa
Gigih menganyam cekal sabar
Tekun tabah menjahit kehidupan
Sebelum berangkat pulang menemui-Mu, Tuhan!

Bagaikan si anak kecil
aku merangkak bertatih-tatih
sebelum dapat berdiri tabah
dan berlari megah
Berkat doa papa & mama
Jadilah aku seorang munsyi
berbakti ilmu di desa pedalaman Kampung Air Papan
sebuah pekan bernama Tualang
Sebelum kembali ke tanah kelahiran
Pengalaman demi pengalaman
dapat kugaulkan menjadi resipi kedewasaan
harum semerbak di taman kehidupan
Cinta pun berputik
Kasih pun bertaut
Bersatulah adam Tg.Jambu
Dengan hawa Cik Siti Wan Kembang
Meniti perjalanan yang panjang

Memang benar kata mama
Alam rumah tangga
adalah gelanggang kehidupan
Yang menuntut kesabaran dalam cawan pancaroba
Adalah kebun kehidupan
Yang memohon kegigihan dalam pinggan mangkuk kepayahan
Adalah rumah kehidupan
Yang memerlukan kecekalan dalam periuk belangga dugaan
Sebelum lestari kita menghirup manis madu bahagia kehidupan!
Dengan izin-Nya, mama
Lahirlah putera-puteraku
- Wuang Zhuang, Shen & Xing
Meneruskan kesinambungan zuriat dan salasilah keluarga
Di taman nusa bangsa turun-temurun!
VI
Papa, zaman sudah berubah
Waris generasi kini
harus lebih berani mencorakwarnakan sketsa masa depan
Akar tradisi
- Yang merugikan
- Yang merumitkan
- Yang memundurkan
- Yang menyesatkan
Harus aku tinggalkan di arkib nostalgia
Namun percayalah, bahasa & budaya yang membina
Tetap terpelihara tetap terjaga
Di rumah bahagia
Di rumah bangga

Mama,
kasih dan iltizammu dekad-berdekad
Akan kekal tersimpan di arkib kenangan
Petua nasihatmu akan kukenang zaman-berzaman
Izinkan aku, mengorak langkah paradigma
Tanpa mengorbankan nilai dan etika
Moral dan agama
Agar cucu-cicitmu tidak mudah tewas
Di perkampungan global tanpa sempadan
Di buana ICT yang kian berperanan
Di lautan sains & teknologi yang kian
bergelombang kencang!

Mama dan papaku
antara warisan sejarah dan realiti zaman
Izinkan aku mencari jati diri
Di taman nusa bangsaku
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Usah keliru
aku lebih petah bermadah
dalam bahasa Melayu
Usah keliru
Aku lebih kenal akan tanah airku
Tanpa perlu tersasar terpesong
Tanpa perlu tergelincir terjelepok
di daratan lupa tanpa jati diri
di daratan alpa tanpa maruah diri
Maaf
aku perlu mencari jati diri sebenarnya
dalam citra patriotisme anak merdeka
anak nusa yang berwawasan
anak bangsa yang berpendirian
Tanpa dibelenggu warisan silam
Tanpa dibelenggu gah megah penjajah
kata papa menjelang merdekamu, ibu pertiwi:
Anakku,
Tanah ini tanah airmu
Tanah ini tanah makmurmu
Tanah ini ibu pertiwimu
Jadilah anak watan yang berjasa kepada bangsa
Jadilah anak watan yang berbudi kepada nusa!

Sebenarnya, mama
Sudah sekian lama
Aku terkurung
Antara kepompong akar tradisi dan jati diri anak watan
Dan kini, lahirlah aku
anak merdeka di taman nusa bangsa
Malaysia, tanah airku
Malaysia, tanah tumpah darahku
Dirgahayu, Malaysiaku!
Malaysiaku, gemilang!

CHAI LOON GUAN
2007

(Sumber: Antologi Sajak - Di Padang Kehidupan, DBP)

Sajak - Merdeka, Tanah Airku




















MERDEKA, TANAH AIRKU
I
Merdeka tanah airku
Bukan belas kasihan
Penjajah yang rakus dan tamak haloba
Kemerdekaan ini atas nama perjuangan sebenar-benarnya
Para wira, serikandi dan negarawan nusa bangsa yang berani tabah gagah perkasa merealisasikan wawasan merdeka di petak-petak percaturan kuasa penjajah
Keringat peluh nenek moyang berdekad-dekad menegakkan panji-panji kebebasan
Perit jerih rakyat marhaen aneka ras membangunkan mahligai demokrasi keharmonian dan kemajuan
Di petak-petak sawah
Di ladang-ladang getah
Di lombong-lombong timah
Di serata ceruk rantau kota dan desa
II
Merdeka, tanah airku
Bukan percuma sebenar-benarnya
Kemerdekaan ini perlu dibayar dengan air mata kemiskinan
Kemerdekaan ini perlu ditebus dengan darah merah perjuangan dan penderitaan
Kemerdekaan ini perlu diurusniagakan dengan hasil mahsul iltizam dan amanah ketanggungjawaban
III
Merdeka, tanah airku
Bererti:
Kita bebas daripada minda budaya penjajah
Kita bebas daripada politik pecah dan perintah penjajah
Merdeka, tanah airku
Bererti:
Kita bangsa yang utuh merdeka
Kita bangsa yang kukuh setia ceria
Mendaulatkan bahasa nusa
Menjunjung lunas-lunas Rukun Negara
Memartabatkan maruah nusa bangsa di persada antarabangsa
Merdeka, tanah airku
Sebenar-benarnya merdeka kita
daripada belenggu saki baki sisa-sisa penjajah!

Chai Loon Guan

(Mingguan Malaysia - 5 September 1999)

Ucapan Perpisahan

























Ucapan perpisahan daripada guru/pensyarah pelatih, En.Darius Beasly, Cik Stephanie Hennigan dan Cik Lauren Ritzler dari Universiti Michigan State, Amerika Syarikat di hadapan murid-murid dan guru-guru setelah tamat menjalani latihan, kajian dan pemerhatian pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris selama sebulan di SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya tumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

9 OGOS 2010

(Laporan: Chai Loon Guan)

Saturday, August 7, 2010

Tokoh Murid Gemilang MES 2009


















BIODATA TOKOH MURID GEMILANG SMK METHODIST, TG.MALIM 2009:

VIKHNAPRIYA A/P GANESAN – Puteri MES dilahirkan di Miri, Sarawak pada 24 Julai 1992 sebagai anak sulung daripada 3 orang adik-beradik kepada pasangan guru, Encik Ganesan a/l Suppiah dan Puan Dewi a/p Maniam.

Sejak di bangku sekolah rendah lagi, Vikhnapriya a/p Ganesan cukup cemerlang gemilang dan terbilang dalam bidang akademik dan kokurikulum sehingga membolehkan beliau memperoleh keputusan cemerlang 5A (UPSR), 7A(PMR) dan 12A (11A+, 1A) dalam SPM 2009.

Vikhnapriya a/p Ganesan juga pernah menjadi Pengerusi Kelab Biologi dan Kelab Permainan Dalaman, Naib Pengerusi Kelab Penulisan Kreatif dan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Setiausaha Kelab Fizik. Keterampilan diri Vikhnapriya a/p Ganesan cukup terserlah apabila beliau mewakili sekolah dan memenangi pelbagai pertandingan sama ada di peringkat daerah, negeri Perak, Malaysia dan di arena antarabangsa.

Antara kejayaan Vikhnapriya a/p Ganesan ialah Naib Johan World Robot Olympiad 2008 (Kategori Terbuka) di Yokohama, Jepun, Naib Johan Pertandingan Robotik NIC Kebangsaan 2008 (Kategori Anugerah Inovatif Terbaik), Tokoh Nilam Negeri Perak 2008, Johan Mighty Minds Challenge Negeri Perak 2009, Pemenang Sagu Hati Pertandingan Esei Kepenggunaan Bahasa Inggeris Kebangsaan 2006, Johan Public Speaking Daerah 2009, Johan Koir Daerah 2006 – 2007 dan Johan Pertandingan Bahas Ala Parlimen Bahasa Inggeris 2009 di samping memperoleh pangkat Koperal dalam unit beruniform, Bulan Sabit Merah Malaysia Batang Padang 2009.

Sebagai Timbalan Ketua Pengawas Sekolah, Vikhnapriya a/p Ganesan telah berjaya mengungguli beberapa anugerah, yakni Anugerah Tokoh Murid/Tokoh Kokurikulum Akademik/Tokoh Nilam Sekolah (2004 – 2008), Anugerah Tokoh Kokurikulum Akademik Sekolah (2009) dan Anugerah Tokoh Nilam Daerah Batang Padang dan Negeri Perak (2008).

Sesuai dengan prinsip hidupnya, yakni ‘Di pertengahan rimba kesukaran, hadirnya peluang keemasan”, Vikhnapriya a/p Ganesan mempunyai hobi membaca dan meminati nasi tomato yang berlaukkan ayam merah masakan ibu. Beliau bercita-cita untuk menjadi seorang doktor pakar yang dapat mencurahkan jasa bakti kepada agama, bangsa dan negara yang tercinta. Syabas dan tahniah kepada Vikhnapriya a/p Ganesan!

(Skrip: Chai Loon Guan)

Hari Anugerah Gemilang MES 2010






















Hari Anugerah Gemilang MES 2010 telah selamat disempurnakan dengan rasminya oleh Yang Berbahagia Dr. Hamizer b. Mohd Sukor, Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands merangkap Presiden Methodist English School Alumni (MESA) pada hari Ahad, bersamaan 8 OGOS 2010.

Antara tetamu kehormat yang hadir untuk menyampaikan anugerah kepada murid-murid MES pada hari tersebut ialah YBhg. Prof.Madya Dr. Hj. Ahmad Hatim b. Hj. Sulaiman, Perunding Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (Alumni MES), Yg. Berusaha En. Mohamad Yusuf b. Babjan, Yang Dipertua PIBG, Yg.Dihormati En. Goh Choong Seng, PPT, Ketua MCA Cawangan Tg. Malim II (Alumni MES), dan Yg. Dihormati En. David Chan Wai Fong, Perunding Hartanah Kuala Lumpur (Alumni MES).

Selain penyampaian lima anugerah utama, majlis pada pagi itu turut diserikan oleh perarakan pasukan pacik, kumpulan tepak sirih, seni pertahanan diri, barisan dayang dan pahlawan, belota, koir dan caklempong MES.

Terima kasih daun keladi buat semua warga MES yang telah bekerjasama dan bertungkus lumus untuk merealisasikan Majlis Hari Anugerah Gemilang MES 2010.

(Teks dan foto: Chai Loon Guan)

Friday, August 6, 2010

Sketsa I - Penari























Karya:
Chai Wuang Shen, Pendidikan Seni Visual, Institut Pendidikan Guru Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kelantan Darul Naim.

Karangan BM PMR 2010

Tajuk:
Kebersihan asas kesihatan. Huraikan cara-cara untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan.

“Badan sihat, otak cerdas” demikianlah frasa yang sering diungkapkan oleh orang ramai. Jika masyarakat tidak menjaga kebersihan, maka kesihatan mereka akan mudah terjejas. Jelaslah bahawa kesihatan amatlah penting kepada kehidupan dan wajar kita berikan keutamaan. Kita haruslah melakukan pelbagai aktiviti atau mengamalkan beberapa langkah untuk mencapai tahap kebersihan dan kesihatan yang memuaskan.

Langkah pertama yang perlu kita amalkan ialah usaha penjagaan kebersihan alam sekitar. Kita haruslah membuang sampah ke dalam tong sampah dan memastikan agar sampah sarap tidak berselerakan di merata-rata tempat. Sekiranya sampah sarap tidak diuruskan dengan baik, maka risiko kita dijangkiti penyakit yang dibawa oleh nyamuk, lalat atau tikus amatlah tinggi. Oleh itu, sampah sarap di sekitar halaman rumah mestilah dibersihkan untuk mengelakkan pelbagai penyakit membelenggu kehidupan kita.

Selain itu, pengambilan makanan yang bersih juga penting. Makanan yang bersih dan berzat akan menyihatkan badan kita. Kaedah penyimpanan makanan yang kondusif dan bersih dapat menjauhkan makanan kita daripada tercemar. Makanan perlu ditutup dengan tudung saji atau disimpan di dalam peti ais untuk menjamin kesegaran dan kualitinya. Jelaslah bahawa sebagai konsumer atau pengguna yang bijak, kita mestilah mengamalkan tabiat pemakanan yang bersih di samping menjaga kebersihan diri dan tempat sekeliling kita dari semasa ke semasa.

Akhir sekali, kerajaan juga perlu menitikberatkan mutu kesihatan rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan seperti klinik rawatan bergerak di kawasan pedalaman di samping mengadakan kempen kesedaran kepada orang ramai melalui media massa seperti televisyen, radio, majalah, akhbar dan sebagainya supaya setiap masyarakat sama ada di bandar atau di desa dapat menguruskan kebersihan dan kesihatan diri dan keluarga masing-masing dengan baik.

Pendek kata, setiap rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan kesihatan pada setiap masa oleh sebab kesihatan merupakan nur yang bakal menyinari kebahagiaan keluarga, khasnya dan masyarakat Malaysia seluruhnya.

Disediakan oleh:
Fong Wei Yee, Tingkatan 3 Cekal.

Thursday, August 5, 2010

Hari Anugerah Gemilang MES 2010

















Berita Mutakhir:
Hari Anugerah Gemilang SMK Methodist (MES), 35900 Tg. Malim 2010.
Tarikh: 8 OGOS 2010 (Ahad)
Tempat: Dewan MES
Masa: 8.30 pagi
Tetamu Kehormat: Yg.Berbahagia Dr. Hamizer b. Mohd Sukor, Pensyarah Kanan, Institut Aminuddin Baki Genting Highlands merangkap Presiden MESA.
"Selamat Datang!"

Tuesday, August 3, 2010

Sajak - Kelekatu

KELEKATU

Seperti manusia
Aku
Kelekatu
Gila dibelenggu
Biru lampu
Palsu

Seperti manusia
Aku
Kelekatu
Gila diwarnai
Ungu lampu
Malu

Gila kelekatu
Dalam lampu
Kegilaan
Tersilau dek kebobrokan
Iman
Terpukau dek kehaiwanan
insan!

Chai Loon Guan,
Panitia Bahasa Melayu,
SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

Pasukan Koir Lelagu Patriotik MES 2010




















Syabas dan tahniah kepada Pasukan Koir Lelagu Patriotik MES kerana buat pertama kali dalam sejarah sekolah muncul tempat ke-4 dan memenangi hadiah wang bernilai RM 1,000 dalam Pertandingan Koir Lelagu Patriotik Kebangsaan 2010 di Negeri Sembilan Darul Khusus pada 31 Julai - 1 Ogos 2010!

Monday, August 2, 2010

Gaya Bahasa dalam Puisi SN Datuk Dr. Usman Awang
























Gaya Bahasa dalam Puisi SN Datuk Dr.Usman Awang
Oleh: Chai Loon Guan

Pendahuluan
Pada umumnya, bahasa merupakan satu daripada wahana perhubungan dan komunikasi antara manusia. Sebagai satu keperluan sosial, bahasa memang menjadi alat penting dalam soal menyampaikan maksud. Bahasa lazimnya diertikan sebagai satu sistem lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh manusia sebagai alat untuk berhubung, manakala gaya bahasa pula bermaksud cara atau bentuk bahasa yang digunakan dalam pertuturan atau penulisan untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu.

Dalam konteks puisi, bahasa adalah alat yang digunakan oleh penyair untuk memindahkan pengalaman jiwa, iaitu pemikiran serta perasaannya ke dalam puisi. Bahasa dalam sesebuah puisi perlu juga memperlihatkan kehalusan, kesempurnaan dan kemuliaan pembentukan serta penyusunannya sebagai syarat-syarat keindahan bahasa sastera, khususnya puisi untuk menimbulkan kepelbagaian kesan kepada audien pembaca atau pendengarnya.

Makalah ini akan menganalisis aspek gaya bahasa SN Datuk Dr. Usman Awang (Allahyarham) atau Tongkat Warrant dalam sajak-sajak beliau yang boleh dibahagikan kepada tiga tahap, iaitu:-
• Tahap 40-an hingga 50-an (Antologi Gelombang: 1961)
• Tahap 60-an (Antologi Duri & Api: 1967)
• Tahap 70-an hingga 80-an (Antologi Salam Benua: 1982)

Definisi Gaya
Menurut Za’ba (1962), “ Gaya bahasa itu ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataannya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya, cara susunan atau bentuk peribahasanya.”

Hal ini ditegaskan lagi oleh Nik Safiah Karim (1988) yang menganggap gaya sebagai cara mengungkapkan bahasa, iaitu cara bertutur, menulis dan seterusnya. Gaya bahasa lazimnya melibatkan aspek-aspek kesesuaian penggunaan perkataan, frasa, ayat, dan ungkapan tertentu.

Watkin et.al (1865) pula menyebut: “Style is the manner of writing, the way the writer expresses his thoughts in language. Effective writing always involves the choice of words within sentences which basically express the same idea may seem vastle difference is usually due too style… The pattern and rhythm of your sentences should be varied, pleasing and appropriate to your subject matter and your own personality.”

Secara globalnya, gaya boleh saja berdasarkan kebolehan individu mengungkapkan kata-kata, berdasarkan masa (gaya lama, gaya klasik, dan gaya moden), medium atau bahasa pengantar (gaya Melayu, gaya Inggeris, dan gaya Arab), berdasarkan subjek atau bidang, misalnya falsafah, ilmiah, gaya popular atau pilihan dan gaya deduktif atau pengajaran dan seterusnya gaya berdasarkan tujuan.

Analisis Gaya Bahasa Puisi Usman Awang
Dalam usaha menganalisis gaya bahasa secara terperinci,sajak-sajak Usman Awang boleh dibahagikan kepada tiga tahap atau era, iaitu:-
• Analisis Gaya Bahasa sajak-sajak Usman Awang pada Era 40-an hingga 50-an.
• Analisis Gaya Bahasa sajak-sajak Usman Awang pada Era 60-an.
• Analisis Gaya Bahasa sajak-sajak Usman Awang pada Era 70-an dan 80-an.

Analisis Gaya Bahasa Puisi Usman Awang Era 40-an hingga 50-an
Sajak-sajak Usman Awang pada akhir tahun-tahun 40-an dan awal tahun 50-an (Antologi Gelombang: 1961) dengan jelas sekali memperdengarkan nada, suara, irama dan pergerakan baris yang mendengungkan setia dan jujur sifat serta peribadi puisi Melayu lama kembali.

Yang sering diungkapkan oleh Usman Awang ialah unsur-unsur bentuk dan di dalam bentuk itu terangkum bunyi dan sajak-sajak pantun serta syair. Oleh itu, dalam sajak-sajak Jiwa Hamba, Gadis Suci dan Kami Tetap Bekerja, beberapa unsur bentuk (walaupun biasanya tidak seluruhnya) dikutip dan diadunkan kembali. Contohnya, dalam sajak Jiwa Hamba, penyair mengambil bentuk quatrain dan memberikan penekanan terhadap bunyi seperti yang terdapat pada rangkap pertama, iaitu:-

Termenung seketika sunyi sejenak,
Kosong dijiwa tiada penghuni,
Hidup terasa diperbudak-budak,
Hanya suara melambung tinggi.

(Jiwa Hamba: 1949)

Selain bentuknya yang bercorak Puisi Melayu Lama, yakni empat baris serangkap (quatrain), gaya Usman banyak dipengaruhi oleh gaya pantun, iaitu hujung rima setiap baris berentak a, b, a, b. Oleh sebab bentuknya seperti pantun, maka rentak yang terhasil daripadanya pun berentak pantun. Usman ternyata berhasrat untuk mengekalkan gaya tradisi melalui sajak ini. Gaya inilah yang telah menguasai keseluruhan kegiatannya, biarpun kita kemudiannya dapat menatap beberapa banyak perubahan.
Kosa-kosa kata ‘sakti’, ‘berapi’, ‘Melaka’ dan ‘merdeka’ yang turut terungkap di dalam rangkap 4 sajak yang sama jelas memperlihatkan gaya perlambangan diksi dalam sajak-sajak Usman pada era 40-an hingga 50-an untuk menimbulkan semangat nasionalisme dan cita-cita untuk memperjuangkan kebebasan masyarakat, kemanusiaan dan kemerdekaan pada era tersebut.

Contoh:
Ingatkan kembali kata sakti,
Demi bahang kesedaran berapi,
Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka.

(Jiwa Hamba: 1949)

Pada Usman, bahasa adalah alat atau wahana yang magis, yang dapat mempengaruhi pembaca atau pendengar dan dapat dirubah perasaan atau pemikirannya oleh penyair. Dalam puisi-puisi awal Usman, kuasa bahasa ini datang daripada nada yang rendah, beralun lembut dan harmonis. Dengarkan bait pengalaman, ‘Gadis dan Ayat Suci’ misalnya:-
Suara yang manis dalam bisik daun-daun,
Beralun lagu Tuhan di sayap angin malam,
Redup menyusup di bawah langit bertirai sepi,
Gadis tetangga (simpatiku pada matanya yang buta),
Dari sinar hatinya membaca ayat-ayat suci.

(Gadis dan Ayat Suci: 1950)

Kita mendengarkan kehalusan bunyi-bunyi yang rendah dan merdu, berlari dengan ulangan vokal yang banyak, yakni a, i, u, merendahkan dan melembutkan suara penyair dan seterusnya mengesani seluruh suasana sajak. Sajak-sajak Usman Awang pada era ini turut memaparkan gaya perbandingan atau kiasan, yakni unsur-unsur metafora dan personifikasi. Misalnya, dalam sajak ‘Gadis dan Ayat Suci’ (1950), kata-kata seperti ‘syurga hidup’, ‘lagu Tuhan’, dan ‘bibir syurga’ memperlihatkan unsur metafora yang berkesan. Demikian juga, kata-kata ‘bunga merah’ dan ‘bunga mayat’ dalam sajak ‘Bunga Popi’ (1955).

Kosa-kosa kata seperti ‘teratai senyum’ dalam sajak ‘Gadis Suci’ (1950) dan ‘sedu menggoncang bahu’, ‘matahari bersembunyi di balik awan’ dan ‘merangkak senja’ dalam sajak ‘Gadis di Kuburan’ (1953) menonjolkan ciri-ciri personifikasi yang amat ketara sekali.

Menurut Ismail Hussein, ‘ Sekiranya kita teliti kepopularan Usman Awang yang hampir menjadi sebagai satu institusi di Malaysia, maka ini adalah akibat daripada sikap tradisionalnya dan sikap steoreotaipnya, iaitu bertentangan dengan sikap individualistik penyair moden.’ (Rahman Shaari, Dewan Sastera – Oktober 1983)
Secara tuntasnya, boleh dikatakan gaya bahasa Usman Awang pada era 40-an hingga 50-an banyak dipengaruhi dan berhubungan rapat dengan bentuk puisi Melayu tradisional.

Analisis Gaya Bahasa Puisi Usman Awang pada Era 60-an
Penyair moden sentiasa memadankan isi dengan bentuk pengucapan. Sungguhpun Usman Awang amat akrab dengan gaya tradisi, namun terdapat beberapa sajak karya beliau yang menyimpang daripada gaya sajak era 40-an hingga 50-an. Antara lain seperti bait pertama dalam sajak ‘Kelopak Rasa’.

Jika rasa ini seperti angin malam
Bertiup dari laut dan gunung
Melampaui tanah-tanah subur dan ladang menghijau
Hati ini akan menghembuskan bahagia yang melimpah
Bergetar bagai riak di tasik hati
Bulan cerah
Kepada setiap benda
Supaya sama mencecah

(Kelopak Rasa: 1964)

Perkataan ‘rasa’ itu sendiri memperlihatkan beban makna yang taksa, dan makna ini ditambah pula apabila dibandingkan dengan ‘angin malam’ yang menuntut pembaca memberikan makna khusus kepadanya. Mungkin yang diberikannya ialah sifat-sifat kedinginan, kesegaran, konsep, dan misteri.

Kuntum-kuntum sajak Usman mengundang kita untuk mengisi makna ke dalamnya, dari perjalanan dan pergerakan kita. Kata-kata seperti ‘bahagia yang melimpah’ dan ‘riak’ bukan sahaja menjadi kata nama atau kata kerja biasa, tetapi oleh sebab begitu lama digunakan dalam konteks perasaan, maka makna yang agak penuh juga dibawakannya di samping siratan konotasi yang luas. Selain itu, gaya perbandingan atau gaya kiasan bercirikan penggunaan simile dapat dilihat pada baris-baris sajak yang sama, iaitu:-

Jika rasa ini seperti angin malam
(Kelopak Rasa: 1:1)
bergetar bagai riak di tasik hati
(Kelopak Rasa: 1:5)

Pembentukan kata ‘tasik hati’ pula menampilkan gaya perbandingan metafora. Usman Awang biasanya mencampurkan imej alam ‘tasik’ dan manusia ‘hati’, yakni yang satu melengkapi yang lainnya. Sesungguhnya, alam melatari hidup manusia, dan manusia bergerak dalam latarnya. Kedua-duanya digunakan sebagai bahagian penting dalam semua jenis sajak Usman, dan menjadi inti kepada metaforanya.

Pada dekad 60-an, Usman juga sering kembali kepada kekayaan peribadi Melayu untuk menguatkan karya modennya, malah beliau melihat:
Bidal pusaka nenek moyang
Bukan sekadar pemanis kata
Tapi bukti kebenaran hakikat.

(Gema: 1966)

Kadang-kadang metaforanya dibina dengan mengambil seluruh bidal dan peribahasa lama, tetapi di tempat-tempat lainnya hanya dihubungkan atau dirujuk kepadanya. Banyak juga metafora ini diciptanya sendiri dengan pandangannya bahawa kiasan dan perbandingan: “haruslah tepat segar asli” (Sikap & Pemikiran Usman Awang: Hal.165). Sajak ‘Anak Jiran Tionghua’ (Puisi-puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang: Hal.117) pula mempunyai susunan rima di rangkap 1 (a,a,b,b), rangkap 3 (a,b,b,b) dan rangkap 5 (a,a,a,a). Ini menunjukkan bahawa Usman Awang masih mengekalkan gaya bahasa puisi Melayu tradisional, seperti yang dapat dilihat dalam rangkap pertama sajak tersebut:

Begitu kecil ia berdiri di tepi pagar,
Kilat matanya memanggil Iskandar,
Siapa lalu siapa berkaca,
Melihat keduanya bergurau senda.

(Anak Jiran Tionghua: 1962)

Kata-kata ‘kilat’ dan ‘berkaca’ dalam contoh di atas selain puitis juga padat dan tepat gambaran. Selain itu, gaya perbandingan personifikasi atau pengorangan jelas terpancar pada baris kedua rangkap tersebut, iaitu:-

Kilat matanya memanggil Iskandar
(Anak Jiran Tionghua: 1962)

Usman mulai menggunakan gaya bahasa pengulangan, iaitu pengulangan kata,ungkapan, baris dan rangkap pada dekad 60-an. Tetapi Usman juga berubah dengan suasana zamannya. Apabila rakyat mulai bebas dan unsur-unsur verse libre mendapat sambutan, maka Usman juga berubah, walaupun perlahan-lahan dengan zamannya. Bentuknya tidak pernah statis. Beliau mempercayai bahawa puisi menjadi sebahagian daripada seluruh masyarakatnya dan penyair harus peka kepadanya oleh sebab puisi memperjuangkan masyarakat itu. Usman bergerak dan berubah dengan keperluannya. Gerak pantun yang perlahan, irama yang agak lembut dan gemalai harus dipercepat dan dinyaringkan suaranya.

Peribadi dan jiwa puisi Usman masih Melayu walaupun kulit, wajah dan bentuk luarannya sering mengalami eksperimen dan inovasi. Sajak-sajak “Cahaya” (1965), “Darah Doa” (1966), “Kehilangan Nama” (1967), “Suara dari Pusara” (1968), dan “Kambing Hitam” (1969) memperlihatkan suatu perubahan yang amat ketara dari segi bentuk baris dan telah menyeberang masuk ke genre prosa dan hampir memutuskan hubungan dengan konsep puisi tradisional yang lebih berbentuk lagu. Sajak-sajak ini berbentuk prosa naratif dan memuatkan beberapa cebisan bahasa harian. Diksinya tidak diperindah, tetapi dibenarkan mengikut alir ras dan ucapan harian. Perhatikan sajak “GEMA” (Tablo Aminuddin Baki: 1966) di bawah:-

Suara I
Dua puluh enam Januari
Seribu sembilan ratus dua puluh enam
Matahari pagi memancarkan sinar
Angin sepoi menyampaikan khabar
Untuk keluarga di daerah Chemor
Bahawa seorang putera telah dilahirkan

Ah, cuma putera biasa dari keluarga takwa
Yang nanti besar dari sejuk bumi kota timah
Didakinya hidup dalam semangat
Melengkap diri
Dadanya ilmu jiwanya iman hatinya budi

(Gema: 1966)

Pada era ini juga Usman Awang juga telah memperkenalkan dua bentuk baru dalam sajak ciptaan beliau, iaitu “Balada” dan “Tablo”. Kedua-dua unsur ini menjadi ranting kepada perkembangan gayanya. “Balada” Usman Awang ialah bentuk naratif panjang, tetapi sering pula ditambahkan dengan bentuk retorik dan drama. “Tablo” pula semacam sandiwara untuk suara, suatu persembahan yang berdasarkan kekuatan, kemerduan unsur-unsur bahasa dan ucapan. Contoh sajak-sajak yang bercirikan “Tablo” ialah “Cahaya” (1965) manakala “Kambing Hitam” (1969) memaparkan bentuk balada.

Jelas kepada kita bahawa gaya bahasa Usman pada dekad 60-an masih terikat kepada tradisinya, sumber bahasa sastera pertamanya yang berpusat kepada pantun, tetapi ditambah juga dengan bahasa syair, gurindam, hikayat dan juga bahasa puisi yang digunakan dalam tahun 1930-an. Meskipun demikian, bahasa Usman yang biasanya lembut dapat memberikan kesan yang mesra. Beliau juga meletakkan bahasa yang bersih sebagai unggul sasteranya. Ayat-ayatnya selalu disaring dan disampaikan dengan mengikut adab dan kebiasaan berbahasa, dengan sopan-santun, dengan sukatan dan nada yang sesuai.

Analisis Gaya Bahasa Sajak-sajak Usman Awang pada era 70-an hingga 80-an
Pada tahun 1971 pun, kita masih menemukan imej dan diksi yang mengingatkan kita cara penyair tradisional menggubah gambar hati yang dibahagiakan cinta muda. Lihat misalnya bait-bait sajak yang berikut:-

Akan kupintal buih-buih
Menjadi tali
Mengikatmu
Akan kuanyam gelombang-gelombang
Menjadi harapan
Ranjang tidurmu
Akan kutenun awan-gemawan
Menjadi selendang
Menudungi rambutmu

(Kekasih:1971)

Betapa penyair peka akan bunyi-bunyi bahasa Melayu, terutama yang lembut, mersik dan yang melukiskan dunia indah. Unsur fantasi yang ditambah kepada tema kasih sayang mengangkat kita ke alam atau dunia di luar kenyataan.

Kutipan daripada “Kekasih” ini juga ialah contoh yang baik untuk suatu gaya tradisional, iaitu pengulangan baris atau struktur bait yang dikenal sebagai teknik paralelisme. Bait-bait “Kekasih” ini juga berlandaskan sesuatu struktur yang terbahagi kepada tiga baris, yang diulang hingga akhir sajaknya. Dalam susunan begini hanya kata-kata yang diganti, manakala bentuknya kekal. Misalnya dalam baris pertama bait pertama frasa “kupintal” diubah menjadi “kuanyam” dalam bait kedua. Seterusnya “buih-buih” bait pertama menjadi “gelombang-gelombang” pada bait kedua.

Paralelisme ini memberikan rentak yang tertentu dan teratur yang akhirnya mencipta suatu irama yang stabil dan berulang-ulang. Tetapi perlu saya tegaskan di sini, walaupun Usman popular kerana bahasa dan tekniknya yang dekat kepada tradisi Melayu, namun beliau juga sering menggunakan bahasa yang lebih nyaring dan tegas nadanya, terutama dalam sajak-sajak perjuangannya seperti “Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?” (1979) dan “Selembar Kamus Kemiskinan” (1984).

Pada era 70-an dan 80-an ini, gaya pengulangan kata, ungkapan, baris dan rangkap turut hadir dalam sajak-sajak Usman Awang untuk menimbulkan irama atau suasana muzikal untuk mengindahkan pendengaran, menegaskan maksud tertentu sebagai persoalan utama dan menarik tumpuan perhatian atau pendengaran. Contoh ketiga-tiga tujuan serta kesan ini dapat dirasakan dalam petikan puisi yang berikut:-

Selamat tinggal
Selamat tinggal wahai awan
Selamat tinggal matahari
Selamat tinggal bulan
Selamat tinggal kupu-kupu sayang
Selamat tinggal wahai
Burung-burung bersarang
Selamat tinggal anak-anak bermain riang.

(Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya: 1979)

Pengulangan ungkapan atau rangkai kata “Selamat Tinggal” yang berbentuk anafora itu berjaya menimbulkan kesan irama atau muzikal yang segar. Kedudukan pengulangan tersebut telah berhasil menarik tumpuan perhatian atau pendengaran yang tidak dipaksa. Di samping itu, kehalusan serta kelembutan pengucapannya semakin memperkuat dan memperdalam kesan pernyataan kehampaan terhadap kemusnahan keindahan alam yang asli, iaitu titik persoalan utama puisi tersebut.

Unsur-unsur puisi lama tidak terlalu benar lagi dalam karya-karya Usman Awang. Unsur-unsur kontemporari menjadi lebih penting. Bentuk sajak Usman tidak lagi begitu licin dan harmonis tetapi berbentuk pecah-pecah seperti “Salji Hitam” (1970). Baris dan iramanya tidak lagi regular tetapi berubah mengikut nada dan suasana hati kata-kata serta penyairnya. Puisi-puisi lain seperti “Salam Benua” (1970), “1971 – 1991” (1971) dan “Ucapan” (1982).

Sajak-sajak terbaru Usman Awang pada dekad 1990-an masih jelas mempertahankan tradisi berpuisi dengan menggunakan kata-kata, frasa, klausa dan sintaksis untuk mengungkapkan nilai-nilai dan hak-hak kemanusiaan tanpa takut untuk menyatakan yang benar. Usman telah menyambung tradisinya, memberikannya suatu lafaz yang segar di persada tanah air.

Contoh I:
Telah kuanyam mutiara
Kebijaksanaan menjadi teknologi
Demi membina sebuah negara perkasa
Dan kaya
Dengan daya fikir, akal budi dan semangat berani
Menebus maruah bangsa
Mengembalikan keyakinan diri

(Kepada Pemimpin Perdana Dr.Mahathir Mohammad – sempena 15 tahun pentadbirannya: 31 Julai 1996)

Rumusan:
Setelah mengkaji dan menghalusi sajak-sajak Usman Awang sejak era 40-an hingga 80-an, jelas dapat saya simpulkan bahawa sajak-sajak Usman Awang pada era 40-an hingga 50-an, banyak memaparkan gaya bahasa pantun, iaitu intipati ciri puisi Melayu tradisional. Penyesuaian bentuk dan gaya Melayu pada zaman tersebut sebenarnya ialah suatu siri eksperimen yang separuh sedar dan separuh spontan.

Ciri-ciri tradisional Usman semakin berubah pada era 60-an. Bentuk baris puisi-puisinya tidak lagi berjumlah empat tetapi dikurangkan menjadi tiga atau dua, ataupun ditambah menjadi lima dan enam. Nafasnya kadang-kadang dipendekkan atau dipanjangkan untuk memenuhi ciri-ciri kontemporari yang ditandai oleh pelbagai eksperimen penyesuaian dan percubaan cara berbicara. Dengan bahasa lembut romantik untuk sejumlah sajak, dan bahasa yang bersahaja tetapi sinis untuk sajak-sajak yang lain, Usman mengukir nama sebagai penyair yang amat penting dalam petak kesusasteraan tanah air. Kejayaan Usman dalam beberapa buah sajaknya yang popular terletak pada kebolehannya memadukan sifat romantik serta sifat seriusnya itu, sehingga kadang-kadang dalam kesedihan tragedi, kita dapat merasakan keindahan hidup.

Sajak-sajak beliau pada era 70-an semakin stabil dan mantap serta dihalusi lagi pada tahun-tahun 80-an dan 90-an melalui eksperimen-eksperimen hingga menyeberang masuk ke dunia prosa naratif dan hampir memutuskan hubungan dengan konsep puisi tradisional yang lebih mendekati lagu. Bahasa mutakhir Usman lebih mendekati maksud asal dan objektif, sesuai dengan zamannya.

Dapat saya simpulkan di sini bahawa Usman menganggap bahawa bahasa sesebuah puisi haruslah cantik serta sesuai. Kecantikan ini dicipta dengan landasan dan bentuk sastera tradisional, manakala kesesuaian ditentukan oleh tema, zaman dan tuntutan kebebasan. Kecantikan dan kesesuaian ini juga menolong memadukan karya-karyanya. Konsep puisi beliau amat bergantung kepada prinsip bahawa bahasa bersopan santun, berukur dan harus terkawal. Cita rasanya yang halus pula membimbing penyair untuk mencapai bahasa yang dianggap unggul ini, persis kata SN Dr. Muhammad Hj.Salleh, “Usman Awang: Penghubung sastera moden dengan akar tradisi!”.

Biodata Penulis
CHAI LOON GUAN

Chai Loon Guan atau nama penanya Adichonan dilahirkan pada 9 Februari 1960 di Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK Methodist, Tg.Malim pada tahun 1967 - 1972 dan sekolah menengah di SMJK Methodist, Tg.Malim pada tahun 1973 – 1977 sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras pada tahun 1980 – 81, Institut Bahasa, Kuala Lumpur (1991) dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (1994 – 1998).

Kini, beliau kembali aktif berkarya dalam pelbagai genre penulisan bahasa Melayu. Antara lain sajak, cerpen dan rencana bahasa dan sastera dalam Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Siswa, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Beliau pernah berjaya menggondol beberapa banyak anugerah peringkat negeri dan nasional seperti Hadiah Puisi MAYC Perak (1980). Hadiah Sajak Hari Guru Perak (1983 – 1990), Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1988, 1989, 1993 & 1995), dan Hadiah Sastera DBP-Maybank (1992 & 1993).

Sebagai Munsyi Dewan DBP, beliau pernah diberi kepercayaan untuk menjadi fasilitator sastera (genre sajak) dalam majlis-majlis kebahasaan dan kesusasteraan sama ada di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Antara lain, fasilitator Perkampungan Penulis Muda Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Resort Pangkor Holiday, Pangkor (2003), dan fasilitator Perkampungan Bahasa Melayu Sekolah-sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di Resort Kolam Air Panas, Pengkalan Hulu (2007).

Antara karya Chai Loon Guan yang telah diantologikan bersama adalah seperti Potret (1983), Jendela (1984), Lapar (1986), Kamar (1987), Pahlawan (1988), Rumah Pusaka (1989), Rahsia Hati (1990) terbitan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Surat Daripada Ana (1989), Mira Nabila (1989), Puyan Jelepek (1995), Sungai Kasih (1994) terbitan Utusan Melayu Publication, Di Dunia Permata (1993) terbitan Marwilis Publisher, Melodi Hidup (1989), Taman Bahasa Ibunda (1993), Di Pelabuhan Senja (1993), Menara V (1993), Menara VI (1995), & Antologi Sastera - Bacalah Dalam Bahasamu (2000) terbitan DBP, Temu Puisi III (1993) terbitan Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Pelancongan Malaysia, Pelangi Keakraban (1997) terbitan Penerbit Fajar Bakti, Pasir Salak – Bumi Pahlawan Melayu (1993), Rupa Kata (1996), Pasir Salak Sehamparan Sejarah Perjuangan (1997), Antologi Puisi & Sketsa KOSOVO (1999) terbitan Yayasan Perak & Yayasan Kesenian Perak, Sumpah Setia Bahasa (1999) terbitan Gapena – Rhythm Cons. Bhd., Permata Hati (1997) terbitan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Ridzuan I (1994), Menara Condong (1994), Danau Hati(2000), Suratan (2000), Khazanah Sastera Karyawan Pk (2002), Istana Kasih II (2007) terbitan Persatuan Karyawan Perak, Antologi Puisi Perseorangan, Di Padang Kehidupan (2008) dan Antologi Cerpen Perseorangan, Di Perantauan Impian (2009) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Beliau telah dianugerahi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2002), Munsyi Dewan (2004), Anugerah Khas Hari Guru Daerah Batang Padang (2007), Guru Cemerlang Bahasa Melayu (2008) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2009).

(Sumber: Dewan Bahasa Ogos 2010)