Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, July 27, 2010

Suara Editor DS Ogos 2010
























Merdeka Jiwa, Merdeka Bangsa, Membina Negara

“Sesiapa yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya”. Demikianlah petikan kata-kata cendekiawan tentang sejarah. Bulan Ogos pasti bergema suara kemerdekaan di mana-mana sahaja di tanah air tercinta ini. Harga sebuah kemerdekaan tidak terbeli walau dengan air mata darah sekalipun. Sejuta rasa terima kasih dan penghargaan kita ucapkan buat tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang telah memberikan kita nafas kebebasan minda genap 53 tahun, negara ini menyambut ulang tahun kemerdekaannya pada tahun ini.

Kemerdekaan bukanlah hanya pada nama sahaja, pengisian kemerdekaan menjadi cabaran paling utama. Kemerdekaan perlu diisi dengan jiwa yang membangunkan negara mengikut acuan yang kita tentukan sendiri berdasarkan leluhur budaya yang membentuk negara ini. Pimpinan negara sering mencanangkan pembentukan tamadun bangsa yang gemilang sama ada dalam susila bangsanya, penguasaan ilmu, penguasaan sains dan teknologi mahupun penguasaan ekonomi di pentas dunia. Cabarannya sungguh hebat!

Negara memerlukan generasi muda yang merdesa dalam merangka pembangunan negara pada masa hadapan. Kebejatan sosial yang membelenggu remaja pada hari ini menjadi cabaran utama untuk meloloskan diri daripada penjajahan minda bentuk baharu yang didasari pengaruh globalisasi yang dimangkinkan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi mutakhir.

Oleh itu, menjadi tugas dan tanggungjawab setiap warganegara bermula daripada golongan remaja untuk bersama-sama membina kekuatan tamadun bangsa. Sudah jelas seperti yang digariskan oleh barisan pimpinan negara, cabaran hari ini adalah untuk melakukan anjakan paradigma masyarakat ke arah mewujudkan negara berpendapatan tinggi. Dalam usaha ini, generasi muda perlu kreatif dan inovatif. Hal ini demikian kerana kita bukan lagi menjadi masyarakat pengguna teknologi. Sebaliknya, kita perlu menjadi peneraju dan pencetus kepada penciptaan teknologi baharu melalui daya inovasi dan kreativiti.

Ayuh remaja, kita bergandingan bahu merealisasikan aspirasi tokoh pejuang yang mewariskan azimat kemerdekaan ini menjadi bangsa tersohor seantero dunia. Tiada yang mustahil dapat dilakukan, jika ada daya usaha gigih yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Abdul Ghani Abu

(Sumber: Dewan Siswa Ogos 2010)

Monday, July 26, 2010

Indah Budi kerana Bahasa
























Indah Budi kerana Bahasa

Masyarakat Melayu begitu menghargai dan menjunjung tinggi budi. Masyarakat Melayu juga menilai segala sesuatu itu berdasarkan pada budi. Buktinya, kecantikan seseorang bukan dinilai pada paras rupanya tetapi dinilai pada budi bahasanya. Manusia akan dipandang hina jika tidak berbudi, dan satu-satu bangsa itu pula akan runtuh jika budinya runtuh. Hal ini tergambar dalam pantun Melayu lama di bawah:

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sujinya;
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tidak dengan budinya.

Tanda-tanda budi pula ialah bahasa, dan antara wang ringgit dengan budi, budilah yang tetap dipandang orang, dan budi yang baik pula akan sentiasa dikenang sampai mati. Gambaran tentang peri pentingnya budi ada diungkapkan dengan begitu indah dalam pantun Melayu lama seperti yang berikut:

Makan sirih berpinang tidak,
Pinang ada di bawah tangga;
Makan sirih mengenyang tidak,
Tanda budi dengan bahasa.

Burung serindit terbang melayang,
Mari hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit pandangan orang,
Pandangan atas budi pekerti.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan budi bahasa dan mengapa ia dianggap penting? Budi ialah pekerti yang baik atau akhlak terpuji. Akhlak yang terpuji itu termasuklah tutur kata dan budi bahasa yang baik, keikhlasan, kejujuran, kebenaran, pemurah, belas kasihan, bertimbang rasa, tolong-menolong, berjasa dan berbakti. (Mustafa Haji Daud, 1995: 1). Apabila kata budi ditambah dengan awalan ber- akan menjadi berbudi. Kata berbudi bermaksud mempunyai budi, atau mempunyai pekerti yang baik atau akhlak terpuji, dan orang yang berbudi ialah orang yang berpekerti baik atau berakhlak terpuji.

Sementara bahasa pula ialah 1. sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain dsb.); 2. percakapan yang baik, tingkah laku yang baik, sopan santun (Kamus Dewan: 2005: 106).

Apabila kata berbudi dicantumkan dengan bahasa, jadilah berbudi bahasa. Berbudi bahasa bermaksud mempunyai budi bahasa dan orang yang berbudi bahasa ialah orang yang mempunyai budi bahasa. Orang yang berbudi bahasa ialah orang yang berbudi melalui bahasa atau bahasa sebagai budi. Hal ini kerana budi itu amat luas maksud atau bidangnya dan bahasa adalah salah satu daripadanya. Bagi yang mempunyai harta, mereka boleh berbudi dengan menyumbangkan harta untuk tujuan kebajikan; yang mempunyai tenaga boleh menyumbangkan budi dengan menyumbangkan tenaga seperti dalam kerja-kerja gotong-royong; dan bagi yang mempunyai fikiran yang bernas boleh menyumbangkan idea-idea yang bernas dan berkesan untuk tujuan-tujuan kebaikan. Begitulah luasnya budi. Bagi yang ikhlas, budi bukan untuk dibalas.

Dr. Sidik Baba (Berita Harian, 4 April 2005) pula menyatakan berbudi bahasa bermaksud amalan yang memupuk sikap kesalingan menggunakan bahasa yang baik, tanda hormat, penghargaan, terima kasih dan faham akan makam atau martabat seseorang. Berbudi bahasa adalah gambaran pancaran hati jernih yang diungkapkan secara baik dan mesra serta memberikan kesan baik pula pada orang lain.
Dengan berbudi bahasa, silaturahim dapat dijalin, rasa mahabbah (kasih sayang) dapat dipupuk, dan sifat persaudaraan dapat disuburkan. Dengan adanya situasi ini, ia dapat dijadikan asas yang baik dalam proses pembinaan masyarakat beradab dan akhirnya menjadi masyarakat yang bertamadun.

Asas budi bahasa sebenarnya merupakan asas ajaran agama. Islam menganjurkan penganutnya memberikan salam apabila bertemu. Begitu juga ketika memulakan percakapan atau ucapan, serta apabila ingin masuk ke sesuatu tempat. Yang muda memberi salam kepada yang tua; yang mendatangi pula memberi salam kepada yang sedia menunggu; dan pengunjung rumah memberi salam kepada tuan rumah.

Berbudi bahasa juga merujuk kepada asas penggunaan bahasa yang tepat dan sopan. Bahasa yang dilafazkan hendaklah mengandungi maksud yang baik dan nilai-nilai yang murni, serta dilafazkan dengan nada yang elok dan jelas maksudnya. Penggunaan bahasa yang kasar dan dilafazkan dengan terpekik-pekik serta bercampur dengan lucah hendaklah dihindarkan kerana boleh mempengaruhi pendengarnya khususnya kanak-kanak.

Bangsa yang beradab dan umat yang bertamadun merupakan bangsa dan umat yang berbudi bahasa. Berbudi bahasa bukanlah menggambarkan sifat lemah sesuatu bangsa atau umat. Berbudi bahasa bukanlah menggambarkan sifat lemah sesuatu bangsa atau umat. Berbudi bahasa juga tidak menggambarkan jiwa rendah diri seseorang, tetapi menggambarkan kekuatan peribadi yang ada pada seseorang.

Semua orang yang normal sebenarnya tidak bermasalah untuk mengamalkan sikap berbudi bahasa kerana bahasa ialah modal yang dianugerahkan oleh Tuhan. kepada setiap orang. Untuk memiliki sikap berbudi hanyalah bermodalkan keinginan menaburkan jasa dan bakti melalui bahasa yang baik dan sopan sebagai wahana.

Sayangnya, budi bahasa dan nilai-nilai murni sudah semakin terhakis dalam diri anggota masyarakat negara kita. Hal ini dapat dilihat dengan jelas di persekitaran kita, misalnya perbuatan vandalisme yang menjadi-jadi. Lebih parah masalah sikap tidak berbudi bahasa sesetengah pengguna jalan raya hingga boleh membawa padah dan menyebabkan kematian.

Pada awal tahun ini sahaja (2005) tiga kes pembunuhan diberitakan berlaku, iaitu di Shah Alam, di Jalan Sungai Besi, dan di Perak, yang berpunca daripada beberapa insiden di jalan raya yang tidak disengajakan. Kalau dahulu, kematian di jalan raya lazimnya di sebabkan oleh kemalangan yang berpunca daripada kecuaian pemandu ataupun masalah teknikal pada kenderaan, tetapi sekarang ada “gejala” baru yang tidak terduga oleh kita sebelum-sebelum ini.

Masalah pembuli jalan raya yang sering menimbulkan pelbagai kes di atas jalan raya berpunca daripada sikap tidak berbudi bahasa dan tidak menghormati hak orang lain. Kadang-kadang hanya kerana kemalangan kecil ataupun masalah kecil di atas jalan raya, boleh mencetuskan pergaduhan dan ada yang membawa kepada pembunuhan. Hal ini terjadi kerana sikap berbudi bahasa dan bersopan santun sudah tidak ada lagi dalam diri individu tersebut. Masing-masing tidak mahu mengalah dan ditambah lagi dengan sikap ingin mempamerkan kebolehan dan kecekapan yang tidak kena pada tempatnya.

Selain itu, budaya berbudi bahasa ketika di rumah semakin pudar, bahkan konsep “rumahku, syurgaku” tidak lagi diterapkan sepenuhnya. Rumah seolah-olah berfungsi sebagai tempat untuk tidur sahaja. Urusan menyediakan makan minum anak-anak diserahkan kepada pembantu. Anak-anak hanya bertemu dengan ibu bapa apabila memerlukan sesuatu. Lantaran itu, timbullah pula masalah untuk menerapkan sikap berbudi bahasa di rumah. Sikap menghormati ibu bapa semakin terhakis kerana anak-anak jarang dapat bertemu dengan ibu bapa masing-masing. Ibu bapa juga tidak dapat menonjolkan teladan yang baik kepada anak-anak kerana masa mereka di rumah agak terhad. Akhirnya, kebiasaan atau sikap anak-anak sewaktu ibu bapa tiada di rumah terbawa-bawa juga semasa ibu bapa ada di rumah.

Sikap anak-anak yang kurang mendapat didikan di rumah akan dibawa pula ke sekolah. Di sekolah, lantaran kurangnya budi bahasa, guru pula yang menjadi mangsa. Kenderaan guru dicalar dan digores sesuka hati sekiranya pelajar tidak berpuas hati dengan tindakan guru mereka. Lebih parah lagi, amalan buli-membuli dan gengsterisme semakin menjadi-jadi dan yang menjadi mangsa adalah pelajar yang lemah bahkan kadang-kadang rakan sendiri.

Kematian seorang pelajar akibat dipukul secara beramai-ramai oleh rakan sendiri, di sebuah sekolah di Negeri Sembilan pada tahun 2004 menggambarkan sikap segelintir pelajar yang melampaui batas dan susila seseorang remaja. Insiden tersebut diberitakan hanya berpunca daripada keengganan mangsa meminjamkan cerek miliknya kepada rakannya. Mungkin mangsa mempunyai alasan untuk tidak meminjamkan cereknya kepada rakannya itu, tetapi hal ini tidak bermakna mereka boleh bersikap kasar sedemikian sehingga membawa maut. Akibat sikap yang tidak bercirikan pelajar yang bermoral, mereka terjebak dalam kancah jenayah dan sekolah seolah-olah tidak lagi menjadi tempat yang selamat untuk pelajar.

Lantaran itu, “Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni” yang dicetuskan ilhamnya dan dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk membentuk bangsa Malaysia yang mempunyai semangat bersatu padu, bertoleransi, saling memahami dan bekerjasama, serta cinta akan negara, sangat kena pada masanya. Kempen ini telah dilancarkan oleh Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, pada 11 Januari 2005.

Sewaktu merasmikan kempen tersebut, Perdana Menteri menegaskan bahawa kejayaan yang dicapai oleh negara ini hanya dapat dikekalkan jika masyarakat mempunyai budi bahasa dan nilai-nilai murni yang tinggi. Negara bukan sahaja memerlukan rakyat yang berkemahiran tinggi, tetapi juga memerlukan rakyat yang mempunyai budi bahasa dan nilai-nilai murni. Budi bahasa dan nilai-nilai murni inilah yang akan dapat memastikan kejayaan yang telah dicapai oleh negara tidak dirosakkan oleh masyarakat yang runtuh moralnya.

“Sejarah telah membuktikan bahawa banyak empayar atau negara yang maju telah runtuh lantaran generasi yang mewarisinya gagal menjaga ketamadunan yang dicapai kerana mereka mempunyai moral yang rendah. Generasi yang mewarisi negara itu terdiri daripada mereka yang lupa daratan, berkelakuan tidak baik dan bersengketa antara satu sama lain, serta melakukan perbuatan yang tidak bermoral,” tegas Perdana Menteri Malaysia.

Selanjutnya, beliau meminta agar rakyat Malaysia membuktikan bahawa walaupun negara telah mencapai kejayaan, tetapi masyarakatnya masih mampu mempunyai dan mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Beliau juga turut melahirkan rasa kebimbangannya kerana budi bahasa dan nilai-nilai murni kini semakin hilang di kalangan masyarakat negara ini.

Perdana Menteri menunjukkan bukti beberapa sindrom negatif yang kini telah dipandang sebagai suatu kebiasaan dalam kalangan masyarakat negara ini, seperti tabiat memandu yang kurang sopan dan berbahaya, kurangnya rasa sayang terhadap harta benda awam yang menjadi milik bersama, dan kekerasan terhadap pelanggan. Beliau turut menegur sesetengah kakitangan perkhidmatan awam, terutamanya yang berkhidmat di kaunter khidmat pelanggan yang masih tidak memberikan layanan yang baik kepada pelanggan.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran kempen itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha membentuk masyarakat Malaysia yang mempunyai budi bahasa dan nilai-nilai murni yang tinggi akan menjadi satu aktiviti penting kerajaan. Hal ini kerana kerajaan memerlukan satu tenaga kerja yang berkemahiran dan mempunyai moral yang tinggi. Kualiti tenaga kerja bukan sahaja diukur dari segi pendidikan, kepakaran dan teknologi yang mereka miliki, tetapi juga diukur dari segi moral, tanggungjawab serta budi bahasa dan nilai-nilai murni.

Untuk memastikan budi bahasa dan nilai-nilai murni tidak terhakis dalam budaya hidup masyarakat negara ini, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing, terutamanya ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan kerajaan. Ibu bapa perlu berperanan mendidik anak-anak sejak awal lagi dengan menyemai budi bahasa yang baik di rumah. Percakapan antara suami dengan isteri; ibu bapa dengan anak-anak; dan antara anggota keluarga di dalam rumah sewajarnya menggunakan bahasa yang baik dan sopan. Hal ini penting untuk mewujudkan suasana yang baik dan harmoni dalam keluarga yang bakal dicontohi oleh anak-anak.

Kata-kata yang kasar dan mencarut hendaklah dielakkan kerana boleh mempengaruhi pembentukan jiwa kanak-kanak. Bahasa yang halus dan penuh sopan santun hendaklah dibiasakan penggunaannya di rumah. Apabila kanak-kanak meningkat dewasa kelak, mereka akan turut menggunakan kata-kata yang biasa didengar di rumah. Jika mereka terdedah kepada kata-kata yang baik, maka kata-kata yang baik itulah yang akan digunakan kelak, begitu juga sebaliknya.

Sekolah pula perlu menjadi institusi pembentukan akhlak dan sebagai tempat menanam bibit kemanusiaan yang sebenar. Guru sewajarnya berperanan sebagai ibu bapa kepada para pelajar, dan para pelajar pula perlulah bersikap seperti anak-anak kepada guru. Mereka perlulah menghormati guru sebagaimana mereka menghormati ibu bapa. Para pelajar pula perlulah menganggap rakan-rakan sebagai saudara sekandung atau adik-beradik. Barulah peristiwa yang pernah terjadi di Negeri Sembilan itu tidak berulang.

Yang tua pula perlulah dihormati dan yang muda disayangi, dan antara yang muda dengan yang tua hendaklah saling bertoleransi. Pihak kerajaan pula haruslah meningkatkan dan menggiatkan kempen ke arah meningkatkan budi bahasa dan nilai-nilai murni melalui saluran media cetak dan elektronik. Selain itu, pihak media massa terutamanya media massa swasta, hendaklah memberikan ruang yang sewajarnya kepada kempen kerajaan ini. Mereka tidak seharusnya mementingkan aktiviti atau program komersial semata-mata. Budi bahasa dan nilai-nilai murni harus juga dijadikan salah satu agenda perjuangan mereka.

Zaidi Ismail
(Sumber: Pelita Bahasa Jun 2005)

Sunday, July 25, 2010

Gambar Kenangan 1993/94















In this photo: Iriss Loo, Loo Chun Fong, Kartini, Sasa Chin (photos), Tan Wei Liang, Yew Li Li, Clement Chen (photos), Lee Wei Ping (photos), Alloy Ali, Wei Qi, Soomitra Vigneswaran, Dalvinder Singh (photos), Zhen Zhen Sim, Renuga, Soo Ni Keong, Ong Bee Yen (photos), Jackie Leong, Teh Guanyew (photos), Chai Loon Guan (photos | remove tag), CarmenPang Chow Yee (photos), Julian, Wong Sau Yee (photos), Wei Teng Ching, HueyKuan Lee, Vijayaletchumi, Hidayat, Cass Loo, Kianming Koh (photos), Bhavani, Lesly, Zulraidi, Rigine Seah, Noraini, Mohd Ariffin, June Chao, Normaliza, Kenji Leong, Linder Khera, Sitihawa Pilehan (photos).

Malam Puisi Riong - UPSI 2010


















Penulis bergambar kenangan dengan Sdra. A.Halim Ali di Pentas Persembahan Malam Puisi Riong - UPSI 2010.

Saturday, July 24, 2010

Bicara Negarawan














"Have a purpose driven life and finish well!"
–Mr.Lee Kuan Yew

Landskap I - Vietnam

Warkah Editor Dewan Sastera Ogos 2010























Kuat Berdiri Pohon kerana Akarnya, Kuat Akar kerana Tanahnya

Sebuah negara yang berdaulat, pasak keamanan dan kemakmurannya terletak pada rakyatnya yang hidup bertunjangkan jati diri, dengan semangat nasionalisme kejap membalut hati. Rakyatnya tidak mudah dipengaruhi oleh godaan dan janji, apatah lagi pada zaman globalisasi yang jebak menjebak di sana sini. Sesama bangsa pun tidak dapat ditebak isi hati, inikan pula orang dagang – biar bagaimana senangnya di negeri asing, ingat juga ia akan negeri asalnya, bak kata peribahasa Melayu, “Kijang jika ditambat dengan rantai emas sekalipun, bila terlepas ke hutan juga larinya”.

Oleh itu, setelah lebih lima dasawarsa Malaysia merdeka, dengan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, apakah jaminan yang boleh dipegang bagi memastikan semua kaum bersatu padu dalam satu hati dan satu jiwa? Ikatan perpaduan ini memerlukan “sesuatu” yang boleh dijadikan tali dan rantainya yang dapat mengikat kasih dan jiwa rakyatnya yang berlainan bangsa, agama dan keturunan. Oleh itu, apakah yang dimaksudkan dengan “sesuatu” itu? “Sesuatu” itu ialah bahasa. Satu bahasa yang boleh menyatukan masyarakat pelbagai etnik dengan berpegang kepada bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan. Bertepatan dengan kaum Melayu sebagai kaum peribumi, maka bahasa Melayulah yang selayaknya menjadi bahasa Kebangsaan.

Menyedari akan hal inilah, kerajaan khususnya UMNO, akan sentiasa menjadi pembela dan penegak kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu, dan sekali gus membuktikan kepada semua kaum di negara ini bahawa bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan itu sebagai teras perpaduan. Sesungguhnya, dalam Fasal 3 Perkara 5, perlembagaan UMNO telah menetapkan bahawa bahasa Melayu dijamin kedudukannya sebagai bahasa rasmi yang tunggal. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengganggu-gugatnya atau mempersoalkannya. Keputusan kerajaan untuk memansuhkan “pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris” membuktikan bahawa kerajaan sedar bahawa semangat nasionalisme hanya boleh dinikmati dengan pelaksanaan dasar “satu bahasa satu jiwa”, iaitu berteraskan bahasa Melayu. Kesusasteraan Melayu pula sebagai pemangkinnya yang menambahserikan lagi perpaduan negara, dengan hanya mengiktiraf Kesusasteraan Kebangsaan -hanyalah hasil sastera yang dihasilkan dalam bahasa Melayu.

Rozninah Abd. Azib
(Sumber: Dewan Sastera Ogos 2010)

Thursday, July 22, 2010

Kosa Kata BM - "Palung"











Menurut Kamus Dewan, kosa kata "palung" bermaksud tanah lekuk yang bertakung air, paluh; petak atau kotak tempat makan (minum) binatang, lawak-lawak; sejenis saluran panjang yang berpetak-petak tempat mengasingkan bijih daripada batu-batu; saluran air (drpd. buluh); sejenis bekas untuk mengisi semaian. Yang jelas, palung digunakan untuk menyemaikan benih atau menanam anak pokok yang sedang membesar. Salam.

Wednesday, July 21, 2010

Kosa Kata BM - "Komposer" atau "Penggubah"











Gebang Bahasa - Kosa Kata BM
Menurut Kamus Dewan, kosa kata "komposer" bermaksud penggubah (lagu, muzik, dsb), pencipta manakala kosa kata "penggubah" pula bermaksud orang yang menggubah (mengatur atau menyusun bunga untuk perhiasan sanggul dll.), pencipta, mengarang cerita, sajak dll., mencipta lagu dll., membentuk atau menyusun sesuatu.
Yang jelas, kedua-dua kosa kata tersebut bersinonim apabila kita membicarakan hal cipta-mencipta lagu. Salam.

NOSTALGIA

















Nostalgia ketika seorang insan bernama aku sedang menimba ilmu di Darjah 3 Merah, SRJK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan, iaitu sekitar tahun 1967 hingga 1972.
(Teks: Chai Loon Guan / Foto: David WF Chan)

Monday, July 19, 2010

METHODIST ENGLISH SCHOOL ALUMNI - MESA 2010


















Selamat Sejahtera dan Salam Satu Malaysia!
Makluman buat bekas murid, mantan guru dan pengetua SMK Methodist, 35900 Tg. Malim di alam siber.
Maklumat lengkap anda, yakni alamat terbaharu, profesion, nombor telefon, alamat e-mel, blogspot, tahun pengajian, tingkatan dsb. amat kami perlukan untuk dimuatkan dalam diari catatan alumni sekolah, yakni MESA (Methodist English School Alumni) 2010. Harap mendapat kerjasama dan respons positif daripada Saudara/i, Tuan/Puan, Datuk/Datin, Tan Sri/Puan Sri dsb. Sila e-melkan butiran tersebut kepada saya berdasarkan alamat yang berikut, iaitu chaimestm@yahoo.com. Sekian, harap maklum. Terima kasih. Salam muhibah.
(Teks dan gambar: Encik Chai Loon Guan)

Friday, July 16, 2010

PUISI - Pakaian Pemimpin






PAKAIAN PEMIMPIN

Memakai syarak lahir dan batin
Imannya tebal adat pun kental
Takwanya nampak ilmu pun banyak.

Berdada lapang berfikiran panjang
Bermuka jernih berlidah fasih.
Berpendirian kukuh berakal senonoh
Berpijak tidak berkisar
Bercakap tidak beralih.

Beraninya menahan uji
Setianya tahan dicuba
Taatnya tahan dilipat.
Tegaknya pada yang hak
Duduknya pada yang elok.

Berbakal pada yang halal
Berpetua pada yang berfaedah
Berwasiat pada yang bermanfaat.
Bercakap pada yang beradab
Bercakap pada yang bermakna.

Memakai pada yang sesuai
Makan pada yang sepadan.
Bergaul pada yang betul
Berkawan pada yang sejalan
Bersahabat pada yang bersifat.
Berguru pada yang tahu
Menuntut pada yang patut.
Mencontoh pada yang senonoh
Meniru pada yang sejudu
Meneladan pada yang sepadan.

Adil menjadi hakim
Bijak dalam bertindak
Cermat dalam melihat
Teliti dalam berjanji
Amanah dalam bersumpah.

Tahu diri dengan perinya
Tahu duduk dengan tegaknya
Tahu alur dengan patutnya
Tahu berbudi arif memberi
Tahu menimbang arif menenggang
Tahu merasa bijak berbicara.
Tahu membaca dalam gelita
Tahu menyimak dalam kemak
Tahu memandang masa datang
Tahu menengok hari esok.
Tahu memelihara harta pusaka
Tahu menjaga harta soko.
Tahu membela segala rakyatnya
Tahu menjaga kampung halamannya.
Tahu menyukat sama pepat
Tahu membagi sama isi.
Tahu berjalan tidak melendan
Tahu melangkah tidak melapah.

Rela berlapang dalam sempit
Rela berbagi walaupun sedikit.

Menjalankan tugas tahan beragas
Menjalankan amanah tahan dilapah
Menjalankan yang hak taha diinjak
Menunaikan janji tahan dikeji.

Membela rakyat tahan dikerat
Membela bangsa tahan binasa
Membela negeri tahan mati.

Rajin bersedekah pantang meminta
Rajin berguru pantang berseteru
Rajin beramal pantang menyesal
Rajin menolong pantang disanjung

Sepadan amal dengan iman
Sepadan ilmu dengan kelakuan
Sepadan lidah dengan perbuatan
Sepadan takah dengan pakaian
Sepadan tokoh dengan bawaan.
Sepadan janji dengan isi.
Sepadan kerja dengan upah.
Sepadan harga dengan faedah
Sepadan tua dengan kerenah
Sepadan muda dengan takah.

Di dalam majlis bermuka manis
Di dalam helat duduk bersifat
Di dalam rumah beramah-tamah
Di dalam dusun tuntun-menuntun
Di dalam kampung tolong-menolong
di dalam negeri beri-memberi
Di dalam kota rasa-merasa.

(Sumber:
Tenas Effendi, 2000. Pemimpin dalam Ungkapan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.)

APC 2009














ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2009 - anugerah pengiktirafan buat murid-murid, rakan-rakan seperjuangan, Panitia Bahasa Melayu, Jabatan Bahasa dan seluruh warga ilmu SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan! Terima kasih. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.

Sajak dari Hospital II

















BIARPUN

Biarpun aku kaya
barangkali tidak termampu aku
Membeli sebuah sihat

Biarpun aku mewah
barangkali tidak termampu aku
Memiliki sebuah sejahtera

Biarpun aku berharta
Barangkali tidak termampu aku
Membina sebuah istana
bernama bahagia!

CHAI LOON GUAN,
Unit Urologi,Hospital Selayang.
16 Julai 2010.

(Sumber: Berita Harian (Edisi Sabtu) 24 Julai 2010)

Thursday, July 15, 2010

Sajak dari Hospital I


















SAKIT

Sakit tiba-tiba melamar
Hidup
Yang seringkali kita kejar
Seperti tali-temali arus
Mobil aneka di kota raya

Sakit
Tiba-tiba membuat kita
Terlantar di katil hidup
Menghitung dosa pahala
Satu-persatu
Di buana hidup

Sakit
tiba-tiba menyedarkan insaf
Betapa kerdilnya kita
Insan
Di sisi Tuhan!

CHAI LOON GUAN,
Unit Urologi,
Hospital Selayang.
16 Julai 2010.

Ceramah BM PMR 2010






Ceramah Tatabahasa Bahasa Melayu (Kertas I) PMR 2010 di SMK Sri Nobel Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan pada 22 Julai 2010 (Khamis) pukul 10.30 - 12.30 tengah hari.
Penceramah: Encik Chai Loon Guan, GC Bahasa Melayu dan Munsyi Dewan DBP.

Wednesday, July 14, 2010

Sajak - Sekolahku Sekolah Ilmu

SEKOLAHKU SEKOLAH ILMU

Sekolahku
Biarpun usiamu gaek
Masih teguh berdiri
Gapura ilmumu terbuka luas
Indah tersergam di buana kehidupan

Sekolahku
Cukup banyak jasamu
Menyebarluaskan ilmu
Melahirkan insan
Berwawasan

Sekolahku
Membesar aku dalam pelukan ilmu
Dewasa aku dalam belaian kasih
Iltizam ilmu guru
Kaugilap aku
Menjadi intan berlian
Marcapada

Dalam ribut taufan cabaran
Bangkit bangga
Anak-anak didikmu
Di persada ilmu
Bangkit cekal
Anak-anak didikmu
Di persada harapan

Kuabadikan
Nostalgia sejuta kenangan
Kejayaanku
Di album abadimu
Sekolah tersayang!

Lalina Priya a/p Murugan,
Tingkatan 5 Sains 1,
SMK Methodist, Tg.Malim.

Ceramah BM PMR 2010







Ceramah Bahasa Melayu PMR 2010 bersempena dengan Program Kecemerlangan Akademik 2010 di SMK Katholik, 35900 Tanjong Malim pada 15 Julai 2010 (Khamis) pukul 8.15 - 10.15 pagi.
Penceramah: Encik Chai Loon Guan, GC Bahasa Melayu dan Munsyi Dewan DBP.

Tuesday, July 13, 2010

GURU

Guru (daripada bahasa Sanskrit गुरू) ataupun dikenali juga sebagai pengajar, pendidik, Mudarris dan pengasuh merupakan tenaga pengajar dalam institusi pendidikan seperti sekolah atau tiusyen (kelas bimbingan). Dalam zaman modern ini guru juga merupakan istilah yang digunakan untuk seorang yang pakar dalam sesuatu bidang misalnya management guru merujuk kepada seorang yang pakar dan handal dalam bidang pengurusan.

Di peringkat universiti, guru diberi gelaran tutor atau pensyarah. Lazimnya guru perlu mahir dalam sesuatu mata pelajaran serta diperkukuhkan pula dengan pengetahuan dalam bidang pedagogi atau sains prinsip pengajaran.

Dari segi agama pula misalnya agama Hindu dan Sikh, guru mempunyai maksud yang lebih tinggi. Ia biasanya merujuk kepada para pendita yang mempunyai ilmu mendalam dalam hal-hal kerohanian.

Hari Guru
Hari Guru Antarabangsa ditetapkan oleh UNESCO pada 5 Oktober setiap tahun. Tetapi di Malaysia, Hari Guru disambut pada setiap 16 Mei sebagai penghargaan kepada para guru.

(Wikipedia Bahasa Melayu)

HARI ANUGERAH GEMILANG MES 2010

















Hari Anugerah Gemilang SMK Methodist (MES), 35900 Tanjong Malim pada 7 OGOS 2010 bersamaan hari Sabtu, pukul 8.30 pagi.
Tetamu Kehormat: Yang Berbahagia Dr. Hamizer bin Mohd Sukor, Pensyarah Kanan, Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands merangkap Presiden MESA.

Monday, July 12, 2010

Catatan Dinihari








Tiba-tiba perutku pulas-memulas. Bangun aku mencari minyak angin. Sambil menunggu detik yang menduga itu (ber)sidang, sempat aku melayari facebook dan blogspot diri. Barangkali, perlu aku menurunkan sepatah dua kata buat pengisi dinihari yang kian menggigit sum-sum tulangku. Salam dinihari daripada insan yang sudah meniti usia separuh abad!

BENUA AMERIKA SELATAN

Guru Pelatih BI dari AS



















Selamat datang Guru Pelatih Bahasa Inggeris dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat selama sepurnama ke SMK Methodist, 35900 Tg. Malim mulai 12 Julai 2010.

Sunday, July 11, 2010

Persatuan Karyawan Perak



















Makan tengah hari selepas selesai Mesyuarat AJK Persatuan Karyawan Perak 4/10 di Dewan Felda Sungai Klah, Sungkai pada hari Ahad bersamaan 11 Julai 2010. Dalam gambar, Tn.Hj.Zabidin Ismail, Prof.Madya Dr.Hj.Talib Samat, Tn.Hj.Hisham Ariffin, dan Prof.Dr.Hj.Bukhari Lubis.
(Teks dan foto: Chai Loon Guan)

HARI KEUSAHAWANAN MES 2010























Sketsa Hari Keusahawanan MES 2010 - Sabtu, 10 Julai 2010

Thursday, July 8, 2010

Komentar Bahasa


MAJALAH DALAM KELAS (MDK) PENJANA MINDA KREATIF DAN INOVATIF

Menurut Pelita Bahasa April 2010, program Majalah Dalam Kelas (MDK) yang diperkenalkan oleh Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1988 bukan sahaja telah dapat disebarluaskan di sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia malah turut diadakan di Singapura sejak tahun 2000, untuk pegawai Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), guru Bahasa Melayu dan murid yang ingin mempelajari pelbagai kaedah dan teknik dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah.

Pada 8 Mei 2010, Jabatan Bahasa SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan berpeluang untuk menjalinkan kerjasama intim dengan Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur untuk merealisasikan program MDK di dewan sekolah. Program MDK yang pertama kali diadakan di negeri Perak pada tahun 2010 melibatkan 100 orang murid daripada Tingkatan Satu hinggalah Tingkatan Lima dan 35 orang guru Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

Selaku Ketua Panitia Bahasa Melayu, saya mengalu-alukan kehadiran rombongan MDK DBP dan berasa amat teruja akan pelbagai aktiviti menarik yang telah disusunaturkan oleh fasilitator DBP untuk para peserta yang terdiri daripada murid-murid berbilang ras, agama dan keturunan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pembinaan perkataan, peta minda, penggolongan kata, aksi peribahasa, mendengar dan menulis, menukarkan cerpen kepada komik, menukarkan puisi kepada lakonan dan sketsa Bersatu Teguh Bercerai Roboh. Secara jujur, aktiviti-aktiviti MDK DBP ternyata berupaya untuk mengembangkan bakat dan menyuburkan minat murid-murid sekali gus memanfaatkan bahan yang terdapat dalam majalah DBP seperti Dewan Siswa, Pelita Bahasa dan Dewan Kosmik.

Pada hemat saya, program MDK juga dapat menggalakkan interaksi antara murid pelbagai kaum, memupuk nilai keterampilan diri dan kepemimpinan murid di samping mempersubur kemahiran berfikir secara sistematik, mengembangkan bakat dan potensi murid secara holistik. Aktiviti yang dijalankan turut dapat merangsang dan mengembangkan minat murid, kebolehan memproses dan mengumpul maklumat, serta merintis kedayaupayaan murid untuk meneroka ilmu dan menjanakan maklumat dalam kumpulan yang terdiri daripada murid berbilang ras dan agama sejajar dengan gagasan Satu Malaysia.

Hasil penelitian saya jelas menunjukkan bahawa program MDK turut dapat membimbing guru-guru Bahasa Melayu tentang cara menggunakan dan memanfatkan bahan yang terdapat dalam majalah DBP sekali gus memberikan nilai tambah dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Majalah DBP sebagai bahan rujukan utama program MDK menepati kriteria bahan pengajaran dan pembelajaran yang bersifat semasa, bermutu dan dapat dipertanggungjawabkan di samping berupaya untuk meningkatkan kecekapan berbahasa dengan menggunakan bahasa lisan dan tulisan yang baik, gramatis dan betul serta kecekapan komunikasi dalam kalangan murid yang berbilang ras, latar belakang dan agama. Kebanyakan bahan yang disiarkan dapat dipelbagaikan oleh guru terutamanya dari segi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, selain memenuhi kehendak organisasi kurikulum dan sistem bahasa dari segi tatabahasa, kosa kata, peribahasa, ejaan dan sebutan.

Dari segi komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS) pula, bahan yang terdapat dalam majalah DBP dapat dimanfaatkan untuk aktiviti penghayatan dan penulisan novel, puisi dan cerpen. Selain itu, guru juga dapat mengasah bakat murid dalam bidang penulisan, di samping mendorong mereka memperlihatkan keupayaan untuk menghasilkan karya kreatif yang bermutu. Pada hemat saya, MDK yang menggunakan pendekatan “Guru Kreatif Pelajar Aktif” menggalakkan guru bahasa memanfaatkan majalah terbitan DBP sebagai bahan rangsangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di samping menerapkan unsur ilmu, semangat kerjasama berpasukan dan penerapan nilai-nilai murni dalam jiwa sanubari murid selaras dengan gagasan Satu Malaysia.

Yang jelas, secara tuntasnya, program MDK cukup kuat dan membina sebagai penjana minda ilmu bahasa dan susastera yang kreatif dan inovatif. Terima kasih, Dewan Bahasa dan Pustaka kerana dapat menyediakan ruang dan memberikan peluang keemasan ini kepada kami, murid-murid dan guru-guru Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil, SMK Methodist, Tanjong Malim untuk menimba ilmu dan pengalaman menerusi program tersebut.

Chai Loon Guan,
Ketua Panitia Bahasa Melayu,
SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim,
Perak Darul Ridzuan.

(Sumber: Pelita Bahasa Julai 2010)

Monday, July 5, 2010

BM SPM

BM SPM BAHAGIAN A (30m)
Tajuk:
Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja di negara ini.

Semangat patriotik merujuk kepada sifat patriot, yakni semangat cinta akan tanah air. Semangat ini amat perlu disemaikan dalam kalangan rakyat pada hari ini, khususnya di peringkat remaja lagi. Semangat ini juga amat penting dalam usaha kita merealisasikan pembinaan negara bangsa sekali gus mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara yang tercinta.

Sebenarnya, terdapat beberapa langkah yang membina untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja di negara ini. Pertama sekali usaha kerajaan dalam menganjurkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh pelosok negara dapat membentuk remaja yang mengutamakan semangat berpasukan di samping merapatkan hubungan silaturahim. Selain itu, semangat patriotik dalam kalangan peserta pelbagai kaum dapat dipupuk melalui aktiviti PLKN seperti kawad berpasukan, kayak, merentas desa dan aktiviti kepemimpinan.

Semangat patriotik dalam kalangan remaja juga dapat diperkukuh melalui penglibatan remaja dalam program kemerdekaan negara seperti sambutan Malam Ambang Kemerdekaan, ceramah, bicara tokoh sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri atau di seluruh negara. Pengisian program yang bercorak kreatif dan menarik ini dapat mendorong golongan remaja untuk menghayati detik-detik perjuangan dan kemerdekaan tanah air daripada belenggu penjajah.

Selain program kemerdekaan negara, semangat patriotik remaja juga dapat dipupuk melalui majlis menghargai jasa pahlawan negara yang telah berjuang dan terkorban dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara daripada ancaman musuh. Majlis seperti “Jasamu dikenang” dapat mengimbas setiap perjuangan yang telah dipelopori oleh wira dan serikandi negara seperti Sarjan Hassan, Kanang Anak Langkau dan Leftenan Adnan.

Sehubungan dengan hal itu, program kemasyarakatan turut mampu menyemaikan semangat patriotik dalam kalangan remaja. Sesungguhnya, golongan remaja perlu melibatkan diri secara proaktif dalam program kemasyarakatan seperti program Gotong-royong Perdana, kempen Masyarakat Penyayang, Cegah AIDS, H1N1 dan sebagainya. Program kemasyarakatan seumpama ini perlu dipraktikkan awal agar nilai-nilai patriotisme dapat dipupuk kukuh di hati sanubari anak-anak remaja bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Akhirulkalam, kerjasama erat dan sokongan intim daripada semua pihak, khususnya ibu bapa dan guru-guru amat diperlukan untuk membenihkan semangat patriotik dalam diri setiap remaja di negara kita. Sesungguhnya remaja pada hari ini merupakan aset penting atau tonggak nusa bangsa pada masa yang akan datang.

Nur Syarafana bt. Abd Razak,
Tingkatan 5 Sains 3, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim,
Perak Darul Ridzuan.

Warkah daripada Editor Dewan Siswa


Langit Terbuka dan Laman Sosial

Tatkala makalah ini ditulis, seluruh dunia menyuarakan rasa kemarahan dengan tindakan kejam tentera Israel yang menyerang dan menawan flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza, kapal Mavi Marmara dan Rachel Corie di perairan antarabangsa. Namun, kita bersyukur kerana 18 aktivis dan rakyat tempatan yang berada di dalam kapal tersebut selamat pulang ke tanah air selepas dibebaskan oleh rejim Zionis.

Berita penawanan dan video kekejaman tentera Israel tersebar dengan cepat ke seluruh dunia, tentera Israel pula menyekat komunikasi kapal Rachel Corie daripada hubungan luar sebelum mereka menawan kapal tersebut. Hal ini menunjukkan kemajuan teknologi satelit dunia yang telah memangkinkan kewujudan media baharu yang menjadi wahana komunikasi masyarakat dunia hari ini.

Sebenarnya, isu penawanan kapal misi kemanusiaan ini amat menarik hendak dikaji, bukan sahaja daripada aspek kemanusiaan, sebaliknya isu-isu lain seperti perundangan perairan antarabangsa, konflik sempadan politik antara negara, hegemoni kuasa dunia dalam kerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan hubungan diplomatik antara negara yang melampaui aspek fahaman agama, perbezaan politik dan kepentingan ekonomi.

Wadah media baharu menerusi dasar langit terbuka, telah mencetuskan fenomena perbincangan umum yang tiada sempadan melalui jaringan laman sosial. Bukan sekadar menambahkan bilangan rakan, meluaskan jaringan perniagaan atau membentuk komuniti sukarelawan, jaringan laman sosial mampu menjadi entiti baharu masyarakat dunia yang boleh menggegarkan kedudukan politik individu mahupun negara.

Kekejaman Israel contohnya, telah membuatkan masyarakat dunia sear dan bangkit menyuarakan bantahan mereka melalui forum media baharu seperti facebook, twitter, tagged dan myspace. Namun ada perkara yang perlu difikirkan, sejauh manakah pula dasar langit terbuka ini benar-benar memberikan kita ruang untuk melontarkan idea mahupun mengetengahkan inovasi, sekiranya satelit dunia dikawal oleh kuasa monopoli, iaitu Amerika Syarikat dan sekutunya? Tiada lagi sempadan dibentuk terhadap ruang angkasa lepas. Masing-masing negara yang berkemampuan bebas meletakkan satelit di ruang angkasa. Oleh sebab itulah disebutkan dasar langit terbuka.

Ayuh remaja sekalian kita berfikir sejenak, adakah kita hanya mahu menjadi pengguna media baharu sahaja? Sementelahan, kita tidak menyedari kuasa di balik tangan yang mendominasi teknologi satelit dunia!

Kampung Dunia, Dunia yang Aman

Abdul Ghani Abu
(Dewan Siswa Julai 2010)

Sajak - Ceritera Seorang Anak

Ceritera Seorang Anak

Setiap saat hariku
Berlalu
Seperti perjalanan panjang
Yang berliku

Hujan air mata
Membasahi bumi hidupku
Yang ketandusan
Cinta dan kasih insan tersayang
Benarlah, kehilangan
Seperti nyawa kehilangan jasad
Seperti warna kehilangan pelangi
Seperti mentari kehilangan cakerawala

Sebenarnya, kasih jutaan insan
Belum mampu mengikis benci
Daripada wajah malang seorang piatu

Lukaku yang parah berdarah
Biarpun sembuh
Pedih masih
Di kamar hidup
Mencari aku
Pelangi bahagia
Di buana hidup!

B.Geeta,
Tingkatan 3 Bestari,
SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

I am looking For a Teacher

I am looking for a teacher
Who is beautiful inside
Honest with the students
Giving them a sense of pride

I am looking for a teacher
With a healthy self esteem
Who clearly states the rules
And doesn’t have to scream

I am looking for a teacher
Who creatively prepares
But Whose first priority
Is to convey that she cares

I am looking for a teacher
Who is interested, not aloof
Who treat her students with respect
Even when they goof

I am looking for a teacher
Who knows how to laugh and smile
Who enjoys what she’s doing
And goes the extra miles

I am looking for a teacher
Who believes all students can learn
Who praises their efforts and talents
They give their best return

I am looking for a teacher
Who communicates with parents well
Gently and carefully selecting words
When there’s problem to tell

I am looking for a teacher
Who will fill a child with desire
To love to learn more every day
With curiosity that won’t tire

I am looking for a teacher
Who encourages children to have a dream
To work at solving problems
Building their self esteem
There are some teachers out there
The kind I am looking for
For their student’s success
They have opened the door

(Sumber: MGCM)

Sajak Li Bai



















Hearing a Flute on a Spring Night in Luoyang
Li Bai

Whose house jade flute secret fly sound
Lose enter spring wind fill Luoyang city
This nocturne middle hear break willow
What person not start home feel
From whose home secretly flies the sound of a jade flute?
It's lost amid the spring wind which fills Luoyang city.
In the middle of this nocturne
I remember the snapped willow,
What person would not start to think of home!

Sunday, July 4, 2010

AGI 2009
























KL FRINGE DANCE 2009
PERSEMBAHAN PUISI TRI-V = VERBAL-VOCAL-VISUAL (TAK TUN, DUN DUN CAK CAK, LAPANGAN YA-YA-YA, GAKGAKGAK, & TAN SRI BULAN)

Karangan SPM

Penghayatan nilai-nilai murni dapat membentuk pelajar yang berketerampilan.
Jelaskan langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar.

Matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan satu lapisan masyarakat yang berilmu, berkemahiran dan bersahsiah tinggi. Kesemua matlamat ini menyebabkan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia melihat penghayatan nilai-nilai murni itu sebagai suatu aspek penting dalam dunia pendidikan. Kemelut disiplin yang melanda pelajar kini telah menguatkan lagi hujah yang memerlukan kewujudan pelajar berketerampilan ini. Maka, pelbagai tindakan yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berketerampilan mampu dilaksanakan untuk mencapai hasrat ini.

Tindakan awal ialah kementerian telah mewajibkan konsep penyerapan nilai merentas kurikulum. Dalam konsep ini semua guru tanpa mengira subjek yang diajarkannya perlu memasukkan nilai-nilai murni kepada pelajar ketika melaksanakan tugas mereka. Tindakan ini amat bijak kerana sebelum ini hanya guru-guru tertentu sahaja seperti guru disiplin atau guru kaunseling yang perlu memupuk sikap positif dalam jiwa pelajar mereka. Jelaslah, tindakan ini memastikan semua pihak terutama guru melaksanakan tugas memupuk sikap pelajar yang terpuji.

Pada masa yang sama, guru-guru juga memberikan teladan yang baik kepada pelajar mereka. Kelakuan guru perlulah diawasi dengan baik sama ada ketika mengajar di sekolah atau beriadah di luar sekolah. Keadaan ini juga membuktikan kepada pelajar bahawa nilai-nilai positif yang dinyatakan oleh guru itu bukanlah sukar untuk dilaksanakan oleh mereka. Sesungguhnya, guru yang mampu memberikan contoh teladan yang baik berupaya menjadikan pelajarnya lebih bersikap mulia lagi.

Bukan sahaja pihak sekolah memperkenalkan konsep tertentu kokurikulum dan guru memberikan teladan yang baik tetapi Unit Kaunseling setiap sekolah turut boleh memainkan peranan. Mereka boleh melaksanakan kem peningkatan sahsiah pelajar secara berkala dan terancang. Semua pelajar yang dianggap mempunyai masalah disiplin akan menyertai kem ini untuk memulihkan jiwa mereka semula menjadi pelajar yang terbilang kelak. Justeru, kewujudan kem peningkatan sahsiah yang sistematik mampu melahirkan generasi pelajar yang beketerampilan.

Tambahan pula, aktiviti kokurikulum perlu ditingkatkan agar keterampilan pelajar dapat diketengahkan. Pada masa yang sama nilai murni dalam jiwa pelajar juga turut terbentuk menerusi aktiviti kokurikulum sebegini. Masalah yang timbul ialah banyak aktiviti kokurikulum ini dilaksanakan secara hangat-hangat tahu ayam sahaja. Sebenarnya, kokurikulum mampu melahirkan generasi pelajar yang berakhlak mulia, bersikap positif dan cemerlang di samping memupuk nilai-nilai kepemimpinan yang terpuji.

Kesimpulannya, kerjasama semua pihak terutamanya pihak guru amat diperlukan untuk memastikan visi dan misi ini menjadi kenyataan sekali gus melahirkan modal insan yang cemerlang dan gemilang.

Saturday, July 3, 2010

Benua Asia


Karangan SPM

Kerajaan telah berusaha untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini ekoran peningkatan kes sosial pula.
Nyatakan langkah-langkah yang mampu diambil oleh kerajaan untuk mengekalkan insititusi keluarga ini.

Institusi keluarga bolehlah dikategorikan sebagai satu unit manusia yang meliputi ayah, ibu dan beberapa orang anak. Ada juga keluarga yang mempunyai bilangan orang tua yang lebih banyak seperti datuk, nenek, dan pak cik serta mak cik pula. Tindakan media massa yang memaparkan peningkatan gejala sosial berkait rapat dengan keruntuhan institusi keluarga telah menyebabkan semua pihak berasa terkejut lalu pelbagai pendapat pula kedengaran pula. Jadi, apakah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan institusi keluarga di negara ini terus utuh?

Tindakan awal yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah kerajaan menggubal satu perundangan baru yang boleh memastikan keuntuhan keluarga di negara ini terus berkekalan. Kewujudan akta yang lebih menyeluruh seperti mampu menangani masalah penceraian, penderaan anak dan isteri pasti mampu memberikan satu sinar baru kepada pembentukan keluarga yang sihat pula. Masyarakat akan lebih berhati-hati untuk bertindak mendera atau lari dari rumah begitu sahaja kerana sedar adanya peruntukan perundangan yang boleh member impak kepada diri mereka pula nanti jika dilakukan tanpa berfikir. Maka, tindakan mewujudkan satu perundangan yang lebih holistik mampu menghasilkan satu bentuk keluarga yang lebih baik di negara ini.

Selain itu, kerajaan boleh menjalankan satu kempen kesedaran tentang peri pentingnya institusi keluarga ini diberi penekanan di negara ini. Dalam kempen ini dihuraikan bahawa kebanyakan gejala sosial yang berlaku di Malaysia mampu dikurangkan jika negara ini memiliki persepsi kepentingan keluarga yang sebenarnya. Pada masa yang sama kempen itu juga berupaya untuk menerangkan cara-cara untuk memiliki satu keluarga yang baik dan sihat supaya masyarakat boleh melakukan sesuatu pula terhadap keluarga mereka sendiri. Jelaslah, langkah mengadakan kempen bukan sahaja mampu menerangkan kepentingan keluarga kepada masyarakat tetapi juga berupaya mendidik mereka untuk memproleh satu keluarga yang sempurna.

Bukan sahaja penggubalan perundangan dan menjalankan kempen tetapi kerajaan juga boleh menubuhkan satu agensi khas yang akan menguruskan semua aspek berkaitan dengan kekeluargaan di negara ini. Agensi ini akan merangka semua tindakan yang bersesuaian dengan perancangan kerajaan setelah mengadakan kajian mengenai keadaan keluarga di negara ini pula. Kewujudan agensi khas ini juga membuktikan kepada masyarakat bahawa kerajaan sememangnya bersungguh-sungguh dalam usaha untuk menangani masalah sosial yang berlaku itu. Sesungguhnya, penubuhan sebuah agensi khas keluarga sebegini mampu menjadikan semua aktiviti yang dilaksanakan terancang dan tepat ke arah sasarannya.

Tindakan seterusnya ialah kerajaan boleh mewajibkan semua ibu bapa terutama pasangan yang baru berkahwin untuk menghadiri satu kursus keibubapaan. Kehadiran mereka dalam kursus sebegini memberikan mereka satu pengetahuan asas untuk mendidik anak sendiri apabila sampai masanya kelak. Pengetahuan mendidik sebeginilah yang bakal menjadikan keluarga itu lebih mantap kerana anak akan dididik dengan sempurna oleh ayah dan ibu mereka. Oleh itu, kursus yang dianjurkan ini menjadikan tugas untuk mendidik keluarga itu begitu mudah dan berkesan.

Malahan, keutuhan keluarga ini juga mampu ditingkatkan oleh kerajaan dengan menyediakan sistem perumahan yang selesa buat rakyat di negara ini terutama golongan yang berpendapatan rendah. Kita sedia maklum bahawa harga rumah di negara ini terutama di kawasan bandar begitu mahal sehingga ada keluarga yang tidak mempunyai rumah yang selesa untuk keluarga mereka. Keadaan ini menyebabkan anak-anak sering tiada di rumah lalu mereka mudah untuk terpengaruh dengan unsur-unsur negatif di luar rumah pula. Justeru, kemampuan kerajaan menyediakan perumahan yang baik buat rakyat di negara ini bakal menyaksikan semua gejala sosial yang berlaku menjadi berkurangan pula.

Kesimpulannya, semua tindakan yang diutarakan tadi sememangnya mampu menghasilkan satu institusi keluarga yang utuh di negara ini. Kerjasama semua pihak terutama ibu bapa amat diperlukan jika tindakan-tindakan ini ingin mencapai sasarannya. Kegagalan untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya pasti menjadikan gejala sosial yang melanda negara ini terus bertambah saban tahun. Slogan “Rumahku, Syurgaku” membuktikan betapa pentingnya keharmonian dan keutuhan keluarga itu buat pendidikan generasi masa depan negara ini.

Friday, July 2, 2010

Kursus Kepemimpinan KRS SMK Methodist (MES), 35900 Tg.Malim 3 - 4 Julai 2010










MES Juara Koir KRN Perak 2010

















Pasukan Koir SMK Methodist, Tg. Malim muncul sebagai juara dalam Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik antara Kelab Rukun Negara Sekolah-sekolah Menengah Negeri Perak 2010 pada 26 Jun 2010.

Plot dalam Novel Merdeka! Merdeka!

Analisis Novel Merdeka ! Merdeka !
Penulis Novel: A. Rahman Hanafiah

PLOT
PERMULAAN
Kudin dan rakan-rakan serta orang-orang Kampung Teras Jernang berjuang untuk mempertahankan kampung meraka daripada ditawan oleh komunis. Kudin mengetuai pemuda kampung dan sentiasa bekerjasama dengan penduduk kampung menentang penjajah. Kudin terkejut kerana dipilih mewakili angkatan pemuda ke Kuala Lumpur untuk menyampaikan ucapan. Kampung Teras Jernang menjadi sasaran pengganas menyebabkan kehidupan orang kampung tertekan. Penduduk kampung membina kubu untuk mempertahankan kampung mereka.

PERKEMBANGAN
Kudin menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur mewakili Persatuan Pahlawan Kemerdekaan Gerik. Dia juga diminta untuk menyampaikan ucapan dalam perhimpunan agung.

PERUMITAN
Ayah Kudin (Pak Awang) diugut supaya meninggalkan persatuannya itu dan bekerjasama dengan pihak Inggeris. Namun begitu, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja dengan Inggeris. Kisah kehilangan Bustam di dalam hutan menimbulkan kebimbangan Pak Awang sehngga mendorongnya memasuki hutan untuk mengesan Bustam. Pak Awang hilang ketika mencari Bustam yang telah dilarikan oleh pengganas komunis. Akhirnya, Pak Awang telah mati dibunuh oleh pengganas komunis.

KLIMAKS
Kudin berangkat ke Kuala Lumpur walaupun ayahnya masih belum ditemui. Perhimpunan agung yang berlangsung di Kuala Lumpur mendapat sambutan yang hangat. Perhimpunan yang dihadiri oleh orang-orang Melayu itu turut disertai oleh pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh Melayu. Penerangan daripada Dato’ Onn berjaya mempengaruhi Raja-raja Melayu supaya menentang penubuhan Malayan Union dan bersetuju sebulat suara untuk tidak menghadiri pengisytiharan Malayan Union. Hal ini, menyebabkan majlis perasmian Malayan Union gagal.

PELERAIAN
Walaupun Malayan Union gagal ditubuhkan, namun Dato’ Onn tetap mengingatkan semua orang bahawa perjuangan mereka masih belum selesai. Dato’ Onn menyeru orang Melayu agar bersatu untuk meneruskan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

Hasil Kerja Kumpulan 3:
Muhammad Nabil b. Ridzuan, Muhammad Syaamil b. Ruslan, Muhammad Farhan b. Zolkipli dan Muhammad Shahrul Nizam b. Abdul Wahab, Tingkatan 3 Bestari, SMK Methodist, 35900Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.

Thursday, July 1, 2010

Ceritera Bahasa: Hukum D - M

"Program Tentatif" atau "Tentatif Program"?

Ceritera Bahasa pada kali ini berkaitan dengan penggunaan kata majmuk program tentatif dan tentatif program. Banyak sekali kertas cadangan, kertas rancangan, kertas awalan dan kertas konsep sesuatu projek atau program yang saya terima, baik yang saya terima sewaktu saya menjadi Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka mahupun yang saya terima daripada penganjur pelbagai program ketika mengundang saya agar ikut serta dalam program itu sebagai penceramah, penatar atau pemakalah.

Daripada sekian banyak yang saya terima itu, dalam anggaran 80 peratus lebih menggunakan kata majmuk tentatif program apabila mengemukakan jadual atau atur cara program. Hal itu menimbulkan tanda tanya kepada saya mengapakah bentuk kata majmuk itu meluas penggunaannya. Rupa-rupanya prinsip atau aturan binaan kata nama majmuk yang telah dikemukakan oleh Allahyarham Prof. Sutan Takdir Alisjahbana lebih setengah abad yang lalu belum cukup dihayati oleh sejumlah pengguna bahasa. Dalam buku beliau yang berjudul Tatabahasa Baru Bahasa Indonesia (1953), ada dijelaskan prinsip atau aturan yang diberi nama Hukum D-M. Slametmujlana pula dalam bukunya Kaidah Bahasa Indonesia (1957) menyebut aturan itu sebagai "struktur progresif".

Aturan itu menjelaskan bahawa susunan kata dalam bahasa Melayu/Indonesia (yang berkaitan dengan kata nama majmuk) berdasar pada susunan "kata yang diterangkan + kata yang menerangkan". Dalam bahasa Inggeris, unsur yang diterangkan dikenal sebagai "head" sementara unsur yang menerangkan dikenal sebagai "modifier".

Dalam bahasa Inggeris, prinsip asas pembentukan kata nama majmuk berasaskan susunan "modifier + head", seperti "old man" ("old" sebagai "modifier" mendahului kata "man" sebagai "head"). Dalam hal contoh yang kita bincangkan, bentuk "tentative program" merupakan bentuk kata nama majmuk yang memenuhi prinsip "modifier + head" itu.

Oleh sebab kata "tentative" telah diubah menjadi "tentatif" menurut prinsip morfologi bahasa Melayu, maka susunan kata majmuknya perlu menurut susunan kata nama majumk dalam bahasa Melayu. Sebagai "kata yang menerangkan", kata itu perlu diletakkan sesudah "kata yang diterangkan", lalu terbentuklah kata nama majmuk "program tentatif" yang sama maknanya dengan 'jadual tentatif' atau ''atur cara tentatif atau 'atur cara sementara'. Urutan yang demikian itu sama sahaja dengan urutan "orang tua" (bukan "tua orang") yang jelas berlawanan dengan urutan bentuknya dalam bahasa Inggeri "old man" seperti yang disebut tadi.

Bentuk itu sama dengan sejumlah besar bentuk kata nama majmuk yang lain, baik yang diserapkan daripada bahasa asing seperti "rawatan alternatif" (bukan "alternatif rawatan"), "jumlah kumulatif" (bukan "kumulatif jumlah"), atau yang memang merupakan bentuk kata nama majmuk asal dalam bahasa Melayu seperti "kesan sampingan", "rekaan baharu", "bilik kebal" dan yang lain.

Bentuk lain yang sama polanya ialah "hal lain" (atau "hal-hal lain"), "perkara-perkara lain", "perkataan lain" yang oleh sesetengah orang masih diucapkan atau ditulis sebagai "lain hal" (atau "lain-lain hal"), "lain-lain perkara" dan "lain perkataan".

Pastilah ada beberapa kekecualian dalam sesuatu prinsip atau aturan, namun kekecualian yang kecil jumlahnya berbanding dengan penerapan aturan yang menerbitkan sekian banyak bentuk yang memenuhi prinsip tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak mematuhi prinsip atau aturan. Seringkali orang menjadikan alasan adanya bentuk "bumiputera", "perdana menteri" dan sebagainya untuk mengatakan bahawa Hukum D-M bukan prinsip atau aturan yang ketat dalam bahasa Melayu. Kekecualian itu ada penjelasannya, sebagaimana adanya bentuk seperti "secretary-genera"l dalam bahasa Inggeris yang tidak selari dengan bentuk-bentuk kata nama majmuk keseluruhannya.

[Perbincangan tentang Hukum D-M yang berkaitan dengan susunan kata nama majmuk dalam bahasa Melayu dapat dibaca dalam buku saya "Tuntunan Bahasa", Bahagian Dua: Sendi Bahasa, bab 9 dan bab 10 (terbitan Pearson).]

Landskap Alam - Vietnam

BM SPMU 2010

BM SPMU 2010 (RUMUSAN): JAWABAN CADANGAN
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan pemanasan global dan sebab-sebab masyarakat kurang mengambil berat terhadap fenomena ini. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Fenomena pemanasan global atau peningkatan suhu bumi telah lama mendapat perhatian pakar meteorologi dan pakar sains di seluruh dunia. Mereka telah membuat kajian tentang punca-punca fenomena alam ini dan kesan-kesannya. Dapatan kajian menunjukkan bahawa suhu bumi meningkat secara mendadak yang akan menyebabkan bongkah ais di kawasan kutub semakin mencair. Akibatnya, kawasan pinggir pantai di seluruh dunia akan tenggelam dan menyebabkan kemusnahan harta benda. Oleh itu, pelbagai ikhtiar dilakukan untuk menanganinya agar kesejahteraan hidup penduduk dunia tidak terjejas.

Pemanasan global turut menyebabkan cuaca dunia berubah di luar jangkaan. Buktinya, benua Eropah yang biasa dikaitkan dengan cuaca sejuk kini telah berubah coraknya menjadi panas. Fenomena ini juga diramal akan mengubah arah tiupan angin monsun yang pasti menjejaskan ekosistem bumi. Di samping itu, pemanasan melampau mengakibatkan tumbesaran tanaman dalam sektor pertanian terganggu sehingga menjejaskan produktiviti. Misalnya, beberapa tahun yang lalu negara kita pernah menganam kenaikan harga makanan yang mendadak berikutan banyak tanaman musnah akibat cuaca yang tidak menentu.

Antara punca utama pemanasan global ialah pelepasan asap kenderaan dan kilang serta pembakaran terbuka yang membebaskan gas karbon dioksida berlebihan ke atmosfera. Oleh itu, kita sewajamya berusaha mencari jalan untuk mengurangkan pelepasan gas-gas berbahaya ke udara dan mengelakkan pembakaran terbuka.

Peningkatan gas karbon dioksida akan menyekat pelepasan haba dari bumi ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan peningkatan tahap keasidan laut hingga menjejaskan hidupan marin terutamanya terumbu karang. Manusia juga terdedah kepada pelbagai jenis penyakit akibat fenomena alam yang membimbangkan ini. Contohnya, penyakit berkaitan kulit disebabkan oleh kepanasan melampau yang membunuh sel-sel kulit. Begitu juga penyakit katarak mata yang berpunca daripada pendedahan terhadap cahaya ultraungu secara berlebihan. Perkara yang lebih membimbangkan masyarakat dunia adalah apabila suhu yang melampau turut mengancam nyawa manusia hingga berlaku kematian di beberapa buah negara. Oleh yang demikian, manusia tidak seharusnya leka kerana tindak balas alam tidak mengenal sesiapa yang melakukannya dan semua makhluk akan menanggung bahananya.

Menurut jurnal Nature, pemanasan global mempercepat kepupusan lebih daripada sejuta spesies hidupan darat dalam tempoh 50 tahun. Sehubungan dengan hal itu, penduduk dunia harus mengubah cara hidup agar alam kembali sihat. Sumbangan paling mudah adalah dengan mengurangkan penggunaan elektrik dan mengutamakan pengangkutan awam. Sekurang-kurangnya, sedikit sumbangan yang dilakukan mampu melambatkan kemusnahan bumi.

(Dipetik dan diubah suai daripada `Pemanasan Global' oleh Zurin M. Zain, Dewan Masyarakat, Julai 2007)

PENGENALAN :
Petikan membincangkan AKIBAT/ IMPLIKASI/ NATIJAH/ KEBURUKAN/ IMPAK pemanasan global.

ISI TERSURAT : Kesan-kesan pemanasan global.
[ Maklumat mesti dipetik daripada petikan yang diberi ]

S1. Akan menyebabkan bongkah ais di kawasan kutub semakin mencair menyebabkan kawasan pinggir pantai di seluruh dunia akan tenggelam dan menyebabkan kemusnahan harta benda.

S2. Menyebabkan cuaca dunia berubah di luar jangkaan.

S3. Akan mengubah arah tiupan angin monsun yang pasti menjejaskan ekosistem bumi.

S4. Mengakibatkan tumbesaran tanaman dalam sektor pertanian terganggu sehingga menjejaskan produktiviti.

S5. Akan menyekat pelepasan haba dari bumi ke angkasa lepas.

S6. Menyebabkan peningkatan tahap keasidan laut hingga menjejaskan hidupan marin terutamanya terumbu karang.

S7. Terdedah kepada pelbagai jenis penyakit

S8. Turut mengancam nyawa manusia hingga berlaku kematian di beberapa buah negara.

S9. Mempercepat kepupusan lebih daripada sejuta spesies hidupan darat dalam tempoh 50 tahun.


ISI TERSIRAT : Sebab-sebab masyarakat kurang mengambil berat terhadap fenomena ini.
[ Tidak boleh memetik apa-apa maklumat dalam petikan yang diberi ]

T1. Tidak menyedari implikasi negatif daripada pemanasan bumi / sikap tidak ambil peduli

T2. Kurang publisiti dalam media massa terhadap fenomena pemanasan global

T3. Kesan fenomena ini jarang dirasai secara langsung.

T4. Masyarakat tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang fenomena ini.

T5. Kesibukan bekerja/ menjalankan tugas harian.

T6. Sifat tamak/ mementingkan diri sendiri.

T7. Selesa dengan teknologi untuk mengurangkan kesan pemanasan global seperti alat pendingin hawa.

KESIMPULAN :
Kesimpulannya, setiap ahli masyarakat perlu bekerjasama untuk mengurangkan masalah pemanasan global agar kesejahteraan hidup masyarakat terjamin.

Jawaban ini hanya cadangan sahaja dan tidak semestinya diterima sebagai jawaban rasmi. Pihak LPM mempunyai kata putus untuk menetapkan isi jawabaan yang tepat.
(Sumber: Cikgu Abd Razak Bin Hassan)

Dewan Siswa Julai 2010


Ruangan Menarik Dewan Siswa:
Sekolahku Akarku: SMK Methodist menjadi Juara Dunia di Tanjong Malim oleh Abang Armin A. Saleh.