Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, June 29, 2010

Dewan Sastera Julai 2010


Sajak - Senja Merah








SENJA MERAH

Sekembalinya aku
Dari darmawisata hidup
Senja merah sedang meratap
Seepisod ceritera perihal permerdagangan maruah
Gadis di perantauan impian

Sekembalinya aku
Dari darmawisata hidup
Senja merah sedang menatap
Sehalaman berita perihal cemburu buta
Tergadainya kasih di perkebunan cinta

Sekembalinya aku
Dari darmawisata hidup
Senja merah sedang dipertontonkan
Seadegan drama sadis
Anak kecil bernama Syafia
Maut didera kehaiwanan manusia
Dunia cerianya sudah lama diperkosa
Dunia bahagianya sudah lama diluka

Kembali berdarah
Senja merah kehidupan
Dan, berkuburlah kemanusiaan
Di buana ketamadunan insan!

Chai Loon Guan,
SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

(Dewan Sastera Julai 2010)

Friday, June 25, 2010

Gurindam

Apabila banyak berkata-kata, di situlah jalan masuk dusta. Apabila banyak berlebih-lebihan suka, itulah tanda hampirkan duka. Apabila kita kurang siasat, itulah tanda pekerjaan hendak sesat. Apabila banyak mencela orang, itulah tanda dirinya kurang. Apabila perkataan yang lemah lembut, lekaslah segala orang yang mengikut. Apabila perkataan kasar, lekaslah orang sekalian gusar.
(Raja Ali Haji, Gurindam 12)

(Sumber: Kembara Bahasa dalam FB)

Monday, June 21, 2010

Karangan BM Tingkatan 3

Kementerian Pelajaran Malaysia memperuntukkan jutaan ringgit bagi subsidi pakaian seragam unit beruniform di sekolah-sekolah Malaysia.Bincangkan faedah-faedah yang diperoleh dengan memakai palaian seragam unit beruniform pada setiap Rabu.

Menurut peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, murid-murid dikehendaki memakai pakaian seragam unit beruniform pada setiap hari kokurikulum, iaitu pada hari Rabu setiap minggu. Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperuntukkan jutaan ringgit bagi subsidi pakaian seragam unit beruniform bagi murid-murid yang tidak berupaya untuk membeli atau memiliki pakaian seragam tersebut. Sebenarnya, amalan memakai pakaian seragam unit beruniform mendatangkan pelbagai faedah kepada murid.

Salah satu faedah ialah murid-murid boleh memperkenalkan identiti pasukan masing-masing melalui pakaian seragam unit beruniform. Misalnya, Kadet Remaja Sekolah dan Bulan Sabit Malaysia dapat dikenali dan dibezakan melalui pakaian seragam yang berwarna hijau tua dan putih bersih.

Seterusnya, murid-murid dapat memupuk kesedaran tentang Hari Kokurikulum. Murid-murid akan menyedari kepentingan dan kebaikan kegiatan kokurikulum sama ada di sekolah atau di luar sekolah. Selain tanggungjawab, murid-murid yang menyertai kegiatan kokurikulum secara proaktif dapat menambah pengetahuan dan pengalaman yang diajarkan di luar bilik darjah.

Aktiviti pakaian seragam yang melibatkan murid yang berbilang kaum akan membentuk dan melahirkan generasi murid yang tahu menghormati dan memahami rakan sepasukan di samping dapat mengeratkan tali silaturahim melalui semangat kerjasama dalam pasukan unit beruniform bak kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.

Akhirulkalam, setiap murid, ibu bapa dan guru wajar memberikan kerjasama dan sokongan bulat kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha menggalakkan pemakaian pakaian seragam unit-beruniform kepada murid-murid dari semasa ke semasa khususnya pada setiap hari Rabu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek(JERI).

Disediakan oleh: Ong Pei Zhi, Tingkatan 3 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

Sunday, June 20, 2010

Karangan BM Tingkatan 3

Murid cemerlang lazimnya akan berjaya dalam sukan dan cemerlang dalam akademik. Bincangkan sikap-sikap positif yang perlu ada pada seseorang murid untuk mencapai kecemerlangan dalam sukan dan akademik.

Murid cemerlang hari ini merupakan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Murid cemerlang lazimnya akan berjaya dalam sukan dan cemerlang dalam akademik. Seseorang yang cemerlang biasanya akan mendapat pujian dan dijadikan sebagai contoh teladan dan pedoman kepada murid-murid yang lain.

Sekiranya kita ingin mencapai kecemerlangan dalam dunia sukan dan akademik, maka sikap positif yang ada pada kita amatlah penting dan perlu diutamakan. Sikap-sikap positif perlulah dipupuk supaya dapat membentuk murid yang cekap dan berjaya pada masa hadapan. Pertama sekali, kita haruslah bijak menguruskan masa. Masa itu emas. Kita haruslah menggunakan masa dengan melakukan aktiviti yang berfaedah agar kehidupan kita menjadi lebih bermakna. Dengan ini, kita juga dapat menimba ilmu dan kemahiran dalam bidang sukan dan akademik dengan lancar.

Selain itu, kita hendaklah mengamalkan sikap rajin. Kita haruslah berlatih dan belajar bersungguh-sungguh. Usaha itu tangga kejayaan. Lama-kelamaan, usaha yang kita lakukan akan membuahkan hasil yang cemerlang dan memuaskan. Tegasnya, sikap rajin dapat mendorong kita ke arah kejayaan. Di samping itu, kita juga haruslah sanggup berkongsi kebijaksanaan kita dengan rakan-rakan kita. Apabila rakan kita menghadapi kesusahan dalam pelajaran, kita wajar menunjuk ajar rakan kita. Dengan berkongsi ilmu dan kebijaksanaan, kita dapat belajar bersama-sama, berkongsi pendapat sekali gus merapatkan silaturahim sesama insan.

Sebenarnya, sebagai murid, kita mestilah menghormati keluarga, guru, jurulatih dan insan yang sudah berumur dan dewasa. Kita tidak boleh menidakkan kata-kata mereka sewenang-wenangnya. Barangkali nasihat mereka amat berguna kepada kita untuk dijadikan pedoman sepanjang hayat. Jadi, kita haruslah mendengar nasihat dan menghargai jasa baik mereka. Merekalah yang telah membantu kita selama ini sama ada secara langsung atau tidak langsung ke arah kecemerlangan dan kegemilangan hidup.

Kesimpulannya, kita haruslah mengamalkan sikap-sikap positif dalam kehidupan sehari-hari untuk mencapai kecemerlangan hidup, khususnya dalam bidang sukan dan akademik. Setiap murid mestilah berusaha mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam hidup kerana kitalah pewaris nusa bangsa menjelang Wawasan 2020.

Disediakan oleh,

Cheong Chin Ying,
Tingkatan 3 Amanah,
SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim.

Cuti Pertengahan Tahun 2010

Cuti Pertengahan Tahun

Pada cuti pertengahan ini, saya dan keluarga telah melawat ke pameran buku. Pameran ini diadakan di ‘THE MINES’ bersempena dengan cuti sekolah. Sebelum bertolak, kami telah bersiap sedia dengan segala minuman dan pakaian sejuk yang diperlukan untuk lawatan itu. Tepat pukul 9.00 pagi, kami pun menaiki kereta untuk ke sana.

Lebih kurang satu jam perjalanan, kami telah sampai di ’THE MINES’. Kemudian, kami pun masuk ke dalam dewan pameran buku. Kelihatan banyak orang sudah mula membanjiri dewan pameran. Terdapat lebih kurang 20 buah gerai yang telah menyertai pameran tersebut. Antaranya ialah gerai buku M.P.H, HASSANI dan POPULAR. Selain itu, terdapat juga gerai yang menjual buku-buku terbitan DEWAN BAHASA dan PUSTAKA. Di setiap gerai, terdapat kain-kain rentang yang tertulis akan tawaran istimewa dan diskaun yang diberikan.

Kami sempat singgah di beberapa gerai untuk memilih dan membelek-belekkan buku. Kemudian, kami membandingkan harga yang ditawarkan. Setelah berpuas hati, maka kami pun membeli buku-buku yang telah kami pilih itu. Selain pameran dan jualan buku, terdapat juga aktiviti sampingan yang dijalankan di situ. Antaranya ialah pertandingan bercerita, bicara buku dan pertandingan mewarna.

Selepas lima jam, kami pun pulang ke rumah dengan perasaan yang gembira. Sesungguhnya, pengalaman tersebut merupakan pengalaman yang tidak dapat kami lupakan.

Hasil kerja:
Ong Ann Zhi, Tingkatan 1 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim,
Perak Darul Ridzuan.

The Rat Trap (Dengan izin...)

The rat trap

From a young age we are taught that we should work. We work hard at school to get the best grades to go to university. We work harder at university to get a good job. And we work yet harder at the job to get that promotion. Finally, we work harder still to keep on getting promotions until we retire.

In the meantime, we fail to love our parents for taking care of us. We miss out on being children with time to laugh and play because we so want to be an adult.

We learn to hone our competitive edge to the degree that we forget our humanity sometimes. And as we grow older, we forget what it means to genuinely love unconditionally and the meaning of forgiveness.

Instead, we learn that everything is an obstacle that we must overcome or we will never reach the next stage. Look at the way electronic games are set up. It is a learned behavior. The child learns to fight and push forward but is never taught to share and include.

As a famous person once said, "you are either with me or with the enemy." This doctrine is not far from the hearts of many people. Perhaps they might not agree with the statement when it comes to politics, but I assure you, look around, and you will see it in abundance in everyday life.
We then bemoan about not having enough time to do all the things we wish we could do. We are more than ready to sacrifice our humanity for money because that is what many of us were taught to focus on. Some of us will work ten, twelve and sometimes fourteen hours a day, not because we need to, but because we have trained ourselves that this is the right way to show that we are dedicated to our work.

Of course there are people who genuinely work because there is no alternative for them to survive. But most of us look at work as a competition that we have to win.

That is the fruition of the learned behavior that we took from our childhood in school. We are graded in school, not to see what subjects we excel at, and thus should focus on - we are graded to see which of us has the ability to learn the system the fastest and thus ensure a better chance of survival in the work environment.

We are even often told that some things naturally present in one person's personality can be taught to others, rather than to celebrate our diversity. The new buzz word in business circles and at universities is ‘entrepreneurship'.

Some people actually believe they can teach this as a skill. What can be taught is the thought process and how to hone the skills by someone who has it in him or her, and gets paid to teach it. What cannot be taught is how to be an entrepreneur. So we learn yet another idea that will encourage us to compete even more for money, and that will ultimately result in us failing to focus on, or care about, humanity.

It is said that money is the root of all evil. I would contend that it is not money but the spirit of greed that money invokes that is the root of evil. Because if we allow acquiring things to be our goal in life, we lose vision of what is truly more important - ourselves.

(Sumber: Fudzail)

Saturday, June 19, 2010

BACA


Cerpen XIII - Lompat Si Katak Lompat

LOMPAT SI KATAK LOMPAT
Chai Loon Guan

Moyot katak melompat lagi. Moyot katak toleh kiri, toleh kanan. Moyot kata cari makan. Susah. Zaman kolonial makanan dan minuman payah. Kerja pun payah. Kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tetapi dia tetap berusaha. Makhluk Tuhan perlu berusaha selagi denyut nadi masih bermelodi! Usaha gigih diperlukan agar zuriatnya tidak kebuluran. Pantang dia anak isteri mati kelaparan. Peduli apa zaman kolonial, moyot katak tidak berputus asa. Dia rajin berusaha. Tekun mencari. Tekun memburu!

Hairan. Zaman penjajah serangga kepupusan. Nyamuk di kaki Bukit Asa ketandusan zuriat. Dulu Bukit Asa kaya akan segala macam makanan moyot katak. Siapa tidak tahu akan rahsia Bukit Asa di pinggir bandar Tg.Jambu menjadi isu bualan masyarakat katak. Ah, peduli apa semua itu. Anak aku masih kelaparan. Dia perlu makan!

Moyot katak melompat di celah-celah daun pohon yang renek. Moyot katak menjelirkan lidah. Tap! Seekor nyamuk menjadi mangsanya. Moyot katak mencari lagi. Kali ini ia berjaya mendapat habuan yang lebih besar. Belalang! Dia tetap tabah berusaha. Gigih memburu. Kata moyot katak kepada anak isterinya, hidup di maya pada ini memerlukan usaha gigih. Tiada kejayaan kalau malas. Malas itu kanser kehidupan. Barah kesejahteraan! Moyot katak sedar dan insaf sungguh-sungguh. Moyot katak tahu asal usulnya. Moyangnya berasal dari Tanah Besar Tiongkok. Moyangnya merantau ke Indochina. Beberapa tahun kemudian ajal moyangnya sampai. Dia mati katak di bandar Ho Chi Minh! Datuknya pula mengembara. Dari Vietnam, datuknya menjelajah ke Kampuchea dan sampai ke Negeri Thai. Ayah moyot katak pula menetap dan mati di Bangkok. Kata moyot katak, generasinya sudah lumrah melompat dari sebuah daerah kehidupan ke sebuah daerah kehidupan yang lain.

Lompat si katak lompat!

Akhirnya, moyot katak berhijrah ke Tanah Melayu. Pernah merasa getir zaman Jepun. Setiap kekejaman Jepun masih jelas dalam ingatannya. Betapa tidak, gadis dan wanita diperkosa macam haiwan! Musuh dipancung dan dibunuh kejam. Ketika itu martabat dan darjat manusia teramat kejam. Zalim! Peperangan menghasilkan manusia yang tidak berhati perut. Peperangan juga memaparkan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Gugurnya bom-bom di Hiroshima dan Nagasaki menyaksikan kehadiran penjajah Inggeris semula di Tanah Melayu!

Moyot katak kagum akan perjuangan Dato’ Onn Jaafar dan rakan-rakan. Kegigihan itu mendorong moyot katak berjuang untuk masyarakatnya. Kita perlu menentang penjajah Inggeris! Usir anjing-anjing penjajah! Suara moyot katak kuat dan lantang. Suara dengkangan masyarakat katak bersahut-sahutan. Akhirnya, Malayan Union terkubur. Tanah ini, Tanah Melayu! Pada malam Tanah Melayu merdeka, moyot katak menghembuskan nafas terakhir. Moyang katak tenang. Mati lahir dalam masyarakatnya adalah tradisi yang lumrah. Yang penting, dia perlu meneruskan kesinambungan perjuangan mendiang bapanya – moyot katak!
Moyang katak berkahwin ketika bendera Union Jack diturunkan. Buat kali pertama, lagu Negaraku dinyanyikan dan berkumandang di bumi bertuah ini.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Suara lantang Almarhum Tunku Abdul Rahman bergema di segenap ruang Stadium Merdeka. Moyang katak berasa bangga. Zaman kolonial sudah berakhir. Lahir sebuah nusa bernama Malaysia. Moyang katak dilantik oleh masyarakat amfibianya sebagai wakil rakyat. Selaku wakil rakyat, moyang katak telah mencanangkan ke seluruh pelosok negara bahawa Tanah Melayu sudah merdeka. Lahir sudah Malaysia! Sayangnya, perjuangan YB wakil rakyat tidak lama. Moyang katak diserang demam malaria. Dia mati dalam perjuangan menyatupadukan bangsa-bangsa katak di seluruh negara! Datuk katak pun naik takhta. Mujurlah masyarakat katak ada zuriat untuk menyambung perjuangan bangsa-bangsa katak. Datuk katak melompat lagi. Zaman selepas merdeka, datuk katak tetap mewarisi ketekunan moyangnya – moyot katak. Datuk katak menyahut seruan Bapa Pembangunan Allahyarham Tun Abdul Razak. Masyarakat katak memerlukan seorang pemimpin yang berakal dan berminda seperti manusia. Datuk kataklah! Datuk katak melompat lagi.

Datuk katak gembira. Zaman selepas merdeka negara aman dan sedang pesat membangun. Masyarakat katak tidak lagi kebuluran. Nyamuk dan serangga kian membiak. Masyarakat manusia semakin leka. Asyik memburu dunia kebendaan. Lupa pada jati diri bangsa. Lupa pada perpaduan. Lupa pada semangat muhibah dan silaturahim sesama insan. Apatah lagi dalam sebuah negara yang beraneka ras dan agama!

Datuk katak tiba-tiba naik ngeri dan resah. Dia menghebahkan maklumat ke seluruh negara agar masyarakat katak berlindung di dalam rumah. Pastikan makanan dan minuman mencukupi. Kempen pilihan raya manusia kian ganas dan provokatif. Caci-mencaci dan cabar-mencabar memendam api kemarahan yang kian membara. Tiba-tiba api 13 Mei yang merah itu membakar manusia! Syukur. Allahyarham Tun bertindak tegas dan mengisytiharkan MAGERAN.

Datuk katak bersyukur seribu kali sejuta kali.
Lompat si katak lompat!

Dunia kehidupan datuk katak beralih tangan. Bapa katak pula menerajui kepemimpinan. Bapa katak berfalsafah perpaduan. Dia mahu masyarakat katak hidup bersatu padu. Muhibah. Ada toleransi dan saling bermuafakat dalam kehidupan. Kata bapa katak, muafakat boleh membawa berkat. Berkat keharmonian dan kesejahteraan bagi masyarakat katak. Bapa katak melompat ke seluruh negara. Berkempen macam tokoh-tokoh politik. Bapa katak menubuhkan AJK Bertindak. Dirikan markas-markas kempen. Pelbagai slogan diutarakan dalam kempen. Pelbagai pepatah dan peribahasa katak disuarakan untuk renungan masyarakat katak.

Usia bapa katak semakin tua. Biarpun penat berkempen dan berpolitik, bapa katak puas hati melihat pencapaian masyarakat kataknya. Yang penting, masyarakat katak tidak mudah dipengaruhi unsur-unsur materialisme. Tidak mudah dibeli dengan wang ringgit politik murahan. Masyarakat di bawah pimpinannya kukuh dan setia dalam perjuangan menegakkan bangsa katak yang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa katak yang lain di buana antarabangsa! Sayangnya, nyawa bapa katak tidak lama. Bapa katak mati diserang sakit jantung!

Anak katak terpaksa mengambil alih tampuk kepemimpinan mendiang bapa katak. Anak katak ada wawasan. Ada visi. Anak katak ada ijazah dari Universiti Katak Antarabangsa! Anak katak berpendapat bahawa pemimpin masyarakat katak pada era 90-an ini memerlukan sekurang-kurangnya kelulusan Doktor Falsafah dalam bidang pentadbiran atau sains politik. Kalau pemimpin hanya ada SPM atau STPM, eloklah menceburkan diri dalam bidang lain. Jangan masuk gelanggang politik. Genre politik penuh dengan sayembara dan risiko.

Anak katak sedar, zaman politiknya kini banyak menghadapi saingan. Anak-anak katak yang lain sudah berpelajaran tinggi. Ada yang berkelulusan profesor dalam bidang falsafah. Maha hebat zaman pemerintahan YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad! Anak katak mesti ada visi. Mesti ada wawasan. Kalau boleh macam Wawasan 2020! Masyarakat tidak mampu lagi ketinggalan zaman. Masyarakat katak perlu maju seperti masyarakat manusia pada era YAB Datuk Seri, canggih, kreatif, inovatif dan berani menangani pancaroba kehidupan.

Masyarakat katak tidak boleh bermimpi siang lagi. Masyarakat katak memerlukan perubahan! Zaman moyot katak sudah berlalu. Kini, zaman canggih. Zaman berteknologi komputer dan robotik! Anak katak melompat lagi. Melompat ke seluruh pelosok negara melancarkan kempen. Kempen dari rumah ke rumah. Dari daerah ke daerah. Dari negeri ke negeri. Kempen anak katak macam kempen mendiang datuknya. Kempen anak katak macam kempen mendiang bapanya.

Anak katak menyeru agar generasinya keluar dari tempurung mundurnya. Anak katak menyeru agar masyarakatnya melompat keluar dari kolam belenggunya. Anak katak menyeru agar anak cucunya tidak mengamalkan politik lompat. Sebaliknya, kata anak katak lagi, generasi 2020 memerlukan generasi katak yang bervisi jauh, gigih, dan berketerampilan meninggikan martabat dan darjah masyarakat kataknya di peringkat antarabangsa! Anak katak melompat lagi. Dan, ia akan melompat selagi lompatannya itu akan membawa kemajuan dan kecemerlangan generasi kataknya.

Lompat si katak lompat!

Lelagu itu masih bermelodi ketika hujan rintik-rintik, bergemerincing antara suara-suara dengkangan katak di segenap bucu hutan kota kosmopolitan moden!

(BACARIA – 18 JUN 1994)

Thursday, June 17, 2010

Madah Pujangga Cina


"Untuk hidup setahun, kita perlu menanam padi; untuk hidup 10 tahun lagi, kita perlu menanam pokok; untuk hidup 100 tahun lagi, kita perlu mendidik belia agar mampu memimpin negara!" - Pujangga Cina, Dewan Masyarakat Jun 2010.

Tuesday, June 15, 2010

Perayaan Cang


Perayaan Cang kembali lagi - 16 Jun 2010. Rindu akan "Cang" mendiang ibu, kuih yang dibuat daripada pulut berintikan pelbagai ramuan yang berempah, diikat dengan tali rumput, dibalut dengan daun buluh sebelum dikukus di dalam tin besar. Aromanya cukup menyegarkan dan menyelerakan!

Sunday, June 13, 2010

Sajak untuk MES








SEKOLAH ILMU SEKOLAH BUDI
(dedikasi buat SMK Methodist,Tg.Malim)

Sejarah tercipta
Sepanjang kembara
Sejarah terakam
Sepanjang zaman
Sejarah tertera
Dasawarsa demi dasawarsa
Ada ketikanya mudah kita lupa
Sejarah pula mengingatkan kita

sekolahku, sekolahmu - MES
Di tamanmu
Ada wangi ilmu
Ada segar jasa
Ada aroma kasih

Keranamu, Methodistku
Lahir modal insan
Lahir umat bermaklumat
Hadir umarak beriltizam
Mempersubur tekad dan azam
Di buana nusa bangsa
sejarahmu
telah mendewasakan nusa
sejarahmu
telah mematangkan bangsa

dirgahayu, sekolah ilmu
dirgahayu, sekolah budi
dirgahayu, MES
dirgahayu!

Chai Loon Guan,
Jabatan Bahasa Melayu, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

Thursday, June 10, 2010

Cerpen XII - Irrashaimase Tanah Melayu

IRRASHAIMASE TANAH MELAYU!
Chai Loon Guan

Stesen kereta api Kuala Lumpur tersergam indah. Seni bina penjajah cukup terserlah. Reka bentuk bangunan unik dan tersendiri. Landskap bangunan bisa menggoda para pencinta seni bina. Ah, manusia Kuala Lumpur macam manusia di pura Singa. Sibuk ke hulu. Sibuk ke hilir. Masing-masing bagaikan sibuk berurusan. Barangkali urusan hidup. Urusan peribadi. Tidak kurang pula yang sedang rancak berurus niaga. Warna-warni kesibukan kian berseri dengan kehadiran mobil-mobil penjajah – satu persatu, boleh dibilang dengan jari. Yang jelas masih belum maju. Yang penting, sistem pengangkutan kereta api. Sistem itulah nadi ekonomi Kuala Lumpur.

Dalam kesibukan beca dan lanca bertali arus, bergegas turun Pak Cik Teh.
Ah Hai masih membuntutinya.

”Hai, jangan lupa akan bagasi kamu!” pesan Pak Cik Teh sungguh-sungguh.
”Iya, Pak!”

Bagasi? Bagasi sekadar bungkusan kain baju lama Ah Hai. Soseh-soseh orang ramai timbul tenggelam antara peluit kereta api. Mujur Tanah Melayu sudah kian pesat membangun. Yang penting wujudnya kereta api. Selain faktor ekonomi bijih dan getah, landasan kereta api dibina untuk menghubungkan bandar dengan bandar. Bandar dengan pelabuhan. Itulah pengangkutan awam utama Tanah Melayu ketika itu.

Ceritera daripada Pak Cik Teh semakin banyak mengisi ruang minda Ah Hai. Bagus juga. Sekurang-kurangnya, ceritera itu dapat menyediakan diri Ah Hai. Akan lahirlah Ah Hai yang bermaklumat. Akan lahirlah Ah Hai yang tahu akan perkembagan semasa. Yang penting maklumat tentang Tanah Melayu. Maklumat tentang Kuala Lumpur. Maklumat tentang Tanjong Malim. Sebenarnya, Ah Hai tidak mahu digelar katak di bawah tempurung. Sebagai perantau, dia perlu rajin memerhati. Dia perlu rajin mentafsir. Dia perlu rajin menyesuaikan diri. Yang penting, dia perlu berhati-hati. Tidak boleh sama sekali dia bertindak semberono.

Waktu kian lewat. Mentari sudah berdiri tegak. Pak Cik Teh menjeling-jeling ke arah jam tangannya. Dalam diam-diam, dia telah membilang waktu. Agaknya dan lagi untuk mengisi perut yang lapar sebelum bertolak ke Tg. Malim.

Seperti di pura Singa, Kuala Lumpur – bandar bijiih timah yang pernah dibangunkan oleh Kapitan Yap Ah Loy tidak sepi daripada aktiviti penjajah. Ringkasnya orang putih. British. Kehadiran British merancakkan pembinaan jalan raya. Kehadiran kenderaan bermotor seperti lori, bas dan mobil membuktikan sudah bermulanya era pengangkutan canggih di Tanah Melayu.

”Selepas makan, kita bertolak ke Tg. Malim!” saran Pak Cik Teh. Angguk Ah Hai penuh akur.
”Nasi ayam, dua pinggan!”
”Baik! Air?”
”Lengkong, dua!”
Sambil makan, senario di sekitar stesen ditinjau oleh Ah Hai. Rata-rata, manusia di Kuala Lumpur sudah pandai berurus niaga. Mereka sudah bijak cari makan. Masih ingat Ah Hai pada gugus bicara ibunya di Engchun, rezeki ada di mana-mana. Pokoknya, kita perlu rajin berusaha. Rajin berusaha tangga kejayaan.

Jelas, Kuala Lumpur kian pesat membangun. Kuala Lumpur kian meriah. Kuala Lumpur kian makmur. Sekitar jam 2.30 petang, kereta api menuju ke utara akan bertolak. Stesen kembali dikerumuni orang. Barangkali, tumpuan penumpang menuju ke destinasi utara Semananjung Tanah Melayu.

Kereta api ke utara kian meluncur laju. Dalam kelajuan itu, bayangan keenakan nasi ayam masih terngiang-ngiang. Keenakan nasi lemak masih menyelubungi deria ras Ah Hai. Barangkali nasi ayam Kuala Lumpur istimewa. Nasi ayam Kuala Lumpur berbeza dengan nasi ayam pura Singa. Nasi ayam Kuala Lumpur berbeza dengan nasi ayam Engchun. Barangkali daging ayam panggangnya empuk. Barangkali perencahnya. Barangkali aroma masakannya. Mungkin juga buah tangan cefnya yang hebat dan berpengalaman.

Ah Hai melontarkan pandangan. Saujana luas mata memandang. Senario sepanjang perjalanan ditatapnya. Hutan. Alam yang menghijau. Sungai dan jambatan. Pokok-pokok getah di kiri kanan jalan. Landskap desa, pekan dan lombong bijih bagaikan pita video yang ditayangkan di depan mata.

”Tg.Malim – pekan kecil, Ah Hai!” ujar Pak Cik Teh spontan.
”Penduduknya, bagaimana, Pak Cik?”
”Melayu, Cina, dan India. Ada juga mat salih...”
”Sumber pendapatan mereka Pak Cik?”

”Biasanya, yang Melayu, kakitangan kerajaan, nelayan dan bertani. Cina pula melombong dan berniaga. Masyarakat India pula mendiami estet, bina jalan dan rel kereta api...Ada yang hidup sara diri. Berpindah randah, hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang...”

Tiba-tiba Ah Hai jatuh rindu. Ah Hai terkenang akan nasib keluarganya di Daerah Engchun. Ah Hai terkenang akan ibunya, isterinya – Nyonya Teh, Ah Chuan, Ah Kiew, dan Ah Yee. Sesekali terkenang juga Ah Hai akan adik-beradiknya. Ah Khor, Ah Siew dan Ah Tuah. Bagaimanakah kehidupan mereka sekarang?

Khabar baharu dari Tiongkok, kononnya Nippon sedang bersiap siaga. Nippon sedang mengintai-intai Peking. Nippon sedang berkira-kira untuk melebarkan sayap kuasa di Asia Tenggara. Justeru, Tiongkok perlu ditawan. Jatuhnya Tiongkok di tangan Nippon bererti mudahlah Nippon muncul sebagai kuasa imperialis Zaman Meiji. Sebenarnya, Rusia telah ditawan, 1905. Korea juga telah ditakluki, 1910. Manchuria dalam genggaman Nippon, 1931. Dan, kini tibalah giliran Tiongkok!

Kata Pak Cik Teh, Nippon mahu menawan Asia Tenggara. Nippon amat tahu bahawa Asia Tenggara kaya akan bahan mentah. Asia Tenggara bakal membuka pasaran baharu bagi perusahaannya. Tuntasnya, segala-galanya atas faktor ekonomi.
Pekan demi pekan direntasi kereta api ke utara. Rawang. Rasa. Kuala Kubu Bharu dan Tg. Malim. Tanjong Malim, datanglah aku – seorang perantau yang cuba mengintai peluang, mengumpul azam dan membina impian.
Sementara menunggu giliran turun, Ah Hai yang bagaikan rusa masuk kampung cuba menyesuaikan dirinya dalam suasana yang baharu. Dari stesen kereta api, Pak Cik Teh menunjuk jalan ke Kedai Sin Teck Soon. Kedai Sin Teck Soon terletak di No.2, Jalan Besar, Tg. Malim. Cuma ada ketika itu, dua baris kedai di kiri dan kanan sepanjang Jalan Besar itu. Sebelum kedai itu, ada sederet bazar di tepinya. Di sebelah kiri deretan kedai yang bertentangan terletak bangunan kayu – Pejabat Pos Tg. Malim manakala di hadapan kedai Sin Teck Soon terletaknya Kedai Makan Hainan yang terkenal dengan pau ayam karinya!

Sebaik sahaja melangkah masuk ke kedai Sin Teck Soon, muncul saudara mara Ah Hai yang juga merupakan kakitangan kedai. Ada Pak Cik Wooi. Ada Pak Cik Lian. Ada Pak Cik Khor dan handai taulan, jauh dan dekat. Ah Hai menunjuk hormat dan bersalaman dengan mereka. Pak Cik Teh, selaku ketua atau majikan kedai menyampaikan pesan agar rakan-rakan di kedai membimbing Ah Hai. Layan Ah Hai dengan baik. Anggap Ah Hai sebagai ahli dalam keluarga luas. Dalam pada itu, sempat juga Ah Hai mengirimkan salam keluarga dari Daerah Engchun.

Mulai hari itu, maka bermula rutin hidup Ah Hai di Kedai Sin Teck Soon. Kedai Sin Teck Soon, kedai warisan keluarga Pak Cik Teh sejak turun-temurun. Kini, tibalah pula giliran Pak Cik Teh untuk menguruskannya dengan baik. Barangkali buat beberapa generasi yang akan datang. Dari aspek luaran, kedai dua tingkat itu tidaklah besar sangat. Namun kalau dilihat dari segi transaksi urus niaga, Kedai Sin Teck Soonlah antara kedai yang paling rancak berniaga di Tg. Malim. Kedai itulah pemborong barang-barang runcit. Kedai itulah yang mengedarkan barang-barang dari Tg. Malim ke Rawang. Kedai itulah yang mengedarkan barang-barang dari Tg. Malim ke Sungkai. Cukup luas rangkaian perniagaannya. Hal itu masih belum mencakupi urus niaga dengan syarikat di Kuala Lumpur. Syarikat di Ipoh. Harta berupa rumah, rumah kedai, estet dan dusun buah-buahan di sekitar Tg. Malim, termasuklah Behrang, Behrang Hulu, Slim Village, Kalumpang, Kerling, Rasa dan sebagainya.

Siapa tidak kenal akan Kedai Sin Teck Soon? Peniaga mana yang tidak kenal akan tauke kedai Sin Teck Soon? Sebut sahaja Kedai Sin Teck Soon, orang ramai akan merujuk kepada kedai pemborong runcit yang terkenal di Daerah Tanjong Malim. Bagi Ah Hai, sebagai sin kheh, dia perlu bermula dari bawah. Sedikit demi sedikit pengalaman demi pengalaman dipelajarinya. Sehari selembar benang, lama-lama akan menjadi kain. Ah Hai faham benar, dalam hal kerja lebih-lebih lagi yang berlandaskan urus niaga, fungsi saudara tidak banyak membantu. Biarpun berbau bacang dengan tauke – Pak Cik Teh, namun Ah Hai perlu berdikari. Dia perlu menimba ilmu. Dia perlu menimba pengalaman. Dia perlu membina kerjayanya di rantau orang dengan usaha dan keazaman yang tinggi. Di sini tiada kronisme. Di sini tiada pilih kasih. Segala-galanya di sini, kerajinan, keiltizaman, kesungguhan dan kecekalan. Bertemankan nilai-nilai tersebutlah, Ah Hai mula menapak selangkah demi selangkah. Keazaman Ah Hai cukup teruja di hati sanubari Pak Cik Teh. Kata Pak Cik Teh, Ah Hai sanggup belajar dari sifar. Ah Hai sanggup bekerja dari sifar. Pengalaman demi pengalaman dikutip oleh Ah Hai. Pahit manis dan duka bahagia dijadikan Ah Hai senjata yang ampuh untuk mencari sesuap rezeki dan seteguk bahagia di perantauan orang.

Bagaimanakah dia boleh berjaya sekiranya Ah Hai tidak mahu berusaha? Bagi Ah Hai kejayaan hanya akan berbuah sekiranya benih-benih usaha mula disemaikan di kebun usaha dengan tabah dan cekal. Kata orang rajin tangga kejayaan. Jika tidak, jangan harap kemewahan itu jatuh bergolek ke riba.
”Aku akan berusaha. Aku akan berusaha! Aku akan berjaya!” bisik hati kecil Ah Hai.
Ah Hai amat yakin keluarga di Tiongkok turut memberikan sokongan. Keluarga di Tiongkok turut mendoakan kejayaan. Doa daripada ibu yang tersayang. Doa daripada keluarga yang tercinta. Semoga doa-doa itu termakbul dan memberikan kekuatan dan keyakinan kepada Ah Hai untuk mengharungi lautan kehidupan yang bergelora di maya pada ini.

”Ah Hai!”
Terjaga Ah Hai daripada lamunan jauh.
”Saya...”
”Kita punggah barang-barang dari lori ke stor belakang kedai...” arah Pak Cik Khor selaku mandur kedai.
”Baik, Pak Cik...”

Ah Hai dan dua orang kakitangan lain menuju ke hadapan kedai. Di situ sudah ternanti lori Bedford dengan muatan barang. Barang-barang berupa peti susu tin keluaran Nestle yang diimport dari Australia dan New Zealand. Peti-peti kayu yang bermuatkan susu tin dipunggah secara bergilir-gilir untuk disimpan di dalam stor kedai. Stok baharu perlu disusun dan direkodkan sebelum boleh dipasarkan.

Selepas berhenti rehat untuk makan tengah hari, Ah Hai meneruskan kerja penghantaran barang-barang kepada pembeli yang berselerak di sekitar pekan Tg.Malim. Ke Behrang Ah Hai untuk menurunkan barang-barang runcit seperti beras, gula, minyak masak, susu, dan sebagainya. Ke Kalumpang dan Kuala Kubu Bharu pula Ah Hai dan rakan-rakan untuk menghantar stok rokok pelbagai jenama di kedai-kedai sekitarnya. Demikianlah rutin tugas Ah Hai. Cukup bulan Ah Hai akan dibayar gaji sebanyak $40.00. Duit gaji itu akan disimpan oleh Ah Hai baik-baik. Duit gaji itu akan dikumpul oleh Ah Hai banyak-banyak. Kemudian, Ah Hai akan mengirimkan duit itu ke Daerah Engchun buat ongkos keluarga.

Rutin kerja Ah Hai bertukar-tukar pada setiap hari. Jika kelapangan, Ah Hai akan mengiringi Pak Cik Teh ke Kuala Lumpur. Sebulan sekali, Pak Cik Teh dan Ah Hai akan pergi ke Ipoh pula untuk berurusan. Jual beli barang. Urus niaga wang. Pada hujung minggu pula, ke ladang getah dan kebun buah milik Pak Cik Teh. Di situlah, dapatlah Ah Hai menimba sedikit banyak pengalaman tentang kemahiran toreh-menoreh pokok getah dan tanam-menanam buah-buahan tempatan seperti rambutan, durian dan pulasan.

Sempat juga Ah Hai menjadi ahli pertubuhan masyarakat Hsing Chong Hui dan Chung Ho Tang. Ketika itu masih belum wujud pertubuhan politik Cina yang sah. Yang ada Cuma badan-badan pertubuhan masyarakat yang ditubuhkan oleh kaum Cina yang lahir di Negeri-negeri Selat atau Cina Peranakan. Pertubuhan-pertubuhan tersebut banyak mengambil tahu perkembangan politik di Tiongkok selain menjaga hal-ehwal dan kebajikan masyarakat Cina di Tanah Melayu. Melalui pertubuhan tersebutlah, nama pemimpin tersohor Cina, Tan Cheng Lock mula tersebar luas. Latar masa sekitar 1923 hingga 1934 memperlihatkan kesungguhan dan komitmen pertubuhan-pertubuhan Cina untuk memikirkan asas pemikiran politik masyarakat Cina di Tanah Melayu.


Di Tg.Malim, Ah Hai tidak perlu menyewa bilik atau rumah. Pak Cik Teh telah menyediakan beberapa buah bilik bujang untuk pekerja seperti Ah Hai dan rakan-rakan di tingkat atas Kedai Sin Teck Soon. Di situlah, Ah Hai mencipta hasrat, memburu cita-cita dan mengejar impian. Impian yang menjadi harapan setiap insan yang bernafas di bumi sarwajagat milik Tuhan.

Malam yang membosankan pula akan diisi oleh Ah Hai dan rakan-rakan di panggung terbuka. Di situlah, ditayangkan wayang tanpa suara. Di situlah, dapatlah mereka bergurau senda, merisik khabar dan memasang angan-angan. Biarpun begitu, bukan semua rakan Ah Hai mempunyai hobi dan cita rasa yang sama. Ada yang hilang pada sebelah malam dan muncul pada awal pagi. Ada yang menghabiskan duit dan waktu Luang di meja mahjung atau rest house milik mat salih.

Buat beberapa tahun, dapatlah Ah Hai membina keyakinan dan menimba pengalaman hidup, terutama dalam bidang perniagaan. Dan, pada suatu hari, awal subuh ketika butir-butir kabus mingin membasahi pekan yang bernama Tanjong Malim, tersiar berita di corong-corong radio. Peking telah ditawan oleh Nippon. Gerombolan askar Nippon sedang berpesta kemenangan dan bermaharajalela. Nippon dikatakan sedang berusaha mara menuju ke selatan Tiongkok. Barangkali Nanjing!
Nanjing – kota besar yang sudah berhampiran dengan Daerah Engchun! Oh, Tuhan…jauhkanlah bencana perang dan malapetaka tersebut. Jangan biarkan bumi Engchun dirobek dan dihancurmusnahkan gerombolan askar Nippon!

Nippon binatang!
Nippon haiwan!
Perangi Nippon!
Sekat kemaraan Nippon!
Tewaskan Nippon!

Suara-suara itu masih terngiang-ngiang. Dalam riuh-rendah suara itulah, tiba-tiba dikatakan Daerah Engchun sudah bermandikan darah! Bendera Nippon – dot matahari merah di tengah-tengah latar kain bendera putih semakin banyak yang berkibaran.
Benarkah Nanjing sudah ditawan? Benarkah Nanjing sudah tewas? Seperti Pak Cik Teh, Ah Hai dalam dilema. Ah Hai dalam kesugulan yang amat sangat. Ah Hai dalam kebingungan yang tidak berkesudahan.

Ibu?
Isteriku?
Anak-anakku?
Keluargaku?

Daripada sumber maklumat perisikan British, Pelabuhan Pearl bertukar sketsa cendawan. Asap api cendawan sedang bersketsa di Pasifik. Tora Nippon kian menjadi-jadi. Tora Nippon kian bermaharajalela. Tora Nippon kian berpesta! Siren amaran sudah mula berkumandang di langit terbuka Semenanjung Tanah Melayu.

Kosa Kata / Makna:
1. soseh-soseh – bunyi percakapan yang tidak jelas kedengaran
2. peluit – alat yang berbunyi nyaring apabila ditiup, siren
3. semberono – tidak hati-hati, sembarangan sahaja, kurang teliti, kurang sopan,
kurang manis, sembarangan dll.
4. dan – sempat
5. lengkong – cincau
6. cef – tukang masak utama di hotel, restoran dsb. ketua jurumasak.
7. mat salih – orang Eropah / Inggeris
8. sin kheh – orang baharu
9. mahjung – sejenis permainan judi orang Cina

(SIASAH: 8 - 14 Julai 2011)

KEM BAHASA CINA 2010




Kem Bahasa Cina 2010 telah berjaya dianjurkan oleh Panitia Bahasa Cina, SMK Methodist, 35900 di Dewan Sekolah pada hari Rabu bersamaan 9 Jun 2010. Syabas dan tahniah, barisan AJK PBC dan para peserta KBC 2010!

Wednesday, June 9, 2010




Setenang air di kali, sedamai buana di hati. Awas, air tenang jangan disangka tiada buaya!

Peribahasa - Harimau









HARIMAU
Harimau berantai
Harimau jadi-jadian
Harimau lepas tangkapan
Harimau menunjukkan belangnya
Harimau menyorokkan kukunya
Harimau bertempik tak akan makan orang
Harimau dua sekandang
Harimau ditakuti sebab giginya
Harimau hendak menghilangkan jejaknya
Harimau kena penjara, pelanduk kancil menolak mara
Harimau mati kerana belangnya
Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama
Harimau memperlihatkan kukunya
Harimau puntung kena penjara, pelanduk kecil menolakkan mara
Harimau tidak merendahkan dirinya untuk menangkap cicak sebagai mangsanya
Harimau mengaum tak dapat menangkap

(Sumber: Kamus Peribahasa Lengkap Utusan – Abdullah Hassan & Ainon Mohd)

Monday, June 7, 2010

SUMBANGAN ZA`BA DALAM BIDANG BAHASA DAN PERSURATAN

Sumbangan Pemikiran Za’ba dalam Pelanjutan Tradisi Linguistik Melayu
oleh Prof. Dr. Awang Sariyan

[Dlm. Abdul Hamid Mahmood et al. 2005. Memartabatkan Warisan Pendeta Za`ba. Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (hlm. 12 – 19)]



Tradisi linguistik Melayu yang diupayakan oleh tokoh setempat dan serantau di Alam Melayu dapat dikesan titik awalnya pada pertengahan abad ke-19, iaitu dengan mengambil tarikh terhasilnya karya tatabahasa Melayu oleh Raja Ali Haji, tokoh persuratan di Pulau Penyengat, Riau. Karya itu berjudul Kitab Bustan al-Katibin dan bertarikh 1857. Karya tersebut merupakan buku pelajaran ejaan dan tatabahasa Melayu. Pada tahun 1859, Raja Ali Haji menghasilkan Kitab Pengetahuan Bahasa pula, iaitu karya yang dapat dikategorikan sebagai kamus dan sekali gus tatabahasa Melayu. Sesudah Raja Ali Haji, kurang jelas perkembangan penulisan linguistik Melayu oleh anak watan Melayu, sehinggalah kira-kira satu abad kemudian muncul seorang tokoh yang cukup gigih dan giat berusaha memantapkan sistem bahasa Melayu formal melalui penyusunan sistem ejaan Jawi dan Rumi, tatabahasa dan retorik. Tokoh itu ialah Za’ba, yang lahir pada 16 September 1895 di Batu Kikir, Jempul, Negeri Sembilan.

Za’ba ( Tan Sri Dr. Zainal Abidin bin Ahmad ) diiktiraf oleh masyarakat dan negara Malaysia, khususnya dan Alam Melayu, umumnya sebagai tokoh cendekiawan yang cukup berwibawa. Beliau pemikir dan pencetus beberapa gagasan besar dalam pelbagai bidang –agama, ekonomi, bahasa, sastera, politik, pendidikan, dan kebudayaan sebagai suatu keseluruhan yang menandai tamadun Melayu. Dalam bidang agama, beliau dapat digolongkan sebagai cendekiawan yang mendukung gerakan islah. Dalam bidang politik barangkali ada yang tidak tahu bahawa beliau penggerak aktif dalam menyatukan orang Melayu untuk menolak gagasan Malayan Union kerajaan Inggeris.

Daripada sekian banyak bidang uang diceburinya, bidang bahasalah yang tampaknya paling banyak dipertalikan orang dengan ketokohan dan sumbangannya. Sehingga kini nama Za’ba seakan-akan bersinonim dengan bahasa Melayu. Hal ini tidak menghairankan kerana memang Za’balah yang meletakkan asas sistem bahasa Melayu baharu, baik dalam bidang ejaan mahupun tatabahasa Melayu. Za’balah yang menandai awal babak perkembangan ilmu bahasa atau linguistik Melayu baharu sejak tahun 1920-an, sezaman dengan tokoh linguistik Amerika yang cukup berpengaruh dalam dunia linguistik Barat pada satu waktu dahulu, iaitu Leonard Bloomfield.

Taraf Za’ba sebagai perintis bahasa Melayu baharu diungkapkan dengan menarik sekali oleh Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam pidato umum pengurniaan ijazah Doktor Kehormat Persuratan kepada Za’ba oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1973 dengan kata-kata “Karangannya yang diberi nama Pelita Bahasa Melayu itu sungguh benar pelita yang menerang suasana kelam keliru dan menunjuk jalan ke arah kesedaran orang Melayu akan nilai bahasanya yang merupakan jiwa bangsa itu. Dialah pemukul rebana kalbu masyarakat kita dalam Dewan Persuratan dan nyaring debarannya masih terdengar ke hari ini!” Seorang sarjana besar dari Indonesia Prof. Dr. Harimurti Kridalaksana (1986) mengangkat Za’ba sebagai Bapa Tata Bahasa Tradisional Melayu Malaysia, setaraf dengan Sasrasoeganda yang digelar Bapa Tata Bahasa Tradisional Indonesia. Pengangkatan taraf itu berasaskan pada pengaruh tatabahasa yang disusun oleh Za’ba yang cukup luas dalam sistem pendidikan di negara ini.

Prof. Dr. Asmah Haji Omar (1975), dengan berasaskan peranan buku tatabahasa karangan za’ba yang dijadikan buku pegangan dalam sistem pendidikan di negara ini, menganggap buku Pelita Bahasa Melayu sebagai bible bagi guru-guru bahasa Melayu.

Menurut Prof. Asmah lagi, sehingga tahun 1968 semua buku teks bahasa Melayu yang digunakan di sekolah disusun dengan berasaskan buku tatabahasa Za’ba. Hal ini bererti bahawa pengaruh Za’ba melampaui tempoh paling tidak 30 tahun dalam perkembangan bahasa Melayu di Malaysia. Malah sesudah munculnya pelbagai aliran linguistik dalam percubaan menganalisis jalan bahasa Melayu ketika ini, tatabahasa yang disusun oleh Za’ba masih tetap dirujuki. Sering juga kedengaran kata-kata sebilangan sarjana linguistik sendiri bahawa setengah-setengah konsep yang diperkatakan kini sebenarnya telah sedia ada dalam buku Za’ba tetapi tidak disedari oleh setengah-setengah ahli linguistik moden yang kadang-kadang tidak suka menoleh ke belakang untuk mengambil manfaat daripada hasil kerja orang terdahulu. Sebahagian analisis Za’ba yang ternyata masih dapat dijadikan sandaran untuk analisis bahasa Melayu kini telah saya kemukakan dalam kertas kerja yang berjudul “Penyusunan Tata Bahasa Melayu di Malaysia : Dari Pelita Bahasa Melayu ke Tatabahasa Dewan” untuk Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu di Universiti Malaya pada tahun 1989.

Sebelum terbitnya Pelita Bahasa Melayu dalam tiga penggal ( pada tahun 2000 buku tersebut telah diterbitkan semula dalam edisi ejaan baharu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ), Za’ba sebenarnya telah menghasilkan buku Ilmu Bahasa Melayu pada tahun 1926 dan 1927. Buku Pelita Bahasa Melayu Penggal I yang terbit pada tahun 1940 telah mula ditulis pada tahun 1934 dan 11 bab selesai pada tahun 1936. Pelita Bahasa Melayu Penggal II pula siap ditulis pada tahun 1942 tetapi ditangguhkan penerbitannya ke tahun 1946 sesudah dibaiki dan disemak. Setahun kemudian terbit pula Pelita Bahasa Melayu Penggal III. Ketiga-tiga buku beliau inilah yang menjulang namanya sebagai pengasas bahasa Melayu baharu. Maka memang kena pada tempatnya beliau dianugerahi gelar Pendeta dalam Kongres Bahasa Melayu dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956.

Keunggulan Za’ba terletak pada kekuatan dan ketajaman intuisi serta pemerhatiannya terhadap sistem bahasa Melayu. Walaupun beliau tidak terdedah secara formal dalam disiplin linguistik, khususnya linguistik moden, analisis yang dihasilkannya membuktikan bahawa gagasan-gagasan penting dalam bidang ilmu itu ada dalam intuisinya. Apatah dihairankan kerana segala gagasan yang dikemukakan oleh ahli-ahli linguistik ternama di Barat itu pun sebenarnya hasil renungan dan pemikiran mereka juga. Dan kita di Alam Melayu ternyata memiliki pemikir yang setanding dengan sarjana di Barat. Pada saat istilah fonologi belum dikenal orang di negara in pada tahun 1930-an, Za’ba telah mengemukakannya lewat analisisnya tentang sistem ejaan bahasa Melayu. Orang yang tidak memiliki intuisi tentang fonologi tidak mungkin dapat mengetengahkan analisis sistem ejaan sesuatu bahasa, kerana ejaan atau huruf merupakan lambang atau gambaran sistem bunyi bahasa.

Prof. Asmah Haji Omar (1976) dapat mengesan beberapa prinsip fonologi yang melandasi analisis Za’ba tentang sistem ejaan bahasa Melayu. Antaranya termasuklah :

a. Keutamaan ucapan di atas tulisan (kewujudan bunyi mendahului tulisan)
“Maka sungguhpun ada beberapa banyak bangsa seperti Semang, Sakai dan
sebagainya yang tiada mengerti pada jalan tulis-menulis tetapi sekaliannya
bangsa-bangsa itu tahu juga bersuara dan bercakap.”
( Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 3 )

b. Huruf sebagai lambang untuk bunyi
“Manusia itu tatkala bertambah-tambah majunya dapatlah ia merupakan tiap-tiap
suatu bunyi yang disebutnya itu dengan suatu gambar – gunanya untuk
menampakkan percakapan itu kepada mata, supaya dapat difahamkan dengan
dipandang sahaja oleh orang yang tiada mendengar seperti orang yang jauh jarak
tempatnya atau masanya daripada orang yang punya percakapan itu.”
( Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 5 )

c. Hubungan antara fikiran dengan mekanisme bahasa
“...Bunyi itu masuk ke telinga mereka langsung terus kepada otaknya. Maka dengan
serta-merta otak itu mengenal akan dia dan mengerti akan maksudnya. Begitulah
juga pada segala bunyi-bunyi lain yang ada bermakna bagi orang yang punya bahasa
itu.”
( Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 1 – 2 )


Dalam mengemukakan sistem ejaan bagi bahasa Melayu, Za’ba turut memperlihatkan ketajaman intuisinya tentang konsep-konsep fonetik, walaupun dengan cara yang cukup sederhana. Za’ba sudah memperkenalkan adanya perbedaan bunyi vokal ( yang diistilahkannya sebagai huruf saksi ) dan bunyi konsonan ( yang diistilahkannya sebagai huruf benar ). Tentang huruf ( sebenarnya bunyi ) saksi, Za’ba mengenal pasti adanya bunyi vokal sempit atau tinggi ( seperti bunyi u dan i ). Za’ba menggolongkan bunyi a, e, o sebagai bunyi kasar dan e pepet, e, u sebagai bunyi halus.

Demikian juga Za’ba telah mengetengahkan konsep diftong dan vokal rangap ( istilah beliau bunyi berkait rapat dan bunyi berkait renggang ), ciri suprasegmental ( seperti kepanjangan bunyi ) yang menurutnya bukan sifat bahasa Melayu, dan keharmonian vokal. Tentang keharmonian vokal yang menjadi asas pengejaan kata dua suku kata dan lebih, prinsip Za’ba berdasar pada keselarasan vokal halus lawan halus dan vokal kasar lawan kasar. Katanya :

“Pakailah saksi halus di hujung jika bunyi yang dahulunya halus, dan
pakailah saksi kasar di hujung jika bunyi yang dahulunya kasar.”
( Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab V, pecahan 54 )

Analisis Za’ba yang cukup berpengaruh dalam menentukan jalan bahasa Melayu ialah dalam bidang tatabahasa. Analisis beliau tentang tatabahasa dapat dibahagi kepada dua komponen utama, iaitu morfologi dan sintaksis, walaupun beliau tidak menggunakan istilah tersebut. Selaras dengan pengaruh tatabahasa tradisional yang ketika itu mendominasi disiplin linguistik, analisis Za’ba ternyata banyak yang terikat oleh pendekatan tersebut. Oleh sebab itu istilah-istilah tatabahasa yang digunakannya dan cara beliau menjelaskan sesuatu konsep tatabahasa seluruhnya berdasar pada makna, iaitu ciri utama linguistik tradisional.

Dalam membicarakan kata, Za’ba menggolongkan kata kepada lima golongan yang utama, iaitu nama, perbuatan, sifat, sendi, dan seruan. Setiap golonga utama itu dipecah-pecahkan kepada subgolongan. Misalnya di bawah nama ada nama betul dan ganti nama. Di bawah kedua-duanya ada pula pecahan yang lebih kecil, iaitu nama am atau nama nika dan nama khas. Tentang perbuatan pula, dipecahkannya golongan itu kepada perbuatan melampau dan perbuatan tidak melampau, yang kini kita kenal sebagai kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Antara gagasan Za’ba yang menarik tentang perbuatan yang dapat menduduki fungsi nama, iaitu yang disebutnya perbuatan nama dan nama perbuatan. Jelas bahawa hal yang kini dibincangkan oleh ahli linguistik moden sebagai bentuk nominal telah dibincangkan jauh lebih awal oleh Za’ba.

Tentang sifat pula, Za’ba membahaginya kepada sifat nama dan sifat kata. Yang pertama merujuk kepada golongan kata yang dikenal sebagai adjektif, sementara yang kedua merujuk kepada adverba. Dalam keriuhan perancang bahasa dan pengguna bahasa mendapati tiadanya golongan kata adverba dalam Tatabahasa Dewan, maka sekali lagi tatabahasa yang disusun Za’ba dirujuki untuk mengambil keputusan memasukkan golongan kata itu dalam edisi baharu buku tatabahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu.
Tentang kata sendi pula, Za’balah yang meletakkan asas penggunaan kata sendi yang tepat, misalnya antara pada dengan di, ke dengan kepada, dari dengan daripada, dan yang lain. Hingga kini ketetapan yang dibuat Za’ba itu menjadi pegangan pendidik dan pelajar serta masyarakat umum.

Analisis Za’ba tentang ayat bahasa Melayu berkisar di sekitar ayat selapis, ayat berlapis, ayat berkait, dan ayat bercampur. Penggolongan ayat sedemikian tidak jauh berbeda dengan yang berlaku dalam bahasa-bahasa lain, dan hal ini memenuhi salah satu ciri asas kesejagatan bahasa. Ayat selapis merujuk kepada konsep ayat tunggal, iaitu ayat ayat yang terdiri daripada satu subjek dan satu predikat. Ayat berlapis samalah dengan ayat gabungan, sementara ayat berkait ialah padanan istilah bagi ayat pancangan walaupun konsep ayat berkait Za’ba lebih banyak berkaitan dengan ayat pancangan keterangan sahaja. Ayat bercampur samalah dengan ayat campuran, iaitu ayat yang terdiri daripada pelbagai binaan ayat. Jelaslah bahawa analisis ayat atau sintaksis yang terdapat dalam buku-buku tatabahasa kini masih tetap berasas pada analisis yang dibuat oleh Za’ba. Yang membezakannya hanya soal istilah dan kerangka pendekatannya sahaja. Sebagai contoh, sementara Za’ba menggunakan pendekatan tradisional, Tatabahasa Dewan, khususnya dalam aspek sintaksis, disusun berasaskan pendekatan transformasi – generatif.

Jenis-jenis ayat yang terbahagi kepada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan pun telah dianalisis oleh Za’ba. Demikian juga ragam ayat yang dikenal sebagai ayat aktif dan ayat pasif telah digarap oleh Za’ba dengan istilah ayat bangun membuat dan ayat bangun kena buat. Kajian yang saya lakukan menunjukkan bahawa rumus-rumus ayat pasif bahasa Melayu yang dikemukakan oleh sarjana-sarjana linguistik moden tidak ada perbezaannya sama sekali dengan yang telah dikemukakan oleh Za’ba lebih setengah abad yang silam.

Selain berjasa besar dalam meletakkan asas sistem bahasa Melayu dalam bidang ejaan dan tatabahasa, Za’ba berjasa besar juga dalam mengetengahkan ilmu retorik. Karyanya Ilmu Mengarang Melayu yang mula terbit pada tahun 1934 telah dicetak ulang sebanyak enam kali dalam edisi Jawi sehingga tahun 1956 dan terbit pula dalam edisi Rumi ( dengan pindaan dan pembaikan ) pada tahun 1962. Buku tersebut memberikan pedoman yang cukup praktis dalam kerja karang-mengarang, baik dalam bentuk prosa mahupun puisi. Prof. Dr. Hashim Awang dalam kertas kerjanya “Retorika Melayu dari Tanggapan Za’ba” untuk Kongres Bahasa Melayu Sedunia ( 21 – 25 Ogos 1995 ) mengangkat Za’ba sebagai tokoh dan pelopor retorik Melayu. Kata beliau, buku Ilmu Mengarang Melayu Za’ba mendahului buku tokoh retorik Inggeris Cleanth Brooks dan Robert Penn Warren, iaitu Modern Rhetoric yang terbit enam tahun sesudah buku Za’ba itu.

Pembicaraan tentang pemikiran dan kesarjanaan Za’ba tidak mungkin terungkapkan dalam kertas kerja sesederhana ini. Kajian yang mendalam lagi analitis dan kritis diperlukan untuk menghargai jasa dan sumbangan Za’ba dalam bidang bahasa dan persuratan. Usahlah kita sekadar mengagumi Ferdinand de Saussure, Leonard Bloomfield, Noam A. Chomsky, M. A. K. Halliday, John Lyons, dan yang lain dari dunia barat sehingga lupa akan kehebatan Za’ba dalam meletakkan asas perkembangan ilmu bahasa atau linguistik di Malaysia dan di Alam Melayu. Usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris mewujudkan Kursi Za’ba dalam rangka mengimarahkan dunia kesarjanaan dalam bidang pengajian Melayu merupakan usaha yang terpuji, bukan sahaja sebagai mengenang jasa bakti beliau sebagai antara tokoh yang menjadi tonggak Sultan Idris Training College yang merupakan institusi awal universiti tersebut, malah sebagai penghargaan yang hak baginya sebagai perintis bahasa Melayu baharu. Demikian juga, usaha kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan Teratak Za’ba yang bersifat muzium tokoh seakan-akan muzium Hemingway di England itu akan dapat mengabadikan sumbangan Za’ba dalam melanjutkan tradisi keilmuan di rantau berbahasa Melayu ini.


Rujukan

Asmah Haji Omar, 1976. Za’ba dalam Linguistik : Satu Tinjauan mengenai Aspek-aspek Bahasa
Yang Diutarakannya dlm. Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu ( Esei-esei
Penghormatan kepada Pendeta Za’ba ). Kuala Lumpur : Kementerian Kebudayaan , Belia
Dan Sukan.
Awang Sariyan, 1977. Tatabahasa Za’ba dan Tatabahasa Asmah Haji Omar : Satu Perbandingan
dan Penilaian dari Segi Analisa Ayat Melayu. Latihan Ilmiah, Institut Bahasa,
Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu : Bangi Universiti Kebangsaan Malaysia.
Awang Sariyan, 1996. Penyusunan Tatabahasa Melayu : Dari Pelita Bahasa Melayu ke
Tatabahasa Dewan” dlm. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harimurti Kridalaksana, 1986. Kelas Kata dalam Bahasa Indonesia. Jakarta : Penerbit PT
Gramedia.
Hashim Awang, 1995. Retorika Melayu dari Tanggapan Za’ba. Kertas Kerja Kongres Bahasa
Melayu Sedunia ( 21- 25 Ogos 1995 ), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1976. Pendeta Za’ba : Suatu Penghormatan dlm. Bahasa,
Kesusasteraan, dan Kebudayaan ( Esei-esei Penghormatan kepada Pendeta Za’ba ).
Kuala Lumpur : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

PERIBAHASA - LEMBU








LEMBU
Lembu daging
Lembu kenyang
Lembu perahan
Lembu tenusu
Lembu dogol
Lembu dogol jangan dibalun
Lembu dongkol hendak menyondol
Lembu punya susu, sapi dapat nama
Lembu tunduk panjang, tidak menanduk pun, dikata orang menanduk juga

(Sumber: Kamus Peribahasa Lengkap Utusan, Abdullah Hassan dan Ainon Mohd.)

Saturday, June 5, 2010

ANT VS GRASSHOPPER


ANT
(Dengan izin...)

An ant worked hard in the sweltering heat all summer, building its nest and laying up supplies for the winter.

A grasshopper thought the ant was stupid not knowing how to enjoy life. It spent its days laughing, singing & dancing thoroughly enjoying the summer.

Came winter, the ant was warm, comfortable and had no shortage of food.

The grasshopper had no proper shelter, no stored food, and couldn't find anything to eat from the snow-covered ground. So it died and the story ended.

Moral of the story: Be responsible for yourself!

Friday, June 4, 2010

PERKHEMAHAN PERDANA 2010



















Program Perkhemahan Perdana Unit-unit Beruniform 2010, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan berlangsung pada 5 - 6 Jun 2010 di padang sekolah.
Sebanyak 150 ahli unit beruniform yang terdiri daripada KRS, BSM, Kadet Polis, Puteri Islam dan Pengakap telah mengambil bahagian. Antara acara yang akan dilangsungkan ialah pembinaan moto kumpulan, pengembaraan rimba, pertandingan kawad kaki, riadah petang, pencarian harta karun dan persembahan berkumpulan.
Pihak sekolah amat berharap agar aktiviti perkhemahan unit beruniform ini akan dapat mempamerkan kepemimpinan, keterampilan diri, semangat berpasukan, dan memupuk nilai bekerjsama dan perpaduan kaum selaras dengan Gagasan Satu Malaysia. Selamat Berkhemah, wira dan serikandi SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

(Foto dan teks: Cikgu Chai Loon Guan)

PERIBAHASA - ULAR



ULAR - ular berkepala dua, ular berlingkar di gulung tikar, ular biar mati, tanah jangan lekuk, buluh jangan pukah, ular bukan, ikan pun bukan, ular berbelit-belit, ular bercampur dengan belut tak kan hilang bisanya, ular lidah bercabang, ular menelan babi, cacing yang bengkak perutnya, ular menyusur akar, ular dipukul jangan mati, kayu pemukul jangan patah, tanah dipalu jangan lembang. Sebenarnya, ular ada di mana-mana. Awas, sahabat!

Wednesday, June 2, 2010

Sajak I dan II

















SAJAK I
BUMI HIJAU

Izinkan aku, bumi
Mewarnai duniamu
Dengan tawa segar flora
Pagi mentari
Dengan bugar ceritera
Malam bulan

Izinkan aku, bumi
Membebaskan bisa polusimu
Tanpa sangsi
Menceriakan landskap duniamu
Tanpa kompromi
Agar lahir sebuah dunia
teruja indah
Agar bersih ceria
Taman kehidupan

Berikan aku
Sekelumit waktu
Menghijaukan bumimu
Tanpa belenggu!

Chai Loon Guan,
Tg.Malim.

SAJAK II
KATA DUKA DENDAM CINTA

Kata
adalah tajam pisau
Bisa menghiris kalbu
Duka
Adalah racun lara
Bisa membunuh impian
Dendam
Adalah sembilu amarah
Bisa menjarakkan persahabatan
Bisa menggalakkan perseteruan
Cinta
Adalah panah pesona
Bisa menikam kalbu kehidupan!

Chai Loon Guan,
Tg. Malim.

Karangan - Kasih Sayang Seorang Ibu

Kasih Sayang Seorang Ibu

Ibu memainkan peranan yang penting dalam kehidupan setiap keluarga. Kebanyakan anak berasa sungguh bahagia kerana mempunyai ibu yang prihatin dan penyayang. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa kasih sayang ibu terhadap anak amat penting sekali.

Sebenarnya, nilai kasih sayang seseorang ibu tidak dapat diukur dengan wang ringgit. Ibu yang peka dan penyayang akan senantiasa mengambil berat dan menjaga hal-ehwal kebajikan anak dengan sempurna, mendorong anak agar berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran di samping mengutamakan aspek kesihatan dan minat anak-anak. Lumrahnya, ibu sanggup berkorban untuk kepentingan masa depan anak supaya menjadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.

Sebaliknya, jika seseorang ibu tidak bersifat penyayang dan kurang bertanggungjawab maka masa depan anak-anak akan menjadi gelap-gelita. Anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang seringkali didapati emosi mereka mudah terganggu sekali gus mendorong mereka mencari jalan keluar dan mudah bergaul dengan rakan sebaya yang bebas dan liar. Akibatnya, masa depan anak-anak akan tergugat sekiranya mereka terjerumus ke lembah dadah, jenayah dan maksiat.

Malangnya, pada alaf moden ini, terdapat segelintir anak yang sudah dewasa dan berjaya mudah bersikap “bagai kacang lupakan kulit”. Mereka sanggup membiarkan kehidupan ibu yang pernah membesarkan mereka di desa pedalaman dalam keadaan yang tidak terurus, hidup melarat dan kesepian tanpa anak cucu di sisinya. Oleh itu, pada minggu kedua bulan Mei setiap tahun, tarikh keramat itu dipilih semata-mata untuk anak-anak meraikan ibu yang tercinta bersempena dengan Hari Ibu di seluruh negara. Pada hari tersebut, jasa bakti dan iltizam ibu selama ini diperkatakan, dikenang dan dihargai.

Kesimpulannya, kasih sayang ibu akan senantiasa kekal dan berada di sisi anak-anak selagi hayat dikandung badan. Sesungguhnya, syurga anak di hujung telapak kaki ibu.

Disediakan oleh:
Derrick Goh Xin Deik, Tingkatan Satu Amanah, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

Tuesday, June 1, 2010

GAZA











GAZA = KEKEJAMAN + PEMBUNUHAN INSAN.
Aku sedang mencari kemanusiaan di Semenanjung Gaza!

Warkah dari Semenanjung Gaza











Warkah dari Semenanjung Gaza

Warkah ini baru kuterima
Bersama bingkisan salam
Laut biru Semenanjung Gaza yang merah
Berlandskap awan-gemawan mendung
Bau hanyir darah membasahi setiap inci bumi
Sebuah negara bernama Palestin

Semasa membarisi setiap kata bicara warkah
Dapat kulihat senja merah berdarah di Semenanjung Gaza
Jenazah wira bangsa syahid bergelimpangan
Menyerlahkan notelun kezaliman dan kebinatangan
Manusiakah yang bernama Zionis?

Dan, terbakarlah Semenanjung Gaza
bagaikan padang jarak padang tekukur
Nyawa semurah sampah bersepah
Kota negara bangsa musnah dalam sekelip mata
dek bedilan mortar, kereta kebal dan senjata kimia
maka, terlakarlah sketsa hiba duka nestapa ribuan keluarga
dan rasian ngeri anak-anak pribumi
yang pasrah berjuang bertemankan puing-puing kemusnahan

Sekeping gambar lusuh dalam warkah ini
adalah seorang anak kecil bernama Arafat daripada ribuan pelarian
Mata birunya yang tajam sempat menulis tragedi dalam air mata
Wajah lukanya yang cacat sempat mencatat derita dalam merah
darah
Kata Arafat:
Di sini tiada pesta hari jadi, taman rekreasi atau restoran KFC
Di sini pentas hidup yang mementaskan aneka sandiwara
Gerombolan serigala buas Zionis yang sadis
Membedil setiap ruang jendela, pintu dan kamar hidup
Anak-anak Palestin yang tidak berdosa
di tanah airnya yang tercinta
Di sini sebenarnya, lahir sebuah buana sengsara ciptaan manusia!
Di sini sebenarnya, lahir sebuah neraka dunia ciptaan manusia!

Chai Loon Guan,
Jabatan Bahasa Melayu, SMK Methodist, Tg.Malim.

(Sumber: Jendela Utara - April 2009)

Catatan:
Pertama kali sajak ini dideklamasikan oleh penulis sempena Malam Puisi Riong - UPSI pada 17 Mac 2010.