Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Friday, April 30, 2010

JURULATIH UTAMA


Kenangan dilantik sebagai JU Kursus Penulisan Puisi dan Lagu anjuran Unit Kokurikulum (Seni dan Muzik) Jabatan Pelajaran Perak di Resort Purnama Beach, Pulau Pangkor pada 27 - 30 Oktober 2009.

HARI GURU 2010


Pertemuan nostalgia mantan guru, guru dan murid-murid (alumni) MESS pada 16 Mei 2010 (Ahad - 10.00 pagi) sempena Perayaan Hari Guru 2010 selain program Bumi Hijau 2010. Selamat Datang ke SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.
(Kiriman: Chai Loon Guan)

Wednesday, April 28, 2010

Life Is Like A Cup of Coffee - Inspirational Video Movie

Tema dan Persoalan Novel Merdeka! Merdeka!

Analisis Novel BM Tingkatan 3 – Merdeka! Merdeka!
Penulis: A. Rahman Hanafiah
Tajuk:
TEMA
Novel Merdeka!Merdeka! memaparkan tema semangat perjuangan dalam kalangan penduduk tempatan untuk menentang penjajah yang mahu menjajah negara yang kaya akan hasil mahsul bumi. Datuk Onn, Za’ba, Encik Hasmun, Haji Abdul Wahab, dan tokoh-tokoh politik negara yang telah mengadakan perhimpunan raksasa di bandar-bandar dan menubuhkan UMNO untuk membantah penjajahan Inggeris Di Tanah Melayu. Sehubungan dengan hal itu, Datuk Onn telah berusaha untuk mengubah pendirian Raja-raja Melayu supaya memulaukan majlis perasmian Malayan Union yang akan berlangsung pada 1 Mei 1946 di Hotel Stesen. Pada masa yang sama juga, penduduk Kampung Teras Jernang juga telah berjaya menyekat kemaraan pengganas yang mahu menjadikan kampung mereka sebagai markas untuk menyerang kampung-kampung di sekitarnya. Mereka tidak putus asa walaupun banyak saudara dan sahabat mereka telah mati terbunuh.
PERSOALAN
1) Semangat cinta akan tanah air. Contohnya, masyarakat Melayu telah berjuang dengan bermati-matian untuk memastikan agar negara mereka tidak dijajah.
2) Sikap bekerjasama dan semangat perpadaan untuk menuntut kemerdekaan. Contohnya, masyarakat Melayu telah berhimpun di luar Hotel Stesen untuk memujuk Raja-raja Melayu agar memulaukan majlis perasmian Malayan Union.
3) Memartabatkan maruah bangsa dan negara. Contohnya, rakyat sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk memartabatkan bangsa dan negara.
4) Kesan penjajahan terhadap rakyat dan negara. Contohnya, rakyat hidup menderita sewaktu negara dijajah oleh bangsa asing.
5) Balasan terhadap penderhaka negara, yakni segelintir manusia yang sanggup menjual negaranya kepada penjajah demi kepentingan kebendaan dan status hidup diri.
6) Kasih sayang merapatkan hubungan silaturahim. Contohnya, perasaan sayang menyebabkan seseorang itu sanggup berkorban apa-apa sahaja untuk kesenangan orang yang dikasihi.
Hasil kerja :
Kumpulan 1 - Vanessa, Sharmila, Zulfadli dan Amirul Ikhwan, Tingkatan: 3 Dinamik.

Plot Novel Hikmah

Analisis Novel BM Tingkatan 1-Hikmah
Penulis:Mohd.Faris Ikmal
Tajuk:Plot dalam novel Hikmah

Binaan Plot:

(a) Peristiwa disusun secara tidak kronologi. Terdapat peristiwa imbas kembali. Contohnya, Sapura teringat kembali peristiwa ketika dia hendak ke kantin untuk bersarapan. Sapura terlihat akan Amri sedang memarahi seorang pelajar junior. Bermula daripada peristiwa itulah Sapura melaporkan hal itu kepada Cikgu Salman dan Amri dikenakan hukuman.

(b) Pada permulaan cerita, Amri berasa sakit hati kepada Sapura apabila pengawas sekolah itu mengadukan halnya mengugut Saleh kepada guru disiplin sekolah, Cikgu Salman. Oleh sebab Sapuralah, dia telah dirotan oleh Cikgu Salman. Amri bertekad untuk membalas dendam terhadap Sapura.

(c) Plot berkembang apabila Amri memarahi ayahnya kerana menyebabkan kehidupan mereka sekeluarga susah. Ayahnya sering meminta duit daripada ibu Amri. Amri bersimpati terhadap ibunya. Amri sangat sayang akan ibunya. Tetapi Amri tidak berdaya untuk membantu ibunya. Pada suatu hari, ibu Amri telah dipukul oleh ayahnya sehingga luka di dahi. Amri segera ke bandar untuk membelikan ibunya ubat.

(d) Pada bahagian klimaks, Amri telah ditahan oleh seorang lelaki yang cuba menyamunnya ketika pulang dari farmasi. Lelaki itu dan kawannya meminta wang daripada Amri. Oleh sebab Amri tidak memberi mereka wang, mereka telah memukul Amri dan menuangkan ubat yang dibeli oleh Amri untuk ibunya.

(e) Plot mula menurun apabila Sapura dan ayahnya membantu Amri yang cedera dipukul penyamun. Mereka membawa Amri ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Amri dan emaknya mengucapkan terima kasih kepada keluarga Sapura kerana membantu mereka.

(f) Plot ditamatkan setelah Amri insaf. Kini, Amri dan Sapura berkawan baik. Amri juga telah berubah menjadi menjadi murid yang baik dan pelindung kepada murid-murid yang lemah.

Hasil kerja: Gurusamy dan Lin Wai Kit , Tingkatan 1 - 2010

Saturday, April 24, 2010

Sajak - SUARA

malam ini
seperti malam-malam semalam
ada suara bicara
suara papa
suara kaya
suara umat
suara rakyat

malam ini
seperti malam-malam semalam
gema raung panjang
suara bernas
suara cerdas
suara nasihat
suara amanat

malam ini
seperti malam-malam semalam
rempah ratus suara
bergema di rimba
bergema di desa
bergema di kota
bergema di hulu
bergema di bucu
setiap inci bumi
rakyat marhaen
rakyat kebanyakan!

malam ini
suara kita
kembali bergema!


Chai Loon Guan,
Dewan Ko Chow Hulu Bernam,
35900 Tg. Malim.
24 April 2010.

Aku Sebuah Kereta Viva

AKU SEBUAH KERETA VIVA

Aku sebuah kereta yang berjenama Perodua Viva. Tuan aku bernama Alim. Aku telah diubah suai dengan rim sukan berukuran 15 inci buatan Taiwan yang baharu supaya kelihatan menarik dan bergaya. Badan aku tidak ditambah aksesori lain kerana dibimbangi akan menjadi perhatian pencuri kereta. Ops, terlupa aku! Tuan aku ada membuat nombor plat kereta khas dan istimewa. Hal ini telah menyebabkan rakan-rakanku yang lain menaruh perasaan cemburu.

Aku dijaga dengan kemas oleh tuan aku saban hari. Seminggu sekali aku akan dimandikan dengan cecair sabun yang mahal dan beraroma wangi. Bahagian dalam diri aku senantiasa divakum dan diletakkan penyegar udara. Sesiapa yang menggunakan aku pasti akan berasa selesa sepanjang perjalanan.

Setiap tiga bulan pula, enjin aku akan diperiksa oleh mekanik tuan aku di Kedai Kereta Hin Huat. Mekaniknya berpengalaman dan mahir dalam hal-ehwal enjin kereta seperti aku. Yang penting, tuan aku senantiasa menjaga kebajikan aku. Dan, yang pasti aku pula akan senantiasa bersiap-siaga untuk berbakti kepada tuan aku, seorang jejaka yang tampan dan bekerja sebagai seorang eksekutif swasta di ibu kota Kuala Lumpur.
TAN CHEE SHIN, 1 CEKAL, SMK METHODIST, TG.MALIM.

Thursday, April 22, 2010

Monday, April 19, 2010

DEWAN BAHASA MEI 2010


BUKU

Buku
Puluhan ribu buku yang menyerbu pasaran dunia setiap tahun menunjukkan bahawa buku tidak bisa dipisahkan dengan masyarakat moden pada alaf globalisasi ini. Pelbagai jenis isi, tema dan format menempatkan buku sebagai produk non-periodik yang paling banyak diterbitkan. Walaupun manusia moden kini sudah mempunyai prasarana Internet tetapi bahan yang bercetak bernama buku ini masih tidak boleh diabaikan.

Terdapat pelbagai jenis buku di pasaran tempatan atau di pasaran antarabangsa. Contohnya, komik, cergam, novelet, puisi, drama, buku teks dan sebagainya. Kebanyakan buku di pasaran amat sesuai untuk bacaan semua orang. Sebenarnya, buku-buku itu boleh meringankan beban tekanan pada diri kita. Apabila kita membaca komik yang lucu, kita akan mudah tertarik dan terhibur olehnya dan pada ketika itulah dunia tekanan yang kita hadapi dapat dikurangkan dan ditangani beransur-ansur.

Kita boleh memperoleh sumber bacaan dari kedai atau galeri buku, perpustakaan sekolah, perpustakaan awam, perpustakaan bergerak, pameran buku dan lain-lain lagi. Di samping itu, kita juga boleh saling menukar buku yang kita minati dengan sahabat handai dan rakan taulan yang turut memiliki hobi yang sama, iaitu membaca. Kita juga dapat menelaah, membaca, atau membeli buku-buku yang diminati di kedai-kedai buku atau di tapak-tapak pameran buku yang diadakan di seluruh negara pada saban tahun.

Sebenarnya, kita perlulah banyak membaca kerana tabiat baik ini banyak membawa faedah kepada kita. Menerusi pembacaan, kita mampu meningkatkan ilmu pengetahuan, menambah perbendaharaan kata, menguasai bahasa dan sebagainya. Pengetahuan dan kemahiran kita akan bertambah dan menyeluruh, yakni meliputi bidang sains, sosial, politik, ekonomi, budaya dan sejarah manusia sejagat jika kita senantiasa membaca kerana membaca itu jambatan ilmu.

Oleh itu, setiap masyarakat, khususnya golongan kanak-kanak dan murid haruslah senantiasa memupuk minat membaca buku sejak kecil lagi. Sekiranya, mereka banyak membaca maka mereka tidak akan dipersendakan orang atau menjadi katak di bawah tempurung.
Sesungguhnya, generasi yang membaca ialah generasi yang berjaya.
Hasil kerja - Chiam Tow Yuet, Tingkatan 1 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Saturday, April 17, 2010


Sajak - Bahasa

Bahasa

bahasa
membolehkan aku berbicara
bahasa
membolehkan aku bercinta
bahasa
membolehkan aku berguru
bahasa
membolehkan aku berilmu
bahasa
membolehkan aku bersiasah
bahasa
membolehkan aku beribadah

dengan bahasa
aku jadi dewasa
dengan bahasa
aku jadi bangga
dengan bahasa
aku jadi bangsa perkasa
aku jadi bangsa berjiwa
bahasalah pelita ilmu buana
bahasalah dian perpaduan bangsa!

Chai Loon Guan,
Bukit Tangga, Bukit Beruntung,
Hulu Selangor.
16 April 2010

Friday, April 16, 2010

SINOPSIS NOVEL BM TINGKATAN SATU - HIKMAH

Analisis Novel Bahasa Melayu Tingkatan 1 – HIKMAH
Penulis: Mohd. Faris Ikmal

Sinopsis [ Bab demi Bab ]

Amri ketua pembuli di sekolahnya. Dia dan kawan-kawannya selalu meminta wang perlindungan daripada murid-murid junior. Tiada sesiapa yang berani mengadukan tindak-tanduk Amri kepada guru kerana takut dibuli dengan lebih teruk oleh Amri. Guru pun tidak dapat menghukum Amri kerana ketiadaan bukti. Walau bagaimanapun, Sapura seorang pengawas sekolah yang berani memberitahukan hal Amri kepada guru disiplin, Cikgu Salman apabila ternampak akan salah laku Amri ketika meminta wang perlindungan daripada seorang murid junior. Amri berdendam dan merancang untuk mengenakan Sapura.

Pada masa yang sama, Amri berubah sikap apabila di rumah. Dia anak yang baik dan menyayangi ibunya. Amri dan ibunya hidup dalam kesusahan kerana bapa Amri tidak bertanggungjawab dan selalu meminta wang daripada ibu Amri. Sikap ayah Amri yang panas baran dan ganas itu menyebabkan Amri memberontak. Dia melepaskan kemarahannya dengan membuli murid-murid lain. Bagi Amri, orang lain pun perlu merasai sama rasa sakit hati yang ditanggung oleh dirinya.

Amri mengenakan Sapura dengan menyebabkan Sapura terjatuh ke dalam bendang. Sapura dan basikalnya diselaputi lumpur. Apabila pulang ke rumah, Amri mendapati bahawa ibunya cedera di dahi akibat perbuatan ayahnya. Ibu Amri juga pitam. Kesusahan yang dialami oleh Amri dan ibunya ini telah diketahui Sapura apabila Sapura datang ke rumah Amri untuk mengadukan kenakalan Amri kepada ibu bapa Amri. Sapura memahami punca kenakalan Amri dan bersimpati kepada Amri. Sapura ingin menolong Amri.

Amri berbasikal ke pekan yang jauh untuk membeli ubat untuk ibunya. Ketika ingin pulang, seorang pemuda meminta pertolongan daripada Amri. Rupa-rupanya Amri diperangkap. Pemuda itu dan kawannya ingin menyamun Amri. Apabila tidak berjaya mendapat wang, mereka membelasah Amri dan membuang ubat yang dibeli oleh Amri. Mujur Amri kemudiannya telah dibantu oleh Sapura.

Sapura dan ayahnya membawa Amri ke hospital. Sebelum itu, mereka berdua sudah membawa ibu Amri ke hospital. Sejak kejadian itu, Amri dan Sapura bersahabat baik. Amri pun berasa insaf dan tidak mahu membuli lagi sebaliknya dia ingin menjadi pembela kepada murid-murid yang pernah dibulinya.

Ayah Amri pula dipenjarakan kerana terlibat dengan perjudian haram dan dadah. Dia insaf dan memohon agar diberi peluang oleh Amri dan ibunya. Amri tidak berdendam lagi dan semakin bijak mengawal emosi.


Hasil Kerja – Lieu Zi Shan dan Ong Ann Zhi, Tingkatan 1, SMK Methodist 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Tuesday, April 13, 2010

Nostalgia Indah Bola Keranjang


Kenangan bersama-sama Cikgu Alias Haron (SMK Khir Johari, Tg.Malim) , Cikgu Chin Woon Woo (SMK Choong Hua, Bidor), Cikgu Bong Min Chaw (Sibu, Sarawak) dan Pasukan Bola Keranjang Daerah Batang Padang 2002 di SMK St. Michael, Ipoh.

Bab demi Bab Novel Merdeka! Merdeka!

Sinopsis novel BM Tingkatan 3 - Merdeka ! Merdeka !
Penulis : A. Rahman Hanafiah


Bab 1 : Das-das Tembakan

Kudin dipilih untuk memyampaikan ucapan sempena majlis perhimpunan di Kuala Lumpur. Kebetulan pula pada masa ini Pak Awang, iaitu ayah Kudin diberi amaran oleh Tuan White agar tidak campur tangan dalam urusan menentang Inggeris.

Bab 2 : Sampai ke Larut Malam

Mesyuarat di rumah Tuk Ketua tergendala kerana banyak yang terlibat dalam menguruskan jenazah Pak Karim. Kira-kira sebulan yang lalu, PPK dihidupkan semula dan kali ini Kudin dan kawan-kawannya turut serta. Ibrahim telah menggantikan Pak Awang untuk pergi ke Kuala Lumpur.

Bab 3 : Kubu di Tebing Sungai

Pengganas ingin menguasai Kampung Teras Jernang dan dijadikan markas untuk menguasai kampung-kampung di sekitarnya. Dalam perjalanan ke khemah, Kudin juga diberitahu bahawa pak ciknya, iaitu Barman dibunuh kerana menjadi tali barut Jepun. Ujang juga tahu bahawa ayahnya menganggotai kumpulan pengganas.

Bab 4 : Perjalanan

Kudin dan Ibrahim pergi ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta api malam. Mereka menemui Encik Hasmun di Kuala Lumpur dan diberitahu bahawa Inggeris gagal menepati janji dengan MPAJA yang hendak memberikan kemerdekaan. Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, tiada tanda-tanda Inggeris hendak memberikan kemerdekaan.

Bab 5 : Serampang Dua Mata

Mesyuarat tersebut memberikan tumpuan kepada usaha-usaha yang harus dilakukan bagi menentang penjajah. Majlis bersetuju untuk mengadakan satu persidangan pada 1 hingga 4 Mac 1946 bertempat di Kelab Sultan Sultan Sulaiman.

Bab 6 : Hilang

Sebaik sahaja Kudin balik dari Kuala Lumpur, dia bercadang untuk pergi menyelamatkan Bustam yang telah ditangkap oleh pengganas tetapi dilarang. Pak Awang dan Hassan berbincang tentang langkah keselamatan.

Bab 7 : Tetamu Berdua

Majikan Pak Awang, Tuan White menyuruh dua orang pekerjanya memberitahu Pak Awang untuk memberhentikan perjuangannya. Pak Awang naik darah dan membuat keputusan untuk berhenti kerja. Pak Awang, Ibrahim, dan Kudin menjalankan kutipan derma. Walaupun tidak begitu banyak wang yang dikumpulkan, tetapi sudah cukup untuk membuktikan bahawa perjuangan menentang Malayan Union direstui oleh penduduk kampung.

Bab 8 : Detik yang Dinanti

Pak Awang dan keluarga Pak Kasa bulum pulang setelah tiga hari masuk ke dalam hutan. Pada masa yang sama, Kudin bersiap sedia untuk pergi ke Kuala Lumpur. Kudin tiba di Bangunan Sultan Sulaiman. DYMM Sultan Selangor berkenan untuk merasmikan perhimpunan raksasa tersebut. Tugas yang banyak di Kuala Lumpur menyebabkan Kudin lupa akan peristiwa yang berlaku di Kampung Teras Jernang.

Bab 9 : Dalam Kebanjiran Manusia

Banyak pemimpin dan orang Melayu datang berhimpun pada 1 Mac 1946. Kudin berasa sedih apabila diberitahu bahawa ayahnya telah dibunuh oleh komunis. Sungguhpun demikian, Kudin masih dapat memberikan ucapan dengan penuh semangat. DYMM Sultan Sulaiman turut memuji kebjaksanaan Kudin.

Bab 10 : Hancurkan ! Musnahkan !

Pada 1 Mac 1946, cadangan untuk menubuhkan UMNO demi menuntut kemerdekaan telah mendapat sokongan. Antara keputusan yang telah dipersetujui ialah meminta Raja-raja Melayu memulaukan hari perasmian Malayan Union. Kudin balik ke kampung untuk menziarahi kubur ayahnya.

Bab 11 : Gerakan Raksasa

Penduduk Kampung Teras Jernang termasuk Kudin membina kubu dan khemah di sekeliling kampung. Encik Hasmun mengajak Kudin menghadiri perarakan di Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Kudin membantu kerja-kerja di pejabat. Pihak Inggeris telah merasmikan penubuhan Malayan Union dan Sir Edward Gent dilantik sebagai Gabenor yang pertama. Kudin mengikut Datuk Onn dan Encik Hasmun ke Pahang, Terengganu dan Kelantan untuk menyertai perarakan.

Bab 12 : Hari Keramat

Dua hari sebelum upacara perasmian Malayan Union dilancarkan, semua ahli UMNO telah bersetuju dengan cadangan Datuk Onn untuk menunjuk perasaan secara besar-besaran. Akibatnya, pihak Inggeris tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana sikap tegas yang ditunjukkan oleh penduduk tempatan. Datuk Onn membuat keputusan untuk melatih Kudin menjadi tokoh politik tanah air.

Disediakan oleh : Teoh Soo Shin , 3C dan Ong Pei Zhi , 3A - SMK Methodist, 35900 Tg.Malim, Perak Darul Ridzuan.

Sunday, April 11, 2010

Karangan Tingkatan 3 - Penggunaan Kad Kredit

Penggunaan kad kredit banyak memberikan kesan kepada masyarakat. Bincangkan pernyataan ini.

Pada masa ini, penggunaan kad kredit semakin mendapat sambutan orang ramai. Pelbagai bank tempatan telah menawarkan kad kredit kepada pelanggan. Kad kredit merupakan salah satu sistem kewangan yang memudahkan urusan orang ramai tanpa melibatkan penggunaan wang secara langsung dan boleh dibayar balik secara ansuran.

Kalau diteliti dengan bersungguh-sungguh, penggunaan kad kredit mempunyai keburukan dan kebaikan kepada pemiliknya. Dari segi kebaikannya, setiap pengguna boleh menggunakan kad kredit untuk membeli barangan walaupun tidak mempunyai wang tunai yang mencukupi semasa membeli-belah.

Dari segi keselamatan pula, pemilik atau pengguna kad kredit lebih selamat daripada dirompak atau disamun oleh pencuri kerana mereka tidak membawa wang yang banyak. Dengan adanya kad kredit, kita juga dapat berbelanja pada bila-bila masa. Kad kredit juga banyak membantu kita apabila berlaku kecemasan dan kemalangan kerana malang tidak berbau.

Sebaliknya, kad kredit juga turut membawa keburukan kepada pengguna jika kita tidak menggunakan kad kredit dengan bijak. Kita akan mula bersikap boros ketika berbelanja. Lama-kelamaan, kita akan dibelenggu beban hutang kad kredit yang besar sekali gus merumitkan kehidupan dan menjerumuskan diri kita ke lembah muflis.

Akibat hutang kad kredit yang kian bertambah, maka akan timbul pula keinginan kita untuk meminjam wang daripada lintah darat. Perbuatan tersebut lambat-laun akan membabitkan diri kita dan keluarga dalam keadaan yang berbahaya dan sukar. Sekiranya kad kredit kita hilang tanpa disedari, tercicir atau kecurian barangkali akan timbul pula pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab bertindak memalsukan dan menyalahgunakan kad kredit kita.

Biarpun kad kredit mempunyai kebaikan, tetapi kesan buruknya cukup banyak juga. Kebaikan dan keburukan ini bergantung kepada diri kita sama ada kita pandai menggunakan kad kredit atau sebaliknya. Sebenarnya pengguna kad kredit perlu senantiasa berdisiplin. Sekiranya tidak, kad kredit tersebut akan melibatkan kita dalam buana hutang piutang yang amat dahsyat.

Disediakan oleh,
Cheong Chin Ying, Tingkatan 3 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

Teknik Plot dalam HIKMAH

Teknik Plot dalam Novel BM Tingkatan Satu - Hikmah
Penulis: Mohd. Faris Ikmal
Penerbit: V-NICE RESOURCES Sdn.Bhd.

Tajuk: Teknik Plot
Teknik plot ialah cara pengarang mengembangkan plot ceritanya supaya menarik. Antara teknik plot termasuklah imbas kembali, imbas muka, saspens, dialog, pemerian, dialog dan monolog.

Teknik-teknik Plot dalam Novel Hikmah:

(1) Imbas Muka
Imbas muka merupakan cara pengarang memberikan bayangan bayangan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan. Imbas muka dapat mewujudkan keyakinan dalam kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku.
Contohnya, Sapura dapat menjangkakan tindakan yang akan diambil oleh Amri tidaklah sampai memalukan dirinya.

(2) Saspens
Saspens atau ketegangan ialah peristiwa dalam cerita yang menimbulkan keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu dalam kalangan pembaca tentang peristiwa yang akan berlaku selanjutnya.
Contohnya, pembaca tertanya-tanya akan tindakan yang hendak dilakukan oleh Amri terhadap Sapura ketika Amri menunggu Sapura di tempat meletak basikal.

(3) Dialog
Dialog merupakan pertuturan antara dua watak atau lebih daripada dua watak. Melalui dialog antara watak-watak inilah biasanya tergambar akan pendapat atau fikiran yang berkaitan dengan tema.
Contohnya, dialog antara Amri dan Sapura ketika Sapura membantunya selepas dipukul oleh dua orang pemuda di sebuah lorong.

(4) Monolog
Monolog merupakan pertuturan antara satu watak sahaja (menafikan kesempatan orang lain untuk bercakap atau mengeluarkan pendapatnya).
Contohnya, Amri bercakap sendirian ketika memencilkan diri di hujung padang pada waktu rehat.

(5) Pemerian
Pemerian bermaksud pengalaman atau peristiwa yang pernah dialami oleh watak berkenaan.
Contohnya, penulis memerihalkan keadaan Amri ketika Amri masuk ke dalam kelas selepas dipanggil oleh Cikgu Salman.

(6) Imbas Kembali
Imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang peristiwa yang pernah dialaminya semula. Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman.
Contohnya, Sapura mengingat kembali peristiwa dia ternampak akan Amri sedang memarahi seorang murid junior.

Hasil karya:
Leong Yu Zhe, Tingkatan Satu, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

Friday, April 9, 2010

Mesyuarat Agung PIBG 2010







Mesyuarat Agung PIBG 2010, SMK Methodist, Tg.Malim telah diadakan pada 10 April 2010 dan telah dirasmikan oleh YBhg.En. Osman b. Mohamed Bahari, Timbalan PPD Batang Padang mewakili YB En. Mohammad Zahir b. Abdul Khalid, AMP, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Perak Darul Ridzuan. Mesyuarat kali ini turut diserimeriahkan oleh persembahan Caklempong MES dan Tarian Satu Malaysia.

GURU OH GURU!

Menjadi Guru Bahasa Melayu Bukanlah Mudah
Sejak dahulu hingga kini, guru sentiasa berada di barisan hadapan dalam soal pendidikan anak bangsa. Merekalah yang akan mencorakkan generasi masa hadapan.

Dalam soalan memartabatkan Bahasa Melayu, mereka juga berada pada barisan hadapan, khususnya guru Bahasa Melayu kerana merekalah orang pertama yang akan memberikan pendidikan bahasa Melayu secara formal. Guru Bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam menyemai rasa cinta pelajar terhadap bahasa Melayu.

Untuk menjadi guru Bahasa Melayu yang baik pula bukanlah suatu hal yang mudah. Selain perlu menguasai pelbagai ilmu bahasa, seperti fonologi, morfologi, sintaksis dan wacana, mereka juga perlu menjadi model penggunaan bahasa Melayu baku kepada para pelajar dan rakan setugas. Sehubungan itu, guru perlulah menggunakan bahasa Melayu yang baik dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan juga dalam komunikasi di sekolah, sama ada secara lisan ataupun tulisan.

Sekiranya guru Bahasa Melayu tidak menguasai dan menggunakan bahasa Melayu dengan baik semasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, sukarlah para pelajar menguasai bahasa Melayu. Hal tersebut juga boleh mempengaruhi guru bukan Bahasa Melayu dari segi penggunaan bahasa Melayu semasa mengajar subjek masing-masing.

Sebagai bahasa yang merentas kurikulum, selain digunakan oleh guru Bahasa Melayu, bahasa Melayu turut digunakan untuk menyampaikan pelbagai ilmu. Interaksi antara guru dengan pelajar dan sesama pelajar juga dilakukan dalam bahasa tersebut. Melayu. Selain itu, sebagai bahasa komunikasi utama di sekolah bahasa Melayu juga secara tidak langsung berfungsi sebagai bahasa perpaduan antara pelbagai kaum yang terdapat di sekolah. Semangat perpaduan dapat dipupuk melalui penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Melalui semangat perpaduan ini akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian di sekolah.

Guru Bahasa Melayu perlu memainkan peranan penting dalam memastikan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu makin terserlah dalam kalangan pelajar. Untuk merangsang minda pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, guru perlulah menggunakan alat bantu mengajar berasaskan multimedia.


Guru Berkualiti, Pelajar Bestari
Zaidi Ismail
(Sumber: Dewan Bahasa Mei 2010)

Monday, April 5, 2010

Karangan - Perayaan Ching Ming

Perayaan Ching Ming
Hari Ching Ming jatuh pada 5 April setiap tahun mengikut kalender gregorian. Pada hari tersebut, orang Cina akan menziarahi kubur nenek moyang dan ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia. Orang Cina akan bersembahyang dan membersihkan kawasan kubur sebagai tanda menghormati dan memperingati nenek moyang mereka.
Ching Ming bermaksud jernih dan terang. Kebanyakan tarikh perayaan masyarakat Cina mengikut kalendar bulan Cina seperti Tahun Baharu Cina, dan hanya perayaan Ching Ming mengikut kalendar gregorian.
Perayaan Ching Ming boleh diamalkan sepuluh hari sebelum 5 April dan sepuluh hari selepas 5 April. Hal ini bermakna bahawa kaum Cina mempunyai dua puluh hari untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk memberikan penghormatan dan peringatan mereka kepada nenek moyang, ibu bapa dan ahli-ahli keluarga tersayang yang telah meninggal dunia.
Pada hari tersebut, ahli-ahli keluarga terdekat akan berkumpul dan membuat persediaan untuk menyembah nenek moyang. Antara barangan yang akan disediakan ialah ayam, daging, buah-buahan, pau, ‘bak chang’, colok dan lilin, serta barangan yang diperbuat daripada kertas.
Satu perkara yang menarik perhatian kaum-kaum lain ialah kepelikan melihat rumah-rumah kertas, kereta kertas, barang-barang kertas dan juga wang-wang kertas yang biasanya dibakar.Mengikut kepercayaan orang Cina, roh ahli keluarga yang sudah mati akan menjalani kehidupan di syurga atau di neraka. Jadi mereka perlu mempunyai rumah, kereta dan wang ringgit agar dapat hidup dengan mewah. Sekiranya nenek moyang hidup senang, cucu-cicit yang masih hidup di dunia maya pada ini juga akan hidup senang dan bahagia.
Bukan semua kaum Cina mengamalkan kepercayaan sebegini. Kaum Cina yang beragama Kristian (Katholik) biasanya mempunyai hari All Souls Day (hari roh) yang jatuh pada 2 November, yakni mereka juga akan ke kubur untuk membersihkannya dan memberikan penghormatan dengan membawa jambakan bunga.
Kaum Cina yang beragama Kristian percaya bahawa roh-roh mereka yang telah meninggal dunia telah ditempatkan sama ada di syurga atau di neraka. Masyarakat yang beragama Buddha pula percaya bahawa roh-roh itu telah dilahirkan semula.
Kaum Cina yang beragama campuran Taoist dan Buddha pula percaya bahawa sama ada hidup atau mati, mereka harus bertanggungjawab menjaga makan minum ahli keluarga sebagai tanda sayang akan ahli keluarga dan bukannya kepercayaan-kepercayaan yang lain.
Tidak dinafikan bahawa memang ada sesetengah pihak yang menyembah hantu dan roh-roh dengan niat mendapat kekayaan. Tetapi majoriti kaum Cina yang menyembah kubur ini adalah dengan niat murni untuk terus menghormati dan mengingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia.
Pendek kata, tujuan utama Ching Ming adalah untuk anggota keluarga berkumpul dan mengeratkan tali persaudaraan dan silaturahim mereka sambil mengingati nenek moyang mereka.
Hasil kerja:
Leong Yu Zhe, Tingkatan 1 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tg Malim, Perak Darul Ridzuan.

Sunday, April 4, 2010

Pertemuan Karyawan Perak


Pertemuan Karyawan Perak pada 19 - 21 Mac 2010 di Rawang Country Homes.
Tn.Hj.Zabidin Ismail, Chai Loon Guan,YBhg.Datuk Jaafar Rahim dan Sasterawan Suhaimi Hj. Muhammad.

Saturday, April 3, 2010

MINDA PENGARANG

Minda Pengarang:
Jawatankuasa kaji beban guru patut jemput wakil Sabah, Sarawak


ISU beban tugas guru bukan perkara baru, malah sudah berlarutan sejak sekian lama hingga Menteri Pelajaran silih berganti pun, rungutan itu masih kedengaran. Bentuk tugas itu sendiri yang kadang-kala menuntut pengorbanan guru untuk membuat kerja lebih dalam usaha mendidik anak bangsa ke arah proses pembentukan sahsiah, terutama di kalangan anak muda. Namun, apa yang menjadi isu sekarang ialah sesetengah tugas guru tiada kaitan dengan kerjaya seorang guru seperti tugas perkeranian, iaitu lebih menjurus kepada tugas pengurusan dan pentadbiran. Inilah yang dikatakan memberi tekanan serta menjejas tumpuan mereka terhadap tanggungjawab hakiki sebagai pendidik. Sebenarnya, ia antara isu dikenal pasti kerana institusi pendidikan itu sendiri begitu kompleks.

Guru bukan saja bertindak sebagai pendidik dan mengajar semata-mata, malah pada masa sama, mereka juga bertugas sebagai pegawai disiplin, pegawai kebajikan, penyelaras kokurikulum dan jurulatih beberapa sukan yang kadang-kala memerlukan mereka mengiringi pelajar ke acara sukan di luar sekolah atau daerah. Malah, setiap kali kerajaan melaksanakan dasar baru, guru perlu melaksanakannya. Pelaksanaan itu, termasuk menyediakan laporan dan proses penyediaan itu pula menambah tugas sedia ada. Kajian awal mengenai bebanan tugas guru menunjukkan pada 2005, lebih 16,000 guru daripada 400 sekolah mendapati tugas dan tanggungjawab mereka meningkat berbanding 20 tahun lalu.

Peningkatan itu adalah kesan penggubalan dasar, perubahan sistem dan bertambahnya jumlah mata pelajaran. Oleh itu, kita mengalu-alukan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar, seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin. Apa yang kita harapkan ialah jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom itu nanti membuat syor secara menyeluruh dan perlu menjemput wakil dari Sarawak dan Sabah, selain wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Beban tugas guru terutama di pedalaman Sarawak dan Sabah pula agak kompleks kerana kadang-kala mereka terpaksa memberi khidmat sosial untuk orang kampung seperti mengisi borang meminta kerja untuk anak orang kampung, khidmat nasihat dan banyak lagi kerana mereka dianggap sebagai ‘orang berilmu’.

Kini bukan saja di dua negeri itu, malah di negeri lain, guru dikatakan perlu datang ke sekolah pada setiap Sabtu kerana terbabit dengan banyak aktiviti, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan. Apapun syor atau garis panduan ditampilkan oleh jawatankuasa itu nanti, diharap memberi pertimbangan secara rasional antara tugas guru dan tanggungjawab mereka kepada masyarakat untuk tidak ‘melepaskan’ khidmat bakti yang murni secara sukarela kepada masyarakat sekeliling.

(Sumber: Berita Harian Online - 2 April 2010)

Daerah Hulu Selangor


N5 + N6 + N7 = P94

Thursday, April 1, 2010