Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, March 31, 2010

Dewan Sastera April 2010

Berkomunikasi Melalui Puisi

Puisi, khususnya puisi moden, iaitu sajak, bukan sahaja seni sastera yang berfungsi sebagai saluran untuk pengarang mengalirkan idea, fikiran, dan perasaan dengan makna yang bermakna, tetapi juga merupakan saluran komunikasi yang paling berkesan antara sesama manusia tanpa mengira warna kulit dan tanpa sempadan. Dengan bahasa puitis, sebagai sifat sesebuah sajak, sesuatu yang sangat sensitif dapat disampaikan dengan lembut dan berseni.

Setiap karya dicipta untuk berkomunikasi dengan khalayak pilihannya. Lantaran sifat sajak itu pendek tetapi padat dengan makna berbanding dengan genre yang lain, dan bebas daripada plot, maka sajak sangat popular dalam kalangan penggiat sastera - untuk berkomunikasi.

Apatah lagi dengan kehadiran penulis-penulis blog yang terdiri daripada anak-anak muda yang dikenali sebagai kumpulan "pengiat sastera siber sfera", sajak menjadi genre yang paling penting untuk menghubung sesama manusia, sama ada untuk meluahkan perasaan, menuang idea, atau membuahkan fikiran.

Rozninah Abd. Azib
(Sumber: Dewan Sastera April 2010)

Sunday, March 28, 2010

Suatu Ketika Dahulu...



Gambar I:
Badan Pengawas Sekolah (BPS), SMK Methodist, 35900 Tg. Malim pada tahun 1977.
Barisan AJK Induk BPS:
Sabarina Abdullah (SU II), Teh Wan Kee (Bendahari), Lee Seng Kit (Ketua Pengawas), Chong Moh Tuck (Timbalan Ketua Pengawas) dan Chai Loon Guan (Setiausaha I).
Barisan Guru Penasihat BPS:
YM Raja Jumaah Raja Salim, Ustaz Shahriman Rejo, En. Lee, En. Samsudin Long, Allahyarham Cikgu Adenan Yahya, Mendiang Cikgu Somasegaran, En. RG Nathan, Pn.Thomas Mathews dan En. Yong.

Gambar II:
AJK Persatuan Bahasa Malaysia (PBM) SMK Methodist, 35900 Tg.Malim pada tahun 1977.
Barisan AJK Induk:
Chai Loon Guan (Setiausaha I), Sharifudin Yusop (Pengerusi), Norhaniza Baharudin (Timbalan Pengerusi), dan Siti Hawa Sulaiman (Setiausaha II).
AJK Kecil:
Zaitun Ahmad, Allahyarham Hisham Omar, Asri, Albert Sandappan, Lee Low Kim, Munirah Ramli, Samsiah Alias, Saliah Aziz dan Norishah Abu Bakar.
Barisan Guru Penasihat PBM:
Cikgu Badri b. Soud, Allahyarham Cikgu Adenan b. Yahya dan YM Raja Jumaah bt. Raja Salim.
Gambar III:
Badan Pengawas Sekolah (BPS), SMK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan pada tahun 1977.
Gambar IV:
Lukisan Dinding (Mural) berkonsepkan Satu Malaysia.

(Sumber:
Album Kenangan Chai Loon Guan - 1977)


Saturday, March 27, 2010

Bahasa dalam Facebook

Bahasa dalam Facebook: Masih Ada Rasa Hormatnya

Kata sapaan atau rujukan hormat ialah kata yang digunakan untuk menyapa atau merujuk diri seseorang. Jenis perkataan atau rujukan yang akan digunakan adalah bergantung pada status atau kedudukan, pangkat, gelar dan usia seseorang yang disapa atau dirujuk.

Penggunaan perkataan ini perlulah tepat dan bersesuaian dengan orang yang disapa atau dirujuk itu, terutamanya dalam situasi rasmi. Penggunaan kata sapaan yang tidak tepat, terutamanya dalam komunikasi lisan dalam majlis rasmi, boleh menyinggung perasaan orang yang disapa.

Prof. Emeritus Abdullah Hassan dalam Berita Harian 1 Oktober 2009 menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu didapati semakin tercemar apabila tabiat menggunakan kata nama “abang” sewenang-wenangnya sebagai panggilan dalam pertuturan harian. Perkembangan tersebut telah mewujudkan bahasa pasar baharu apabila masyarakat, khususnya golongan muda menggunakan “abang” untuk orang yang tidak dikenali.

Katanya lagi, “Penggunaan bahasa ini adalah biadab kerana mengabang-abangkan, memakcik-makcikkan, ataupun mempakcik-pakcikkan orang yang tidak dikenali.” Perbuatan tersebut juga dianggapnya sebagai memalukan kerana bukan sahaja tidak menggunakan pemadanan tara dan adab berbahasa yang betul, bahkan menggambarkan sikap berbahasa yang tidak menghormati orang lain. Yang lebih menyedihkan, penggunaan bahasa Melayu yang tidak tepat ini turut melibatkan sesetengah pemimpin.

Sebenarnya, bahasa Melayu kaya dengan pelbagai kata sapaan dan rujukan yang berbeza daripada bahasa-bahasa lain dan setiap penuturnya mesti menguasainya dan menggunakannya dengan betul dalam konteks yang sesuai dengan teman bicara mereka. Penggunaan kata sapaan dan rujukan ini bukan sahaja berfungsi untuk menyapa atau merujuk seseorang tetapi mendukung fungsi memperlihatkan kesopanan penutur yang menggunakan bahasa tersebut.

Dalam bahasa Melayu, sapaan dan rujukan hormat yang digunakan bergantung pada dua situasi penggunaannya, iaitu situasi rasmi dan tidak rasmi.
Penggunaan bahasa sapaan dan rujukan dalam kedua-dua situasi itu sangat berbeza. Dalam situasi rasmi, antara kata sapaan dan rujukan hormat yang biasa digunakan termasuklah Yang Mulia, Yang Amat Berhormat, Yang Berhormat, Yang Arif, Yang Berbahagia, Yang Amat Berbahagia, Yang Berusaha dan Yang Amat Berusaha.

Rujukan hormat Yang Mulia digunakan untuk orang yang bergelar warisan, iaitu gelaran yang dipusakai secara turun-menurun. Menurut Amat Juhari Moain dalam Panduan Utamakan Kesantunan Berbahasa (1992:15), rujukan hormat jenis ini terbahagi kepada enam peringkat, iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (untuk Yang di-Pertuan Agong), Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (untuk sultan, raja dan Yang di-Pertuan Besar), Yang Maha Mulia (untuk balu sultan, balu raja dan balu Yang di-Pertuan Besar), Yang Teramat Mulia (untuk Raja Muda dan anak raja bergelar), Yang Amat Mulia (untuk anak raja yang sedang memerintah) dan Yang Mulia (untuk orang yang bergelar warisan biasa).

Rujukan hormat Yang Amat Berhormat ditujukan kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri. Untuk menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, anggota parlimen, senator, anggota dewan undangan negeri, dan anggota majlis mesyuarat kerajaan, rujukan hormat Yang Berhormat digunakan.

Sementara rujukan hormat Yang Amat Arif ditujukan kepada Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Malaysia dan Hakim Besar Borneo. Untuk hakim-hakim yang lain, rujukan kehormat Yang Arif digunakan.

Rujukan hormat Yang Amat Berbahagia pula ditujukan kepada orang yang bergelar Tun, Toh Puan, dan isteri Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, manakala rujukan hormat Yang Berbahagia ditujukan kepada orang yang bergelar Tan Sri, Puan Sri, Dato’ Seri, Datin Seri, Datuk, Datin, Datuk Paduka dan Datin Paduka.

Rujukan hormat Yang Amat Berusaha ditujukan kepada pegawai tinggi kerajaan yang kanan tetapi tidak mempunyai apa-apa gelaran. Untuk pegawai tinggi kerajaan yang biasa pula, rujukan hormat yang digunakan ialah Yang Berusaha. Selain itu, rujukan hormat seperti Tuan, Tuan Haji, Puan, Encik dan Cik juga biasa digunakan dalam situasi rasmi.

Dalam situasi rasmi, kata sapaan dan rujukan hormat itu akan digunakan sebaik mungkin untuk menunjukkan rasa hormat terhadap orang ang disapa atau teman bicara. Kata-kata tersebut tidak boleh dicampuradukkan penggunaannya sesuka hati.

Dalam situasi tidak rasmi pula, biasanya penutur menggunakan kata sapaan yang menunjukkan hubungan akrab dengan teman bicaranya, seperti menggunakan kata sapaan engkau atau kau, aku, saya, awak, kamu, dan anda. Sebahagian kata sapaan dan rujukan hormat ini, baik yang rasmi mahupun tidak rasmi turut digunakan dalam laman sembang sosial, antaranya termasuklah Facebook.

Facebook yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2004 pula merupakan laman sosial yang paling popular pada masa kini. Dari segi penggunaan bahasa Melayu, memang tidak dinafikan bahawa kebanyakan bahasa yang digunakan dalam laman ini adalah bahasa basahan atau bahasa perbualan. Hanya pengguna tertentu, terutamanya dalam kalangan penulis dan Facebook rasmi (milik jabatan atau institusi) yang menggunakan bahasa Melayu yang baik.

Setelah dilakukan tinjauan awal dalam Facebook peribadi dan rakan, data-data yang ditemukan adalah seperti yang berikut:
1. Prof. Awang Sariyan...idola kawe ni.
2. Dr teo.. bekas pensyarah orang kelantan memang cakap kelantan dia menjadikan diri lebih
berasosiasi ngan orang melayu.. moga dr teo senantiasa cemerlang.
3. Harap-harap Doktor Syafiq boleh potongkan tali pusat, azan dan iqamatkan ke telinganya, dan ...
4. Utsaz, 'guna sama' itu apa maksudnya?
5. Kalau tahun 2007 dulu, ustaz juga yang kendalikan program ini maknanya saya pernah dua kali
dijawikan ustaz.
6. Tuan marilah sama-sama berjemaah menulis di bawah PTS. Banyak ilmu tuan yang berharga dalam
memandaikan bangsa :)
7. Tuan Azree, jumlah jemputan lebih kurang hampir seribu berbanding wartawan yang tidak sampai 20
orang.
8. Salam Puan Ainon :-) Selamat menyambut ulang tahun hari kelahiran esok.
9. Salam puan yang dihormati, selamat menyambut ulang tahun kelahiran , sedarlah hakikatnya usia
kita dah meningkat....
10. tepat sekali analisis anda en zaidi.. moga dapat tambahkan pengethauan kita semua.
11. Cik Zura.. sesetengah pedoman dan panduan bahasa boleh dimuat turun drp laman web DBP.
12. Menurut Sdr. Zamri Mohamad, Gerakan rakyat Baca@LRT Febuari adalah pada Sabtu 20 Febuari
2010.
13. Assalamualaikum sesiapa berkenaan atau saudara Zaidi... namakan seseorang di DBP yang
menguatkuasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan ...
14. akak nak bawak bunga ah nnt.. leh mandi bunga kat sungai pisang nih...
15. Kalau Kak Sri ingin melakukan semua itu. Jangan lupa calling-calling saya!

Berdasarkan data tersebut, jelaslah bahawa dalam kalangan pengguna laman ini, masih ada yang menggunakan kata sapaan tertentu untuk menyapa rakan sosialnya. Dari segi cara penulisannya pula adalah pelbagai, iaitu ada yang menulis penuh dan ada juga yang menyingkatkannya (tanpa tanda titik).

Hal ini menunjukkan bahawa masih ada pengguna yang sedar tentang keperluan penggunaan kata sapaan ini, terutamanya terhadap rakan sosial yang dihormati atau yang lebih tua. DB

- Zaidi Ismail, Dewan Bahasa MAC 2010

Tuesday, March 23, 2010

BERITA

Penangan Puisi Jenaka
oleh Nurul Farina Nazlan (nfarina@bharian.com.my)
2010/03/22




Malam Puisi Riong paling panjang tarik perhatian 1,000 khalayak ketika bertamu di UPSI.

PUISI jenaka menguasai pentas Malam Puisi Riong: Gema Suara Kemanusiaan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini, sehingga sebahagian besar khalayak lupa bahawa mereka sedang menyaksikan acara deklamasi.

Pengarang Kumpulan BHSB, Datuk Mior Kamarul Shahid, beraksi di pentas dengan puisi yang ditulis khusus untuk acara terbabit oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Kesusasteraan Melayu, UPSI, A Halim Ali, berjudul Malam Puisi Riong dengan mesej betapa prihatinnya penyair kepada persekitaran.

Malam Puisi Riong
penyair menghantar kata jiwa
dan manis budi
buah fikir dan pesan seloka
lihatlah sumur jingga bernyala
dalam jiwa yang mengerti
di sebalik resah diri. Puisi jenaka Mior, Dia Kata, mengisahkan watak Dia berlebih-lebih dalam segala hal bagi menunjukkan betapa bagus dan hebatnya dia, meskipun hakikatnya adalah di sebaliknya sehingga setiap bait yang dibacakan lengkap dengan rima, mencuit hati khalayak sehingga mereka tidak dapat menahan tawa.

Dia kata, dia kenal semua orang besar dari menteri hinggalah kepada Menteri Besar. Yang dia tak kata, dia kenal mereka, mereka tidak kenal pun dia.

Dia kata dia pemurah, suka bantu orang susah. Cuma dia tak kata masa orang kutip derma dia tak pernah ada di rumah.

Walaupun dia tak pernah kata, tapi semua orang kata dia memang peramah. Itu sebab dia suka beri ceramah. Orang berceramah atas pentas, dia ceramah biasanya di luar rumah.’

Suasana menjadi bertambah gamat apabila penonton ‘digeletek’ dengan bacaan puisi Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar lewat karyanya, Mandrem Tanjung Malim, mengungkap nostalgia silam dan sama sekali tidak diduga khalayak mampu menggeletek mereka memandangkan Johan terkenal dengan tampang seriusnya.

Pelawak, Sabri Yunus, meskipun beraksi hampir menjelang detik tengah malam, mendapat tumpuan khalayak ketika berkongsi dua sajak yang dikarang secara spontan sebaik tiba di Tanjung Malim kerana berkejar dari Filem Negara Malaysia sebelum itu.
Dua puisi dalam loghat Kelantan, Pesan Ayah dan Kitab Asal Usul Budu, dengan puisi pertama berunsur nasihat tetapi dalam nada lucu manakala puisi kedua berhubung makanan tradisional Negeri Cik Siti Wan Kembang, diterima dengan hati terbuka khalayak sasaran tanpa kering gusi.

Pasti kalangan pelajar dan pensyarah Upsi pada malam terbabit turut terkejut dengan bakat terpendam Pengerusi Koperasi Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat Berhad (KGMMB), Dr Abdul Raheem Mohd Yusof yang membuka bidai persembahan malam itu dengan Selagi Bumiku Berlangit karya A Halim Ali.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Aminah Ayob, tampil dengan Pesan Seorang Ibu Kepada Anak Didiknya ditulis khusus Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraannya, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, berbentuk nasihat kepada anak yang bakal menjadikan bidang perguruan sebagai kerjaya mereka.

Tidak ketinggalan, malam terbabit turut menjadi gelanggang memperkenalkan semula khazanah puisi tradisional yang semakin tidak dikenali generasi muda ekoran perubahan selera dan persekitaran semasa apabila beberapa pakar bidang tampil di pentas.

Penerima Anugerah Penulisan Sea 2005, Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Agi, menarik minat lebih 1,000 penonton dengan suara memukau ketika membaca nazam Muhammad Yatim Piatu, sekali gus memberi peluang mengenali corak persembahan puisi tradisional itu.

Nabi Muhammad yatim piatu
dikasihi Allah Khalikul Rahman
yang amat mendengar firman dan wahyu
zahir dan batin serta beriman ....

Majlis bertambah meriah dengan persembahan bersahaja Dr. Mohd Rosli yang juga pakar teromba negara ini, ketika mengusik khalayak lewat Sesantun Indah Budi Seindah Bahasa, menyerlahkan kepada khalayak betapa pelbagainya gaya penyampaian puisi tradisional.

Pentas puisi turut dihangatkan Pegawai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor, Md. Yusof Ali atau lebih dikenali dengan nama penanya, Ria Asmira dengan puisi sinis, Sang Serigala Itu, sehingga khalayak bersorak kerana terpukau dengan aksi dan lontaran suara yang menggetarkan.

Oh!
Sungguh licik sang serigala itu
bertopengkan wajah manusia
dari segala macam topeng yang ada
mengabui mata dalam susur kasih sayang
kononnya ingin menjadi kucing yang dimanja
menjaga hati tuan yang memelihara
menjaga segala ruang litup tunas-tunas muda
namun hakikatnya dendam meratap seluruh jiwa
yang membuak menunggu masa meledak kesumat
pada tunas-tunas muda yang belum puas mengenal dunia
akhirnya terkulai dalam kuncup sebelum kembang.

Satu-satunya, penyair bukan Melayu malam itu, Chai Loon Guan, yang juga guru bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Tanjung Malim, turut menambat khalayak dengan getaran suaranya ketika tampil dengan puisi, Warkah Dari Semenanjung Gaza.

Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, UPSI, A Halim, beraksi di pentas dengan puisinya, Jenguklah Kembali Matlamat Kita Membangunkan Diri, sebelum dihangatkan dengan persembahan Seloka Pak Kaduk oleh A Rahman Aminudin atau lebih dikenali sebagai Pak Farouk, anggota kumpulan Trio Santan Berlada.

Malam puisi itu juga pasti meninggalkan nostalgia tersendiri apabila seorang lagi pensyarah Upsi, Prof Dr Bukhari Lubis, menyampaikan puisi, Dalam Kesementaraan Ini dan Warna-Warni Keinsanan dalam bahasa Parsi dan turut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, sebelum diteruskan Yassin Salleh dengan Jangan Cari Rama-Rama.

Penerima Anugerah Penulisan Sea 2007, Prof Rahman Shaari yang juga Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), tampil di pentas dengan puisinya, Diam dan acara turut menerima sentuhan seorang lagi pensyarah Upsi, Dr Ani Omar dengan Senandung Puisi Riong yang disampaikan dalam gaya mestamu (melagukan puisi tanpa alat muzik).

Kelunakan suara pelajar jurusan muzik, UPSI, terserlah ketika trio mereka beraksi dengan puisi Merindu Alam karya Ihsan Noorzali.
Legenda rock Singapura yang kini lebih condong dengan lagu ketuhanan, Ramli Sarip, menutup tirai majlis dengan suara serak basahnya lewat puisi, Mencari Damai Abadi nukilan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan lagu ciptaannya, Bukan Kerana Nama, pada 1986.

Ternyata lagu duetnya dengan Datuk Khadijah Ibrahim, Doa Buat Kekasih dan puisi AG Abiet, Kamelia yang pernah dipopularkannya ketika menganggotai Sweet Charity, sentiasa terpaku dalam kenangan peminat apabila meminta Ramli menyanyikannya meskipun jam sudah lebih 12 tengah malam dan mereka setia menyanyi bersama sambil mengelilingi pentas serta terus bersimpuh di tikar, seolah-olah belum puas dengan acara yang berlangsung hampir tiga jam.

Monday, March 22, 2010

MALAM PUISI RIONG - UPSI 2010












Warkah dari Semenanjung Gaza

Warkah ini baru kuterima
Bersama bingkisan salam
Laut biru Semenanjung Gaza yang merah
Berlandskap awan-gemawan mendung
Bau hanyir darah membasahi setiap inci bumi
Sebuah negara bernama Palestin

Semasa membarisi setiap kata bicara warkah
Dapat kulihat senja merah berdarah di Semenanjung Gaza
Jenazah wira bangsa syahid bergelimpangan
Menyerlahkan notelun kezaliman dan kebinatangan
Manusiakah yang bernama Zionis?

Dan, terbakarlah Semenanjung Gaza
bagaikan padang jarak padang tekukur
Nyawa semurah sampah bersepah
Kota negara bangsa musnah dalam sekelip mata
dek bedilan mortar, kereta kebal dan senjata kimia
maka, terlakarlah sketsa hiba duka nestapa ribuan keluarga
dan rasian ngeri anak-anak pribumi
yang pasrah berjuang bertemankan puing-puing kemusnahan

Sekeping gambar lusuh dalam warkah ini
adalah seorang anak kecil bernama Arafat daripada ribuan pelarian
Mata birunya yang tajam sempat menulis tragedi dalam air mata
Wajah lukanya yang cacat sempat mencatat derita dalam merah
darah
Kata Arafat:
Di sini tiada pesta hari jadi, taman rekreasi atau restoran KFC
Di sini pentas hidup yang mementaskan aneka sandiwara
Gerombolan serigala buas Zionis yang sadis
Membedil setiap ruang jendela, pintu dan kamar hidup
Anak-anak Palestin yang tidak berdosa
di tanah airnya yang tercinta
Di sini sebenarnya, lahir sebuah buana sengsara ciptaan manusia!
Di sini sebenarnya, lahir sebuah neraka dunia ciptaan manusia!

Chai Loon Guan,
Jabatan Bahasa Melayu, SMK Methodist, Tg.Malim.

(Sumber: Jendela Utara - April 2009)

Catatan:
Pertama kali dideklamasikan oleh penulis sempena Malam Puisi Riong - UPSI pada 17 Mac 2010

Thursday, March 18, 2010

MALAM PUISI RIONG - UPSI 2010


Malam Puisi Riong - UPSI telah diadakan dengan meriahnya di Tapak Pesta Konvo UPSI pada 17 Mac 2010. MPR-UPSI telah dirasmikan oleh YBhg.Timbalan Naib Canselor UPSI. Antara penyair jemputan pada malam itu ialah AGI, Ria Asmira, Rahman Shaari, Chai Loon Guan, Sabri Yunus, Ramli Sarip, Datuk Paduka Dr. Rosli, A.Halim Ali, Dr. Ani dan sebagainya.

(Sumber: Chai Wuang Shen & Chai Loon Guan)

Monday, March 15, 2010

Notelun Catatan Alumni MES

2010/03/15
1Malaysia in Methodist English School Tanjong Malim

The MES Alumni who visited the school on the 14th of March 2010

When I signed up with Facebook never in my wildest dream that I'll find many friends that I thought I had lost forever. These are friends from my school days especially those from Tanjong Malim whom I share a special bond with since I grew up there.

My house faced the school and every morning I'll get up and take a peek at the school. I was always eager to go to school and will be very disappointed if I am only slightly late. My school faced the Banjaran Titiwangsa and every morning we would walk in the mist and most of us had cardigans to wear to school. No the air-conditioning was all natural.

Tanjong Malim was a small town but was special because it had the most prestigious Teaching College then the Sultan Idris Teaching College which later became Maktab Perguruan Sultan Idris and finally was turned into Universiti Perguruan Sultan Idris. We were a very small and close knit community. Everyone practically knew each other. At school the teachers knew not just us but our parents too.

We were thoroughly blessed to have a teacher like Mrs Jothi who was so passionate about teaching. Till today those who took her class will atest to her innovative teaching methods. The boys had to take care of the girls. Assemblies and nature walks meant the boys had hold our hands much to our embarrassment then. We each had a "partner". We were responsible not just for ourselves but our partners too. Talk of teaching boys and girls to live with each other.
We were worked by all teachers. If you complained to your parents, you will probably get another earful at home. If you did not do your homework you had to stay behind with Mrs Jothi seated at her table looking over you till you memorised the tables or the poems. Ahhh till today some still remembers "The Bailiff's Daughter of Islington".

We lived in harmony and peace. We were practicing the spirit of 1Malaysia even then. It was safe to go anywhere. We would visit each other during festive season. We cycled everywhere. Our parents knew that there were many watchful eyes ensuring we were safe. If we ever got out of line no worries the news will get to your parents even before you got home and many of us did not even have phones let alone mobile phones. Yes life was pretty idyllic.

It was with such reminiscence that I discovered all my old Tanjong Malim friends in Facebook. Suddenly we were organising a get-together on the 9th of February at Mines Wellness Hotel. We were so excited to see each other again after 30 odd years. We were hugging and looking at old photographs. We cracked our heads to remember each other. The hotel had to politely ask us to leave by switching off the hotel lights one by one. We took it in our stride to meet again soon. We thought why not back to school. So beginning with just a group of just 4-5 the group soon gained momentum.

Yesterday there were about 50 of us at the school. We were amazed at the warm reception extended to us by he school board. I guess some things do not change. However, we were sad to see the dilapidated state of the buildings. It looked like time stood still as far as the buildings were concerned. Well we gave to the school yesterday but I guess we need to do more. We can't allow such a fine institution to be run to the ground. Mr Yoga, we shall try and help out. Dr. Hamizer has been given the trust to start the ball rolling by establishing a formal Alumni.
However, despite the happiness of seeing each other we were also sad to learn of the death of some of our old classmates notably Ahmad Hisham and Lee Jiun Leong. Alfatihah and rest in peace.

I have to say a big thank you to David for organising all the events. Thank you for getting me to be touch with my old buddies, Nina Khoo, Saliah and Krishna. Harith it is so good of you to have found me. To Mrs Chew thank you for being such a sport. To the rest of my friends, Yeen Heng, Lye Peng, Thai Thye, Pearl, Wendy, Alvin, Lucky, Kok Khuin, Hamizer, May Chee, Alvin, Tat Ming, Fook Meng, Goh Kim Peng, Sukumaran, Hasnol Aidi, Noreha etc...(sorry if I left anybody out, my ailing brain is trying hard to remember).

We left after taking lots of photographs. We have found each other again. I have found the sparkle in my heart. I smile imagining of the Banjaran again. We shall be back and restore the buildings to its former glory.

Professor Dr. Yang Farina Abdul Aziz,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 Bangi,
Selangor Darul Ehsan.

Saturday, March 13, 2010

ALUMNI MES - LUX ET VERITAS


































Alumni SMK Methodist, 35900 Tg.Malim:

14 Mac 2010, sekembali daripada latihan bola keranjang di Gelanggang Bomba Tg.Malim, saya ke sekolah untuk bersama-sama PIBG menyambut kedatangan kurang lebih 50 bekas murid MES sesi 1976 - 78. Antara lain YBrs.Dr. Hamizer Md Sukor (IAB), En.Go Kim Peng, YBrs.Dr. Yang Farina Abdul Aziz (UKM), En. David WF Chan dan rakan-rakan. Sirih pulang ke gagang! Bekas murid turut memberikan sumbangan spontan sebanyak RM 5000.00, meraikan hari jadi Pengetua, bergambar kenangan dan berceritera tentang zaman silam yang penuh nostalgik dan rindu-rinduan. Warga MES amat berharap agar hasrat untuk menubuhkan Alumni MES akan termakbul pada masa yang terdekat ini.



Foto dan teks oleh En.Chai Loon Guan.



Friday, March 12, 2010

Membaca Jambatan Ilmu

Membaca Jambatan Ilmu

Slogan “Membaca Jambatan Ilmu” sering kali kita gunakan untuk menunjukkan betapa pentingnya amalan membaca dalam usaha kita mencari ilmu pengetahuan. Membaca merupakan antara kegiatan yang amat penting dalam kehidupan manusia di samping mampu membangunkan dan memajukan sesuatu masyarakat.

Insan yang berbudaya membaca merupakan manusia yang berilmu. Minat membaca berkait rapat dengan budaya ilmu kerana minat ini mampu melonjakkan pembangunan dan kemajuan dalam kehidupan masyarakat majmuk Malaysia yang berorientasikan sains dan teknologi.

Amalan membaca perlu dijadikan suatu budaya dalam kehidupan masyarakat kita. Budaya ini pula tidak seharusnya terbatas di sekolah, kolej atau universiti semata-mata tetapi juga patut dikembangluaskan dalam kehidupan masyarakat termasuklah masyarakat di luar bandar. Hal ini penting agar masyarakat luar bandar yang sering dikaitkan seperti katak di bawah tempurung akan dapat menimba dan menambahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman agar mereka tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dan pembangunan global.

Seseorang individu atau sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak berdaya tahan sekiranya ketandusan atau kemunduran dalam buana ilmu yang bermutu dan mutakhir. Sebaliknya, masyarakat yang ketinggalan atau yang mengabaikan budaya ilmu akan bergantung harap kepada orang atau bangsa lain yang berilmu dan cendekia. Buktinya kita dapat melihat betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negara masing-masing kepada negara lain yang lebih maju dan dominan dalam bidang keilmuan dan kepakaran.

Akhir kata, ingin saya tegaskan bahawa kehidupan yang lebih sempurna akan dapat dibentuk sekiranya masyarakat kita membudayakan amalan membaca dalam kehidupan mereka sehari-hari. Amalan murni ini secara langsung akan melahirkan modal insan dan masyarakat Malaysia yang berilmu, berwawasan dan bertamadun tinggi.

Hasil Kerja:
Tan Jia Meng, Tingkatan 1 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.

Pola Ayat Dasar dalam Novel Hikmah

Pola Ayat Dasar dalam Novel HIKMAH
oleh Chai Loon Guan, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

Pengenalan

Menurut Tatabahasa Dewan, ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa. Walaupun terdapat berbagai-bagai jenis ayat dari segi binaan dan susunannya, dan dari segi panjang pendeknya dalam sesuatu bahasa, namun jika dikaji asas binaannya maka semua ayat itu boleh dikesan rangka dasarnya sebagai berasal daripada beberapa pola tertentu. Pola-pola rangka ayat itulah yang disebut pola ayat dasar bagi sesuatu bahasa. Daripada pola-pola ayat itulah terbit ayat yang lain, sama ada ayat tunggal atau ayat majmuk, ayat pendek atau ayat panjang, ayat aktif atau ayat pasif, dan sebagainya.

Dalam bahasa Melayu, pola ayat dasar boleh dibahagikan kepada empat jenis, dengan berpandu pada jenis-jenis unsur yang hadir sebagai konstituen ayat-ayat itu, iaitu jenis-jenis subjek dan predikatnya. Konstituen subjek, pada umumnya, diisi oleh frasa nama, sementara konstituen predikat pula diisi oleh empat jenis unsur yang berbeza, iaitu frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FSN). Empat jenis unsur pengisi konstituen predikat inilah yang menubuhkan empat jenis pola ayat dasar bahasa Melayu seperti yang berikut:

Pola Ayat Dasar Bahasa Melayu
Pola 1
Frasa Nama + Frasa Nama
Encik Mahenthiran + guru sekolah.
Pola 2
Frasa Nama + Frasa Kerja
Nenek mereka + sedang berkebun.
Pola 3
Frasa Nama + Frasa Adjektif
Gadis itu + jelita sungguh.
Pola 4
Frasa Nama + Frasa Sendi Nama
Sekolah saya + di Tanjong Malim.

Ringkasnya, empat pola ayat dasar dengan unsur-unsurnya adalah seperti yang berikut:

Pola 1: Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
Pola 2: Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
Pola 3: Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
Pola 4: Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN + FSN)

Walaupun dalam contoh-contoh pola ayat dasar, seperti yang di atas, konstituen-konstituen terbentuk daripada dua perkataan, namun setiap konstituen boleh mengandungi hanya satu perkataan kecuali Pola 4 yang konstituen predikatnya mesti terdiri daripada kata sendi nama diikuti oleh kata nama atau frasa nama.

Pola Ayat Dasar dalam novel Hikmah

Novel Hikmah nukilan pena Mohd Faris Ikmal, yakni novel yang menjadi teks wajib Komponen Sastera (KOMSAS) dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu bagi murid-murid Tingkatan Satu dari negeri-negeri Zon Utara turut memaparkan sejumlah besar pola ayat dasar bahasa Melayu.

Contoh:

01. Siva terlopong. (FN + FK) Bab 1 Hal.2
02. Amri mengangguk-angguk. (FN + FK) Bab 1 Hal.3
03. Kamu mesti berjaga-jaga. (FN + FK) Bab 2 Hal.9
04. Selera Amri tumpul semula. (FN + FA) Bab 3 Hal.17
05. Emak ke kedai Pak Dollah. (FN + FSN) Bab 3 Hal.17
06. Amri berperasaan geram. (FN + FK) Bab 3 Hal.19
07. Amri mengekori emaknya. (FN + FK) Bab 3 Hal.20
08. Dahi emak berkerut. (FN + FK) Bab 4 Hal.24
09. Suara ayah makin meninggi. (FN + FA) Bab 4 Hal.24
10. Emak tertunduk lesu. (FN + FK) Bab 4 Hal.25
11. Air matanya mula mengalir. (FN + FK) Bab 4 Hal.25
12. Emak diam. (FN + FK) Bab 4 Hal.25
13. Mata ayah melilau. (FN + FK) Bab 4 Hal.25
14. Hati emak bertambah sebak. (FN + FK) Bab 4 Hal.26
15. Amri tersungkur. (FN + FK) Bab 4 Hal.28
16. Amri mula mencari mangsa. (FN + FK) Bab 5 Hal.35
17. Amri merenung jauh. (FN + FK) Bab 5 Hal.37
18. Amri merangka satu perancangan. (FN + FK) Bab 5 Hal.38
19. Amri tersenyum lagi. (FN + FK) Bab 6 Hal.41
20. Sapura mengangguk kecil. (FN + FK) Bab 6 Hal.42
21. Bodohnya aku. (FN + FN) Bab 6 Hal.45
22. Amri benar-benar geram. (FN + FA) Bab 7 Hal.48
23. Sapura mula berfikiran logik. (FN + FK) Bab 7 Hal.51
24. Sapura bertambah keliru. (FN + FK) Bab 7 Hal.54
25. Emaknya tidak berkata apa-apa. (FN + FK) Bab 8 Hal.56
26. Amri melangkah ke tangga. (FN + FK) Bab 8 Hal.59
27. Kayuhan Amri makin laju. (FN + FA) Bab 8 Hal.59
28. Perasaannya kini bercampur-campur. (FN + FK) Bab 8 Hal.60
29. Amri mengurut-urut dadanya. (FN + FK) Bab 8 Hal.62
30. Amri mula berasa curiga. (FN + FK) Bab 9 Hal.65
31. Amri mula menggeletar. (FN + FK) Bab 9 Hal.65
32. Amri meraung kesakitan. (FN + FK) Bab 9 Hal.66
33. Amri tidak pengsan. (FN + FK) Bab 9 Hal.67
34. Amri kekeliruan. (FN + FN) Bab 10 Hal.71
35. Sapura membantu Amri duduk. (FN + FK) Bab 10 Hal.71
36. Emak Amri tetap tabah. (FN + FA) Bab 10 Hal.78

Hasil dapatan di atas, jelas membuktikan bahawa pola ayat dasar frasa nama + frasa kerja (FN + FK) cukup dominan dan hadir dalam setiap bab dalam novel Hikmah. Selain itu, pola ayat dasar seperti frasa nama + frasa sendi nama (FN + FSN), frasa nama + frasa nama (FN + FN) dan frasa nama + frasa adjektif (FN + FA) turut mewarnai perenggan cerita dalam novel tersebut.


Sebenarnya, kehadiran pola-pola ayat dasar bahasa Melayu jelas membuktikan bahawa penulis novel mampu menghasilkan sebuah karya novel yang banyak menggunakan ayat mudah yang gramatis konstituen subjek dan predikatnya bersesuaian dengan aras pencapaian dan kognitif para pembaca yang rata-rata terdiri daripada murid-murid Tingkatan Satu sekolah menengah rendah di negeri-negeri Zon Utara Malaysia.

Kesimpulan

Sebagai guru mata pelajaran Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia) yang kreatif dan berinovatif, kita juga boleh menggalakkan murid-murid mengenal pasti dan menyenaraikan pola ayat dasar bahasa Melayu menurut konstituen subjek dan predikat dalam wacana novel Hikmah sebagai aktiviti pengayaan dan pengukuhan tatabahasa Bahasa Melayu.

Bibliografi:
Mohd. Faris Ikmal, Hikmah, V-Nice Resources Sdn.Bhd., Selayang Baru. 2010.
Nik Safiah Karim, at el, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 2008.

Monday, March 8, 2010

Sajak - Mencari Aku

Mencari Aku

mencari aku
dalam cermin diri
kesombongan melirik
wajah kebendaan
wajah keduniawian

mencari aku
dalam buana diri
kealpaan mengekori
kembara perjalanan
sesekali terkhilaf
sesekali tersesat
akan jalan pulang

mencari aku
dalam busana diri
uja warna mengaburi
akal budi
mata batin
sang musafir

mencari aku
penuh nekad
penuh tekad
insaf dalam pasrah
bermuhasabah diri
di buana kembara
yang berteka-teki ini!

Chai Loon Guan,
Bilik Guru, SMK Methodist, Tg. Malim.

Friday, March 5, 2010

SEMINAR ANTARABANGSA PEMIKIRAN SASTERAWAN UPSI 2010







Seminar Antarabangsa Pemikiran Sasterawan - Suhaimi Hj. Muhammad dan Malim Ghozali PK di Dewan Seri Tanjung, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tg. Malim pada 5 - 6 Mac 2010.
5 Mac 2010:
YBhg. Prof.Dr. Abdul Hamid Mahmood, Tn.Hj.Zabidin Ismail (Karyawan Pk), Pak Malim Ghozali PK, YBhg.Dr.Abdul Ghani Hj. Abu (UPSI) dan En. Abdul Halim Ali (Budiman).
6 Mac 2010:
Malam Gema Puisi UPSI menampilkan juruacara TV3 - Zakiah Anas, Prof. Dr. Abdul Rahman Hanafiah (Mana Sikana - Novelis Merdeka! Merdeka!), Rahimidin Zahari (Anak Laut), Malim Ghozali PK, SM Zakir, Shamsudin Othman, Marsli NO, Chai Loon Guan, Mohammad Daud Mohammad, Gopa, Datuk Dr. Mansur Abdullah (M.Asyikin), A. Rahim Abdullah, dan sebagainya.
(Sumber dan foto: Chai Loon Guan, Persatuan Karyawan Pk)

Thursday, March 4, 2010

JOHAN LINTAS HORMAT SUKAN MES 2010


Tahniah kepada Kadet Remaja Sekolah, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim kerana telah muncul Johan dalam Pertandingan Perbarisan dan Lintas Hormat, Temasya Sukan Tahunan MES Ke-61 pada 4 Mac 2010.
Temasya kali ini telah disempurnakan majlis perasmiannya oleh YB Dato' Seri Ong Ka Chuan, Ahli Parlimen Kawasan Tg. Malim.

Tuesday, March 2, 2010

Daerah dalam Perak Darul Ridzuan


10 Daerah dalam Negeri Perak Darul Ridzuan.
1. Daerah Kinta Selatan
2. Daerah Kitan Utara
3. Daerah Hulu Perak
4. Daerah Kerian
5. Daerah Perak Tengah
6. Daerah Batang Padang
7. Daerah Larut, Matang dan Selama
8. Daerah Kuala Kangsar
9. Daerah Hilir Perak
10. Daerah Manjung.

Karangan BM PMR - Ilmu Pelita Hidup

Tulislah suatu karangan berdasarkan ungkapan “Ilmu pelita hidup”.

“Ilmu pelita hidup”. Kita mestilah menghayati ungkapan ini dan mendapatkan ilham untuk belajar bersungguh-sungguh. Amalan membaca memberi manusia pengetahuan yang mendalam. Sejak zaman kanak-kanak lagi, minat membaca sewajarnya kita pupuk untuk menyuntikkan semangat cinta akan bahan bacaan.

Kita perlulah menyemaikan amalan membaca untuk membolehkan kita meluaskan ilmu pengetahuan dan pengalaman. Sekiranya kita jarang mengamalkan budaya membaca, maka kita akan ketinggalan dalam buana ilmu dan kemahiran. Barangkali, kita akan diperli atau diketawakan oleh kawan-kawan sehingga diri kita dianggap sebagai katak di bawah tempurung. Hal ini akan mempengaruhi dunia kehidupan kita dan seterusnya akan menjejaskan masa depan kita.

Sebenarnya, dunia ilmu amat penting kepada pelbagai lapisan rakyat dalam sesebuah negara. Ilmu dapat membantu pelajar semasa menghadapi dunia peperiksaan. Bagi orang dewasa pula, ilmu membolehkan mereka menguasai kemahiran dan keperluan tugas masing-masing dengan mudah dan berkesan. Oleh itu, kita haruslah senantiasa membaca pada setiap masa agar masa depan kita terjamin bak kata slogan, yakni bangsa membaca, bangsa berjaya.

Dewasa ini, masyarakat moden kian giat memburu dunia kerjaya yang menawarkan sumber pendapatan yang lumayan. Oleh sebab itu, sebagai pesaing yang berpotensi di dunia yang serba mencabar ini, kita perlu menimba ilmu melalui bahan bacaan yang bermutu dan bermanfaat. Dengan berbekalkan ilmu dan kemahiran, maka kita lebih mudah untuk memperoleh kerjaya yang membanggakan.

Kita dapat mengisi masa lapang dengan membaca surat khabar, makalah atau majalah yang bermutu dan berfaedah. Usaha yang baik ini membolehkan kita menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti bergentayangan di pusat beli-belah, terlibat dalam kegitan samseng jalanan dan sebagainya. Masa lapang perlu kita isi dengan bahan-bahan bacaan ringan atau bahan yang bersifat ilmiah untuk membantu proses pembelajaran dan pengajaran sama ada di dalam bilik darjah atau di luar sekolah.

Sesungguhnya, ilmu yang kita peroleh melalui bahan bacaan umpama pelita hidup yang bakal menerangi dunia kerjaya dan kehidupan kita di alam sarwajagat yang serba canggih dan mencabar ini. Bacalah kita untuk memperoleh ilmu kerana ilmu pelita hidup.
Disediakan: Leong Siew Hua, Tingkatan 3H, SMK Katholik, 35900 Tg. Malim.

Karangan BM PMR - Gengsterisme di Sekolah

Isu gengsterisme kian menular di sekolah dan telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak. Sebagai pelajar prihatin, cadangkan usaha-usaha untuk menangani gejala gengsterisme di sekolah.

Gejala gengsterisme berleluasa dan kian menular di sekolah. Isu gengsterisme ini telah menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat dan negara kita. Menurut Kamus Dewan, gengsterisme bermaksud kegiatan samseng dalam kalangan samseng. Memandangkan gejala ini bertambah serius, pihak sekolah dengan kerjasama ibu bapa telah memikirkan usaha-usaha untuk menangani masalah tersebut.

Salah satu langkah untuk membanteras gejala gengsterisme ini ialah pihak sekolah hendaklah memperketat usaha pemantauan dan penguatkuasaan peraturan sekolah. Guru sekolah haruslah mendapat kerjasama polis untuk mencegah masalah ini. Jika didapati ada murid yang terlibat dalam kes tersebut perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman yang setimpal.

Pendidikan juga memainkan peranan yang penting dalam menangani gejala gengsterisme. Pada masa ini, murid-murid kurang mementingkan pendidikan yang tidak diambil kira dalam peperiksaan. Antaranya ialah Pendidikan Moral, Sivik, Pendidikan Agama dan sebagainya. Guru-guru dan ibu bapa perlu banyak menyalurkan ilmu dan nilai murni dalam pendidikan kepada anak-anak didik. Disiplin ilmu yang diberikan akan membolehkan mereka lebih memahami keburukan gejala gengsterisme dan menjauhkan diri daripada aktiviti negatif tersebut.

Selain itu, pihak sekolah juga patut mengadakan kempen kesedaran, kempen motivasi dan pelbagai program. Maklumat yang terperinci tentang keburukan gejala gengsterisme hendaklah dibincangkan dalam kempen ini. Oleh hal yang demikian, kesedaran dapat dipupuk dalam kalangan murid dan mengalakkan diri mereka supaya tidak terbabit dalam gejala ini.

Pendek kata, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Kesungguhan dan kerjasama yang erat daripada pihak berkuasa, ibu bapa dan masyarakat amat memerlukan untuk menangani masalah gejala gengsterisme di negara kita.

Disediakan oleh,
Cheong Chin Ying, Tingkatan 3 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim.