Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Sunday, January 31, 2010

Karangan BM Tingkatan 1

Tahun Baharu Cina 2010

Tahun Baru Cina 2009 ialah tahun saya, iaitu tahun lembu. Setelah berakhir tahun lembu, maka tibalah tahun harimau. Kebetulan pula tahun harimau ialah tahun adik saya yang berumur dua belas tahun.

Dalam adat resam orang Cina, terdapat pantang larang yang harus dipatuhi. Pada hari Tahun Baharu Cina yang pertama, orang Cina tidak boleh menyapu lantai dan membersihkan rumah. Selain itu, orang Cina wajib memakai baju yang berwarna cerah seperti merah. Masyarakat Cina juga dinasihati agar bersopan santun dalam perbualan seharian.

Sebelum Tahun Baharu Cina, saya dan keluarga akan membuat persiapan seperti melakukan kerja pembersihan, membuat kuih-muih dan sebagainya . Pada tahun ini, ayah telah membeli sofa yang baharu untuk menggantikan sofa yang lama dan rosak.

Biasanya pada hari pertama Tahun Baharu Cina, saya dan adik saya bangun awal. Kami akan memakai pakaian baharu lalu mengucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada ibu bapa. Mereka akan memberikan bungkusan “angpau” kepada kami . Pada sebelah pagi pula, kami akan bertolak ke rumah saudara-mara. Kami akan mengucapkan ‘Selamat Tahun Baharu Cina’ kepada mereka. Selepas mendapat angpau, saya dan adik akan bermain dengan sepupu saya. Selain itu, kami juga dihidangi kuih-muih dan minum minuman ringan.

Pada waktu malam pula, saya dan ahli keluarga bersedia untuk makan besar di rumah. Tarian singa juga dipersembahkan di taman-taman perumahan selepas hari pertama Tahun Baharu Cina. Persembahan yang menarik itu biasanya akan disaksikan oleh orang ramai, termasuklah kawan-kawan dan jiran daripada kaum-kaum yang lain. Seperti tahun-tahun sebelumnya, pada hari kedua Tahun Baharu Cina, saya dan keluarga akan bertolak ke rumah nenek saya di Kampar, Perak Darul Ridzuan. Kampar tidak jauh dari Tanjong Malim. Kami mengambil masa dua jam perjalanan untuk tiba di rumah nenek.

Kami akan mengucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada datuk dan nenek. Kami juga akan menonton televisyen sambil makan biji labu bersama-sama datuk dan nenek. Pada waktu malam pula, kami akan makan makanan laut di rumah nenek . Enak sekali masakan nenek dan datuk, terutamanya bebola ikan. Selepas tinggal sehari dua di rumah datuk, kami akan pulang ke Tanjong Malim semula.

Tahun Baharu Cina merupakan perayaan yang disambut oleh masyarakat Cina dengan meriah. Saya berdoa agar Tahun Baharu Cina 2010 ini akan lebih meriah, bertuah dan membahagiaceriakan kami sekeluarga, masyarakat dan negara.

Hasil kerja: Chai Wei Kit, Tingkatan 1, SMK Methodist, 35900 Tg. Malim.

Saturday, January 30, 2010

Sinopsis Novel BM Tingkatan 3 - Merdeka! Merdeka!

Sinopsis Novel BM Tingkatan 3 – Merdeka!Merdeka!
Penulis: A.Rahman Hanafiah
Bab 7 - Tetamu Berdua
Sinopsis
Kudin terdengar akan perbualan bapanya dengan Osman dan Kassim. Mereka datang ke rumah kerana disuruh oleh Tuan White. Tuan White memberikan kata dua kepada Pak Awang, iaitu sama ada berjuang atau berhenti kerja. Pak Awang amat marah dan mengambil keputusan nekad, iaitu berhenti kerja. Pak Awang pergi ke rumah Ibrahim bersama dengan Kudin.

Mereka membuat pungutan derma daripada orang-orang kampung. Jumlah pungutan tidak begitu banyak tetapi sumbangan itu membuktikan bahawa orang-orang kampung menyokong perjuangan menentang Malayan Union. Sementara itu, ayah Bustam, iaitu Pak Kasa dan saudara-maranya bertekad untuk menyelamatkan Bustam. Pak Awang menyertai keluarga Pak Kasa dalam misi mencari dan menyelamatkan Bustam. Kudin pula meneruskan pungutan derma bersama dengan Ibrahim.

Kosa kata / Maknanya
1. Gegas - Terburu-buru
2. Berang - Marah
3. Tegas - Berdisiplin dalam sesuatu kerja
4. Giat - Sentiasa atau seringkali membuat sesuatu yang aktif .
5. Barut - Kain pembalut luka
6. Garau - Suara
7. Gugup - Riuh-rendah, bingung, gagap
8. mengherdik - Menengking
9. Mencelah - Suka menyampuk ketika orang sedang bercakap
10. Merunding - menghitung, memperhitungkan

Hasil Kerja:
Tanasekanan a/l Subramaniam, Noor Afiq Hidayat b. Nor Rahim dan Mirza Izura Shakina, Tingkatan 3 Dinamik, SMK Methodist, Tg.Malim.


Friday, January 29, 2010

Karangan BM Tingkatan 1

Pasar Lambak di Tanjong Malim

Hari ini hari Sabtu . Cuaca pada hari ini cerah . Saya bersama-sama ibu pergi ke pasar lambak Tg. Malim untuk membeli – belah .

Pasar lambak di Tg. Malim besar dan bersih . Terdapat banyak gerai yang menjual barang–barangan di pasar lambak itu . Antara lain barangan seperti minuman , makanan , sayur – sayuran, busana dan sebagainya . Oleh itu , banyak orang suka berkunjung dan membeli barang-barang keperluan harian di sana . Barangan yang dijual pula murah dan segar .

Suasana di pasar lambak riuh – rendah . Banyak orang sedang membeli–belah di pasar lambak itu . Terdapat orang yang sedang membuat tawar-menawar harga dan tidak kurang pula yang sedang memilih barang-barang keperluan .

Saya dan ibu sedang berjalan di laluan yang sesak . Ibu telah membeli seekor ikan tenggiri yang besar , sayur-mayur yang segar dan sedikit buah. Tidak lama kemudian , bakul yang dibawa oleh ibu telah penuh diisi dengan barangan . Saya sempat menolong ibu untuk mengangkat bakul itu.

Kebetulan pula, kami bertemu dengan Puan Leong di pasar lambak itu . Ibu telah berbual-bual dengan Puan Leong selama beberapa minit. Puan Leong juga telah membeli beberapa jenis barang keperluan dapur.

Selepas itu , kami singgah sebentar di restoran yang berdekatan untuk sarapan. Kami makan mi wantan. Mi wantan Tg.Malim sememangnya terkenal dan sungguh sedap . Kami makan sambil berbual-bual dengan gembira . Pada pukul 9 pagi, kami pun bertolak pulang ke rumah masing-masing.
Hasil Kerja: Chai Wei Xin – Tingkatan 1, 2010.

Sinopsis Novel BM Tingkatan 1 - HIKMAH

Analisis Novel Tingkatan 1- Hikmah
Penulis: Mohd.Faris Ikmal
Bab 2: Berwaspada
Sinopsis:

Rozita merupakan kawan baik Sapura. Rozita mengingatkan Sapura agar sentiasa berjaga-jaga kerana Amri akan membalas dendam terhadap dirinya pada bila-bila masa. Sebaliknya, Sapura tidak berasa takut kerana baginya, cabaran itu ialah suatu amanah yang perlu dipikul oleh pengawas.
Banyak pengawas berasa takut apabila berhadapan dengan Amri kecuali Sapura. Sapura teringat akan hal pagi tadi, yakni semasa dia dalam perjalanan ke kantin, dia ternampak dengan Amri yang sedang membuli seorang murid junior. Murid junior itu berasa takut dan berbohong di depan Sapura. Sapura berkata kepada Amri bahawa dia hendak memberitahukan hal tersebut kepada guru disiplin. Amri tidak berasa takut. Dia juga memberikan amaran kepada Sapura. Walaupun Cikgu Salman menyuruh murid itu bercakap benar tetapi tetap dinafikan olehnya.
Apabila loceng berbunyi, Sapura berjalan menuju ke arah tempat letak basikal. Dia telah berselisih dengan Amri. Sapura membelek-belek basikalnya kerana takut kalau-kalau Amri telah bertindak merosakkan basikalnya. Akhirnya, Sapura tiba di rumahnya tanpa ada sebarang kejadian yang berlaku.

Kosa Kata / Makna:
1.Junior - Lebih muda
2.Bebel - Berleter, Mengomel
3.Bengis - Kejam, zalim
4.Jelingan - Kerlingan
5.Bercekak pinggang - Memegang kiri kanan
6.Terbabit - Terlibat
7.Sinis - Mengejek-ejek
8.Cetus - Bunyi besi digoreskan ke batu
9.Benaknya - Sumsum, otak, bodoh, dungu
Hasil Kerja:
Chai Hui Yi dan Derrick Goh Xin Deik, Tingkatan 1, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

Thursday, January 28, 2010

Indahnya Alam Sarwajagat Milik-Nya


Sinopsis Novel BM Tingkatan 3 - Merdeka! Merdeka!

Sinopsis Novel BM Tingkatan 3: Merdeka! Merdeka!
Penulis: A.Rahman Hanafiah (Mana Sikana)
Bab 6: Hilang

Setelah Kudin tiba di rumah, dia terperanjat dengan laporan bapanya bahawa Bustam telah dilarikan oleh pengganas ke dalam hutan. Sepatutnya, Bustam perlu menerangkan keadaan sepeninggalannya ke Kuala Lumpur. Tanpa berfikir panjang, Kudin mengambil senapang dan diikuti oleh bapanya untuk mengejar pengganas yang semakin garang itu. Perjalanan mereka mengambil masa sejam lebih sahaja. Setelah tiba di pangkalan, Kudin memberitahu rakannya supaya menyelamatkan Bustam. Cadangan itu dibantah oleh Hisyam yang berada di pangkin khemah.
Tidak lama kemudian, Afiq mencadangkan supaya pergi mencarinya setelah melihat keadaan hutan yang berpohonkan kayu-kayu besar. Hisyam membantah lagi dengan alasan melibatkan kerja mengorek dan membina kubu serta perlu berunding dengan orang lain. Kudin tidak menganggapnya sukar dan percaya bahawa Bustam masih hidup. Setiap markas pengganas bersempadan dengan tebing-tebing sungai untuk mengasingkan markas-markas lain. Setiap pendapat dikemukakan, ada sahaja kritikan yang dibuat. Hal ini membuatkan langkah Kudin longlai untuk memikirkan hal tersebut.
Kosa kata/Makna:
1.terperanjat - tiba-tiba tergamam
2.sepeninggalan - sesudah berangkat
3.garang - orang yang panas baran
4.pangkin - tempat penjual meletakkan barangnya
5.mengorek - menggali lubang
6.kubu - benteng
7.sukar - sulit
8.markas - pejabat parti politik
9.tebing - pinggir sungai yang tinggi dan curam
10.longlai - lemah

Hasil Kerja Kumpulan 6:
Nimaleshwarar a/l Balaraman,Muhd Sharul bin Zulmani dan Vaitiswary a/p Sugumar.
Tingkatan 3 Bestari, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim

Tuesday, January 26, 2010

Sinopsis Novel BM Tingkatan 3 - Merdeka! Merdeka!

Sinopsis Novel BM Tingkatan 3
Tajuk : Merdeka ! Merdeka !
Penulis : A . Rahman Hanafiah (Mana Sikana)

Sinopsis Bab 5 – Serampang Dua Mata
Mesyuarat persatuan yang dipengerusikan oleh Datuk Onn sedang membincangkan cara-cara yang terbaik untuk menentang Inggeris. Beliau menjelaskan sikap Inggeris yang memaksa para Sultan bersetuju dengan penubuhan Malayan Union. Kudin kagum melihat Datuk Onn yang sungguh petah bercakap dan tajam maknanya. Dalam perbincangan tersebut, mereka telah bersepakat untuk menentang penubuhan Malayan Union. Mereka perlu memujuk Raja-Raja Melayu untuk memulaukan majlis pengisytiharan Malayan Union itu. Kudin bertepuk tangan sambil berteriak ‘Merdeka!’. Dia berasa bersalah kerana orang ramai berpaling ke arah dirinya.
Dalam mesyuarat itu juga, Datuk Onn memperkenalkan Kudin sebagai seorang pemuda yang berani menentang pengganas komunis. Beliau menegaskan bahawa perjuangan mereka ialah perjuangan serampang dua mata, iaitu menentang pengganas komunis dan penjajah Inggeris. Mereka juga telah mengambil keputusan untuk mengadakan perhimpunan raksasa di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 hingga 4 Mac 1946. Mereka akan mencuba mengatasi masalah kewangan dengan melancarkan pungutan derma melalui akhbar.

Kosa kata/ makna:
1.Kalbu - hati (pusat segala perasaan batin), sanubari
2.Hidung mancung - hidung yang lancip
3.Berhujah - mengemukakan; memajukan hujah
4.Gabenor - gelaran yang tidak digunakan lagi bagi Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri
5.Benak – otak (isi kepala)
6.Mendepangkan - merentang (menghulurkan lurus-lurus) kedua-dua belah tangan ke kanan dan ke kiri
7.Menyuraikan - bersurai; membubarkan (perkumpulan dll); memisah-misahkan; mencerai-ceraikan
8.Agenda - susunan perkara yang dikemukakan untuk dibincangkan dalam mesyuarat
9.Berkabung - memakai kabung; tanda berdukacita
10.Bermaharajalela - berbuat sesuka hati; sewenang-­wenang
11.Serampang dua mata - orang yang menyebelahi dua pihak yang berlawanan
Hasil kerja Kumpulan 5:
Nur Alya bt Abu Bakar, Kong Chee Heng dan Dinesh, Tingkatan 3 Bestari, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

Monday, January 25, 2010

Sinopsis Novel BM Tingkatan 3 - Merdeka! Merdeka!

Sinopsis Novel BM Tingkatan 3
Tajuk : Merdeka ! Merdeka !
Penulis : A . Rahman Hanafiah (Mana Sikana)

Sinopsis Bab 4 - Perjalanan

Sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur di dalam bas, seorang lelaki India yang mabuk telah menceritakan kisah pada suatu hari Jepun telah sampai ke rumahnya. Untuk memenuhi kehendak Jepun, dia terpaksalah memanjat pokok kelapa yang penuh dengan kerengga itu. Untuk mengelakkan diri daripada serangan kerengga yang banyak itu, dia terpaksa menanggalkan semua pakaiannya. Dia menjatuhkan buah kelapa di atas kepala askar-askar Jepun yang sebanyak tiga orang itu sehingga mati dibuatnya. Setelah sampai ke Sauk, orang India itu pun turun. Sejam seterusnya bas itu sampai ke Kuala Kangsar. Kemudian Kudin dan Ibrahim menaiki lanca ke stesen kereta api. Tercengang Kudin melihat ibu kota itu.
Kemudian, Kudin dan Ibrahim sampai di sebuah bangunan batu dan di situ mereka bertemu dengan Encik Hasmun. Encik Hasmun menjelaskan cadangan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1943 tetapi gagal. Encik Hasmun juga menjelaskan bahawa anasir-anasir di dalam MPAJA yang cuba mengagung-agungkan Inggeris. Ketika mereka berbual-bual rancak, datang seorang pemuda Cina dari Malayan Democratic Union (MDU) untuk memberitahukan bahawa mesyuarat akan diadakan pada pukul sepuluh nanti. Mesyaurat itu akan dipengerusikan oleh Datuk Onn. Kudin tersenyum apabila mendengar nama Datuk Onn. Encik Hasmun berjanji akan mempertemukan Kudin dengan Datuk Onn. Di dalam bilik itu perwakilan sedang bercerita dan bertukar-tukar fikiran atas tajuk yang sama, iaitu pergolakan dalam menentukan kemerdekaan.

Kosa Kata / Makna:
1. Mabuk - tidak sedar diri, hilang akal
2. Kerengga - sejenis semut yang berwarna perang kemerahan dan besar
3. Mati - Meninggal dunia
4. Lanca - Sejenis sampan besar, beca (yang ditarik orang)
5. Tercengang - kehairan-hairanan, kagum, takjub
6. Rancak - Baik , elok
7. Mengagungkan – menjadikan agung, membesarkan
8. Fikiran - Idea, akal, ingatan,daya berfikir
9. Anasir – segala yang terdapat di dunia, makhluk, bahagian daripada suatu keseluruhan, anggota daripada sesuatu golongan
10.Pergolakan – kekacauan, huru-hara, keadaan tidak tenteram

Hasil kerja Kumpulan 4:
Chaw Hui Yi, Muhamad Farhan b. Zolkipli dan Saravaswaran a/l Gunalan, Tingkatan 3 Bestari, SMK Methodist, Tg.Malim.

Sunday, January 24, 2010

Sinopsis Novel BM Tingkatan 1 - HIKMAH

Sinopsis Novel BM Tingkatan 1 – HIKMAH
Penulis: Mohd. Faris Ikmal

Bab 1: Sakit Hati
Sinopsis
Amri seorang murid yang nakal. Amri mempunyai ramai kawan yang nakal seperti Siva. Mereka menganggap Amri sebagai ketua atau ‘bos’ mereka. Amri telah dirotan oleh Cikgu Salman. Seorang pengawas sekolah, Sapura, telah campur tangan ketika Amri sedang meminta wang perlindungan daripada seorang murid junior, iaitu Saleh. Nasib baik Cikgu Salman tidak mengetahui perkara sebenar.
Amri dan beberapa orang rakannya sering mengugut murid-murid junior agar membayar wang perlindungan kepada mereka untuk mengelakkan diri daripada dibelasah dan dibuli. Amri berkira-kira sendiri. Dia cuba mencari helah untuk mengenakan Sapura. Dia mula membayangkan keadaan Sapura yang akan dikenakan olehnya nanti. Dia ingin membalas dendam tetapi Siva pula tidak mahu melibatkan diri. Siva tidak sanggup berhadapan dengan Sapura, seorang pengawas perempuan.

Kosa Kata / Makna
1. Melangkah - Menggerakkan langkah, berjalan.
2. Selamba - Macam biasa, berlagak seolah-olah tidak tahu.
3. Agresif - Bersifat suka menyerang, suka melawan.
4. Menganggap - Memandang (sesuatu atau seseorang) sebagai
5. Tersengih- Tersenyum dengan mulut terbuka sedikit (sehingga menampak gigi).
6. Terlopong - Ternganga (terbuka) mulut
7. Mengangguk-angguk - Menggerakkan kepala ke bawah (tanda menyetujui, mengerti atau memaklumi kata-kata seseorang).
8. Menggeleng-geleng - Menggoyang-goyang kepala ke kiri ke kanan atau sebaliknya
9. Bersekongkol - Berkomplot (berpakat, bersubahat) dalam sesuatu pergerakan jahat.
10. Mengepal - menggenggam

Hasil Kerja Kumpulan 1 – Lieu Zi Shan dan Ong Ann Zhi, Tingkatan 1, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

KERETA API KEHIDUPAN


Thursday, January 21, 2010

KARANGAN BM PMR - Kepentingan Kegiatan Kokurikulum di Sekolah.

Kepentingan Kegiatan Kokurikulum di Sekolah
Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, unit beruniform dan kelab atau persatuan. Setiap pelajar diwajibkan menyertai aktiviti kokurikulum. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat memberikan keseronokan di samping dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang menyertainya.

Salah satu kepentingan tersebut adalah untuk melahirkan pelajar yang berkeyakinan tinggi, bijak berkomunikasi dan pandai bergaul dengan pelbagai kaum. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, misalnya aktiviti unit beruniform (KRS, Kadet Polis, Pengakap, BSM), para pelajar akan didedahkan kepada kemahiran kehidupan seharian melalui perkhemahan dan kemasyarakatan. Sebagai contoh, dalam setiap aktiviti perkhemahan akan diadakan pertandingan kawad kaki , para ahli akan mempelajari cara-cara untuk memberikan arahan serta memimpin sesebuah organisasi. Hasil positifnya, maka akan lahirlah pemimipin yang cekap, berilmu, dinamik, inovatif dan kreatif .

Selain itu, para pelajar juga akan memperoleh pengalaman yang banyak apabila menyertai aktiviti kokurikulum unit beruniform seperti Bulan Sabit Merah Malaysia. Para pelajar dapat mempelajari kaedah-kaedah pertolongan cemas. Kaedah tersebut membolehkan mereka memiliki kebolehan untuk menenangkan pesakit dan menyelamatkan pesakit semasa kecemasan. Ilmu dan pengalaman ini amat penting bagi setiap pelajar untuk mendepani dunia kehidupan yang serba mencabar pada alaf globalisasi ini.

Aktiviti kokurikulum turut berperanan membentuk sahsiah dan perwatakan para pelajar yang cemerlang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yakni meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dalam hal ini , aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan serta kelab dan persatuan amat memerlukan semangat kerjasama daripada setiap ahli. Aktiviti sebegini akan dapat menyemarakkan semangat berpasukan dalam kalangan ahli kumpulan yang terdiri daripada berbilang bangsa sekali gus dapat mempererat perpaduan dan integrasi kaum di negara kita sejajar dengan Gagasan Satu Malaysia. Sesungguhnya, penglibatan ahli yang berbilang ras dan agama dalam sesuatu aktiviti kokurikulum membolehkan mereka berinteraksi, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain. Ringkasnya, kita bukan sahaja dapat mewujudkan perpaduan malah dapat mempererat tali silaturahim antara kaum melalui semangat kerjasama dan bertolak-ansur.

Akhir kata, aktiviti kokurikulum bermanafaat dan penting kepada generasi pelajar di samping merupakan antara jalan perintis untuk melahirkan barisan pelapis pemimpin negara bangsa yang berwibawa, beriltizam dan berketrampilan.

Disediakan oleh Ong Pei Zhi, Tingkatan 3 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

Wednesday, January 20, 2010

SURAT DARIPADA EDITOR

Melentur Buluh Biarlah Waktu Rebung

Isu memandang remeh terhadap kesusasteraan pada zaman masyarakat mementingkan sains dan teknologi ini nampaknya semakin tidak dapat diselindung, bagai "ayam putih terbang siang, hinggap di kayu merasi, bertali benang bertambang tulang". Hal ini menjadi kegusaran kepada orang yang terlibat secara langsung dalam dunia kesusasteraan, tentunya pengarang serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri sebagai institusi yang memperjuangkan bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu.

Namun begitu, apabila kerajaan memansuhkan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris banyak orang menarik nafas lega. Sasterawan dan institusi seperti DBP kembali mendapat semangat untuk menghidupkan semula roh sastera Melayu yang dikatakan mampu bernafas dalam lingkungannya sahaja. Dalam menangani masalah yang bagai tidak menemukan penawarnya ini, DBP telah melaksanakan pelbagai usaha, program dan tindakan bagi mengetengahkan kepentingan sastera dalam masyarakat. Suatu hal yang tidak boleh disangkal ialah perlunya usaha dari peringkat akarnya supaya pohon kecintaan terhadap sastera tidak terbantut pertumbuhannya.

Pendidikanlah yang menjadi salurannya. Krisis keyakinan dalam pendidikan sastera perlu ditangani dan didepani dengan bijaksana. Lantaran mendidik masyarakat menghargai sastera seharusnya bermula dari sekolah. Keberkesanan pendidikan bermula dari peringkat kanak-kanak, bak kata pepatah "melentur buluh biarlah waktu rebung" supaya usaha untuk kembalikan kehebatan sastera tidaklah nanti menjadi bagaikan "melekatkan kersik ke buluh" - suatu pihak bersusah payah tetapi menjadi sia-sia sahaja.

Kurikulum pendidikan sekolah dari peringkat rendah hingga universiti perlu dikaji semula. Menjadikan kesusasteraan bukan mata pelajaran "pilihan" tetapi sebagai mata pelajaran "wajib ambil" dan "wajib lulus" seperti mata pelajaran bahasa Melayu, mungkin merupakan jalan penyelesaian untuk menanamkan minat dan kecintaan setiap individu terhadap kesusasteraan.

(Sumber: Rozninah Abd. Azib - Dewan Sastera Februari 2010)

Sinopsis Novel BM Tingkatan 3 - Merdeka! Merdeka!

Analisis Novel BM Tingkatan 3: Merdeka! Merdeka!
Penulis: A. Rahman Hanafiah
Bab: 3 – Kubu di Tebing Sungai

Sinopsis:

Pak Awang dan Kudin bersiap sedia untuk berangkat ke Kuala Lumpur . Seperti yang diterangkan oleh Ibrahim, mereka akan bertolak kira-kira pukul empat petang. Sebelum berangkat, mereka ingin melihat keadaan pembinaan kubu pertahanan. Pihak kerajaan telah menyediakan senjata untuk mempertahankan kampung tetapi penduduk yang mendapat sedikit banyak pertolongan daripada kerajaan itu pula menentang kerajaan. Kudin pernah diberitahu asal mula timbulnya pergerakan pengganas.

Pada 1926, ada dinyatakan bahawa Tanah Melayu sebahagian daripada daerah kesembilan belas Negeri China. Mereka (pengganas) berpendapat bahawa Tanah Melayu ialah kawasan Negeri China. Oleh sebab itulah mereka mula berjuang untuk menentang penjajah Inggeris. Kebetulan pula, detik tersebut berlaku pada masa penyerahan Jepun dengan kedatangan Inggeris. Waktu inilah mereka menguatkan perjuangan untuk mengambil Tanah Melayu semula. Sesiapa yang bekerjasama dengan Jepun akan ditangkap dan dibunuh. Antara yang dibunuh ialah adik ayah Kudin, Pak Cik Barman. Kudin sedar bahawa pak ciknya memang bekerja sebagai tali barut Jepun. Hassan yang merupakan ketua kumpulan itu, telah menjelaskan peristiwa pertempuran tersebut kepada Pak Awang. Hassan meminta supaya disediakan tujuh buah lubang kubu di lereng sungai itu. Kubu itulah tempat untuk mereka berlindung, bertahan dan menembak jika ada serangan dari arah tebing sebelah. Kudin dan rakan-rakannya menghampiri Ujang yang sedang termenung. Ujang menceritakan bahawa ayahnya telah menjadi pengganas.

Kosa Kata / Makna :

1.berlegar - bergerak-gerak berkeliling, berputar, berpusing selalu
2.berbondongan - berduyun-duyun
3.terhampar - terbuka luas dan rata, terbentang
4.gerila - perang secara bersembunyi-sembunyi
5.diseludupkan - kemasukan barang secara gelap, penyeludupan
6.membahu - memikul, menyauk, menyangga
7.kekok - kurang mahir melakukan sesuatu kerana belum biasa melakukannya, janggal
8.makan gaji - bekerja pada orang untuk mendapat gaji (upah)
9.tunggul - pangkal pokok kayu yang masih tinggal dalam tanah (setelah ditebang)
10.khurafat - kepercayaan yang karut, dongeng ; tahyul

Hasil Kerja Kumpulan 3 :
Muhammad Nabil b. Ridzuan, Chaw Hui Wen dan Suraya bt. Shah,
Tingkatan 3 Bestari, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

Sinopsis Novel BM Tingkatan 3 - MERDEKA! MERDEKA!

Analisis Novel MERDEKA! MERDEKA!
Penulis: A. Rahman Hanafiah
Bab 2: Sampai ke Larut Malam

Sinopsis:
Mesyuarat yang dihadiri oleh Kudin dan Bustam telah membincangkan hal keselamatan Kampung Teras Jernang berikutan kes pembunuhan Pak Karim. Selepas itu mereka membincangkan persiapan mereka ke Kuala Lumpur apabila Persatuan Pahlawan Kemerdekaan diberikan penghormatan untuk mengendalikan urusan-urusan keselamatan dan susunan acara. Selain itu, Kudin telah dijemput untuk menyampaikan ucapan dalam pertemuan agung itu kerana Kudinlah yang paling petah bercakap dan menghidupkan Persatuan Pahlawan Kemerdekaan semula.
Persatuan Pahlawan Kemerdekaan yang ditubuhkan pada 1933 telah menghadapi banyak kesukaran apabila zaman Jepun hampir-hampir melumpuhkan kegiatannya. Pihak Inggeris pula akan memburu mereka yang terlibat dalam persatuan. Jepun pada mulanya berjanji ingin memberikan kemerdekaan tetapi telah memungkiri janji sama seperti kerajaan Inggeris ketika hendak menghalau Jepun daripada menjajah Tanah Melayu semula. Banyak persatuan berjuang semula menuntut kemerdekaan, termasuklah Persatuan Pahlawan Kemerdekaan walaupun pada awalnya ramai yang takut namun oleh kepetahan Kudin berkata-kata dapat meyakinkan orang ramai. Pihak British tetap mengintip setiap pergerakan mereka. Pelbagai masalah dibincangkan sehingga larut malam.

Kosa Kata / Makna:
1.Benak - hati yang agak sukar untuk menerima
2.Urut - mengusap anggota badan
3.Perwakilan - sesuatu mengenai wakil; perihal wakil
4.Tinjau - memerhatikan, datang melihat-lihat atau menyiasat, mengintip
5.Pembelot - orang yang mengkhianati, penderhaka
6.Menjajah - menakluk
7.Cemuhan - kata-kata untuk mengejek atau menghina
8.Mendaulat - menjunjung (berkhidmat kepada raja)
9.Melumpuhkan - melemahkan
10.Patriotik - bersifat patriot

Hasil kerja Kumpulan 2:
Ng Yit Teng, Farah Nabillah bt. Abdul Razak dan Geeta a/p Baskaran, Tingkatan 3 Bestari, SMK Methodist, Tg.Malim.

Saturday, January 16, 2010

Sinopsis Novel BM Tingkatan 3 - Merdeka! Merdeka!

Analisis Novel Merdeka! Merdeka!
Penulis: A. Rahman Hanafiah
Bab: 1 - Das-Das Tembakan

Sinopsis:
Kudin berumur 15 tahun. Dia seorang anak yang bijak dan sentiasa ingin berjuang untuk negara. Pada suatu hari, Kudin dijemput untuk memberikan ucapan pada majlis persidangan di Kuala Lumpur. Mak Bibah dan Pak Awang, iaitu ibu bapa Kudin amat berasa bangga. Kudin berada di hutan selama seminggu untuk menyiapkan kubu pertahanan. Apabila sampai di rumah, Kudin terdengar akan bunyi das tembakan dari arah bukit. Jika penjajah dapat melepasi jambatan , iaitu satu-satunya jalan untuk masuk ke kampung, maka Kampung Teras Jernang akan jatuh ke tangan musuh. Semangat Kudin berkobar-kobar untuk pergi ke hutan. Tetapi Pak Awang tidak membenarkanya kerana berbahaya. Pak Awang dan Kudin teringat akan zaman Jepun, yakni pengganas banyak menangkap dan membunuh orang yang dipercayai telah bekerjasama dengan Jepun. Sedang mereka leka melayan perasaan masing-masing, Bustam, iaitu sahabat Kudin telah menyampaikan suatu berita mengejut, iaitu bapa Si Bakar, iaitu Pak Karim telah terbunuh. Mak Bibah, Pak Awang dan Kudin berasa terkejut.

Kosa Kata / makna:
1. Kepalang - Sedikit, tidak memadai, tidak berapa, terlanjur
2. Tali barut - Orang yang membantu perbuatan jahat
3. Culas - Malas, tidak cergas, liar, curang, tidak jujur
4. Bumiputera - Anak negeri
5. Berputik - Mulai mempunyai putik, mulai berbuah, tanda-tanda akan Berjaya (usaha dll)
6. Jeram - Air terjun di sungai, penderasan
7. Teras - Hati kayu, bahagian beras, sesuatu yang terpenting
8. Awan - Wap air yang bergumpal-gumpal di udara, corak ukiran
9. Markas - Pejabat ketua turus tentera, pejabat parti politik
10 Sukar - Tidak mudah, payah, sulit

Hasil Kerja Kumpulan 1:
Nurul Atiqah bt. Zulkiffli, Theepa Shanti a/p Subramainam dan Manreet Kaur a/p Gurcharan Singh, Tingkatan 3 Bestari, SMK Methodist, 35900 Tg.Malim.

Friday, January 15, 2010

DUNIA

DUNIA
dunia - pentas kehidupan
dunia - pentas kekecewaan
dunia - pentas kejayaan
dunia - pentas kebencanaan
dunia - pentas kebahagiaan
dunia - pentas kedustaan
dunia - pentas kebenaran
dunia - pentas kekuasaan
dunia - pentas kemuliaan
dunia - pentas kebendaan
dunia - pentas kemanusiaan
dunia - pentas lakonan insan yang berperwatakan!
Chai Loon Guan, MES, Tg.Malim.
16 Januari 2010

Wednesday, January 13, 2010

GAGASAN SATU MALAYSIA

GAGASAN SATU MALAYSIA

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan gagasan Satu Malaysia pada permulaan tahun penyandangan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia Keenam . Usaha murni ini merupakan langkah pertama yang telah diambil oleh beliau untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang sosioekonominya.

Sebenarnya , gagasan Satu Malaysia bermatlamat utama untuk memberikan hak yang sama kepada setiap rakyat Malaysia tanpa mengira ras, agama dan latar belakang. Konsep Satu Malaysia yang dipelopori YAB Perdana Menteri juga bertujuan untuk menyediakan satu forum yang bebas dan terbuka bagi membincangkan perkara-perkara yang benar-benar berdekatan hati kita sebagai satu bangsa yang unggul. Menerusi gagasan Satu Malaysia, kita juga berkesempatan untuk meluahkan pandangan bernas dan membina di samping berkongsi dan menerokai kepelbagaian perspektif dalam kehidupan kita sehari-hari.

Selain itu , gagasan Satu Malaysia juga berdasarkan lapan nilai utama yang merangkumi budaya kecemerlangan , ketabahan , rendah hati dan sebagainya. Nilai budaya kecemerlangan akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan dan mutu pencapaian yang lebih tinggi . Ketabahan dalam setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan nilai ketabahan atau kecekalan dan ketekunan yang berkesinambungan. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan barisan pemimpin dan rakyat yang tabah dan cekal untuk menghadapi segala rintangan dan dugaan. Tanpa ketabahan dan ketekunan, barangkali kita tidak akan berjaya sepenuhnya walaupun memiliki bakat dan kemewahan hasil mahsul nusa.

Seterusnya, nilai rendah diri juga merupakan antara sifat yang penting untuk dimiliki oleh setiap warganegara. Segala kemampuan yang dimiliki tidak perlu dibanggakan dengan cara yang tidak digemari . Penerimaan juga merupakan salah satu nilai yang amat penting. Konsep penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif sepenuhnya terhadap sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa paksaan.

Nilai kesetiaan pula amat diperlukan berdasarkan prinsip kedua Rukun Negara yang wajib dipegang oleh setiap rakyat Malaysia tanpa berbelah bahagi . Nilai meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu dipraktikkan dalam negara yang berdemokrasi bagi memastikan mereka yang layak memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan dan kemajuan negara . Pendidikan dan pengetahuan merupakan prasyarat yang penting untuk mana-mana negara untuk mencapai kejayaan kerana generasi muda pada hari ini merupakan umarak nusa bangsa pada masa hadapan.

Nilai terakhir, iaitu integriti merangkum aspek kepercayaan dan keyakinan yang perlu diamalkan oleh semua pihak, yakni bermula daripada barisan pemimpin sehingga semua peringkat masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan.

Akhir kata, matlamat gagasan Satu Malaysia bertujuan murni untuk meningkatkan dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia. Kepelbagaian yang diwarisi selama ini merupakan kekuatan yang padu ke arah kemajuan, kemakmuran dan keamanan bangsa dan negara pada hari ini, esok dan selama-lamanya.


Disediakan oleh:
Teoh Soo Shin , Tingkatan 3 Cekal, SMK Methodist, Tg. Malim.

(Sumber: http://www.google.com/ .my.1 Malaysia )

Tuesday, January 12, 2010

LANDSKAP ALAM

Landskap alam ketika mentari kian menghampiri garis horizon di Kutub Utara dan rembulan sabit kian menyerlah sinar nurnya di angkasa raya sarwajagat alam milik-Nya.

Sunday, January 10, 2010

ANUGERAH SEA WRITE AWARD


Anugerah Penulis S.E.A.

Anugerah Penulis S.E.A. (S.E.A. Write Award), atau Anugerah Penulis Asia Tenggara - Southeast Asian Writers Award, merupakan anugerah yang diberikan setiap tahun semenjak 1979 kepada penyair dan penulis di Asia Tenggara.
Anugerah ini diberikan kepada penulis dari setiap negara yang terdiri daripada ASEAN, sungguhpun bukan semua negara dalam ASEAN telah diwakili setiap tahun. Anugerah ini kadang kala diberikan bagi hasil tulisan khas penulis, atau ia boleh diberikan bagi pencapaian sepanjang hayat. Jenis kerja yang dihargai sebegini pelbagai, dan merangkumi hasil kerja puisi, cerpen, novel, drama, cerita rakyat dan pengajian dan keagamaan.
Upacara ini diadakan di Bangkok, dangan dipengerusi oleh kerabat Diraja Thai. Award ini dicetuskan oleh pengurusan hotel Oriental Bangkok, yang kemudiannya mendapat sokongan lanjut dari Syarikat Penerbangan Antarabangsa Thai dan syarikat lain. Upacara ini menonjolkan penceramah jamputan terkemuka, termasuk Iris Murdoch, Peter Ustinov, Jeffrey Archer, James A. Michener, Gore Vidal, William Golding, Rita Dove dan Paul Theroux. Penceramah utama 2006, Pemenang Hadiah Nobel Wole Soyinka membatalkan ucapannya sebagai bantahan kepada kejayaan rampasan kuasa tentera Thai terhadap kerajaan.


(Sumber: Wikipedia Bahasa Melayu)

AMARAH GUNUNG BERAPI


SEJARAH MES

SEJARAH SMK METHODIST,
35900 TANJONG MALIM,
PERAK DARUL RIDZUAN.

Sejarah awal sekolah ini bermula sejak 1925 apabila sebuah banglo milik sepasang suami isteri, Encik Enmanuel dan Puan Ester yang terletak di tengah padang sekolah sekarang ini dijadikan tempat belajar. Setelah En. Enmanuel meninggal dunia, Pn. Ester menyerahkan sekolah ini kepada pihak Gereja Methodist Tanjong Malim.

Tahun 1931 – 1941
Sekolah Anglo Chinese telah ditubuhkan sehinggalah pada tahun 1941, sekolah ini telah dibom oleh tentera Jepun.

Tahun 1945
Selepas Perang Dunia II (1945), pihak Gereja Methodist telah membuka Sekolah Inggeris Anglo Chinese semula di Bangunan Persatuan Khek Cina.

Tahun 1948
Sekolah ini telah bergabung dengan Sekolah Inggeris Victory (yang telah ditubuhkan pada 1946) lalu diberikan nama baru, iaitu Sekolah Methodist (Persendirian).

Mei 1949
Sekolah ini telah diberikan ‘grant’, yakni bantuan modal oleh pihak kerajaan lalu diberikan nama baharu, iaitu Methodist English School (MES).

Tahun 1949 hingga 1950
Selain bantuan modal kerajaan, pihak sekolah telah berusaha dengan gigih memungut derma daripada orang ramai untuk melengkapkan prasarana asas 7 buah bilik darjah, sebuah makmal sains, sebuah pejabat, sebuah kantin dan sebuah tandas sebelum dibuka dengan rasminya oleh YAB Menteri Besar Perak pada 14 November 1951.

Seyogia diingatkan, jika dihitung dari sejarah awal penubuhannya (1925), MES akan menjangkau usia seabad (100 tahun) pada tahun 2024 nanti.

Saturday, January 9, 2010

BAHASA MELAYU: KATA - AYAT

MORFOLOGI - SINTAKSIS BM

1a. meja (Kata Nama Am)
1b. meja itu (Frasa Nama)
1c. Meja itu meja tulis. (Ayat Dasar / Ayat Tunggal)

2a. Ah Chong (Kata Nama Khas)
2b. Encik Ah Chong (Frasa Nama)
2c. Encik Ah Chong pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris. (Ayat Dasar / Ayat Tunggal)

3a. cantik (Kata Adjektif)
3b. amat cantik (Frasa Adjektif)
3c. Gadis itu amat cantik. (Ayat Dasar / Ayat Tunggal)

4a. menulis (Kata Kerja)
4b. sedang menulis (Frasa Kerja)
4c. Penyair muda itu sedang menulis sajak. (Ayat Dasar / Ayat Tunggal)

5a. daripada (Kata Sendi Nama)
5b. daripada Mutu (Frasa Sendi Nama)
5c. Warkah itu daripada Mutu. (Ayat Dasar / Ayat Tunggal)

(Sumber: Chai Loon Guan, Munsyi Dewan 2010)

Wednesday, January 6, 2010

MINDA PENGARANG BERITA HARIAN

Rasa cinta mampu menjayakan matlamat memperkasakan bahasa Melayu

BAHASA jiwa bangsa – demikian ungkapan yang acap kali kedengaran setiap kali kita membincangkan perihal bahasa. Sudah terlalu banyak langkah dan usaha diambil, namun entah di mana silapnya, hasrat memartabatkan bahasa Melayu dan meletakkan kedudukannya di persada sepatutnya belum kesampaian. Daripada acara penggalakan sehinggalah penguatkuasaan peraturan, semuanya sudah dilakukan, tetapi taraf bahasa Melayu seolah-olah kian terpinggir di bumi sendiri.

Kepesatan ledakan teknologi dan himpitan pensejagatan dijadikan alasan mengapa bahasa Melayu semakin lesu. Pelbagai macam hujah diberikan untuk menghalalkan kita mengetepikannya. Dakwaan kononnya bahasa Melayu ketinggalan, miskin perbendaharaan kata, tandus irama, malah kuno dilemparkan untuk membolehkan bahasa tersebut diperkotak-katikkan tanpa sekelumit pun rasa bersalah. Paling menyedihkan, semakin ramai kini menganggap bahasa Melayu tidak canggih. Alangkah sedihnya jika satu hari nanti ada di antara kita yang malu menuturkannya. Kita sendiri tidak pasti dari mana munculnya tanggapan sebegitu kerana sebenarnya, bahasa Melayu berada pada kedudukan keenam paling luas digunakan di dunia selepas bahasa Cina, Inggeris, Perancis, Rusia dan India. Hakikat itu, sekali gus menyangkal apa saja dakwaan yang cuba memperlekehkan bahasa Melayu. Hal ini sebaliknya, memberikan gambaran jelas bahawa bahasa Melayu mesti terus diperkasakan demi memastikannya dapat terus tersebar luas.

Dalam menjayakan matlamat membela, memulihara dan memperkasakan bahasa Melayu, perkara paling penting yang harus dihayati ialah rasa kecintaan terhadapnya. Kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan saja tidak cukup untuk menjamin bahasa Melayu didaulatkan. Bahasa ialah perantara perhubungan dalam ketamadunan, maka sudah tentulah kelangsungan hidupnya bergantung kepada penggunaan. Jika terbit keinsafan dalam sanubari kita untuk mendalami keindahan dan kelebihan bahasa Melayu serta menggunakannya dalam urusan seharian, separuh daripada perjuangan ke arah itu sudah pun tercapai.

Sebenarnya, tiada cacat celanya bahasa Melayu, sebaliknya yang bermasalah ialah diri kita sendiri yang sering memandang rendah terhadapnya. Janganlah sampai dalam perkara membabitkan bahasa Melayu pun kita terpaksa menunggu orang asing menyanjungnya terlebih dulu baru kita mahu berbuat yang sama. Budaya ikut-ikutan dalam mengiktiraf kelebihan kita seperti ini harus dikikis. Natijah budaya ikut-ikutan itulah yang menyebabkan kita hari ini tidak segan silu memperkecil bahasa Melayu dan mengaitkannya dengan bermacam-macam tanggapan buruk. Memang dasar, perundangan dan penguatkuasaan membantu usaha mendaulatkan bahasa Melayu, tetapi usaha tersebut hanya penyebab sampingan saja. Jaminan sebenarnya perlu datang dalam diri setiap daripada kita yang mempunyai jiwa sebagai bangsa yang mencintai bahasanya.

(Sumber: Berita Harian - 6 Januari 2010)

Saturday, January 2, 2010

MORFOLOGI - Baru dan Baharu

Definisi:
Perkataan `baru’ ialah kata bantu yang digunakan untuk maksud masa, iaitu belum lama.
Perkataan `baharu’ pula ialah kata adjektif yang digunakan untuk maksud sifat.

Contoh:
1. Beliau baru tiba dari Sabah pada petang tadi.
2. Sempena hari raya pada tahun ini, ayah membeli pakaian baharu untuk kami semua.
3. Kereta yang baru dibeli oleh ayah semalam telah dicuri orang.
4. Pekerja baharu di pejabat itu sangat rajin.
5. Dia baru sahaja bertolak ke Johor Bahru sebentar tadi.

(Sumber: agy7500.blogspot.com)