Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, December 8, 2010

Bab 8 - Novel T2: Erti Sebuah Pengorbanan

SINOPSIS NOVEL TINGKATAN 2 (2011)
Tajuk: Erti Sebuah Pengorbanan
Penulis: Zaihanim bt. Zainal Abidin
Penerbit: KZ Berjaya Enterprise

Bab 8: Pengorbanan

Kejayaan Iman muncul johan pidato daerah menjadi buah mulut murid-murid dan guru-guru. Yang lebih berbangga, Cikgu Julia. Iman menerima ucapan tahniah daripada datuk, nenek dan rakan-rakan. Hubungan Iman dan ayahnya kembali bertaut.

Jumaat. Hari terakhir sebelum sekolah mula bercuti selama dua minggu. Kelas Tingkatan Satu Dinamik riuh-rendah. Cikgu Julia akan mengumumkan keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun. Zulkarnain sempat berlawak jenaka melibatkan Pei Wen. Pei Wen mencebikkan bibir. Rupa-rupanya, Zulkarnain menaruh hati pada Pei Wen.

Keputusan telah diumumkan. Adif Danial, Iman Zulaikha dan Haris Fadzillah menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga di dalam kelas. Kedengaran tepukan dan ucapan tahniah. Zulkarnain dan Pei Wen mendapat tempat keenam dan kelapan. Pada keseluruhannya, Cikgu Julia amat berpuas hati dengan prestasi murid-muridnya. Cikgu Julia tidak lupa mengingatkan murid-muridnya agar mengulang kaji pelajaran pada musim cuti.

Adif Danial pula akan bertukar ke Kuala Lumpur. Keadaan ini dijadikan modal untuk Zulkarnain untuk mengusik Adif Danial dan Iman. Iman tertunduk malu. Dalam kesibukan murid-murid menyemak keputusan, muncul Cikgu Shaharudin, guru disiplin sekolah itu. Linda dan Iman Zulaikha dipanggil ke depan kelas. Diari ungu dikeluarkan daripada sampul surat. Iman tersentak. Linda tidak berani bertentang mata dengan Cikgu Shaharudin. Salah seorang murid dari kelas Tingkatan Satu Anggerik telah membuat pengakuan bahawa dia telah mengambil diari Iman seperti yang telah dirancang oleh Linda. Terkejut Iman. Dia beristighfar sambil merenung wajah Linda. Bahu Linda terhinggut-hinggut. Dia menangis sambil menutup wajahnya dengan tapak tangan. Akhirnya, Linda mengaku. Iman sedia memaafkan Linda seandaInya dia sedia berubah. Linda mendakap Iman dengan erat. Cikgu Shaharudin terpana melihat sikap terpuji yang ditunjukkan oleh Iman, anak murid kesayangan Cikgu Julia.

Datuk dan nenek Iman mengadakan kenduri kesyukuran atas kejayaan Iman dalam pertandingan pidato peringkat daerah dan Peperiksaan Pertengahan Tahun baru-baru ini. Anak-anak dan cucu-cucu dijemput hadir. Sebenarnya, datuk dan nenek dikurniai lima orang anak. Ibu Iman Zulaikha, anak yang kedua. Pei Wen dan keluarganya, Adif Danial dan ibunya, Zulkarnain, Cikgu Julia serta beberapa rakan sekelasnya turut hadir. Pada hari itu, Iman memakai baju kurung berwarna ungu. Baju itu pernah dipakai semasa menyambut Hari Raya Adilfitri bersama-sama dengan ayah dan ibunya dua tahun yang lalu.

Para tetamu lelaki mengambil tempat di ruang tamu rumah datuk. Tetamu wanita pula berada di ruang dapur. Datuk mengetuai bacaan tahlil dan zikir dalam majlis tersebut. Selesai berdoa, hidangan pun diangkat ke ruang tamu. Sempat juga Iman berbual-bual dengan Mak Cik Sofia, ibu Adif Danial.

Malam itu, Iman duduk di anjung rumah sambil menghirup udara malam. Rumah datuk dan nenek kembali sunyi. Tiba-tiba muncul ayah Iman mengemukakan cadangan kepada Iman. Ayah Iman ingin bercuti bersama dengan Iman ke New Zealand. Yang penting, Iman amat memerlukan ayah dan ibu di sisi Iman. Walaupun malam gelap pekat, Iman dapat melihat ada sinar yang terang menantinya di hujung sana. Ayah Iman Zulaikha, Yusri ingin membina ikatan kekeluargaan yang runtuh selama ini semula. Iman mengangguk dan mendakap ayahnya erat-erat. Doa Iman, biarlah kasih sayang ibu dan ayah kukuh selama-lamanya. Air mata kesyukuran membasahi pipi Iman Zulaikha. Bersyukur Iman kepada Tuhan kerana memakbulkan doanya selama ini.

Kosa Kata / Makna:

1. Membicarakan – mempercakapkan, memperkatakan, membincangkan, mengadili
2. Bertaut – menjadi rapat, berkatup rapat-rapat, bercantum, berpaut, bertemu, berhubungan (dgn), bertalian (dgn)
3. Semester – satu daripada dua sesi pengajian dlm. Sesuatu tahun akademik di pusat pengajian (universiti, kolej, sekolah dsb)
4. Menaruh – meletakkan, menempatkan, membubuh, menambah
5. Prestasi – hasil yang telah diperoleh, pencapaian
6. Didatangi – dikunjungi, dilawati, diziarahi
7. Beralih – bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, pergi (ke tempat lain)
8. Kaget – terkejut, terperanjat
9. Menjenguk – melihat, mengunjungi, menengok
10. Mengerling – memandang ke kanan atau ke kiri (dgn. Tidak menggerakkan kepala)
11. Tersipu-sipu – malu sekali, (dgn) pantas, lekas, segera
12. Berkorban – (sedang) menawarkan sesuatu sbg korban (kpd yang disembah), menanggung penderitaan untuk keselamatan (kebahagiaan, kepentingan) orang dll.
13. Mengukir – membuat lukisan dll dgn cara memahat (menggores, menoreh dll), membentuk (senyuman), memperlihatkan, menampakkan (senyum)
14. Memakbulkan – menerima (permintaan, doa, dll), mengabulkan, menyampaikan (maksud), memperkenankan
15. Menatap – memerhatikan dgn teliti, memandang dgn sungguh-sungguh
16. Kepekatan – perihal atau keadaan pekat

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 6 Disember 2010.
Hotel De’ La Ferns, Cameron Highlands.

No comments: