Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, December 8, 2010

Bab 7 - Novel T2: Erti Sebuah Pengorbanan

SINOPSIS NOVEL TINGKATAN 2 (2011)
Tajuk: Erti Sebuah Pengorbanan
Penulis: Zaihanim bt. Zainal Abidin
Penerbit: KZ Berjaya Enterprise

Bab 7: Usaha dan Cabaran

Peperiksaan menjelang tiba. Iman mengadakan perbincangan berkumpulan bersama-sama Pei Wen, Zulkarnain dan Adif Danial. Iman mahir dalam pelajaran Matematik. Mereka bantu-membantu. Iman mahu mengungguli pencapaian akademik Tingkatan Satu Dinamik. 20 Mei 2006. Peperiksaan Pertengahan Tahun telah pun berlalu. Kini, Iman memberikan tumpuan pada pertandingan pidato daerah. Teks disediakan oleh Iman dan disemak oleh Cikgu Julia. Kemudian, Iman akan berlatih bersama-sama Pei Wen, Zulkarnain dan Adif Danial selepas sekolah. Di rumah, Iman berlatih di hadapan datuk dan nenek.

Sudah genap sepuluh hari Iman tidak berutus e-mel dengan ibunya. Barangkali, ibunya telah menemui pengganti ayah. Sempat Iman berbual-bual dengan nenek. Dapatlah nenek mendengar dan berkongsi luahan rasa Iman. Nenek tahu benar akan perangai ibu Iman. Kata nenek, mencari pengganti suami bukan mudah dan menasihati Iman agar tidak berprasangka terhadap ibu Iman sendiri. Iman tertunduk. Air mata mengalir dari kolam matanya. Iman berasa terlalu berdosa. Nenek menepuk-nepuk bahu cucunya.

Tiba-tiba datuk, nenek dan Iman dikejutkan dengan panggilan Ruhaida, ibu Iman dari New Zealand. Rupa-rupanya, ibu Iman terlantar di hospital selama sepuluh hari kerana kemalangan jalan raya. Iman menangis teresak-esak kerana bersalah menuduh ibunya. Iman meluahkan perasaannya melalui e-mel.

Esok, pertandingan pidato akan dijalankan. Iman telah membuat persediaan yang rapi. Para peserta juga diminta menyediakan satu teks salinan asal berkaitan tajuk yang dipersembahkan. Teks itu disisipkan di dalam diari yang berwarna ungu. Ungu, warna kegemaran keluarga Iman. Petang itu, Iman dan Pei Wen ingin bertemu dan berbincang dengan Cikgu Julia. Iman juga mahu menyerahkan teks itu untuk disimpan oleh Cikgu Julia agar lebih selamat. Malangnya, diari ungu tidak kelihatan. Diari itu ditinggalkan oleh Iman di dalam beg sebelum memasuki perpustakaan. Iman ke kelas untuk mencari diarinya. Pei Wen pula ke perpustakaan untuk tujuan yang sama. Malangnya, diari itu tiada di dalam kelas. Panik. Hampa. Iman bagaikan mahu menangis. Gagal juga Pei Wen mencari diari tersebut di perpustakaan.

Iman dan Pei Wen terpaksa berjumpa dengan Cikgu Julia semula. Sebuah teks baharu perlu disediakan oleh Iman. Sesungguhnya, Iman tidak mengaku kalah. Iman meneruskan latihan. Zulkarnain dan Adif Danial turut memberikan kata-kata semangat. Dalam e-mel, ibu Iman turut mendoakan kejayaan Iman. Teks pidato dihafal. Solat hajat ditunaikan. Malam itu, Iman tidur awal. Esok, datuk dan nenek akan pergi bersama-sama.

8.15 pagi. Ramai murid hadir di majlis itu. Enam buah sekolah menyertai pertandingan tersebut. Setiap sekolah menghantar enam orang wakil. Iman peserta kedua terakhir. Pei Wen menjadi peneman dan pendorong utama Iman. Zulkarnain, Adif Danial dan Ai Ling turut hadir memberikan perangsang. Ayah Iman turut hadir. Maka bertambah semangatlah Iman. Yang penting, Iman memberikan tumpuan kepada persembahannya nanti.

Kosa Kata / Makna:
1. Perkongsian – syarikat perniagaan yg dijalankan secara berkongsi oleh dua orang atau lebih sbg rakan niaga
2. Menghirup – menyedut dan menelan benda cair, meneguk, menghisap, menyedut
3. Menatang – membawa sesuatu di atas tapak tangan, menating, menayang
4. Memudaratkan – mendatangkan mudarat, membahayakan, merugikan
5. Terlopong – ternganga (mulut)
6. Berprasangka – sangka (anggapan) buruk terhadap sesuatu (seseorang) sebelum mengetahui (menyelidiki) yang sebenarnya
7. Terhinggut-hinggut – bergoyang-goyang, berayun-ayun, bergoncang-goncang
8. Terlantar – terletak di, terabai, terbiar
9. Teresak-esak – tersedu-sedu (menangis)
10. Berenggang – berantara, berjauh, berpisah
11. Disisipkan – diselitkan
12. Asyik – menaruh berahi atau perasaan cinta yang amat sangat (terhadap seseorang)
13. Gementar – gentar, menggigil (kerana ketakutan, deman dll)
14. Mantap – tabah hati, tetap hati (fikiran), tetap setia, tidak berubah-ubah, tetap, stabil

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 6 Disember 2010.
Hotel De’ La Ferns, Cameron Highlands.

No comments: