Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Wednesday, December 8, 2010

Bab 6 - Novel T2: Erti Sebuah Pengorbanan

SINOPSIS NOVEL TINGKATAN 2 (2011)
Tajuk: Erti Sebuah Pengorbanan
Penulis: Zaihanim bt. Zainal Abidin
Penerbit: KZ Berjaya Enterprise

Bab 6: Kenapakah, Ibu?

Iman berasa bimbang kerana sudah beberapa hari e-mel ibu tidak kesampaian. E-mel Iman pula tidak berbalas. Biarlah ayahnya sendiri memberitahukan hal Mak Cik Sofia kepada ibu. Pertandingan pidato daerah akan bermula selepas Peperiksaan Pertengahan Tahun. Iman pandai membahagikan masa, yakni antara pelajaran dan pertandingan. Iman tidak mempedulikan permintaan Linda. Ketika bertembung dengan Linda, Iman menjelaskan pendiriannya bahawa dia tetap akan bertanding. Keputusan itu menaikkan kemarahan Linda. Linda menolak Iman. Kaki Iman terpelecok, tersungkur di anak tangga yang terakhir dan terguling-guling sebelum jatuh terduduk. Linda segera beredar dari situ. Perbuatan itu terlihat oleh Mohana dan Adif Danial. Mujur Mohana memapah Iman ke biik guru.

Nenek Iman terkejut benar tanpa mengetahui perkara yang sebenar. Iman telah berpakat dengan Pei Wen untuk merahsiakan hal tersebut. Pei Wen cukup marah akan perbuatan Linda dan berasa bimbang akan tindakan Linda seterusnya. Iman bermohon agar hal itu juga tidak diberitahukan kepada Zulkarnain dan Adif Danial.

Petang itu, rumah datuk dan nenek dikunjungi Pak Su Razlan, lulusan jurusan Pentadbiran Perniagaan dari universiti di New Zealand. Ibu Iman juga belajar di universiti yang sama. Menurut Pak Su Razlan, dia sempat berjumpa dengan ibu Iman sebanyak tiga kali dan bersembang beberapa minit sahaja dek kesibukan. Iman meluahkan keresahan kerana e-melnya tidak berbalas. Pak Su Razlan tersenyum sinis lalu memberitahu Iman bahawa ibunya berhubungan mesra dengan seorang lelaki Inggeris. Iman terdiam. Wajahnya berubah. Perubahan ini menimbulkan ketidaksenangan Pak Su Razlan. Pak Su Razlan ditegur oleh nenek sebelum dicelah oleh datuk.

Iman bertekad untuk mengetepikan semua masalah yang berlaku. Yang penting, dia perlu menghadapi peperiksaan seminggu lagi dan pertandingan pidato minggu yang berikutnya. Keesokan hari, tengah hari, selepas mata pelajaran Matematik, Iman ingin berjumpa dengan Cikgu Julia biarpun diajak oleh Pei Wen untuk pulang bersama. Selepas berkemas, Iman terserempak dengan Adif Danial dan Linda. Senyuman Iman tidak berbalas juga. Kemudian, Iman ke bilik guru. Akhirnya, Iman dapat berjumpa dengan Cikgu Julia. Iman meminta pandangan Cikgu Julia tentang ibunya. Iman menceritakan hal ibu dan bapanya satu persatu. Yang jelas, hasrat Iman untuk menyatukan ayah dan ibunya semula musnah kini.

Menurut Cikgu Julia, senario kehidupan ayah dan ibunya sudah ditentukan oleh takdir waima ayahnya akan berkahwin dengan ibu Adif Danial, Mak Cik Sofia dan kesahihan hubungan ibunya dengan lelaki Inggeris yang barangkali merupakan teman sekolej. Yang penting, menurut Cikgu Julia, Iman perlu bersabar, berterus terang dan berkorban. Fikiran Iman tenang dan positif kembali selepas berbual-bual dengan Cikgu Julia. Album gambar dibelek satu persatu. Gambar keluarga Iman tetap akan menjadi kenangan sampai bila-bila. Tiba-tiba, Iman dikejutkan oleh panggilan nenek. Kata nenek kawan lelaki Iman sedang mencarinya. Zulkarnain dan Adif Danial! Adif Danial ingin memohon maaf daripada Iman. Sebenarnya, Adif Danial merindui saat-saat bersama dengan Pei Wen, Zulkarnain dan Iman. Iman dan Adif Danial sama-sama mengaku kesalahan tentang kisah ibu dan ayah masing-masing. Malah, Adif Danial cukup kagum akan ketabahan Iman menghadapi masalah tersebut lebih-lebih lagi Pei Wen dan Zulkarnain telah menceritakan segala-galanya, termasuk tindakan kasar Linda terhadap Iman.

Ibu Adif Danial memahami kehendaknya anak lelakinya. Ibunya sanggup membatalkan perkahwinan sekiranya hasrat tersebut diingini Adif. Yang jelas, ibu Adif tidak akan berkahwin dengan ayah Iman. Hati Iman bertambah lega sekarang. Fikirannya bertambah lapang. Pagi itu datuk dan nenek Iman menjamu Adif Danial dan Zulkarnain makan buah rambutan dan cempedak.

Kosa Kata / Makna:

1. Ketinggalan – yang tinggal baki, kelebihan, sisa, tertinggal (dgn tidak sengaja), terbelakang
2. Amanah – sesuatu yang dipercayakan kepada orang, kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang
3. Menuruni – turun melalui (tangga, lereng bukit dll), turun untuk mengambil sesuatu
4. Bertembung – berjumpa (dgn tidak sengaja), bersua, bertemu, terjerempak
5. Meluap-luap – bergelora dgn amat sangat (bkn perasaan, semangat dsb), berkobar-kobar, berapi-api
6. Terguling-guling – berguling-guling (dgn tidak sengaja), berpusing berbalik-balik
7. Papah – berpegang atau berpaut pd bahu orang dll.
8. Bebel – mengomel, berleter
9. Mencebikkan – menyorongkan bibir bawah ke depan (kerana marah, benci dsb), menghina
10. Tercengang – berasa kehairan-hairanan, terkejut bercampur pelik sehingga mata terbuka luas dan mulut ternganga
11. Merajuk – menunjukkan rasa tidak suka (enggan bercakap, enggan bekerjasama, enggan bergaul)
12. Mengerling – memandang ke kanan atau ke kiri (dgn tidak menggerakkan kepala)
13. Mengkhianati – berbaut khianat kepada, mencelakakan, memperdaya, membelot terhadap
14. Beriringan – berjalan dll bersama-sama, berturut-turut
15. Tampak – tidak terlindung, dapat dilihat, kelihatan
16. Berkecamuk – menjadi hebat, menjadi kacau atau tidak tenteram (fikiran, perasaan dll)
17. Solehah – taat dan patuh kpd perintah Allah (perempuan)
18. Hakikat – sesuatu yang tidak dapat ditiadakan atau dinafikan kebenaran, kenyataan
19. Arwah – roh atau jiwa orang yang telah meninggal dunia, semangat, Allahyarham, Almarhum
20. Menyisihkan – mengasingkan, memisahkan, menceraikan, memencilkan

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 6 Disember 2010.
Hotel De’ La Ferns, Cameron Highlands.

No comments: