Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009
Penulis (Guru Cemerlang BM dan Munsyi Dewan) menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 daripada YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Dewan Bankuet, Menara DBP, Kuala Lumpur pada 30 November 2010.

Tuesday, December 7, 2010

Bab 5 - Novel T2: Erti Sebuah Pengorbanan

SINOPSIS NOVEL TINGKATAN 2 (2011)
Tajuk: Erti Sebuah Pengorbanan
Penulis: Zaihanim bt. Zainal Abidin
Penerbit: KZ Berjaya Enterprise

Bab 5: Kawanku, Adif

Isnin. 7.30 pagi. Adif masih belum tiba di sekolah lagi. Murid-murid lain sudah mengisi tempat duduk masing-masing. Zulkarnain menegur Iman. Cikgu David, guru Matematik di sisinya. Iman ditegur oleh Cikgu David kerana mengelamun di dalam kelas. Iman didenda berdiri di luar kelas. Zulkarnain kegelisahan. Kolam mata Iman digenangi air. Tiada sesiapa yang mengerti perasaan yang bersarang di jiwanya.

Rehat. Iman tidak pergi ke kantin. Iman ditegur oleh Zulkarnain. Alasan malas diberikan oleh Iman lebih-lebih lagi ketidakhadiran Adif dan Pei Wen. Zulkarnain ingin mendengar masalah yang dihadapi oleh Iman. Iman pun menceritakan hal perkahwinan ayahnya dengan Sofia, ibu kepada Adif Danial. Mereka bercadang ke rumah Adif pada petang itu.

Tengah hari. Datuk dan nenek Iman sedang membaca surat Razlan, anak bongsu datuk. Pak Su Razlan baru sahaja menamatkan pengajian universitinya di New Zealand. Datuk dan nenek gembira, Pak Su Razlan akan pulang tidak lama lagi. Muncul Iman memberikan salam. Nenek berasa kesal kerana merahsiakan hal ayah Iman. Nenek memberitahu Iman bahawa ayahnya menelefon dan memohon maaf daripada Iman. Iman serba salah. Nenek memahami kedudukan Iman. Datuk menasihati Iman agar menerima keputusan ayahnya. Sempat Iman meminta izin nenek untuk ke rumah Adif. Adif Danial anak Sofia.

Iman dan Zulkarnain tercegat di hadapan sebuah banglo. Selepas salam dibalas, muncul seorang lelaki sebaya usia datuk Iman. Zulkarnain bersalaman dengan lelaki itu sambil mendapat kepastian sama ada rumah itu rumah Adif Danial. Rupa-rupanya lelaki tua itu datuk Adif Danial. Mereka dijemput masuk.

Muncul Adif Danial dari tingkat atas. Zulkarnain bertanyakan khabar Adif. Giliran Iman pula berbual dengan Adif. Iman ingin tahu sama ada Adif masih memarahinya. Adif menyuruh mereka balik. Dia masih belum bersedia untuk membicarakan hal antara Iman dengan dirinya. Adif tidak memberikan peluang kepada Iman untuk memberikan penjelasan. Yang jelas, Adif masih tidak boleh menerima bahawa ayah Iman akan berkahwin dengan ibunya. Adif terus beredar ke tingkat atas tanpa mempedulikan Iman dan Zulkarnain. Sikap Adif ditegur oleh datuknya. Menurut datuk Adif, sikap cucunya berubah sejak dua tiga hari. Dulu Adif tinggal bersama dengan ibunya, Sofia (menantu datuk Adif) di Kuala Lumpur. Tidak semena-mena, dia ingin balik dan bersekolah di kampung. Menantunya memberitahukan hal perselisihan Adif dengan Sofia. Adif marah benar apabila Sofia ingin berkahwin lagi.

Sejak ditengking oleh Adif Danial, Iman tidak berani berbual dengan Adif lagi. Tiada sapaan dan senyuman lagi. Iman menceritakan peristiwa itu kepada Pei Wen sekembalinya dia daripada cuti dua hari. Petang itu, Iman dan Pei Wen pergi ke sebuah kedai buku berdekatan dengan sekolah. Selepas Iman membeli tiga buah buku Matematik dan Bahasa Inggeris, Pei Wen mengajak Iman makan ais kacang di sebuah restoran yang berdekatan. Setelah memesan dua mangkuk ais kacang, Pei Wen memberitahu Iman bahawa ibu tirinya (mak cik) sudah banyak berubah dan bersalah selepas bertengkar dengan ayahnya. Lelaki misteri yang sering datang berjumpa dengan ibu tirinya ialah bekas suaminya.

Bekas suaminya kerap datang untuk meminta wang daripada ibu tirinya. Akhirnya, lelaki itu telah diberkas oleh polis kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Pei Wen memuji semangat Iman ketika mengharungi masalah. Tiba-tiba mereka ternampak akan Linda dan Adif di kedai buku yang berhampiran dengan restoran tersebut. Barangkali, timbul pula perasaan cemburu di hati Iman. Iman berjanji akan ke rumah Pei Wen petang nanti.

Kosa Kata / Makna:
1. Menelaah – mengkaji semula (mengulang) pelajaran, meneliti, meramalkan (nasib dll)
2. Menoleh – berpaling atau berpusing muka ke kiri (ke kanan atau ke belakang) untuk melihat
3. Berkecamuk – menjadi hebat (peperangan, perjuangan dll), menghebat, menjadi kacau atau tidak tenteram (fikiran, perasaan dll), kacau-bilau
4. Melamun – memikirkan sesuatu, berangan-angan, berkhayal
5. Menggelabah – berada dalam keadaan tidak tentu arah, berasa resah gelisah
6. Bentak – herdik, tengking
7. Mengerling – memandang ke kanan atau ke kiri (dgn tidak menggerakkan kepala), menjeling
8. Bersimpang-siur – bergerak ke sana ke mari, sibuk benar, hilir mudik
9. Membeliak – terbuka besar-besar (mata), terbelalak
10. Kena-mengena – ada sangkut pautnya (hubungannya, kaitannya, dll)
11. Jodoh – pasangan hidup (laki-laki atau perempuan)
12. Ziarah – lawatan, kunjungan
13. Terpinga-pinga – tercengang-cengang kehairanan
14. Tengking – bunyi yang nyaring dan keras (bunyi ringkik kuda), suara yang tinggi dan keras (suara orang marah)
15. Bertengkar – berbantah, berbalah, bercekcok, bertaki, bertikai
16. Ternganga – terbuka lebar-lebar (mulut dll), terbuka luas
17. Menyelinap – bergerak dgn pantas (utk menyembunyikan diri), menyorok, menyusup
18. Menuding – menunjuk ke sesuatu arah (dgn jari telunjuk, tongkat dll) menuduh

Disediakan oleh Chai Loon Guan, 6 Disember 2010.
Hotel De’ La Ferns, Cameron Highlands.

No comments: